Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Rabu, 27 Januari 2010
11 Safar 1431

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

MEWAJIBKAN PENDIDIKAN AGAMA

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah sempena keberangkatan baginda ke Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan pada hari Selasa, 26 Januari 2010 sekali lagi mengingatkan dengan tegas tentang kepentingan pendidikan agama Islam agar diwajibkan dalam sistem persekolahan di Negara Brunei Darussalam. Setelah 50 tahun pendidikan agama berjalan di negara ini, namun setakat ini tidak pernah dijadikan pendidikan wajib malahan hanyalah duduk di celah-celah subjek yang lain. Dalam erti kata yang lain rakyat dibiarkan 'katung-katung' bebas memilih sama ada mahu bersekolah agama atau tidak.

“Secara peribadi, beta tidak ragu untuk mengatakan bahawa di Brunei memang masih ramai rakyat yang tidak atau kurang celik agama. Penyakit ini bukan dimiliki oleh kanak-kanak yang ada masa ini saja bahkan juga dulu lagi sejak 50 tahun sistem tidak wajib bersekolah agama. Buktinya yang mana di padang-padang permainan, kedapatan para belia dan remaja yang mana sudah pun hampir maghrib atau ketika sudah masuk maghrib masih ada kenampakan belia-belia yang berkeliaran dengan permainan seperti bola dan sebagainya. Di sekolah- sekolah dan malah di pusat pengajian tinggi masih turut berlaku perkara-perkara membelakangi agama. Kalau mereka berkumpul atau bermajlis, kelihatan kadang-kadang sering terbabas dengan meniru budaya-budaya orang lain seperti dalam pakaian dan tingkah laku yang baru-baru ini disiarkan dalam media-media dan internet yang kebanyakan membimbangkan ibu bapa,” titah baginda.

Melihat trend tidak sihat ini, baginda menimbulkan persoalan, mengapa perkara seperti ini boleh berlaku? Jawapannya amatlah jelas menandakan adanya gejala cetek agama, tidak mempunyai roh agama langsung dan tidak diragukan lagi ini juga adalah akibat dari sekolah agama tidak pernah wajib selama 50 tahun. Pendeknya macam-macam kepincangan boleh berlaku kerana kelemahan sistem persekolahan itu disebabkan jiwa agama tidak subur, orang boleh berundur dari agama atau tidak suka kepada agama.

Baginda melihat kerana mengabaikan pendidikan agama dan menjadikan subjek tersebut tidak penting maka berlakulah banyak penyakit sosial di negara ini yang punca utamanya ialah kurangnya didikan agama di kalangan para belia. Kurangnya pengetahuan agama dan tidak langsung bersekolah agama makanya isu-isu sosial semakin menjadi-jadi dan berleluasa. Isu-isu gejala sosial seperti penyalahgunaan dadah, jenayah, seks bebas dan lain-lain penyakit sosial sudah menular dan kerapkali berlaku di negara kita dan bukan lagi satu perkara baru tetapi sudah menjadi trend kebiasaan. Kebiasaan inilah seharusnya kitani secara serius dan penuh ketegasan menolak dan membasminya, kerana kita tidak rela bumi Darussalam ini akan menjadi ’bumi yang hitam’, sepatutnya ianya terus disinari dengan ilmu-ilmu agama yang diredai oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Seolah-olah isu-isu berkenaan tidak lagi dapat dikawal malah tersebar di seluruh pelusuk tanah air.

Para belia lebih terikut-ikut dan meniru cara-cara orang luar seperti sambutan 'Gala Night' yang bertentangan dengan budaya dan cara hidup kebruneian yang sama sekali tidak secocok dengan adat resam dan budaya kita orang-orang Brunei.

Perkara inilah juga yang amat menggusarkan baginda kerana ianya berlaku di bumi Darussalam yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, namun kadang-kadang perangai orang-orang kitani menurut baginda amatlah mendukacitakan, menjolok mata serta di luar batas agama Islam dan tatasusila orang-orang Brunei yang penuh pelikat dengan awar galat, galat-menggalati serta takut hukum Allah Ta'ala. Orang kitani jelas tidak takut-takut untuk melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah Ta'ala seperti minuman keras dan sebagainya. Impaknya amat besar kepada negara. Paling tidak pastinya mengancam dan menjejaskan keselamatan dan keamanan serta membantutkan perancangan kemajuan dan pembangunan negara. Apa tidaknya tanpa mempunyai akhlak yang kukuh dan mantap, orang kitani akan hanyut dibuai oleh gejala sosial yang sudah pun meracuni para muda belia kitani. Melihat perangkaan indeks jenayah dan gejala sosial semakin meningkat amatlah wajar semua pihak yang berkepentingan mencari jalan bagi menanganinya.

Ubat mujarab bagi menyembuhkan segala macam penyakit berkenaan tidak lain hanya melalui pendidikan agama Islam. Kerana melalui pendidikan agama yang terarah serta tersusun segala apa jua penyakit sosial akan dapat diubati. Subjek agama hendaklah menjadi 'compulsory' dalam Sistem Pendidikan Negara Abad 21 (SPN21), bukannya disumbat-sumbat di celah-celah subjek yang lain. Ternyata titah baginda itu adalah sesuatu yang amat berharga kepada kita semua bukan hanya untuk direnung-renung atau ditilik-tilik tetapi perlu diterjemahkan dengan menjadikan pendidikan agama diwajibkan di sekolah-sekolah dengan membuat pengkajian dan statistik yang terkini. Apa pun alasannya, pendidikan agama di Negara Brunei Darussalam hendaklah diwajibkan. - Ketua Bahagian PELITA BRUNEI.


Kembali ke muka utama