|
Pelita Brunei - Hasrat Negara
HALUAN
 UCAPAN Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Hamzah Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Abdullah bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar di Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2009 pada hari Rabu, 1 Zulhijah 1430 bersamaan 18 November 2009 Masihi, bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Penyediaan tapak projek pencabar utama perancangan kemajuan
Bismillahir Rahmannir Rahim
Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera
PERTAMA sekali saya sukacita mengucapkan terima kasih di atas ingatan baik pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa menjemput saya ke Majlis Sempena Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2009 pada pagi ini.
Pada majlis yang sama pada tahun lepas (Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2008), saya telah menyentuh terdapatnya beberapa agensi kerajaan yang mengendalikan permohonan-permohonan kemajuan tanah dan bangunan dan menyeru supaya perkara ini diteliti dan dicari penyelesaian yang sebaiknya untuk mengelakkan duplikasi dan mengurangkan birokrasi.
Saya juga menyarankan supaya penyelarasan dikenal pasti bagi menuju ke arah sistem kawalan kemajuan bangunan yang bersepadu unified development and building contol authority terutamanya penyelarasan agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan.
Pada hari ini, saya sukacita mengumumkan bahawa, alhamdulillah, Pihak Berkuasa Yang Layak Kawalan Kemajuan yang dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Perancang Bandar dan Desa dengan kesepakatan dan kerjasama agensi-agensi lain yang berkenaan telah mengambil inisiatif untuk menyelaras dan menyatukan semua kawasan-kawasan di luar kawasan Lembaga Bandaran yang pada masa ini dikendalikan oleh Jabatan Tanah dan Jabatan Kemajuan Perumahan untuk menjadi kawasan kawalan Pihak Berkuasa Yang Layak Kawalan Kemajuan.
Ini bermakna mana-mana permohonan untuk kemajuan tanah dan bangunan di luar kawasan Lembaga Bandaran hanya perlu menghadapkan permohonan kepada Pengerusi Pihak Berkuasa Yang Layak Kawalan Kemajuan di Jabatan Perancang Bandar dan Desa.
Sementara permohonan-permohonan lain yang berada di kawasan Lembaga Bandaran perlu dihadapkan kepada Pengerusi Lembaga Bandaran. Ini akan mengelakkan kekeliruan orang ramai di dalam menghadapkan permohonan-permohonan kemajuan. Pada masa yang sama juga, dengan adanya penyelarasan ini, keseragaman di dalam piawaian, keperluan, penyeliaan dan pengawalseliaan kemajuan-kemajuan akan dapat diadakan.
Saya juga difahamkan beberapa taklimat dan jerayawara telah dilaksanakan bagi membarigakan dan memaklumkan penyatuan perkara ini kepada pihak awam seperti penghulu dan ketua kampung dan juga kepada semua pihak yang berkepentingan (stakeholders) yang terlibat.
Sehubungan dengan itu, saya sukacita memaklumkan bahawa penyatuan ini akan berkuat kuasa bermula daripada awal tahun hadapan apabila semua permohonan-permohonan kemajuan tanah dan bangunan yang di luar kawasan-kawasan Lembaga Bandaran hanyalah perlu dihadapkan kepada Pengerusi Pihak Berkuasa Yang Layak Kawalan Kemajuan, Jabatan Perancang Bandar dan Desa.
Sebagai langkah seterusnya ke arah sistem kawalan kemajuan yang bersepadu atau unified development and building control authority, usaha-usaha juga sedang giat dilaksanakan oleh agensi-agensi yang tertentu di Kementerian Pembangunan (Pihak Berkuasa Yang Layak Kawalan Kemajuan bersama jabatan-jabatan teknikal) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain yang berkaitan dengan pembaharuan dan pemberian perkhidmatan kepada orang ramai untuk menubuhkan satu agensi baru yang bertanggungjawab khusus bagi kawalan kemajuan bangunan yang mengambil kira semua lingkungan hayat (life cycle) sesuatu kemajuan dan bangunan.
Agensi ini akan menjadi pihak berkuasa yang mengawalselia bangunan itu daripada mula-mula bangunan ini dibangunkan hinggalah bangunan itu dirobohkan. Jabatan ini juga, insya-Allah, dengan kerjasama agensi-agensi yang berkenaan, permohonan-permohonan hanya perlu dihadapkan dan akan diteliti oleh agensi tersebut.
Dengan adanya agensi yang mengawal kemajuan bangunan ini nanti, dalam jangka panjang, pertimbangan dan kebenaran sebarang kemajuan tanah ataupun bangunan akan diringkaskan kepada dua peringkat sahaja iaitu:-
Peringkat pertama ialah kebenaran perancangan atau planning permission yang memastikan kemajuan yang dicadangkan adalah selaras dengan pelan perancangan dari segi aspek-aspek zoning, kepadatan dan kadar kemajuan berdasarkan keluasan lot tanah, garis bangunan, had ketinggian, letak kereta, kesesuaian jalan laluan, landskap serta pertimbangan-pertimbangan perancangan yang menjurus kepada compatibility (keserasian), urban design, amenity dan aesthetic; dan Peringkat kedua ialah kebenaran membina bangunan atau building approval yang memastikan semua aspek teknikal, keselamatan, kesihatan, struktur dan keutuhan bangunan dilaksanakan dari peringkat permohonan, pembinaan, penggunaan, pemeliharaan dan pemantauan berterusan dikehendaki dan dimestikan supaya tanggungjawab ini dilaksanakan oleh pemilik-pemilik dan pemaju-pemaju bangunan.
Dengan adanya penyelarasan ini, orang ramai selaku pengguna dan penghuni akan merasa lebih yakin akan keselamatan dan integriti malah kesedaran tempat ataupun bangunan di mana mereka tinggal bekerja ataupun berurusan.
Kita semua berharap dengan adanya agensi seperti ini, bukan sahaja mempercepatkan pengeluaran OP secara menyeluruh. Walau bagaimanapun permit bagi penggunaan bangunan ataupun OP bukanlah dikeluarkan apabila menggunakan bangunan sahaja, tetapi ianya perlu diperbaharui daripada semasa ke semasa mengikut peraturan-peraturan yang akan dikeluarkan nanti. Ini juga memastikan bahawa keselamatan dan integriti bangunan adalah tanggungjawab bersama pemilik dan pemaju-pemaju.
Saya sangat berharap dengan penyelarasan dan pensejajaran yang dicadangkan di atas dan semua usaha-usaha pembaikan sistem dan tatacara pengendalian kawalan kemajuan sejauh ini akan memberi impak dan perubahan ke arah perkhidmatan yang terbaik kepada orang ramai dan membantu mengurangkan halangan-halangan proses dan biokrasi yang selama ini dianggap sebagai faktor yang menyumbang kepada kelambatan-kelambatan dalam memudahkan urus niaga atau ease of doing business di negara ini.
Pada tahun ini kita telah memilih tema Reaching Out to the Next Generation … Planing for a Better Tomorrow atau Merancang Bersama Generasi Baru Untuk Masa Depan Yang Lebih Baik dan Terjamin.
Tema ini bertepatan kerana adalah penting untuk melibatkan generasi pelapis di peringkat awal lagi bagi mengembangkan konsep pembangunan yang berperancangan dalam proses kemajuan negara untuk mencapai kemajuan yang berdaya tahan (sustainable) dan seimbang dalam menyediakan apa jua bentuk kemudahan dan prasarana ke arah kehidupan rakyat yang berkualiti untuk menjamin kemakmuran negara yang berterusan.
Penglibatan generasi penerus / baru yang terdiri dari para pelajar di semua peringkat pengajian sebagai rakan atau partners dalam proses perancangan dan penggubalan dasar kemajuan jangka panjang negara adalah satu kemestian dan imperative kerana di tangan merekalah menentukan kesinambungan usaha untuk mencapai Wawasan Brunei 2035.
Tema yang dipilih pada sambutan tahun ini dalam melibatkan generasi muda di kalangan penuntut-penuntut di peringkat menengah, maktab dan universiti sebagai pendedahan awal terhadap konsep pembangunan yang berdaya tahan (sustainable development) dan saksama dan peranan perancangan dalam menangani cabaran-cabaran yang berkaitan dengannya.
Sehubungan dengan itu juga, penglibatan masyarakat awam dan pemegang-pemegang taruh (stakeholders) secara yang lebih bermakna di dalam proses penyediaan strategi dan cadangan kemajuan adalah sangat penting bagi memastikan pelan-pelan perancangan yang disediakan bagi sesuatu kemajuan atau kawasan dapat diterima pakai dan mudah dilaksanakan.
Saya mengambil maklum bahawa proses ini telah dilaksanakan di dalam penyediaan pelan induk guna tanah dan pelan-pelan perancangan daerah yang sedang berjalan ketika ini.
Kita berharap dengan usaha-usaha kesedaran awam seperti ini akan dapat menimbulkan kefahaman di semua peringkat awam dan orang ramai serta agensi-agensi kerajaan bahawa adalah tanggungjawab kita semua untuk menggunakan sumber tanah di negara ini dengan sebaik mungkin supaya generasi kita akan datang dapat seterusnya menikmati kemajuan tanpa menjejaskan peluang dan hak generasi selepas mereka meningkatkan tahap dan kualiti kehidupan mereka.
Cabaran utama perancangan ketika ini ialah kita berhadapan dengan kemajuan di semua sektor yang memerlukan sumber / tapak tanah; seperti keperluan tapak-tapak tanah bagi projek-projek.
Ini termasuk projek perumahan negara, projek-projek pertanian ke arah mencapai tahap sara diri bagi bekalan makanan utama yang masih bergantung kepada bekalan dari luar, projek-projek prasarana awam dan bangunan-bangunan kerajaan, keperluan bagi menyediakan tapak-tapak industri mempelbagaikan ekonomi untuk menarik pelaburan dari luar (FDI) untuk mengimbangi GDP negara yang masih bergantung kepada minyak dan gas dan berbagai projek dan kemudahan yang diperlukan oleh agensi-agensi lain.
Semua ini akan memberi tekanan kepada semua kawasan-kawasan termasuk kawasan yang dulunya disimpan bagi tujuan kawasan hutan simpanan, hutan bakau dan kawasan tadahan bagi sumber air.
Di samping itu, kita juga perlu merealisasikan komitmen kita terhadap usaha-usaha serantau dalam perlindungan alam sekitar dan kawasan semula jadi seperti pembentukan taman warisan dan taman negara serta Projek Nadi Borneo yang pada keseluruhannya telah membabitkan lebih kurang 58 peratus keluasan negara.
Oleh itu saya ingin mengulangi saranan saya pada bulan lalu di pelancaran Hari Habitat Sedunia pada 17 Oktober yang lalu, supaya keperluan tanah bagi projek-projek kerajaan dinilai berdasarkan keperluan yang sebenar dan menggunakan kawasan-kawasan yang ada secara optima dan berhemah.
Kita memohon supaya semua pihak untuk memandang serius kerana sumber tanah negara ini adalah sangat-sangat terhad dan hanya kira-kira lima peratus dari jumlah keluasan tanah negara boleh dimajukan tanpa sebarang sekatan (constraints) atau usaha yang lebih banyak.
Kesiapan Pelan Induk Guna Tanah 2006-2025 atau Land Use Master Plan dan seterusnya penyediaan pelan-pelan kemajuan di semua peringkat adalah bertujuan untuk memberi panduan hala tuju pembangunan negara dari segi keperluan penggunaan tanah untuk berbagai sektor dan sebagai asas utama pertimbangan perancangan dalam memudahkan pengendalian permohonan-permohonan kemajuan tanah dan bangunan.
Dalam hubungan ini, saya menyambut baik juga usaha Jabatan Perancang Bandar dan Desa mengkaji dan menggubal semula Akta Perancang Bandar dan Desa 1972 supaya pelan-pelan perancangan yang telah dan akan disediakan, menjadi dokumen berkanun atau statutory document dan menjadi panduan kawalan kemajuan serta membantu dalam pembentukan dasar-dasar kemajuan dan pentadbiran tanah di negara ini.
Saya mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia Tahun 2009 di atas kejayaan mengungkayahkan aktiviti-aktiviti sambutan. Semoga usaha seperti ini akan dapat diteruskan supaya kesedaran awam mengenai pentingnya perancangan itu dapat dipertingkatkan. Dan mudah-mudahan usaha yang berkebajikan ini akan mendapat rahmat dan taufik serta hidayah dari Allah Subhanahu Wata'ala jua.
Sekian, Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Kembali ke muka utama
|