Ragam bahasa berbeza-beza antara seseorang atau sesuatu kelompok masyarakat dengan seseorang lain atau sesuatu kelompok masyarakat lain disebabkan beberapa kemungkinan. Dalam linguistik, seperti yang dihuraikan oleh Wardaugh (1986:10), ada beberapa teori yang memungkinkan ragam-ragam bahasa itu berbeza :
(i) Mengikut pendapat B.Bernstein. Pengalaman hidup seseorang mempengaruhi perkembangan bahasanya. Pengalaman hidup seseorang itu meliputi negeri asal tempat ia dilahirkan dan dibesarkan, kaum, agama, pendidikan, umur, status sosial dan sebagainya. Manakala pendapat Noam Chomsky beranggapan bahawa setiap manusia mempunyai sejumlah konsep bahasa yang sama (innate ideas), tetapi pengalaman hidup yang berbeza menyebabkan unsur-unsur bahasa penanda konsep-konsep bahasa itu berbeza antara seseorang atau sesuatu kelompok masyarakat atau sesuatu bangsa dengan yang lainnya.
(ii) Bahasa seseorang mempengaruhi perkembangan hidupnya. Sesuatu kelompok masyarakat atau sesuatu bangsa yang mempunyai unsur-unsur bahasa yang terhad (perbendaharaan kata dan aturan-aturan nahu) akan berkembang lebih lambat dibandingkan dengan sesuatu kelompok masyarakat atau bangsa termaju di dunia.
(iii) Ragam bahasa (maksudnya kekerapan penggunaan aturan-aturan nahu, penanda-penanda konsep nahu dan perbendaharaan kata) dan perkembangan hidup seseorang adalah saling mempengaruhi.
Laras (register) merupakan unsur yang penting dalam perkembangan bahasa. Laras merupakan suatu istilah yang digunakan untuk kelainan atau variasi bahasa yang dilihat dari sudut penggunaan berdasarkan latar belakang sosial penutur dan konteks sosial seseorang itu. Laras juga dikenali sebagai dialek sosial (Manap bin Hamsin 2006). Reid (1956) menjelaskan bahawa seseorang penutur dalam situasi bahasa yang berbeza-beza akan menggunakan laras mengikut situasi sosial yang berlainan. Beliau mendefinisikan konsep tersebut seperti yang berikut :
For the linguistic behaviour of a given individual is by no means uniform ; placed in what appear to be linguistically identical conditions, he will on different occasions speak (or write) differently according to what may roughly be described as different social situation; he will use a number of distinct 'register'. (Reid : 1956: 12).
Apa yang dimaksudkan oleh Reid ialah penggunaan bahasa yang berbeza mengikut situasi yang berbeza. Konsep ini sesuai dengan pandangan beberapa ahli bahasa misalnya Halliday (1968) dan Ure dan Ellis (1977). Halliday (1968) mendefinisikan laras sebagai variasi bahasa yang berlainan berdasarkan fungsinya. Halliday (1968) menjelaskan bahawa laras akan berubah-ubah mengikut situasi pertuturan. Oleh itu, penutur bahasa akan memilih satu daripada pelbagai variasi penggunaan yang terdapat dalam bahasanya untuk digunakan sesuai dengan situasi bahasa. Pilihan variasi inilah yang ditakrifkan sebagai laras.
Ure dan Ellis (1977) menganggap laras sebagai language patterning regularly used in a certain kind of situation, iaitu pola-pola penggunaan bahasa yang lazim digunakan dalam keadaan tertentu. Beliau mendefinisikan laras sebagai konvensi sosial yang ditentukan oleh manusia yang menggunakannya setelah dipersetujui bersama secara tidak rasmi.
Ure dan Ellis (1977) membahagikan laras kepada dua aspek, iaitu aspek linguistik dan situasi. Mereka selanjutnya mengkelaskan aspek linguistik kepada tiga aspek, iaitu dari segi penggunaan kosa kata, struktur ayat dan makna. Menurut mereka lagi, ketiga-ketiga aspek tersebut merupakan gabung jalin yang sangat penting dalam sesuatu proses komunikasi. Kosa kata merupakan unsur inti dalam percakapan. Kosa kata bagi sesuatu bahasa tidak terbatas jumlahnya. Hal ini demikian kerana setiap bahasa berkeupayaan untuk menyerap dan menerima pakai kosa kata daripada pelbagai bahasa lain. Kosa kata juga berperanan sebagai alat penyampai maksud atau makna dan dalam hal ini biasanya berbentuk suatu susunan kata yang mempunyai struktur yang khusus.
Dari aspek makna pula, Ure dan Ellis (1982: 185-191) mengatakan secara umum terdapat dua jenis makna yang dapat dilihat daripada ayat, iaitu makna denotasi dan makna konotasi. Makna konotasi merujuk kepada penggunaan bahasa yang bebas daripada konteks, manakala makna denotasi pula bermaksud terikat dengan konteks.
Sementara itu, tentang ciri-ciri situasi pula dibahagikan kepada dua unsur, iaitu situasi luaran dan situasi persekitaran. Situasi luaran yang berkaitan dengan latar belakang sosial dan kebudayaan sesuatu masyarakat bahasa, yang merangkumi juga struktur sosial dan keseluruhan cara hidup yang menentukan pelakuan-pelakuan anggota masyarakat. Bagi situasi persekitaran pula, terdapat empat aspek yang menjadi fokus, iaitu topik perbicaraan, hubungan dalam kalangan peserta komunikasi, cara penyampaian dalam komunikasi dan fungsi sosial berbahasa. Penggunaan laras yang berlainan juga penting dalam memupuk nilai penyesuaian diri seseorang dengan keadaan persekitarannya.
RUJUKAN
Hudson, Richard A. (1983). Sociolinguistics, Cambridge University Press.
Halliday, M.A.K. (1968). The users and Uses of Language dalam Linguistic Sciences and Language and Meaning Teaching. London: Longman.
Wardhaugh, Ronald. (1986). An Introduction to Sociolinguistics. Oxford: Basil Blackwell.
Reid, G.L. (1956). Varieties of English. London: Macmillan.
Ure, J. & Ellis (1977). Register in Descriptive and Linguistics Sociology dalam Uribe Oscar Wileeges (ed.), Issues in Sociolinguistics. New York: Mouton Publishers.
Kembali ke muka utama