Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Pelita Brunei - Cetusan Minda

CETUSAN MINDA 50

TERBANG RANGIT DI TANAH BENDANG
TUNU SETANGGI DI ATAS JERAMI
Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)


SUDAH sekian lama cucu-cucu saya tidak mendengar perkataan 'rangit'. Jika perkataan 'nyamuk', itu biasalah kita dengar. Malah banyak orang muda-muda katani pun tidak tahu apa itu 'rangit'.

Saya kurang pasti apakah perkataan 'rangit' itu termasuk dalam Bahasa Melayu Brunei atau merupakan perkataan dialek bagi puak Melayu Brunei dan Melayu Kedayan. Kamus Bahasa Melayu Brunei pun tidak memasukkan perkataan itu.

Yang pasti 'rangit' adalah sejenis serangga yang begitu halus. Nostalgia ketika tinggal di Kampung Ayer pada tahun 50-an membawa awal tahun 60-an pun terserlah. Rangit terbang di keliling kita ketika santai-santai di pantaran baik pagi, petang mahupun malam. Malah waktu senja dan malam, rangit terbang secara berkelompok.

Kemudian rangit juga ikut menyusur sungai ketika perahu dikayuh keliling kampung sambil berpapasan dengan para padian. Dan rangit juga menyapa ketika 'menyambut kikik putus' terutama apabila menghampiri tunjang. Tapi rangit itu jarang terdapat di tengah-tengah Sungai Brunei. Entah, kenapa?

Dan rangit juga datang terbang malu-malu kucing bila penulis sedang menuntut darjah satu hingga darjah tiga di Sekolah Melayu Laila Mencanai pada suku akhir tahun 50-an.

Namun rangit tidak meninggalkan bau kurang selisa apabila dapat ditangkap dan dipicit berbanding pijat atau bangking yang boleh berbau hanyir dan tidak begitu selisa. Nah, rangit bukan sejenis pijat atau bangking.

Cetusan Minda saya kali ini adalah ilham daripada kartu undangan majlis perkahwinan sahabat saya yang bekerja di jabatan kebahasaan. Saya terpanggil untuk mengulang baca pantun yang diselitkan dalam kartu undangan itu. Konsep kartu undangan itu lain daripada yang lain. Terdapat dua buah pantun di situ. Aduhai, kartu bernada kreatif. Syabas!

Nah, bait satu dan bait dua pantun sahabat saya itu dijadikan tajuk dalam siri saya kali ini. Pastinya, dia mengizinkan untuk digunakan waima saya tidak memaklumkan kepada sahabat saya lebih awal. Maaf, sahabat! Pantun sahabat begitu mempesona dan menggerakkan orang yang diundang datang bertandang.

Terbang rangit di tanah bendang
Tunu setanggi di atas jerami
Bulan di langit tinggi dipandang
Tinggi lagi hajat kami.

Dalam pantun Melayu, kita nampak sopan santun dan kebijaksanaan minda Melayu menyatukan gambaran alam luaran dengan isi hati melalui kata-kata yang berirama. Bermuzik senandung melalui bentuk yang berangkap dan metafora yang kadang-kadang bersifat simbolik, kadang-kadang surealistik, romantik dan ajaib, di samping penuh misteri.

Aduhai, lukislah perisian pantun itu di atas kanvas. Persepsi saya tentunya tergambar sawah yang terbentang, sekawan rangit kapai-kapai mengawang di atas paras air sawah. Lalu jauh di sudut kanvas taram temaram terlakar bulan suku sabit. Syahdan di kekosongan warna putih kanvas yang tidak dilakar apa-apa warna itulah tergambar simbolik dalam minda bait yang dimaksud iaitu 'tinggi lagi hajat kami'.

Ya, kita biasanya kagum dengan kebolehan pemantun menciptakan rangkap pembayang maksud yang dikaitkan dengan rangkap maksudnya melalui bentuk yang luar biasa indahnya.

Nah, seseorang boleh jadi mempersoalkan rasional kaitan pembayang maksud dengan maksud dalam pantun Melayu. Metafora dan imej yang diilhamkan oleh pematun Melayu mungkin tidak selurus logikal pengkaji kreatif. Bagi memahami apa yang dilihat, otak perlu merujuk kepada pengalaman lalu. Tanpa pengalaman, mungkin kita terpedaya dengan apa yang dilihat dan ditafsir. Biasalah, sesaorang dengan persepsinya yang tersendiri.

Persepsi terbentuk daripada interpretasi kita pada suatu perkara. Oleh itu, persepsi mempunyai pengaruh yang kuat pada tingkah laku dan reaksi kita. Namun persepsi sentiasa berada dalam keadaan berubah-ubah. Persepsi juga bersifat peribadi.

Setiap individu mempunyai persepsi yang berlainan mengenai suatu perkara. Selain bersifat peribadi, persepsi juga bersifat berterus-terusan. Lazimnya minda kita membuat interpretasi, tafsiran, dan membuat keputusan tanpa kita memikirkan mengenainya secara sedar. Ianya berlaku secara automatik.

Kemudian sifat peribadi pemerhati juga dapat mempengaruhi tumpuannya. Individu yang berperibadi positif sentiasa melihat potensi sesuatu perkara. Sebaliknya, individu yang berperibadi negatif cenderung melihat keburukan sesuatu perkara. Dengan kata lain, sifat peribadi persepsi menyebabkan kita melihat hanya apa yang ingin dilihat!

Mesej yang hendak saya bawa di sini ialah, dalam zaman manusia dididik untuk berfikir secara logikal dan saintifik pada masa ini, kita makin lama semacam tidak mempercayai dan tidak menggunakan rahsia dan kekuatan minda kreatif yang dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Masa kini orang tidak mudah percaya apa-apa perkara pun kecuali perkara itu dapat dilihat, dapat dirasa, dapat dipegang, dapat didengar atau dibuktikan wujudnya atau kebenarannya oleh ilmu sains melalai kaedah saintifik dan objektif, atau yang dapat ditanggapi oleh fikiran yang rasional.

Namun hubaya-hubaya semua doktor ilmu perubatan moden berkata bahawa di dalam diri manusia terdapat berjuta-juta sel, atau terdapat apa yang disebut sebagai antibodi iaitu molekul yang terbentuk dalam darah dan dapat menghalang tindakan atau memusnahkan bakteria yang memudaratkan atau membahayakan tubuh.

Bahkan semua ahli sains juga berkata bahawa tiap-tiap benda yang kita lihat di alam nyata ini mengandungi zat halus yang tidak dapat dilihat mata, yang disebut atom, subatom, partikel, molekul, proton dan lain-lainnya. Kita menghirup udara untuk hidup tetapi kita langsung tidak nampak secara fizikal benda yang disebut 'udara' itu. Namun kita yakin udara itu ada. Sebab udara, kita boleh bernafas. Sebab udara, kita dapat hidup.

Lalu, tanyalah kepada pakar sains dan pakar teknologi maklumat, apakah mereka pernah nampak bagaimana rupa elektrik. Bagaimana, yah? Namun mereka percaya bahawa elektrik itu ada. Dan udara itu ada. Dan atom itu ada. Dan partikel itu ada.

Di Barat sudah semakin banyak ahli sains yang menulis tentang rahsia alam ghaib. Mereka menggunakan fizik kuantum untuk berbincang tentang soal tenaga alam yang menyatukan dan mengimbangi alam ini.

Teori kuantum menyatakan bahawa tenaga itu diserap atau dipancarkan tidak terus-menerus tetapi putus-putus dalam unit yang tertentu banyaknya.

Mereka bercakap tentang partikel subatom, tentang gelombang cahaya atau elektrik yang mengaitkan makhluk-makhluk alam antara satu dengan yang lain. Menurut mereka, alam nyata yang kita lihat di sekeliling kita sebenarnya tidak terbentuk daripada unsur-unsur pepejal atau solid, tetapi terdiri daripada cahaya atau partikel-partikel subatom yang tidak dapat dilihat.

Menurut mereka lagi minda manusia adalah tenaga yang bergerak laju seperti kilat atau cahaya, tanpa batas ruang dan waktu, untuk mempengaruhi minda makhuk lain. Nah, telepati iaitu perhubungan melalui akal (fikiran) daripada orang lain dengan orang lain tanpa melalui deria yang biasa adalah satu contoh digunakan oleh minda, yakni tenaga manusia, untuk mengubati penyakit dan sebagainya.

Nah fikir-fikirlah, doa adalah juga tenaga. Kata-kata yang digunakan dalam doa dan harapan atau bayangan hajat kita adalah tenaga. Saya sungguh yakin seyakin-yakinnya bahawa fizik kuantum sebenarnya cuba menjelaskan kepada kita tentang kuasa asal yang ada pada kita, datangnya daripada Allah Subhanahu Wata'ala.

Al-Qur'an memerintahkan kita supaya mempercayai hal-hal yang ghaib, adanya syurga, neraka, malaikat dan hari akhirat. Allah berfirman dalam Surah Luqman ayat 22, tafsirnya :

"Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh, dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan."

Orang yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan ikhlas dan tenang tenteram hatinya kepada apa yang telah ditakdirkan baginya, sesudah ia berusaha sungguh-sungguh mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya maka bermakna ia telah berpegang kepada simpulan tali yakni penyelamat yang teguh kukuh, iaitu agama Allah yang meliputi iman, Islam dan ihsan, yang menghubungkannya dengan Allah Subhanahu Wata'ala.

Dalam Islam, ilmu yang baik tentulah ilmu yang beradab, yang berbudaya, yang dapat memajukan keadaan hidup manusia di dunia ini, berdasarkan

tertib akal dan prinsip atau nilai yang tidak menyalahi hukum atau firman Tuhan. Jadi, ilmu sebegini boleh sahaja bersifat saintifik atau boleh juga bersifat metafizikal. Yang benar dan yang pasti ialah Kalam Allah. Nah, inilah yang cuba dicari oleh manusia pintar dan beriman seperti Imam Al-Ghazali.

Ahli sains sebenarnya tidak menciptakan apa-apa. Segala-galanya sudah wujud di alam maya ini. Ahli sains hanya menemukan apa-apa yang sudah wujud itu. Ahli sains percaya tentang wujudnya partikel, atom, subatom, molekul dan sebagainya.

Mereka meyakini kepada teori atomistik, yakni, alam maya ini terbentuk daripada unsur-unsur fizikal yang paling kecil, paling halus. Lalu mereka berkerja keras membina teori berdasarkan kepercayaan ini untuk menjelaskan kewujudan fenomena alam.

Istilah fizik muncul daripada kepercayaan alamiah ini. Semuanya dijelaskan berdasarkan benda atau zarah yang mempunyai sifat fizikal walaupun benda itu tidak dapat dilihat atau ditanggapi melalui pancaindera manusia.

Biasalah, bagi seorang yang mengamalkan pemikirian kritis selalu merujuk kepada keupayaan menggunakan minda bagi membuat pertimbangan atau penilaian yang cermat. Nah, kembali kepada kad undangan majlis perkahwinan sahabat saya itu maka diturunkan rangkap pantun penutup :

Kayu bangkita kayu meranti
Baik jadikan penyulai sawar
Kasih biskita peneguh hati
Kami jadikan ubat penawar.

Para ilmuwan Islam kebanyakan berpendapat bahawa berfikir secara kreatif bermakna berkemahuan dan berkebolehan mengambil kira maklumat tanpa mengasingkannya ke dalam kotak-kotak tertentu.

Ia adalah suatu kaedah berfikir yang memaksa kita mengenal pasti kaitan-kaitan baru di antara fakta-fakta yang dilihat, tanpa bergantung kepada tanggapan semata-mata. Berfikir secara kreatif, kita perlu membuka kotak-kotak minda dan membiarkan maklumat-maklumat yang diterima bercampur secara bebas.

Hanya dengan cara ini sajalah, kita berupaya melihat kaitan-kaitan baru di antara maklumat-maklumat yang berasingan malah melihat dunia dengan cara yang baru. Nah, bagi setengah individu, membuka kotak-kotak minda bukanlah suatu perkara yang mudah kerana oleh kaedah didikan dan tabiat.

Lalu kita adalah apa yang kita fikirkan. Bagi menjadi lebih kreatif, kita mesti menunjukkan minat menjadi lebih kreatif. Letakkan kreativti sebagai salah satu matlamat hidup dan seterusnya komited bagi mencapai matlamat itu. Orang yang berjaya adalah orang yang menjadikan atau menyebabkan sesuatu terjadi kepada mereka.

Kita sedia maklum dan faham sefaham-fahamnya bahawa genius atau bakat luar biasa adalah satu peratus inspirasi dan sembilan puluh sembilan peratus usaha. Kegigihan adalah tunjang kepada kejayaan dan kecemerlangan.

Dalam pada itu, semua kita digalak untuk sentiasa berfikiran positif dan konstruktif apabila mendengar, melihat, membaca idea-idea kreatif orang lain. Dengar, baca, fikir apa yang diperkatakan dahulu, dan cuba kenal pasti idea-idea itu.

Benar, ramai orang tidak mahu menerima bahawa terdapat cara yang lebih baik melakukan sesuatu. Mereka terlalu selesa dengan cara-cara atau teknik yang selama ini dilakukan, dan berpendapat teknik yang dilakukan adalah yang terbaik sehinggakan tidak nampak kelemahan yang ada. Biasalah mereka kata, "Aku dan orang lain sudah guna cara begini sejak puluhan-puluhan dahulu. Tiada masalah pun?"

Biasalah begitu, sahabat. Dalam dunia yang serba moden dan canggih ini kreativiti adalah elemat penting yang dapat mempengaruhi kejayaan individu. Percayalah, pemikiran kreatif akan menyumbang dan punya saham tersendiri kepada kemajuan negara bangsa tidak terkecuali bidang budaya dan sastera.


Kembali ke muka utama