Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Peserta Kursus Sivik adakan
lawatan ke Daerah Temburong

TEMBURONG, Selasa, 26 Januari. – Seramai 36 peserta Kursus Sivik Mahasiswa Negara Brunei Darussalam Seberang Laut 2010 (Australia dan New Zealand) hari ini mengadakan lawatan ke Daerah Temburong sebagai sebahagian daripada program yang disusun sepanjang kursus empat hari ini berlangsung.

PEGAWAI Daerah Temburong, Awang Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba semasa menyampaikan taklimat kepada peserta Kursus Sivik Mahasiswa Negara Brunei Darussalam Seberang Laut 2010 (Australia dan New Zealand) yang mengadakan lawatan ke Daerah Temburong.

Kehadiran mereka di Dewan Serbaguna Kompleks Utama Bumiputera Pekan Bangar dialu-alukan oleh Pegawai Daerah Temburong, Awang Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba.

Para peserta kursus juga diberikan taklimat mengenai perkembangan dan perancangan kemajuan Daerah Temburong yang disampaikan oleh Pegawai Daerah Temburong termasuk perkembangan ekonomi khasnya penglibatan masyarakat Daerah Temburong dalam Satu Kampung Satu Produk melalui Majlis Perundingan Mukim dan Kampung.


PARA peserta kursus bersama pegawai-pegawai kanan Jabatan Penerangan semasa mendengarkan taklimat daripada Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.

Mereka juga berpeluang melawat ke Stesen Pertanian Perdayan serta mendengarkan taklimat bertajuk Ke Arah Mencapai Sara Diri Beras di Negara Brunei Darussalam yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Pembangunan Tanaman di Jabatan Pertanian, Dayang Fuziah binti Haji Hamdan.

Dari sana, para peserta kursus meneruskan lawatan ke Ladang Padi Perdayan bagi meninjau dengan lebih dekat jenis-jenis padi yang sedang ditanam di Daerah Temburong ketika ini.


PESERTA kursus semasa berada di Ladang Padi Perdayan.

Lawatan peserta kursus berakhir di Kampung Senukoh bagi meninjau kegiatan Satu Kampung Satu Produk di sana iaitu Projek Pelancongan ‘A Mesmerizing Traditional Lifestyle’, serta melawat Projek ‘Pembuatan Mee Kuning’ yang diusahakan oleh Biro Wanita Majlis Perundingan Kampung(MPK) berkenaan.

Turut hadir semasa lawatan ini, Ketua Kampung Senukoh, Awang Akbar@ Aliakbar bin Haji Abd. Hamid serta penduduk Kampung Senukoh.

PESERTA kursus mencuba aktiviti mengamping bersama penduduk Kg. Senukuh.

Semasa ditemui wakil PELITA BRUNEI, salah seorang peserta kursus, Awang Hafizudin bin Haminudin yang sedang menuntut dalam bidang perubatan di Universiti Otago, Australia, berkata beliau amat memandang tinggi kepada langkah proaktif yang diambil oleh pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khasnya melalui Jabatan Pertanian dan Agrimakanan dalam memastikan sekuriti makanan negara sentiasa terjamin melalui pelaksanaan pelan jangka pendek dan panjang pengeluaran beras negara.

Awang Hafizudin juga mengagumi pelaksanaan konsep Satu Kampung Satu Produk di seluruh negara yang menurutnya mampu mempelbagaikan lagi ekonomi negara.

Salah seorang peserta kursus, Awg. Hafizudin bin Haminudin penuntut bidang perubatan di Universiti Otago, Australia

Selain mengagumi keindahan hutan hujan Daerah Temburong yang menghijau, beliau juga memuji usaha yang dilaksanakan oleh MPK Senukoh yang mengekalkan keistimewaan dan kekayaan budaya masyarakatnya melalui Projek Pelancongan MPK tersebut yang mana menurut Awang Hafizuddin adalah langkah terbaik untuk mempertahankan jati diri bangsa kita selaku rakyat Negara Brunei Darussalam.

Selain turut serta dalam kegiatan kebudayaan seperti mengamping padi yang diadakan di Taman Rumah Budaya MPK Senukoh, para peserta kursus juga mencuba sendiri kegiatan yang ditawarkan menerusi pakej pelancongan MPK tersebut termasuk permainan-permainan tradisi.

(Berita dan Foto : Ampuan Roza Amalyati Ampuan Hussain)

Kembali ke muka utama