Sementara tiga orang darinya dikeluarkan pas khas dan diarahkan untuk melapor semula ke bahagian tersebut dengan membawa pasport bersama.
Operasi bersempena Hari Kebangsaan Ke-26 dan sambutan Maulud Nabi itu menyasarkan rumah sewa di Kampung Bukit Salat, Sumbiling Lama, Kg. Sungai Kianggeh, Flat Jalan Tasek Lama dan bilik sewa bangunan kedai di Jalan Roberts.
Operasi yang melibatkan 56 orang anggota dari Bahagian Penguatkuasa JIPK, Bahagian Penguatkuasa Agama dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri diketuai oleh Pemangku Penolong Pengarah Imigresen, Pemangku Ketua Pegawai Imigresen Kanan Bahagian Penguatkuasa Undang-undang Jabatan Imigresen.
Dalam kenyataan Sidang Akhbar, Pemangku Penolong Pengarah Imigresen menjelaskan mana-mana warga negara asing yang melawat mahupun bekerja di negara ini supaya tidak menggunakan orang tengah yang menggelar diri mereka sebagai ejen, kononnya boleh membuat urusan bagi membuat penyambungan pas imigresen.
Dari pengalaman jabatan tersebut katanya, adalah didapati ejen berkenaan akan mengenakan bayaran yang tertentu bagi bayaran pengurusan.
Sebahagian ejen tersebut tambahnya akan hilang dan tidak menampakkan diri apabila terdapat masalah dengan pasport mereka dan ada di antaranya pasport tidak dikembalikan oleh ejen terbabit dan akan menimbulkan masalah kepada pemegang pasport atau menyebabkan pas imigresen mereka ini mansuh serta pemegang pasport berkenaan sendiri akan berdepan dengan tindakan undang-undang.
Seterusnya beliau menyatakan pihak majikan dinilai masih gagal menyediakan pekerja mereka tempat tinggal yang sesuai dan juga membekalkan kad pintar atau salinan pasport yang melindungi pas imigresen yang masih sah.
Ke arah menguatkuasakan undang-undang dan peraturan negara ini jelasnya, pihak JIPK meminta kerjasama orang ramai bagi memberikan maklumat berhubung dengan pesalah imigresen dan pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya.
Dalam memberikan kerjasama ini orang ramai boleh menghubungi talian hotline jabatan berkenaan : Bandar Seri Begawan 2383555, 2383777, Kuala Belait 3331879, 3341938, Temburong 5221222, 5221221, Tutong 4221977.
Tujuan operasi antara lain bagi menyatupadukan agensi penguatkuasaan di negara ini dengan mengongsikan maklumat bersama dan menguatkuasakan undang-undang dan peraturan masing-masing serta mengelakkan maklumat berganda.
Dalam masa yang sama pula operasi ini bertujuan mengenal pasti rumah dan bilik sewa yang berpotensi dijadikan tempat persembunyian pesalah imigresen dan juga kesalahan lain.
Kembali ke muka utama