Ibu bapa Farish telah berpisah sejak dia berumur sembilan tahun. Mereka masing-masing sudah punya keluarga baru dan sejak mereka berpisah, Farish satu-satunya anak mereka diserahkan kepada Nek Timah, nenek Farish di kampung. Nek Timahlah tempat Farish bermanja selama sebelas tahun. Nek Timah berjaya mendidik dan mengasuh Farish menjadi seorang anak yang soleh, mendengar cakap dan seorang anak yang baik. Walaupun ibu bapa Farish telah berpisah, pelajaran Farish tidak sekali-kali diabaikan. Malah semua belanja persekolahannya ditanggung oleh kedua-dua ibu bapanya. Farish berjaya dalam pelajarannya dan dia sering menjadi pelajar contoh sewaktu dia menuntut di sekolah menengah dahulu. Dan kerana paras rupanya yang agak tampan dia sering menjadi perhatian gadis-gadis di sekelilingnya. Kulitnya yang cerah, tutur katanya yang lembut dan sopan dan matanya yang redup membuatkan gadis-gadis tergila-gilakannya. Namun Farish tidak pula berminat untuk mengenali seorang pun daripada mereka. Dia masih ingat kata neneknya di kampung mencari seseorang untuk mencintai paras kita memang mudah tetapi mencari seseorang yang mencintai diri kita seadanya tidak mudah. Digenggamnya kata-kata neneknya itu. Kata-kata itu disematnya teguh di dalam hati sehinggalah pertemuannya dengan Mia, siswi baru di universiti tempat Farish belajar. Gadis yang bernama Mia ini berjaya menjerat hati Farish tanpa sengaja.
Pada hari Jumaat itu, Farish seperti biasa sembahyang Jumaat di masjid yang berdekatan universitinya. Di situlah dia ditakdirkan berjumpa Mia buat pertama kali di tempat yang suci, rumah Allah. Waktu itu Mia sedang melangkah keluar masjid dan Farish pula hendak melangkah masuk. Sewaktu itulah Farish terpegun dengan kejelitaan gadis yang bernama Mia itu. Tapi jauh di sudut hatinya mengatakan yang dia tidak akan jatuh cinta pada gadis yang cuma jelita pada luaran sahaja. Raut wajah jelita tapi siapa tahu perangai mereka. Bagi Farish, biarlah dia mencintai gadis yang sederhana tapi kaya dengan sopan santun dan budi bahasa.
Dua hari selepas itu, takdir menemukan mereka lagi. Kali ini di tengah jalan berdekatan sekolah kanak-kanak istimewa. Sebenarnya Farish baru saja balik dari belajar di rumah rakannya yang menetap berhampiran sekolah itu. Farish sengaja berjalan kaki balik ke asramanya daripada menggunakan teksi. Lagipun asrama mereka tidaklah jauh sangat dan lebih lagi Farish bukanlah jenis lelaki yang suka membazirkan wang. Sewaktu Farish berada di jalan depan sekolah itu, dari jauh dia nampak seorang kanak-kanak cacat yang membeli satu bungkusan nasi yang dijual di hadapan sekolah itu dan sedang ingin menyeberang jalan. Waktu itu Farish mengucap syukur pada Tuhan kerana walaupun dia tidak punya keluarga bahagia tapi dia masih dilahirkan dalam keadaan sempurna. Kemudian Farish tersentak apabila sebuah kereta hampir melanggar budak tersebut tetapi nasib budak itu dapat mengelak dan terjatuh, sementara bungkusan nasi yang dibelinya tadi lepas dari tangannya dan jatuh bertaburan. Kereta yang hampir melanggar budak itu pula buat tidak endah saja dan terus memecut laju. Farish hendak berlari mendekati budak itu, bila kereta Prado putih tiba-tiba berhenti depan sekolah itu, berhampiran dengan budak yang jatuh itu. Pintu kereta itu dibuka dan seorang gadis melangkah keluar. Gadis itu terus menolong budak yang jatuh itu berdiri. Dia juga membelikan nasi bungkus untuk budak itu. Lalu dengan mesra dan tanpa perasaan malu, gadis itu menggenggam erat tangan budak itu lalu membawanya melintas jalan yang sibuk dengan kereta yang bergerak pantas. Kagum Farish dengan gadis itu. Mulia sungguh hatinya, detik hati Farish. Bila gadis itu balik ke keretanya dia sempat menoleh ke arah Farish lalu masuk ke keretanya dan berlalu pergi. Subhanallah, rupanya gadis itu adalah gadis yang dijumpanya di masjid beberapa hari lalu. Gadis yang dipandangnya serong. Rupanya gadis itu bukan saja punya sopan santun dan budi bahasa malah hatinya juga amat mulia. Farish mula merasa bersalah kepada gadis itu kerana berfikiran negatif padanya dan dia ingin meminta maaf pada gadis itu.
Malam hampir berarak pergi, kejadian petang itu masih bermain-main di birai matanya. Tersenyum Farish mengingatkannya. Akhirnya matanya terlelap juga.
Farish sibuk membuat assignment yang baru diberikan. Oleh sebab dia sering ke perpustakaan mencari maklumat-maklumat untuk assignmentnya itu. Dia mengambil semua buku-buku rujukan. Satu demi satu buku disimpan di atas buku yang dipegangnya. Jari telunjuknya sibuk meneliti tajuk-tajuk buku yang ada. Dia tidak sedar ada seorang gadis sedang berjalan menuju keruang buku tempatnya berdiri, Farish berpaling dan tidak dapat mengelak. Dia melanggar gadis tersebut dan buku-buku yang dipegangnya tadi habis jatuh. Gadis itu tidak pula marah padanya malah ketawa dan meminta-maaf pada Farish seakan-akan dia yang salah. Gadis itu membantunya mengangkat buku-buku rujukan Farish yang jatuh. Terpaku Farish melihat gadis yang dilanggarnya. Manis senyuman yang terukir di bibir gadis itu. Baru Farish sedar bahawa gadis itu ialah gadis yang dijumpanya di masjid dan gadis itulah yang telah membantu seorang budak cacat melintas jalan. Farish terus mengajak gadis tersebut ke luar perpustakaan dan gadis itu menurut.
"Nama saya Farish. Farish Azami," beritahu Farish sambil menghulurkan tangannya tanda salam perkenalan.
"Nama saya Mia. Mia Sharmela," beritahu Mia yang tersenyum manis. Tapi dia tidak pula menyambut tangan Farish. Lagi sekali Farish terpegun. Selalunya gadis- gadis akan beriya-iya untuk bersalaman dengannya tetapi tidak pula dengan gadis jelita yang bernama Mia ini. Farish juga sempat meminta-maaf pada Mia atas prasangka buruknya. Mia cuma senyum dan memberitahu Farish bahawa manusia tidak lepas dari berprasangka buruk terhadap orang lain dan dia sedia memaafkan Farish.Ternyata Mia bukan gadis biasa. Kerana hal ini hati Farish merasa lebih teruja untuk mengenali Mia dengan lebih dekat lagi. Dari hari itu, Farish dan Mia sering bersama. Mereka belajar, makan dan berjalan bersama. Mia seorang gadis yang riang dan kuat berjenaka. Farish merasa selesa dan seronok bersama Mia. Terasa terisi kekosongan yang selama ini bersarang di hatinya.
Sewaktu cuti semester pertama, Farish mengajak Mia ke rumah neneknya. Farish ingin memperkenalkan Mia kepada neneknya. Mula-mula Mia menolak tetapi kerana kesungguhan Farish yang beriya-iya benar mengajaknya dia menjadi setuju dengan syarat adiknya, Amir Hakimi dapat ikut serta untuk menemaninya. Farish langsung tidak tersinggung dengan syarat Mia yang seakan-akan tidak mempercayainya. Malah Farish merasa kagum dapat berkawan dengan seorang gadis yang baginya cukup sempurna. Pandai menjaga diri dan ber tatasusila.
Kedatangan mereka disambut mesra oleh Nek Timah. Nek Timah nampaknya suka dengan Mia yang amat ringan tulang untuk membantunya bekerja. Sebelum mereka pulang, Nek Timah mengucup dahi Mia penuh kasih sayang seakan-akan Mia itu cucunya. Farish yang melihat kejadian itu pula cuma tersenyum. Farish gembira kerana neneknya suka dengan Mia. Cuti semester pertama pun berakhir, Farish sememangnya sudah tidak sabar menantikan hari tersebut. Farish sudah tidak sabar untuk berjumpa dengan Mia, gadis yang sudah berjaya mencuri hatinya itu. Tetapi Mia tidak pula menampakkan dirinya. Mungkin kelasnya awal habis, fikir Farish. Tapi hampir seminggu Mia tidak juga muncul-muncul. Farish merasa tidak senang. Dia mula merasa bimbang.
Selepas tamat kelas akhir, dia terus pergi ke rumah Mia. Farish tahu rumah Mia kerana dia sudah beberapa kali ke rumah tersebut. Mia mengajaknya belajar sama dan pernah memperkenalkan Farish kepada orang tua Mia. Agak takut juga Farish tapi nasib baiklah orang tua Mia bersikap terbuka dan amat baik terhadapnya. Farish terus menekan punat lonceng rumah Mia. Dan kemudian Makcik Kalsum muncul untuk membukakannya pintu. Farish terus bertanyakan tentang Mia. Makcik Kalsum tiba-tiba merasa hairan dan bertanyakan Farish jika dia tidak tahu mengenai perkara itu. Farish bertanya mengenai perkara yang dimaksudkan Makcik Kalsum. Mak Cik Kalsum pun dengan rasa bersalah terus menerangkan pada Farish tentang Mia. Mengalir air mata Farish mendengarkan cerita Mak Cik Kalsum. Selepas bertanyakan di hospital mana Mia ditahan, Farish terus saja pergi ke sana untuk menjenguk Mia. Farish terserempak dengan keluarga Mia yang juga kebetulan hendak melawat Mia. Mereka kemudiannya meminta-maaf pada Farish kerana tidak memberitahunya. Mereka menerangkan ianya adalah atas permintaan Mia yang menyuruh mereka merahsiakan hal itu daripadanya. Mereka terus memberitahu Farish nombor bilik di mana Mia ditempatkan. Farish mengangguk mengerti dan memaafkan mereka lalu bergegas ke nombor bilik yang diberikan.