Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Sabtu, 27 Februari 2010
13 Rabiulawal 1431

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

IKHLAS MEMBAWA KEBERKATAN

SEMPENA Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang kita besarkan dan rayakan di seluruh negara, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengingatkan seluruh lapisan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam tanpa mengira kedudukan dan peringkat akan sentiasa mengamalkan sifat ikhlas dalam kehidupan seharian. Dengan memakai 'pakaian ikhlas', insya-Allah kita akan benar-benar menjadi bangsa yang dirahmati dengan pelbagai nikmat dan kelebihan-kelebihan yang melimpah ruah dalam pelbagai bentuk. Namun jika kita mengabaikan dan tidak ikhlas dalam apa jua pekerjaan, perbuatan dan tingkah laku nescaya jawapan pasti akan menghumbankan kita ke lembah yang hina dan kecelakaan sama ada di dunia dan di akhirat.

Kita perlu memahami dari maksud perkataan ikhlas itu sudah menggambarkan ianya sangatlah baik dan membawa keberkatan. Dalam apa keadaan sekalipun perbuatan ikhlas adalah penawar atau ubat segala kepincangan. Ubat segala-galanya lebih-lebih dalam menjalankan bidang tugas, tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita. Dalam etika Perkhidmatan Awam sendiri menghendaki seseorang pekerja dan penjawat awam memiliki sifat-sifat yang ikhlas dalam melaksanakan apa jua kerja yang diamanahkan, kerana tanpa keikhlasan mudah saja bagi seorang pegawai dan kakitangan kerajaan itu menyelewang dan tidak jujur dalam mengungkayahkan sebarang perancangan dan projek-projek kerajaan. Kerana kalau kita perhatikan masa kini wujudnya pelbagai kepincangan dalam Perkhidmatan Awam, kerana tidak mempunyai nilai-nilai etika ikhlas yang membawa kepada rasuah, tidak amanah melakukan perkara-perkara yang di luar batas-batas kemanusiaan yang bertentangan dengan undang-undang dan peraturan-peraturan kerajaan dan negara. Jika seseorang itu benar-benar ikhlas, sudah barang tentu mereka/dia akan bersih dari segala macam perangai dan tabiat buruk seperti tamak, dengki, tidak amanah, rasuah dan seumpamanya.

Ingatlah peringatan Allah bahawa ikhlas itu adalah penawar atau ubat segala kepincangan dan 'penyakit masyarakat'. Kerana kalau menyebut ikhlas ianya bukan saja bermakna kita ikhlas sebagai Perkhidmatan Awam tetapi perlu merapusi segala-galanya baik sebagai anggota tentera, ahli sukan, ahli perniagaan, imam dan sebagainya. Pendek kata apa pun jawatan yang kita sandang baik di sektor kerajaan, swasta mahupun dalam persatuan-persatuan belia, mukim dan kampung sewajarnya kitani bersifat ikhlas dalam membuat sesuatu. Menghulurkan khidmat bakti secara sukarela tanpa meminta upah atau mengharapkan balasan juga merupakan sumbangan yang ikhlas dan mendapat pahala walaupun kita tidak memperolehi wang ringgit, kerana wang ringgit senang dicari, tetapi yang susah ialah mencari keikhlasan sejati. Yang penting kita mendapat rahmat daripada Allah. Memang benar balasan Allah Subhanahu Wata'ala tidak nampak secara mata kasar, namun nalurinya kitani akan merasakan segala nikmat kehidupan. Inilah janji Allah kepada mereka yang ikhlas yang melakukan segala keikhlasan.

Rahsia ikhlas itu amatlah agung dalam apa saja perkara yang kitani lakukan. Ia sangat berkat lagi dituntut bukan sahaja dalam beribadat, malahan juga dalam semua keadaan. Kita dituntut ikhlas dalam belajar dan dalam mencari nafkah seharian untuk anak-anak dan isteri serta keluarga kita. Dalam sebuah negara pula, kita diwajibkan ikhlas berkhidmat kepada nusa dan bangsa. Dalam bernegara dan berkerajaan pula selayaknya kita mengamalkan budaya-budaya ikhlas dan bukan budaya yang menyimpang dan menyeleweng. Jika mengamalkan dan mempraktikkan budaya negatif nescaya kita akan binasa dan negara akan menanggung kerugian yang bukan sedikit. Pendek kata apa pun pekerjaan yang kita lakukan semuanya menghendaki ikhlas. Tanpa ikhlas akan pahitlah natijahnya.

Islam sendiri menuntut umatnya supaya mencari untung dengan kebajikan bukan sebaliknya. Ingatlah keuntungan yang diraih dengan kebajikan, nilainya pasti tinggi dan lumayan berbanding yang didapat melalui kerja-kerja curang, tidak jujur dan amanah yang akan menghumbankan kita ke neraca kecelakaan di dunia mahupun di akhirat. Jawapan yang pasti dari keikhlasan dan keimanan kepada Allah akan menjadikan kita kuat dan mantap serta mempu menghadapi segala rintangan yang mendatang.

Oleh yang demikian sempena kita membesarkan Hari Maulud tahun ini, marilah kita bersama memakai pakaian ikhlas yang cantik lagi suci ini di hadapan Allah dan juga di hadapan semua insan supaya dengan itu nanti kehidupan kita akan dipenuhi keberkatan, dikasihi serta disenangi Maha Pencipta dan Makhluk-Nya. - Ketua Bahagian PELITA BRUNEI.


Kembali ke muka utama