Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
injauan
Sastera dan Budaya

25 TAHUN DI ARENA
ANTARABANGSA
Rencana Oleh : JAAFAR IBRAHIM
jaafar.ibrahim@information.gov.bn


CATAT SEJARAH …
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam
ketika bertitah sempena kemasukan Negara Brunei Darussalam
menjadi ahli ke-159 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
pada 21 September 1984.

SEJAK
mencapai kemerdekaan pada 1 Januari 1984 Negara Brunei Darussalam terus memainkan peranan yang cukup penting di arena antarabangsa. Dalam masa 25 tahun itu, penglibatan negara terus terserlah dengan memikul tanggungjawab bersama masyarakat global bagi mewujudkan keamanan dunia sejagat. Dalam apa jua isu-isu global, Negara Brunei Darussalam berperanan aktif bagi menyelesaikan sebarang pertikaian, kemelut politik, ekonomi sehingga membawa kepada isu-isu kemanusiaan. Brunei terus mendapat pengiktirafan dan dihormati, digalati serta disanjung tinggi oleh pemimpin-pemimpin dunia. Tegasnya dalam lebih dua dekad itu, negara terkenal dan termasyhur di seluruh pelusuk dunia baik di Timur mahupun di Barat.

Sebaik-baik saja mengetuk pintu dunia dengan pencapaian kemerdekaan, Negara Brunei Darussalam memasuki dan menjadi ahli-ahli kepada pertubuhan antarabangsa. Seminggu selepas mengecap kemerdekaan, tanggal 7 Januari 1984, kita menjadi ahli ke-6 Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) di Jakarta, Republik Indonesia. Seminggu selepas itu menjadi ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada 15 Januari 1984. Tanggal 21 Januari 1984, keupayaan dan kewibawaan kita terserlah apabila negara kita sebulat suara diterima menjadi ahli ke-159 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Menjadi ahli badan dunia adalah sesuatu yang menjadi cita-cita dan impian semua negara yang merdeka, kerana dengan memasuki badan tertinggi di peringkat antarabangsa, bermakna suara Brunei akan didengar serta kita boleh membahas isu-isu yang berhubung kait dengan keamanan dan keselamatan dunia sejagat. Negara Brunei Darussalam secara automatik menjadi ahli kepada Pertubuhan Komanwel pada 1 Januari 1984. Menyertai Pergerakan Negara-Negara

Berkecuali (NAM) pada tahun 1992. Selain daripada itu, negara juga menjadi ahli kepada Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 1989, Pertubuhan Negara-Negara Asia Eropah (ASEM), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta pertubuhan-pertubuhan dunia yang lain. Pendek kata, negara tidak ketinggalan dalam menjadi ahli kepada pertubuhan-pertubuhan serantau dan antarabangsa.

150 NEGARA

Dalam mengukuhkan hubungan persahabatan, negara kita telah menjalin hubungan diplomatik dengan 150 buah negara yang meliputi negara-negara ASEAN, merentasi negara-negara Timur Tengah, Asia, Asia Tengah, Asia Selatan dan terus menjalar ke Benua Eropah, Amerika Syarikat, Amerika Latin, Afrika dan juga negara-negara Carribean. Negara terakhir yang menjalin hubungan diplomatik ialah Republik Kenya pada 11 November 2008. Dengan terjalin hubungan diplomatik Negara Brunei Darussalam berupaya membina berbagai kerjasama baik secara dua hala mahupun berbagai hala. Penjalinan kerjasama itu setentunya meningkatkan imej negara di mata dunia antarabangsa, dalam waktu yang sama berupaya meningkatkan serta memperluaskan pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan dan stabil.

ERAT HUBUNGAN … Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Presiden Republik India, Puan Yang Terutama Pratibha Devisingh bersalaman semasa keberangkatan negara ke India pada 21 Mei 2008.

Lain-lain negara yang menjalin hubungan diplomatik ialah Afghanistan, Albania, Algeria, Angola, Argentina, Armenia, Australia, Austria, Azerbaijan, Bahrain, Bangladesh, Belarus, Belgium, Benin, Bosnia-Herzegovina, Brazil, Bulgaria, Burkina Faso, Kemboja, Kanada, Chad, Chile, Republik Rakyat China, Colombia, Comoros, Congo, Costa Rica, Cote D’Icoire, Croatia, Cuba, Cyprus, Republik Czech, Republik Demokratik East Timor, Denmark, Ecuador, Mesir, El Salvador, Eriteria, Estonia, Finland, Perancis, Gabon, Republik Persekutuan Jerman, Ghana, Great Britain, Greece, Guatemala, Guinea, Guinea-Bissau dan Guyana.

Hondrous, Hungary, Iceland, India, Republik Indonesia, Iran, Iraq, Ireland, Itali, Jepun, Jordan, Kazakhastan, Kenya, Kuwait, Republik Korea, Demokratik Republik Korea, Krygz, Laos, Latvia, Lubnan, Lesotho, Libya, Lithuania, Luxembourg, Macedonia, Madagascar, Malawi, Malaysia, Maldives, Mali, Malta, Kepulauan Marshall, Mauritania, Mauritius, Mexico, Micronesia, Moldova, Mangolia, Maghribi, Mozambique, Myanmar, Namibia, Nepal, Belanda, New Zealand, Nicaragua, Niger, Nigeria, Norway, Oman dan Pakistan.

Panama, Palestin, Papua New Guinea, Paraguay, Peru, Republik Filipina, Poland, Portugal, Qatar, Romania, Russia, Samoa, San Marion, Arabia Saudi, Senegal, Seychelles, Sierra Leone, Republik Singapura, Slovak, Slovenia, Solomon Island, Afrika Selatan, Sepanyol, Sri Lanka, Sudan, Surinam, Swaziland, Sweden, Switzerland, Syaria, Tajikistan, Tanzania, Thailand, Togo, Tonga, Tunisia, Turki, Turkmenistan, Ukraine, Uganda, Emiriah Arab Bersatu, Amerika Syarikat, Uruguay, Uzbekistan, Venezuela, Republik Viet Nam, Yemen, Zambia dan Zimbabwe.

KETOKOHAN KEBAWAH DYMM

Pemimpin dan raja yang kita kasihi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni A-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam merupakan pemimpin yang telah berjaya mengenalkan dan ‘memprojek’ imej negara di arena dunia antarabangsa. Sebaik-baik saja negara kita mengambilalih tanggungjawab antarabangsa pada tahun 1984, baginda dengan penuh bijaksana dan tanpa mengenal penat lelah telah berjaya membawa negara ke mercu kejayaan dan kegemilangan dalam arena susur galur politik dunia.

Dalam jangka masa 25 tahun, baginda telah dapat mengharumkan dan menaikkan imej negara. Penglibatan baginda di luar sememangnya hebat dan mendapat pujian dari pemimpin dunia termasuk negara-negara kuasa besar. Baginda saban tahun sama ada menghadiri mesyuarat/persidangan serantau/ antarabangsa serta mengadakan lawatan negara/rasmi/kerja tetap menjadi fokus utama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menyerlahkan dan mengangkat imej Negara Brunei Darussalam, di samping mengadakan hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala dengan negara-negara dunia.

BERTITAH … Baginda ketika berkenan bertitah di Majlis Santapan Negara yang disembahkan oleh Presiden Republik Filipina, Puan Yang Terutama Gloria Macapagal Arroyo sempena Lawatan Negara ke republik berkenaan pada Januari 2009.

Hasil daripada keberangkatan baginda itu, Negara Brunei Darussalam bukan sahaja kini dikenali tetapi tetap dihormati dan digalati. Kini di era global, bangsa Brunei telah boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan masyarakat dunia yang lain. Begitu juga peranan dan sumbangan Negara Brunei Darussalam di mata dunia semakin menyerlah dan mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Signifikannya keberangkatan ke luar negara itu telah membolehkan kita dan negara menjalin ikatan dan rangkaian kerjasama yang begitu menggalakkan sama ada secara dua hala mahupun berbagai hala. Kerjasama itu meliputi bidang ekonomi, perdagangan, pelaburan, pendidikan, kewangan, pertahanan, penerangan, penyiaran, kesihatan, pertanian, kebudayaan, perkhidmatan udara, pelancongan, sukan dan belia.

Sepanjang tahun 2008, baginda telah mengadakan keberangkatan ke luar negara sebanyak 14 kali. Antaranya Sidang Kemuncak OIC di Senegal; Sidang Kemuncak ASEM Ke-7 di Beijing, Republik Rakyat China; Sidang Kemuncak Ketua-ketua Ekonomi APEC di Republik Peru; Sidang Perundingan Tahunan Negara Brunei Darussalam - Malaysia di Johor Darul Takzim; Sidang Forum Demokrasi Bali di Republik Indonesia; Lawatan Negara ke Republik Indonesia; Lawatan Negara ke Republik India; Lawatan Kerja ke United Kingdom; Lawatan Kerja ke Republik Perancis; Lawatan Kerja ke Hawaii; Keberangkatan ke Kuala Lumpur, Malaysia; Keberangkatan ke Kedah Darul Aman, Malaysia; keberangkatan ke Kuching, Sarawak dan keberangkatan menghadiri Pembukaan Rasmi Sukan Olimpik di Beijing, Republik Rakyat China. Sehingga Februari 2009, baginda telah berangkat mengadakan Lawatan Negara ke Republik Filipina; Lawatan Kerja ke Kota Kinabalu, Negeri Sabah dan menghadiri Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Perak Darul Ridzuan.

Pendek kata hasil karisma dan kewibawaan baginda itu, negara-negara luar semakin yakin dengan kemampuan dan ‘talent’ negara kita. Ramai pemimpin dunia berduyun-duyun mengadakan lawatan ke bumi bertuah ini. Malah pemimpin-pemimpin kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Russia, Great Britian, Perancis dan Republik Rakyat China ‘menghormati’ ketokohan baginda dan mengiktiraf ‘leadership’ kepimpinan baginda yang berjaya meletakkan Negara Brunei Darussalam, bukan sahaja terkenal tetapi tersohor di mata dunia dengan buminya yang sentiasa aman makmur, sejahtera dan bahagia.

Semua yang kita capai adalah hasil kerja kuat baginda yang tidak mengenal erti penat lelah, apatah lagi putus asa tetapi sentiasa mempunyai visi dan fokus yang terarah bagi membawa Negara Brunei Darussalam ke mercu kegemilangan dan kejayaan agar setanding dengan negara-negara maju yang lain. Hasilnya nyata, sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1984, bumi Darussalam kini bermegah kerana telah setara dengan negara-negara merdeka yang lain.

TINGKATKAN KERJASAMA … Baginda bersama Perdana Menteri Britian, Yang Amat Berhormat Gordan Brown di 10 Downing Street, London sempena Lawatan Kerja baginda ke Britian pada 25 Jun 2008.

DASAR LUAR

Adalah menjadi dasar negara kita untuk terus mengadakan hubungan kerjasama dan persahabatan dengan negara-negara di dunia berasaskan prinsip-prinsip saling hormat-menghormati terhadap kemerdekaan dan kedaulatan wilayah yang bebas dari campur tangan hal ehwal dalam negeri. Ini bertepatan dengan titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Hari Kebangsaan pada 23 Februari 1987. Antara lain baginda bertitah: ”Adalah menjadi hasrat kerajaan beta untuk mempertingkatkan lagi persahabatan dan bidang kerjasama ekonomi dan sosial dengan negara-negara ASEAN dan semua negara-negara sahabat yang berlandaskan kepada prinsip saling hormat-menghormati terhadap kemerdekaan, kedaulatan dan persamaan dan integriti wilayah yang bebas dari campur tangan di dalam hal ehwal dalam negeri.

”Di peringkat antarabangsa, Negara Brunei Darussalam telah dan akan terus memainkan peranan yang aktif menurut kemampuannya jua. Negara Brunei Darussalam dengan tegas dan lantang tentang pendiriannya di forum-forum serantau dan antarabanga,” titah baginda di Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan baginda ke-41 tahun pada 15 Julai 1987.

Realitinya, kehadiran kita di forum-forum antarabangsa dan dalam rundingan di meja bulat bukan sahaja setakat menghadiri atau mencukupkan korum tetapi jauh di lubuk hati, peranan dan tanggungjawab negara kita amat besar serta mampu dan berupaya menyelesaikan dan menangani isu-isu dan kemelut politik yang menghantui dunia ketika ini bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa yang lain. Berdirinya kita di podium-podium antarabangsa telah memberikan sumbangan yang ‘bermakna, berharga dan bernilai’ terhadap keamanan sejagat.

Walaupun negara kita kecil tidak bemakna jiwa dan semangat kita juga kecil. Dasar yang kita jalankan di luar negara aialah ’dasar tuan sama tuan, dasar bersahabat dan duduk semeja, bukan dasar memperjudikan kepentingan-kepentingan nasional dan negara. Dasar luar kita tidak berubah malah jelas bahawa kita tidak mencampuri urusan dalaman negara luar bahkan sentiasa berpegang teguh dengan mengormati hak orang lain tanpa mengira fahaman dan ideologi. Kita akan selama-lama sentiasa berusaha pada meningkatkan lagi dialog dan kerjasama di antara semua negara yang menjadi teras dasar luar yang kita pegang dan amalkan selama ini.

ISU-ISU SEJAGAT

Peranan negara di arena antarabangsa semakin jelas bagi bersama membina dunia yang aman dan sejehtera. Malah pemimpin kita berkali-kali menyuarakan ketegasan mengenai dengan beberapa isu-isu ’panas’ sejagat yang kini semakin menjadi-jadi. Isu-isu global yang ditangani oleh dunia belum menampakkan tanda-tanda selesai bahkan semakin kompleks, bercelaru dan kadang-kadang kelam- kabut ditambah lagi dengan kuasa-kuasa besar yang sering mengamalkan ’double standard’ menangani isu antarabangsa. Realitinya, isu Palestin yang kini telah menjangkau empat dekad belum ada penyelesaian komprehensif malah kian genting yang terbaru keganasan tentera Israel menyerang Wilayah Gaza selama 22 hari yang mengorbankan lebih 1,200 nyawa yang tidak berdosa. Semua tanda-tanda menyulitkan lagi penubuhan sebuah negara Palestin yang diidamkan oleh dunia sungguhpun pelbagai usaha diplomatik dijalankan dan persidangan demi persidangan dilakukan, namun semuanya menemui jalan buntu. Hatta, PBB sendiri tidak dapat menyelesaikan kemelut yang sudah berlarutan lama.

Ketegasan negara kita dalam soal Palestin dapat dilihat semasa kemasukan bumi Darussalam dalam badan dunia pada 21 September 1984. Kebawah Duli Yang Maha Mulia menegaskan, ”Di Timur Tengah penafian terus-menerus hak yang sah bagi rakyat Palestin merupakan masalah di rantau itu. Negara Brunei Darussalam tetap dalam keyakinan bahawa satu penyelesaian yang adil dan kekal serta menyeluruh mestilah mengambil kira hak-hak yang sah rakyat Palestin untuk menentukan masa depan sendiri di tanah air mereka sendiri. Negara Brunei Darussalam menyertai negara-negara lain dalam menentang pendudukan Israel yang berterusan di Tanah Arab.”

Bagi kita ketegasan dalam kemelut Timur Tengah berkali-kali kita suarakan dalam persidangan dan forum-forum antarabangsa menerusi OIC, NAM, Komanwel, ASEAN dan PBB. Pendirian kita adalah jelas dan mengutuk sebarang keganasan dan penindasan terhadap hakhak rakyat Palestin. Begitu juga kita terus menyuarakan kebimbangan mengenai senario politik dan pergolakan di Iraq dan Afghanistan dan ketidakadilan di beberapa buah negara Afrika. Selain itu juga turut memfokus dan memandang serius mengenai isu-isu penyakit berjangkit, penyakit HIV-AIDS, gempa bumi, penularan senjata nuklear, alam sekitar, perubahan iklim, alam sekitar, kemiskinan, kebuluran dan serta peperangan yang berlaku di sesetengah dunia.

Mengenai kemiskinan, Negara Brunei Darussalam akan terus membantu program-program yang dihasratkan dapat membantu mengurangkan kemiskinan. Program Bertindak OIC merupakan aspek segera yang boleh membantu negara anggota mencapai pembangunan ekonomi dan sosial.

”Negara Brunei Darussalam berharap dapat membantu dalam bidang-bidang yang boleh menyediakan kerajaan-kerajaan dan rakyatnya dengan kemahiran-kemahiran, pengetahuan dan keupayaan untuk mereka lakukan,” tegas baginda di Sidang Kemuncak OIC Sesi Ke-11 di Senegal, 13 Mac 2008.

Bagi meringankan kesengsaraan yang ditanggung oleh masyarakat antarabangsa, negara menghulurkan sebarang bantuan yang termampu. Dalam erti kata yang lain kita tidak ’buta mata’ serta memejamkan mata dan memekakkan telinga terhadap penderitaan orang lain akibat bencana alam, gempa bumi dan lain-lain tragedi malapetaka alam. Kita tidak ketinggalan malah terus bersedia menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin, Afghanistan, Pakistan, Bosnia-Herzegovina, Iran, Bangladesh dan Negara-Negara Asia Tenggara yang ditimpa musibah Tsunami pada tahun 2004 yang mengorbankan lebih 200 ribu nyawa.

Polemik krisis kewangan global yang menghambat dunia sejak 2008 amatlah dirasakan dunia yang telah menjerumuskan kejatuhan ekonomi global. Fenomena yang paling hebat sejak 30 tahun yang lalu akan berlarutan sehingga 2010. Ini setentunya sesuatu yang menakutkan kepada semua negara termasuk negara kita. Bahang krisis ekonomi global amatlah terasa ditambah lagi dengan kenaikan harga barang keperluan harian yang menghambat kehidupan masyarakat antarabangsa khususunya negara-negara yang ’dilabelkan’ sebagai miskin. Di persimpangan ini, Negara Brunei Darussalam dengan kemampuan yang ada akan sentiasa menyumbang ke arah proses integrasi ekonomi serantau dan juga memperluaskan sistem perdagangan multilateral.

BARISAN PEMIMPIN APEC … Baginda bersama para pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) bergambar kenangan di Mesyuarat Ketua-ketua Ekonomi APEC di Peru pada November 2008.

Dalam hal ini, pemimpin kita, semasa menghadiri Sidang Kemuncak APEC Ke-16 di Peru, November lalu telah menegaskan bahawa dalam menangani apa jua cabaran dunia global, kerjasama dan koordinasi yang berterusan amat penting di kalangan masyarakat serantau dan antarabangsa dan Brunei bersedia dengan hati terbuka untuk bekerjasama bagi menangani masalah dan kesan krisis kewangan global ke atas ekonomi dunia.

DIHORMATI

Sikap kesederhanaan dan peranan kita di arena antarabangsa sepanjang 25 tahun amatlah dihormati jiran tetangga serta negara-negara sahabat yang jauh mahupun yang dekat. Bahkan realitinya kita semakin disanjung, dihormati dan disegani bangsa-banga lain. Senario inilah yang membuatkan orang luar ’terpikat dan tertawan’ datang berurusan dengan kita, sambil melahirkan kekaguman melihat kesejahteraan yang rakyat nikmati. Inilah sebenarnya negara kita yang penuh dengan keunikan yang mengamalkan sistem beraja sejak berkurun-kurun dan menjadikan Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai falsafah negara yang unggul dan tunggal wujud di dunia.

Sesungguhnya kita amat beruntung bernegarakan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh seorang raja yang berwibawa, berkaliber dan berkarisma yang bukan sahaja mengambil berat terhadap nasib untung rakyatnya bahkan jauh dari itu melangkaui untuk menabur jasa kepada masyarakat antarabangsa.

Peranan Negara Brunei Darussalam di peringkat antarabangsa amatlah signifikan. Kita turut secara langsung dalam mewujudkan dunia yang aman damai. Selaku bangsa yang mempunyai prinsip cintakan perdamaian dan menghormati hak-hak asasi manusia, kita sama sekali menolak sebarang bentuk kekejaman dan penindasan terhadap sesama insan. Dasar kita adalah sentiasa mengutamakan prinsip kerjasama, muzakarah, bermuafakat dan mengamalkan ’duduk semeja’ dalam meleraikan apa jua isu dan kemelut yang berbangkit. Semogalah Sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang akan kita rayakan pada 23 Februari 2009 ini terus menjadi ’platform’ bagi negara kita lebih komited, lebih prihatin terhadap keamanan dan keselamatan pola dunia serta lebih berani mengharungi cabaran-cabaran yang ditimbulkan oleh globalisasi dengan meningkatkan daya saing bangsa bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dan kemajuan Negara Brunei Darussalam yang tercinta khususnya dalam mendepani gerbang Wawasan Brunei 2035.


SYIAR ISLAM TERAS KEUTUHAN NEGARA
Rencana Oleh : ZABAIDAH HAJI SALAT
zabaidah.salat@information.gov.bn

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah,
Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Ulil Amri di negara ini,
mengiktiraf sumbangan rakyat baginda yang banyak berjasa kepada perkembangan dan keteguhan syiar Islam
di negara ini dengan mengurniakan Anugerah Bakti Hijrah.

NEGARA Brunei Darussalam sebagai ‘Negara Zikir', begitulah hasrat pemimpin yang kita kasihi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang mahukah negara yang sama-sama kita cintai ini menjadi sentiasa dihiasi dengan Ar-Rahman dan sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.

“Beta, insya-Allah akan terus berazam untuk menjadikan Brunei Darussalam sebuah ‘Negara Zikir’ yang sentiasa mengagungkan Allah, supaya kita selalu berada dalam perhatian dan pemeliharaan-Nya, sesuai dengan janji-Nya di dalam Surah Al-Baqarah ayat 152, tafsirnya : “Kamu ingati Aku, nescaya Aku akan mengingati kamu pula.”

Demikian antara titah baginda sempena Hari Raya Aidiladha Tahun 1428 Hijrah/2007 Masihi yang mahukan negara ini sentiasa dalam keamanan dan di bawah lindungan-Nya.

Titah baginda itu bertepatan dengan syiar Islam yang memang telah bertapak berabad-abad lamanya di Negara Brunei Darussalam dan telah menjadi amalan dan pegangan lebih 90 peratus rakyat dan penduduk di negara ini. Agama Islam juga telah dijadikan sebagai agama rasmi negara menurut akidah Ahli Sunnah Waljamaah, manakala Mazhab Syafie yang dihayati menjadi cara hidup yang lengkap, sempurna dan unggul.

Berdasarkan kenyataan itu bahawa agama Islam itu bukan sahaja dijadikan sebagai agama rasmi negara, malah pegangan akidah Ahli Sunnah Waljamaah juga dijadikan sebagai pegangan rasmi masyarakat Islam di negara ini.

Kini setelah 25 tahun Negara Brunei Darussalam merdeka, syiar Islam tetap utuh dan kukuh dibawah pimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, manakala fahaman Ahli Sunnah Waljamaah yang dijadikan sebagai pegangan hidup masyarakat Islam di negara ini ternyata telah dapat menyatupadukan ummah dan mewujudkan suasana harmoni dan stabil.

NEGARA ZIKIR JADI WAWASAN

'Negara Zikir' yang menjadi wawasan negara adalah bermakna kita sebagai umat Islam wajib mengingati dan menyebut nama Allah, mentaati suruhan dan tegahan- Nya, mensyukuri nikmat- Nya dan tidak menkufuri- Nya. Dengan adanya ilmu dan keyakinan, didorong dengan keimanan dan ketakwaan kepada-Nya sebagai syarat utama untuk mendapat kurnia Allah yang berupa kemakmuran hidup, keamanan dan ketenteraman serta kesejahteraan yang berpanjangan.

Azam Kebawah Duli Yang Maha Mulia itu adalah merupakan gagasan dan wawasan untuk menyuburkan kefahaman tentang 'Negara Zikir' dan ciri-cirinya iaitu sesuai dengan wawasan baginda selaku Waliul Amri, Sultan dan Yang Di-Pertuan yang wajib ditaati. Kesedaran dan wawasan baginda ini menyuburkan kefahaman sebagai sebuah 'Negara Zikir' dengan didukung kesedaran bahawa Brunei perlu berjaya membangun dan maju, kekal aman tenteram dan makmur dengan sentiasa mengingati zikrullah dan sentiasa menyebut-nyebut nama Allah; ingat akan kekuasaan dan keagungan-Nya, bahawa tiada Tuhan melainkan Allah Subhanahu Wata'ala dan Nabi Muhammad adalah Rasul-Nya.

'Negara Zikir' ialah negara yang bangsa dan masyarakatnya sentiasa ingat kepada Allah Subhanahu Wata'ala dalam berfikir dan bertindak di mana misinya untuk menjadi umat terbaik.

KHUTBAH Jumaat yang berkisar mengenai perkembangan semasa yang berunsur nasihat dan sebagainya dibacakan oleh khatib atau pegawai agama.

Hasrat untuk menjadikan negara ini sebagai ‘Negara Zikir' telah terbukti dilakasanakan di negara ini, sama ada secara individu ataupun berkumpulan seperti aktiviti-aktiviti keagamaan yang dikendalikan oleh pihak kementerian- kementerian, sekolah-sekolah, masjid- masjid khususnya belia-belia masjid, kampung-kampung, persatuan-persatuan dan pihak individu.

Menghayati 'Negara Zikir' yang menjadi tema sempena Majlis Ilmu 2008 juga merupakan bukti acara kenegaraan yang menitikberatkan ajaran Islam agar kita sentiasa mengi ngati Yang Maha Kuasa, Allah Subhanahu Wata'ala. Di Majlis Ilmu itu pelbagai aktiviti diadakan seperti Ceramah Khas dan Ceramah Majlis Ilmu; Seminar Negara Zikir di samping Pameran Majlis Ilmu.

Hasrat untuk menjadi Negara Zikir bukan saja patut ditanai oleh pemimpin atau Ulil Amri tetapi oleh semua umat Islam di negara ini khususnya para pegawai dan kakitangan kerajaan juga perlu mempunyai sifat-sifat kepimpinan yang betul dan berkesan yang menjayakan ‘Negara Zikir’.

Di samping itu belia zikir juga boleh dilahirkan kerana golongan belia adalah golongan yang produktif ke arah membentuk keluarga baik dari kuantiti mahupun kualitinya. Dalam konteks ini, masyarakat dapat melahirkan belia zikir dengan sentiasa ingat Allah dalam berfikir dan bertindak, nescaya ianya akan melahirkan warga bangsa yang berjaya mengikut kaca mata Islam atau dalam kata lain akan melahirkan umat terbaik. Tatkala belia zikir dapat dilahirkan sudah tentu 'Negara Zikir' dapat dilahirkan.

Belia zikir yang menghayati ajaran Islam dalam kehidupan dan mempunyai pegangan hidup (akidah) yang mantap, pengurusan hidup (ibadat) yang ikhlas dan penuh teratur, mempunyai etika hidup (akhlak) yang murni sahaja akan membolehkan mereka menghadapi cabaran globalisasi seperti menegakkan amar makruf nahi mungkar, memiliki jati diri; berperanan di peringkat lokal dan global dan mencipta ketamadunan.

Dalam Resolusi Seminar Majlis Ilmu 2008 telah menjelaskan bahawa Negara Brunei Darussalam memang berpotensi menjadi ‘Negara Zikir’ yang maju dan dinamik, mewah, makmur, aman dan tenteram serta sejahtera yang berdasarkan pemeliharaan terhadap penjagaan agama, akal, nyawa, keturunan dan harta.

Dari perspektif pendidikan pula kewujudan Negara Brunei Darussalam sebagai ‘Negara Zikir’ yang berkekalan akan dapat direalisasikan dengan usaha penelitian dan pembaikan yang berterusan terhadap sistem pendidikan di negara ini.

Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan berperanan untuk bekerjasama dan meneliti secara terperinci bagi melahirkan generasi zikir yang syumul, beriman, bertakwa, berkapakaran, berilmu dan global.

PERTANDINGAN MEMBACA AL-QUR'AN

Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan yang diadakan sejak pemerintahan AlMarhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien lagi membuktikan bahawa syiar Islam memang telah lama utuh di negara ini. Pertandingan ini diteruskan di bawah kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan menjadi aktiviti keagamaan peringkat negara setiap tahun sehingga ke hari ini.

Bagi meningkatkan mutu pembacaan dan kemahiran para qari dan qariah di negara ini dalam bidang Al-Qur'an, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah menyusun dan mengadakan berbagai kursus dan bengkel khusus dalam bidang pengajian Al-Qur'an. Antaranya seperti Kursus Mempertingkatkan Bacaan Al-Qur'an dan Qira’at Peringkat ‘Aliyah dan Bengkel Pendedahan Ke Arah Tilawah dan Qira’at Yang Tepat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia sendiri pernah bertitah supaya setiap individu Muslim di negara ini pandai membaca Al-Qur'an.

“Kita berhasrat supaya setiap individu Muslim pandai membaca Al- Qur'an. Setalah pandai, kita berkewajipan pula untuk membiasakan diri membacanya dan jika boleh biarlah pada setiap hari. Sebab kita mahu supaya Al-Qur'an itu benar-benar bertakhta di hati sanubari kita.” Titah baginda di Majlis Pertandingan Membaca Al-Qur'an Bahagian Dewasa, Peringkat Akhir Kebangsaan Bagi Tahun 1429 Hijrah/2008 Masihi.

Majlis Al-Qurra’ juga merupakan satu usaha untuk menghasilkan qari dan qariah yang bermutu tinggi di negara ini. Penubuhan majlis ini dihasratkan untuk melahirkan kumpulan pembaca-pembaca Al-Qur'an yang menepati sebagai qari dan qariah yang menguasai ilmu seni pembacaan Al-Qur'an dengan sempurna sehingga negara ini mempunyai sekumpulan qari dan qariah yang menguasai dengan sepenuhnya ilmu-ilmu Al-Qur'an termasuk seni tilawah ayat-ayat Al-Qur'an.

Bagi memelihara keaslian Al-Quran iaitu melalui hafalan orang-orang Islam, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah mengadakan satu peraturan yang digelar “Peraturan Kursus Hafaz Al-Quran 1980 dengan tujuan: Pertama: Untuk mengadakan orang Brunei hafaz Al-Quran bagi menunaikan Fardu Kifayah. Kedua: Menambah bilangan tenaga mahir dalam bidang Al-Quran dan ketiga: Bagi menyediakan, menambah lebih ramai yang berpengetahuan di bidang agama, khususnya hafaz Al-Quran. Peraturan tersebut walaubagaimanapun dikemaskinikan dengan peraturan baru yang digelar “Peraturan Menghafaz Al-Quran” Kementerian Hal Ehwal Ugama 1990. Sementara pada tahun 1993 baginda juga telah memperkenankan penubuhan sebuah institusi menghafaz Al-Quran yang dinamakan “Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah”.

Kursus Skim Kefahaman Al-Quran yang dianjurkan oleh Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran (PPPQ) dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITAQSHHB) tahun lepas (2008) satu lagi bukti bahawa syiar Islam terus utuh di negara ini. Kursus ini bertujuan meningkatkan kesedaran umat Islam untuk memahami kandungan Al-Quran dalam pelbagai aspek di samping memberikan maklumat yang tepat terhadap pelbagai isu dan salah tangapan mengenai kandungan Al-Quran di era globalisasi. Di samping itu bagi menyiapkan generasi penerus yang berjati diri serta mampu memahami,menghayati dan mengamalkan nilai-nilai ajaran Islam secara utuh bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah dalam segala aspek kehidupan.

Melalui Kursus Skim Kefahaman Al-Quran ini juga akan dapat mewujudkan pentadbiran yang dinamik, professional dan sistematik serta menyerlahkan system perundangan dan kehakiman Islam dalam menegakkan keadilan.

Sasaran utaman skim tersebut ialah orang ramai pada umumnya serta pegawaipegawai dan kakitangan awam dan swasta yang telah bersara, pegawai-pegawai dalam perkhidmatan dan pengurusan hal ehwal ugama seperti pegawai-pegawai di Kementerian Hal Ehwal Ugama dan kepada lain-lain kumpulan sasaran. Dengan adanya kursus skim ini diharap akan dapat mewujudkan masyarakat yang menghayati Al-Quran dan menjadikannya sebagai panduan dan peraturan hidup serta melahirkan generasi yang benar-benar memahami Al-Quran.

Penubuhan UNISSA dan KUPUSB

SSebagai sebuah negara kecil yang sedang membangun,Negara Brunei Darussalam tidak mengabaikan pembangunan insan dalam erti yang seluas-luasnya. Wadah pembangunan tersebut ialah bidang pendidikan, di mana bidang ini terus dipupuk, disuburkembangkan, unggul dan tegak selari dengan aspirasi bangsa.

Bagi tujuan itu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengumumkan penubuhan Universiti Islam Sultan Sharif Ali iaitu sebuah universiti Islam dan universiti kedua di negara ini.

“Universiti ini kita hasratkan akan menjadi mercu kegemilangan Islam di negara kita, dan insya-Allah ia akan turut berperanan melahirkan para ulama dan cendekiawan yang berwibawa yang diperlukan oleh negara., titah baginda sempena Tahun Baru Masihi 2007.

Pengambilan pertama pelajar untuk universiti tersebut telah dibuat pada bulan Ogos 2007. Dengan tertubuhnya UNISSA, maka peluang-peluang bagi mendalami dan menguasai ilmu keagamaan khasnya akan dapat diraih dengan sempurna dan dengan sendirinya syiar agama Islam akan terus bersinar di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Setia Dr.Haji Mohammad ketika menutup Seminar Pengajian Tinggi Islam anjuran UNISSA sempena penubuhannya menjelaskan bahawa ada lima faktor utama untuk membangunkan sebuah pusat pengajian tinggi Islam. Pertama: Menyediakan program akademik yang berkualiti. Kedua: Pengambilan tenaga akademik yang berkelayakan dan berkualiti.Ketiga: Pengambilan pelajar yang berkualiti. Keempat: Kepimpinan yang berkualiti Kelima: Prasarana berkualiti yang akan dapat membantu melahirkan produk yang berkualiti.

Satu lagi perkembangan yang amat membanggakan dalam meninggikan syiar Islam di negara ini ialah bila mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah memperkenankan dan seterusnya mengumumkan bahawa Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan yang telah berusia lebih 30 tahun di tingkatkan tarafnya menjadi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), yang dihasratkan bagi mengeluarkan Diploma dan Ijazah.KUPUSB juga telah memulakan kursus pertamanya pada awal bulan Ogos 2007.

Objektif penubuhan Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan ialah untuk menghasilkan sumber tenaga guru ugama tempatan, agar kita tidak selamanya bergantung kepada tenaga luar semata-mata, dan hasrat ini telah berjaya dicapai. Manakala dengan meninggikan taraf maktab berkenaan kepada KUPUSB, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia,bukan saja memenuhi keperluan Brunei sendiri, malahan juga bersedia untuk membuka pintunya kepada pemohon-pemohon daripada luar negara.

Perkembangan dan peranan masjid-masjid

Ratusan buah masjid, surau dan balai-balai ibadat yang dibina dinegara ini merupakan lambang kekukuhan agama Islam. Anugerah Takmir Masjid yang diadakan sempena Sambutan Israk dan Mikraj hampir setiap tahun merupakan pengiktirafan yang tinggi terhadap peranan masjid di negara ini. Dalam hal ini peranan dan tanggungjawab pegawai-pegawai masjid juga amat penting dalam mentakmirkan masjid.

MASJID lambang kekukuhan syiar Islam. Ia bukan sahaja dijadikan sebagai rumah ibadat tetapi juga berfungsi dalam pelbagai bidang.

Masjid bukan sahaja sebagai rumah ibadat tetapi juga berperanan dan berfungsi dalam pelbagai bidang seperti sebagai Pusat Khidmat Nasihat dan Bimbingan. Seperti memberikan bimbingan kepada mereka yang memerlukan seperti mereka yang menghadapi masalah terutama dalam hal-ehwal kegamaan. Di sini menunjukkan bahawa masjid juga menjadi pusat rujukan hal-ehwal keagamaan kepada masyarakat, dan membantu masyarakat dalam memberikan khidmat nasihat termasuklah masalah kekeluargaan.

Di sini peranan pegawai-pegawai masjid lebih mencabar dan memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk memberikan kefahaman ajaran Islam yang murni kepada masyarakat bagi menangkis dan menghindarkan mereka dari ajaran-ajaran yang menyeleweng dari ajaran Ahli Sunnah Waljamaah baik dari segi akidah, ibadah dan amalan kehidupan harian.

Sangat membanggakan ketika ini, masjid-masjid juga telah memberi perhatian kepada aktiviti remaja dan belia serta berbagai-bagai program dan rancangan khusus untuk mereka seperti syarahan dan membaca khutbah; Pertandingan Kuiz Keagamaan; Pertemuan Belia Masjid Peringkat Zon, Mukim, Daerah dan Negara; Program Minal Masjid Ilal Masjid; Minggu Mencintai Masjid dan Qiamul Lail dan berbagai-bagai program dan rancangan yang giat dilaksankan, samada secara mingguan, berkala dan bermusim.

Program dan rancangan tersebut antaralain bertujuan untuk melahirkan belia-belia yang beriman lagi bertakwa, berilmu dan berakhlak, belia yang bertanggungjawab serta mempunyai komiten yang tinggi kepada masjid, dan mempunyai sifat mencintai masjid. Aktibiti-aktibiti serta usaha-usaha berkebajikan tersebut akan berterusan dari masa ke semasa, bagi menjadikan mereka generasi penerus dan pemimpin yang berwibawa di masa akan datang. Kerana belia-belia masa kini amat terdedah kepada pengaruh-pengaruh negatif arus dunia moden dan globalisasi.

AMALAN bertadarus di kalangan umat Islam yang dianjurkan oleh pelbagai pihak membuktikan keutuhan syiar Islam di negara ini.

Peningkatan memeluk Islam

Syiar Islam terus bersinar di negara ini bilamana hampir setiap tahun jumlah saudara-saudara baru yang memilih agama Islam sebagai pegangan hidup semakin meningkat. Contoh pada tahun lepas sahaja (2008) seramai 450 orang telah memeluk Islam, di mana 180 daripadanya orang tempatan, 178 lagi pemegang kad pengenalan hijau dan 92 orang merupakan penduduk tetap atau pemegang kad pengenalan ungu.

Menurut Pusat Da’wah Islamiah Kementerian Hal Ehwal Ugama golongan wanita adalah yang paling ramai memeluk Islam tahun lepas iaitu seramai 207 orang, sementara lelaki 172 orang iaitu termasuk kanak-kanak. Manakala puak Iban merupakan golongan yang paling ramai memeluk Islam dengan jumlah 121 orang, diikuti puak Dusun seramai 104,puak murut 10 orang, warga Thailand 8 orang dan 3 orang bangsa Eropah.

Daerah Brunei dan Muara mencatatkan daerah paling tinggi memeluk Islam iaitu seramai 200 orang, Kuala Belait 122 orang, Daerah Tutong 103 orang dan Daerah Temburong 22 orang.

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan akidah Sunnah Waljamaah dan Mazhab Sya’fie sebagai cara hidup, pemimpin, rakyat dan penduduk di negara ini terutama umat Islam juga sentiasa memberigakan hari-hari kebesaran Islam dengan pelbagai acara keagamaan. Antaranya termasuklah Sambutan Tahun Baru Hijrah; Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam; Sambutan Isra’ dan Mikraj; Sambutan Nuzul Ak-Quran; Sambutan Hari Raya Aidilfitri; Sambutan Hari Raya Aidil Adha dan lain-lain aktibiti keagamaan seperti Majlis Pertandingan Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa; Musabaqah Tilawatil Qur’an Belia Asia Tenggara dan lain-lain aktibiti keagamaan.


MENYERLAH DI PERSADA SUKAN ANTARABANGSA
Rencana Oleh : HAJI AHAT HAJI ISMAIL
ahat.ismail@information.gov.bn

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berbual mesra dengan pemain-pemain boling negara semasa Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah Sukan SEA Ke-20 pada tahun 1999.

MESKIPUN pencapaian mutu sukan Negara Brunei Darussalam tidak sehebat Amerika Syarikat, Republik Rakyat China, Jepun, Republik Korea mahupun Republik Indonesia dan Thailand di rantau Asia Tenggara, namun negara yang baru mencapai kemerdekaan 25 tahun ini berjaya melahirkan beberapa atlet yang boleh dikategorikan bertaraf dunia.

. Tanpa pengalaman yang luas serta kebolehan yang terbatas, mereka mampu memberikan saingan sengit di pentas antarabangsa ketika membawa cabaran kontinjen negara, sama ada di temasya sukan serantau mahupun antarabangsa dengan semangat yang jitu.

Kecekalan dan semangat inilah menjadi kunci kepada kejayaan sebagaimana yang pernah dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa bertitah di Majlis Meraikan Ahli-ahli Sukan Negara yang menyertai Sukan Asia Tenggara (SEA Games) Ke XX bertitah, “Apa yang kita juga pentingkan ialah keazaman yang kuat, yang membolehkan kita bertanding dengan penuh yakin dan bersungguh-sungguh.”

Baginda menambah titah, “Kepada ahli-ahli sukan negara, teruskanlah berlatih untuk menyertai temasya sukan antarabangsa yang akan datang. Jadikanlah pengalaman Sukan SEA Ke XX sebagai wadah untuk meningkatkan lagi pencapaian kita.”

Saranan titah baginda itu nampak terbukti sebagaimana yang telah dilakukan oleh Muhd. Khairul Bahrin Durahman yang merangkul pingat emas Kelas ‘A’ Putera, di Kejohanan Pencak Silat Remaja Sedunia di Hanoi, Viet Nam.

Di samping memperolehi emas pada kejohanan tahun 2000 itu juga para pesilat merangkul perak melalui Muhammad Amin Kelas ‘H’ Putera, manakala Ak. Muhammad Shukri dan Nasyran Musrif meraih gangsa Kelas ‘B’ dan ‘C’ sementara, Nurulain Rawaiah Haji Raub memperolehi gangsa acara Seni Tunggal Puteri.

Kejayaan pesilat remaja itu disusuli dengan memperolehi tujuh gangsa di Kejohanan Silat Sedunia di Jakarta melalui Umi Kalthum Abdul Karim, Ak. Khairul Alimin Pg. Haji Mohammad, Rudy Haji Adinin, Ramlee Haji Jaludin dan Norhayati Haji Othman. Sementara Rosida Haji Lamit, Noranisah Haji Ali dan Dk. Rosmawati Pg. Haji Badaruddin masing-masing membawa pulang gangsa acara Seni Berpasukan Puteri.

UNGGUL ... Haji Naim Brahim (tengah) banyak mengukir nama dalam aksi-aksi sukan boling padang peringkat serantau dan antarabangsa.

Menembak juga mengukir kejayaan cemerlang apabila penembak skeet negara, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Hakeem mencatatkan sejarah sebagai orang pertama negara ini layak beraksi di Temasya Sukan Olimpik Ke-100 Atlanta, Amerika Syarikat tahun 1996.

Selain layak ke Sukan Olimpik, Yang Amat Mulia juga menyertai Sukan Komanwel di Kuala Lumpur, Malaysia 1998 dan meraih perak di Sukan SEA 1999 di Negara Brunei Darussalam dan gangsa Sukan SEA di Republik Singapura 1993.

Sukan boling padang juga menempa banyak kejayaan selepas emas pertama berjaya dirangkul oleh Pengiran Tengah pada Temasya Sukan SEA Ke XX 1999. Kejayaan demi kejayaan banyak dicapai pada temasya sukan tersebut, mendorong barisan Boling Padang melangkah lebih jauh hingga kepada aksi di Kejohanan Peringkat Asia Ke-2 di Republik Filipina 2002, dengan sebutir emas diraih melalui Abdul Rahman Haji Omar bagi perseorangan lelaki.

Di kejohanan yang sama itu juga sebutir perak dari gandingan berpasukan lelaki dan tiga gangsa melalui berpasangan lelaki, fours lelaki dan fours wanita.

Pada Kejohanan Boling Padang Lima Penjuru di Sarawak, skuad boling padang menduduki tempat ketiga di atas Hong Kong dan Malaysia dengan membawa pulang tiga emas, satu perak dan satu gangsa.

Apa yang lebih membanggakan bagi Boling Padang ini ialah kelibat Haji Naim Brahim yang bukan saja pernah merangkul emas di Sukan SEA Ke XXlll 2005, malah terdahulu sebelum itu beliau satu-satunya atlet negara telah terpilih mewakili benua Asia, beraksi menentang Eropah selain juga beraksi di kejohanan peringkat Asia, Sukan Komanwel dan Asia Pasifik.

PARA atlet dari sukan boling padang karatedo, olahraga dan Silat terpilih menyertai Projek Gold yang pertama dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (sekarang Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Dewa Mejar Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Awang Mohammad.

Kejayaan - kejayaan yang disebutkan itu hanyalah sebahagian yang dapat disorot dalam menghimbau kecemerlangan atlet sepanjang 25 tahun negara merdeka. Kejayaan ini merupakan usaha gigih Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), Persatuan-persatuan Sukan Kebangsaan dan juga atlet sendiri yang menjalani pelbagai latihan dan pro- gram pembangunan sukan negara.

Program dan pelbagai skim disusun dengan dikendalikan oleh jurulatih yang bermula di peringkat remaja seperti Skim Bola Sepak, Sepak Takraw, Badminton, Pencak Silat (Silat Olahraga), Renang, Karatedo, Olahraga dan beberapa sukan yang lain.

Melalui skim-skim ini, para atlet remaja didedahkan di Pesta Sukan Remaja kemudian melangkah jauh menyertai sukan serantau, Sukan Borneo, Sukan Malaysia (SUKMA) dan Sukan Arafura di Darwin, Australia.

Penyertaan di sukan- sukan serantau inilah menyerlahkan bakat serta kebolehan mereka untuk terus digilap ke Pesta Sukan Kebangsaan dan seterusnya mewakili kontinjen negara ke Temasya Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Kejohanan-kejohanan Sukan Antarabangsa.

Jika diimbas penyertaan awal negara ke Temasya Sukan SEA hanyalah bermotifkan mencari pendedahan dan pengalaman dengan hanya memperolehi tiga gangsa di Sukan SEA 1977 Kuala Lumpur, satu perak di Sukan SEA 1979 Republik Indonesia, gagal memperolehi pingat di Sukan SEA 1981 Republik Filipina, lima gangsa di Sukan SEA 1983 Bangkok, Thailand dan tiga gangsa di Sukan SEA 1985 Republik Singapura.

Lima edisi Sukan SEA disertai itu hanya memperolehi sebutir perak, selebihnya gangsa. Pencapaian pingat-pingat kemudian meningkat sebaik saja menyertai Sukan SEA 1987 di Jakarta, Republik Indonesia dengan membawa pulang sebutir emas acara Silat Olahraga dan sebutir emas lagi diraih pada Sukan SEA di Kuala Lumpur Malaysia 1989 acara menembak.


SOKONGAN PADU … Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada para atlet negara bergambar ramai dengan pemenang pingat perak Sukan SEA Ke- 24 dalam acara silat, Dayang Norleyermah Haji Raya.

Pada penyertaan di Manila Republik Filipina 1991, menurun dengan hanya meraih lapan gangsa sementara di Sukan SEA Republik Singapura 1993 mendapat sebutir emas acara Silat Olahraga dan di Sukan SEA 1995 Chiang Mai Thailand gagal memperolehi emas dan hanya ketika Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah Sukan SEA Ke XX 1999 baru berjaya meraih empat emas, 12 perak dan 30 gangsa.

Selepas cemerlang digelangang sendiri, pencapaian pada edisi SEA Games ke XXl di Kuala Lumpur menurun semula dan gagal membawa sebarang pingat emas. Disusuli pula SEA Games XXll di Hanoi Viet Nam juga pulang tanpa pingat emas dan pada SEA Games ke XXlll di Manla Republik Filipina, barulah membawa sebutir pingat emas acara Bolong Padang. Kemudian gagal lagi membawa pingat emas di SEA Games XXlV di Korat Thailand.

Melihat pencapaian yang tidak konsisten itu, perancang meningkatkan mutu sukan prestasi tinggi diperkenalkan melalui Projek Gold 2007 dengan menyerapkan sebelas atlet dari cabang sukan Boling Padang, Karatedo dan Olahraga.

Projek Gold merupakan satu masterplan Sukan Prestasi Tinggi yang mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang kearah melahirkan atlet-atlet berpotensi untuk mewakili negara ke temasya sukan serantau dan antarabangsa.

Ianya memfokas sukan-sukan yang berpotensi untuk meraih pingat-pingat dengan merancang, melaksanakan dan memantau program latihan dengan lebih bersistem menggunakan kaedah-kaedah sains sukan.

Dalam melaksanakan progrem ini, kelibat jurulatih professional dan pakar-pakar sains sukan turut sama menjayakannya disamping dilengkapi dengan kemudahan vanue latihan dan pengurusan yang efektif selaras dengan usaha mempersiapkan atlet dari segi fizikal dan mental untuk mencapai pingat emas secara berterusan.

Sebelum Projek Gold diperkenalkan, Dasar Sukan Negara (DSN) juga telah diwujudkan pada tahun 1993 diatas konsep kemajuan sukan untuk semua lapisan mesyarakat, pencapaian kemahiran individu dan kecemerlangan sukan negara di peringkat antarabangsa, sebahagian besarnya bergantung kepada kejurulatihan yang dirancang dan dimajukan melalui sistem pendidikan dan latihan berasaskan sains dan pendekatan profesionalisma.

PENGLIBATAN masyarakat dalam pelbagai bidang sukan akan menggalakkan mereka ke arah budaya hidup sihat untuk mencapai kecemerlangan sukan sebagaimana dasar dan strategi Sukan Untuk Masyarakat (SUM).

Secara tidak langsung juga usaha ini membuka peluang kepada rakyat dan penduduk menikmati kemudahan-kemudahan sukan tidak diabaikan selain, menggalakkan penglibatan rakyat dan penduduk kearah budaya hidup sihat untuk mencapai kecemerlangan sukan sebagaimana dengan dasar dan strategi kerajaan Sukan Untuk Mesyarakat (SUM) dan Sukan Prestasi Tinggi (SPT)

Dalam pada itu penghargaan kepada atlet-atlet yang berjaya meraih pingat pada temasya-temasya sukan serantau dan antarabangsa yang disertai juga akan diberikan ganjaran melalui SkimPenggalak Kecemerlangan Sukan (SPKS) mengikut kategori pingat yang diraih.

Secara tidak langsung penglibatan dan kejayaan atlet itu mendapat habuan melalui ganjaran yang disumbangkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Usaha yang dilakukan ini setentunya akan dapat meningkatkan prestasi sukan negara ke peringkat yang lebih cemerlang atau sekurang-kurangnya dapat menyaingi pencapaian SEA Games ke XX yang lalu. Menimba pendedahan atau pengelaman diperingkat serantau atau antarabangsa bukan lagi matalamat sebenar sebaiknya, setiap penyertan yang disertai menghendaki kejayaan mengharumkan nama negara.

Jestru dengan terlaksananya pelbagai progrem dan skim latihan, para atlet akan dapat menebusnya dengan pencapaian prestasi cemerlang.Dengan demikian sukan itu bukan saja bentuk riadah untuk kesihatan rakyat dan pemnduduk, malahan ianya juga mencetuskan semangat waja bangsa supaya tidak kenal menyerah atau berundur sebelum berjuang.


PERLUASAN KAWASAN BANDAR SERI BEGAWAN
'Ke arah menjadikan BSB sebuah bandar raya bertaraf dunia'
Rencana Oleh : SAHARI AKIM sahari.akim@information.gov.bn

PERLUASAN Bandar Seri Begawan (BSB)dari 1,287 hektar (12.87 kilometer persegi) kepada 10,036.24 hektar (100.36 kilometer persegi) akan mendatangkan banyak faedah kepada negara serta rakyat khususnya dan orang ramai umumnya.

Usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam itu adalah sangat dialu-alukan dan tepat pada waktunya baik bagi kepentingan jangka masa pendek mahupun jangka masa panjang.

MASJID Omar ’Ali Saifuddien dan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah sebahagian dari mercu tanda Bandar Seri Begawan.

Antara faedah yang diperolehi dari perluasan BSB itu termasuklah meningkatkan sumber pendapatan negara melalui penguatkuasaan akta atau peraturan yang ditadbir atau dikawal oleh Jabatan Bandaran BSB ke atas perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan.

. Ia juga dapat mengintegrasikan kawasan- kawasan yang pesat membangun di pinggir bandar dengan kawasan bandar bagi menyelaraskan pembangunan yang lebih teratur dan tersusun.

Selain dari itu ia juga dapat menyediakan perkhidmatan, kemudahan asas dan infrastruktur yang seimbang di tahap yang tinggi bagi semua kawasan bandar dan pinggir bandar.

Apa yang paling membanggakan dari perluasan kawasan itu nanti ialah memudahkan usaha bagi menaikkan status BSB sebagai sebuah bandar raya sesuai dengan kedudukannya sebagai ibu Negara Brunei Darussalam. Ini juga akan dapat merealisasikan visi menjadikan BSB sebuah bandar raya maju setanding dengan bandar raya-bandar raya dunia.

Menurut maklumat dan penerangan Jerayawara Perluasan Kawasan BSB yang diadakan pada 30 Disember 2008 lepas, berbagai projek dan program pembiasaian akan dilaksanakan.

Kita dapat membayangkan bahawa ia bukan sahaja akan menambahkan lagi keindahan dan keunikan BSB malah juga akan menggalakkan perkembangan ekonomi secara formal atau tidak formal.

Ini selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa merasmikan Sambutan Bagi Memperingati 25 Tahun Penukaran Nama Bandar Brunei Menjadi BSB pada 9 Oktober 1995 yang antara lain menekankan:

“Kita orang-orang Brunei patut mengetahui, bahawa terdapat suatu ‘nilai’ pada nama ‘Bandar Seri Begawan’ itu. Ia membawa mesej kemodenan, kemajuan dan peralihan bagi Negara Brunei Darussalam daripada era lama kepada era yang baru. Sementara ‘Brunei Town’ atau ‘Bandar Brunei’ pula masih melambangkan suatu zaman lama yang suram dan tertutup.”

BANDAR RAYA

Salah satu yang menarik perhatian kita dari proses perluasan BSB itu sendiri ialah penaikan statusnya sebagai sebuah bandar raya. Perkara tersebut adalah sangat penting dan tepat pada masanya selaras dengan era moden dan canggih ini. Ia juga seiring dengan usaha menjadikan negara ini sebagai sebuah negara maju dan membangun.

Seperti yang dimaklumi bandar raya atau ibu negara sangat sinonim dengan sesebuah negara. Kebanyakan negara di dunia dikenali melalui ibu negaranya malah sesetengahnya nama ibu negara atau bandar raya lebih menonjol atau sering menjadi sebutan umum.

Perkara tersebut berlaku disebabkan ibu negara atau bandar raya itu merupakan pusat pentadbiran yang di dalamnya menempatkan agensi-agensi dan institusi-institusi utama, perkhidmatan-perkhidmatan, pusat ekonomi, urus niaga dan kewangan, di samping prasarana dan infrastrukturnya yang canggih.

Beberapa contoh bandar raya utama dunia yang sering menjadi sebutan ialah seperti New York, London, Amsterdam, Beijing, Tok- yo, Barcelona dan seumpamanya. Kita juga mengenali negara-negara jiran ASEAN melalui bandar rayanya seperti Kuala Lumpur, Jakarta, Manila, Hanoi, Rangon dan lain-lain. Masyarakat luar negeri pula sering menyebut “Saya akan terbang ke BSB”.

Tidak mustahil BSB akan cukup dikenali ke seantero dunia sebagai bandar raya yang cantik, bersih, canggih, aman serta selesa didiami dan dikunjungi oleh para pelancong asing.

RASIONAL

Pada masa yang sama rasional perluasan BSB yang sekali gus menjurus kepada status bandar raya itu adalah disebabkan oleh beberapa faktor lain. Antaranya kawasan perbandaran BSB yang pada ketika ini terlalu terhad untuk memenuhi keperluan bagi perkembangan dan pembangunan fizikal dan prasarana baru.

Disebabkan terhadnya kawasan itu, pembangunan fizikal terpaksa dilaksanakan di kawasan pinggir perbandaran BSB seperti di kawasan Gadong, Kiulap, Kiarong, Jalan Tutong, Kota Batu dan sebahagian kawasan Berakas.

Faktor lain ialah tiada perbezaan dari segi kemudahan asas, kemajuan dan perkhidmatan di antara kawasan perbandaran BSB dan kawasan di luar perbandaran BSB.

Ketika ini terdapat pembangunan pesat yang memperlihatkan ciri-ciri sebuah perbandaran, pusat-pusat perniagaan, perdagangan dan perumahan di luar kawasan perbandaran BSB.

Selain dari itu, pertumbuhan penduduk yang berlaku di luar kawasan perbandaran BSB juga menjadi faktor kenapa kawasan BSB perlu diperluaskan.

BSB 'WATERFRONT'

Menurut Pelan Pembisaian Kawasan BSB dan Gadong 1998, lima strategi telah dicadangkan untuk ‘menggiat dan menghidupkan’ pusat bandar dengan menceriakan suasana malam di kawasan tersebut. Ini termasuk membina taman-taman di sepanjang kawasan utama Sungai Brunei, Sungai Kedayan dan Jalan McArthur.

Satu lagi projek ialah membisaikan ‘Waterfront’ (Pinggir Sungai) BSB yang diharapkan sebagai mekanisme interaktif yang akan menjana pembangunan-pembangunan lain seperti Taman Persiaran Sungai Kedayan, Peningkatan Tempat Pejalan Kaki Jalan Sultan dan Jalan Robert, Taman Warisan Bukit Subok dan Pusat Kegiatan Kampong Ayer.

Seiring dengan itu pembangunan semula ‘Waterfront’ juga sedang dilaksanakan secara berperingkat-peringkat. Juga dirancang ialah pembesaran jalan luar sebelah timur (Southern Outer Ring Road);, pembesaran Jalan Residency; pembangunan semula bangunan Kastam dan Eksais lama untuk Jabatan Muzium dan memperbaiki keadaan dan lokasi binaan-binaan yang ada termasuk perkhidmatan-perkhidmatan di kawasan-kawasan berkenaan.

Cadangan Pelan Induk ‘Waterfront’ melibatkan dermaga kastam termasuk bekas bangunan Kastam dan Eksais Diraja manakala bangunan Jabatan Imigresen lama pada masa ini telah dibangun dan diperbisaikan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa.

Pembinaan ‘Mercu Dirgahayu 60’ yang menjadi cenderamata kenangan kekal Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-60 yang dibuka rasmi pada 22 Julai 2007 mencantik dan menceriakan lagi kawasan tersebut.

‘Mercu Dirgahayu 60’ yang berkonsepkan ‘nucleus’ menerangkan mengenai perkembangan hubungan sejarah antara pusat bandar dengan Kampong Ayer yang merupakan sejarah penting dari segi sosioekonomi dan pembangunan fizikal bandar yang juga berteraskan budaya dan tradisi Melayu.

Keseluruhan struktur yang membentuk ‘Mercu Dirgahayu 60’ ini merangkumi kecemerlangan pemerintahan baginda dalam menerajui tampuk pemerintahan Negara Brunei Darussalam di persada dunia.

PEMBANGUNAN di sekitar kawasan Pusing Keliling Gadong.

Kawasan projek seluas 4.598 ekar, sebaha- gian besarnya dermaga konkrit (RC Platform) yang menyediakan tempat pejalan kaki itu juga boleh didatangi melalui jalan raya dan sungai.

Pelan Induk Projek Waterfront itu juga akan meliputi kawasan lapang (open square), kawasan persiaran (promenade) dan landskap kehijauan bandar. Selain dari itu sudut khas untuk kemudahan orang ramai berinteraktif juga disediakan.

Di samping pemandangannya yang menarik ia juga menyediakan gerai makanan terbuka, pondok jualan dan kedai kedai-kedai cenderamata dan sebagainya.

Juga akan menjadi daya tarikan ialah pembinaan Cendera Kenangan sempena Memperingati 100 Tahun (1906-2006) Pembangunan Bandar di Darat. Cendera Kenangan terapung itu akan menyediakan galeri mini yang dapat mempamerkan apa sahaja yang sesuai dengan ruang tersebut.

Kewalihan konsep reka bentuk binaan ini mengaitkan nostalgia dan sumbangan Kampong Ayer sebagai ‘hub tradisi’, kebudayaan dan tamadun Melayu Brunei.

Reka bentuknya juga dikaitkan dengan perdagangan awal ‘seafaring’ dan keunggulan imej orang-orang Brunei. Rangkuman reka bentuk padian, siraung, tudung dulang, pengayuh dan layar mengadunkan tradisi (identiti) dan modeniti (kemajuan).

PEMBISAIAN SUNGAI KEDAYAN
DAN SUNGAI MENGLAIT

Sejajar dengan perluasan BSB itu juga beberapa projek lain pembisaian kawasan perbandaran juga akan dilaksanakan. Ini setentunya akan dapat membisai dan meningkatkan lagi daya tarikan BSB.

Antaranya ialah Konsep Kemajuan Pembisaian Tebing Sungai Kedayan dan Sungai Menglait bertujuan menaikkan taraf kawasan sepanjang tebing sungai-sungai berkenaan dengan mewujudkan taman tebing sungai yang menarik bagi meningkatkan keadaan persekitaran yang lebih kondusif di sekitar BSB.

Ia juga bertujuan mengoptimumkan pembangunan kawasan-kawasan strategik di BSB; memajukan tebing-tebing sungai sebagai tempat kemudahan awam dan tempat-tempat perniagaan dan rekreasi yang menarik selain mewujudkan kembali hubungan sejarah dan di antara pusat bandar dan sungai melalui pembangunan fizikal.

Pembisaian Sungai Kedayan melibatkan kawasan dari Jambatan Gadong hingga ke Pusar Ulak. Kawasan ini melibatkan dari jalan jejari Pusar Ulak hingga Sungai Brunei.

Projek ini akan melibatkan pembisaian kawasan persekitaran Istana Darussalam; pembinaan taman rekreasi sepanjang Sungai Kedayan; pembisaian kawasan Kampong Sumbiling Lama; membina kawasan pejalan kaki yang bersambung dari Dermaga Kastam dan Jeti Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta menaik taraf kawasan persekitaran Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Sementara itu cadangan projek kemajuan pembisaian Sungai Kedayan (dari Jambatan Gadong hingga jalan Jejati Pusar Ulak) pula meliputi pembinaan taman tebing sungai untuk rekreasi dan tempat beristirahat atau beriadah; pembinaan jambatan dari kawasan perniagaan Kiulap ke kawasan perniagaan Gadong termasuk mengekalkan kawasan bakau yang sedia ada sebagai ‘Inner City Conservation Area’.

Manakala Konsep Pembiasaian Sungai Menglait pula akan menyediakan taman rekreasi; kawasan permainan; Riverfront Plaza dan gerai jualan makanan; pembinaan jambatan pejalan kaki berdekatan dengan jambatan yang sedia ada yang menyambungkan terus ke kawasan perniagaan Gadong, taman rekreasi dan gerai selain menyediakan kawasan pejalan kaki sepanjang sungai berkenaan.

TAMU BARU GADONG

Sebuah tapak Tamu Baru Gadong (TBG) juga akan dibina di kawasan lapang bersebelahan dengan Pasar Gadong yang ada pada masa ini. Kawasan seluas 0.7911 hektar itu boleh memuatkan seramai 288 penjaja dari Tamu Kianggeh dan gerai-gerai tingkat 1 Pasar Gadong.

Berkonsepkan ‘Improving Quality of Life’ TBG akan meningkatkan lagi taraf kehidupan dengan menyediakan bangku-bangku kekal dengan konsep baru. Dengan adanya bangku-bangku itu nanti, tamu baru akan menjadi lebih teratur dan bersih.

TBG juga akan menarik perhatian pelancong-pelancong yang berkunjung di kawasan membeli-belah terutama The Mall Gadong. Pada masa yang sama ia juga menunjukkan kemajuan yang dapat di capai oleh negara ini.

Susunan bangku-bangku bagi TBG adalah secara berkumpulan mengikut warna kawasan masing-masing. Ia bagi memudahkan para pelanggan menuju ke tempat yang dihajati. Di kawasan setiap kumpulan juga akan menempatkan kawasan rehat yang menyediakan kerusi-kerusi untuk para pengunjung.

Konsep bulatan itu juga akan menyediakan kemudahan elektrik, air dan stor kecil (di bawah bangku jualan). Keseluruhannya terdapat 48 bulatan di mana setiap bulatan menyediakan enam buah bangku. Konsep payung moden digunakan semula mengambil identiti Tamu Kianggeh yang akan berpindah ke TBG.

CUKAI

Berikutan perluasan BSB itu juga negara akan mendapat hasil dari kutipan cukai bangunan. Ini sudah tentu akan dapat menampung perbelanjaan kerajaan meningkatkan prasarana kemudahan asas dan perkhidmatan serta kawal selia kawasan perbandaran.

Cukai bangunan akan dikenakan kepada pemilik-pemilik bangunan (rumah/bangunan/pangsa/hotel) sama ada didiami sendiri atau disewakan dalam kawasan lingkungan bandaran di negara ini.

Kerajaan Kebawah DYMM melalui Lembaga-Lembaga Bandaran di seluruh negara (kuasa yang layak) telah menentukan kadar- kadar faedah cukai bangunan melalui peruntukan undang-undang Dalam Akta Lembaga-Lembaga Bandaran Brunei Penggal 57 khususnya menurut Bab 12 tidak lebih dari 15 peratus setahun dari nilai atau sewa kasar tahunan.

Jabatan Bandaran BSB mulai awal tahun ini akan mengenakan cukai pada bangunan-bangunan komersial kepada pemilik bangunan dalam Zon Transformasi BSB.

Seperti juga di negara-negara lain sememangnya pemilik bangunan seharusnya menyumbang dalam bentuk cukai kepada kerajaan bagi sama-sama membantu membangun prasarana-prasarana baru serta meningkat dan membaik pulih kemudahan infrastruktur yang ada.

KEPESATAN pembangunan di sekitar (Bandar Seri Begawan lama).

SEJARAH BANDAR BRUNEI

Sejarawan Jatsan S. Sidhu dalam bukunya berjudul ‘Sejarah Sosio Ekonomi Brunei 1906-1959 menyatakan sebelum tahun 1906, konsep Bandar Brunei dirujuk sebagai Kampong Ayer menjadi pusat pentadbiran dan perdagangan pada waktu itu.

Sebelum kedatangan Residen, Bandar Brunei ketika itu dikatakan sebuah bandar unik yang cuma satu-satunya terdapat di dunia di mana hampir keseluruhan pembangunannya di atas air yang menjadi kebanggaan penduduknya.

Pengenalan Sistem Residen pada tahun 1906 menyebabkan bandar baru diwujudkan di darat. Residen ketika itu berpendapat negara ini tidak akan boleh maju sehingga bandarnya dipindahkan ke darat.

Jatsan S. Sidhu menyatakan dengan berpindahnya Bandar Brunei dari Kampong Ayer ke darat maka dengan sendirinya peranan Bandar Brunei di Kampong Ayer turut berpindah. Residen mahukan perkampungan yang bersih dan tidak menggalakkan perumahan di atas air.

Sejak itu keadaan Bandar Brunei mula mengalami perubahan dari sebuah bandar yang menempatkan rumah-rumah papan beratapkan nipah dengan keperibadian seni bentuk bangunan Melayu dari zaman kuno dan dibina pada keseluruhannya di atas permukaan air berkembang ke tebing Sungai Brunei.

Pembangunan awal termasuklah pembinaan sebatang jalan raya sepanjang satu setengah batu (Jalan Residency) dari bangunan pejabat residen, pejabat pos, balai polis, beberapa buah kedai, pusat kesihatan, penjara, beberapa buah pejabat kerajaan serta sebuah sekolah rendah Melayu pada tahun 1914.

Pada tahun-tahun berikutnya dibina Stesen Telegraf Wayarles, Istana Sultan Brunei ketika itu, bekalan elektrik dan hospital pertama. Pembangunan Bandar Brunei semakin menampakkan kemajuan setelah minyak dijumpai.

Selepas kemusnahan Bandar Brunei semasa Perang Dunia Kedua, bandar tersebut dibangun semula pada tahun 1948. Pembangunan semula Bandar Brunei kemudian dimasukkan dalam Rancangan Kemajuan Negara lima tahun pertama (1953-1958). Bermulalah skim perancangan yang teratur melibatkan berbagai pembangunan infrastruktur.

BSB

Pada 4 Oktober 1970 Bandar Brunei ditukar nama menjadi BSB bagi mengenang jasa Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien yang dikenali sebagai 'Arkitek Brunei Moden'.

BSB semakin menyerlah dan sudah dikenali oleh masyarakat antarabangsa. Sebagai ibu negara, BSB berkembang maju dan menyediakan berbagai kemudahan infrastruktur, perkhidmatan dan keunikan panoramanya.

Dari sebuah bandar kecil di kawasan tebing Sungai Brunei, kini BSB membesar dipenuhi deretan bangunan-bangunan kerajaan, premis-premis perniagaan, apartmen-apartmen rumah kediaman dan seumpamanya hingga ke Batu Satu, Jalan Tutong, Gadong, Kiulap, Tungkadeh, Lapangan Terbang Lama, Mabohai, Jalan Kebangsaan, Sungai Akar, Beribi, Mata-Mata, Berakas, Kota Batu, Subok, Manggis dan lain-lain.

Ini adalah berkat kebijaksanaan kepimpinan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang terus berazam membawa keamanan, kemakmuran kepada negara dan rakyat serta penduduk negara ini.

Dalam masa terdekat kita akan menyaksikan lebih banyak projek pembangunan di seluruh BSB. Kawasan-kawasan baru (mukim-mukim) yang terlibat berikutan perluasan BSB itu kini juga sedang dan akan terus membangun.

Ini meliputi Mukim Kianggeh, Mukim Gadong, sebahagian Mukim Kilanas, Mukim Be- rakas ‘A’, Mukim Berakas ‘B’, sebahagain Mukim Kota Batu, Mukim Sungai Kedayan ‘A’, Sungai Kedayan ‘B’, Mukim Tamoi, Mukim Burong Pinggai Ayer, Mukim Peramu, Mukim Saba dan Mukim Sungai Kebun.

Untuk mencapai hasrat menjadikan BSB sebagai ‘bandar raya bertaraf dunia’ maka rakyat dan penduduk negara ini amnya dan warga kota khususnya hendaklah sentiasa mengekalkan keamanan dan kesejahteraan, menjaga kebersihan alam sekitar, menanamkan kesedaran sivik dan berdisiplin serta mesra pelancong.

Insya-Allah kita akan dapat menjadikan BSB sebagai ‘bandar raya yang selamat dan selesa untuk didiami serta menarik untuk dilawati’.


IMPIAN KE TAHAP SARA DIRI
Rencana Oleh : DK. HAJAH FATIMAH PG. HAJI MD. NOOR
fatimah.noor@information.gov.bn

KEBIMBANGAN masyarakat global terhadap krisis makanan dunia masa kini amat serius, diresahkan pula dengan satu fenomena yang boleh membahayakan dan mendatangkan kesan lebih teruk jika dunia tidak mampu menanganinya dengan baik, iaitu krisis kenaikan harga barang-barang keperluan asas harian yang mendadak.

Krisis makanan dunia benar-benar menimbulkan kebimbangan global apabila pengeluaran beberapa jenis bijirin asasi termasuk beras telah mendadak susut di negara-negara pengeluar utamanya.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah, sikap bergantung semata-mata kepada wang ringgit untuk mengisi perut sudah tidak relevan lagi dengan terjadinya krisis makanan dunia.

PENGELUARAN ayam pedaging mencapai ke tahap 95 peratus sara diri, begitu juga pengeluaran telur ayam telah mencapai 99 peratus sara diri. ( Foto : Ihsan Jabatan Pertanian )

Bagaimanapun baginda menegaskan, kita tidak dapat lagi semata-mata bergantung kepada ihsan alam luar negara walaupun kita mampu mengadakan peruntukan untuk itu.

Menyebut mengenainya kita jadi terpanggil untuk terus melihat isu krisis makanan yang sedang mengancam dunia pada masa ini. Kita wajar fokus terhadapnya untuk menyuruh berikhtiar yang mengingatkan kita peristiwa genting pada zaman Khalifah Nabi Allah Yusuf Alaihissalam, bagaimana kerajaan dan rakyat dikehendaki supaya berikhtiar seperti bercucuk tanam dengan cara besar-besaran bagi menghadapi krisis makanan. Perkara ini bukan lagi setakat ditahap ramalan, tetapi benar-benar berlaku di mana sekitar 854 juta orang penduduk dunia sekarang sedang mengalami kelaparan dan bilangan ini terus bertambah kepada empat juta setiap tahun.

Jika kita melihat penekanan titah baginda, jelas mengajak rakyat dan penduduk negara ini untuk menggunakan sumber alam ke arah meningkatkan tahap peratus 'sara diri' yang lebih tinggi secara pantas daripada yang ada masa ini sejajar dengan pertumbuhan dan keperluan negara serta usaha ini akan dapat meningkatkan taraf hidup, sesuai dengan matlamat mencapai tahap kemiskinan sifar.

Penggunaan sumber alam ini tentu saja boleh menyuntik minda kita sebagai satu kaedah yang dikembangkan bagi mengatasi masalah kemiskinan, di samping lain-lain kaedah lagi. Tinggal saja kita ini mahu ataupun belum mahu lagi mencuba dan baginda juga mengulangi titah agar kita mempunyai pelan strategi dan dasar pertanian negara bagi menjamin sekuriti makanan negara sebagai satu strategi utama.

Dalam hubungan ini baginda menegaskan bahawa negara perlu mengambil langkah tegas meningkatkan sumber alam dan memastikan bahawa kita akan berjaya juga menyara diri sendiri dengan hasil kita sendiri.

Ekonomi sara diri ialah kegiatan ekonomi yang bertujuan mampu untuk menampung keperluan harian. Kegiatan ekonomi sara diri yang utama ialah bercucuk tanam, menangkap ikan dan memungut hasil hutan.

Sektor-sektor pertanian dan perikanan, selain daripada perhutanan adalah penyumbang utama sebanyak satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Meskipun sumbangannya kepada KDNK tidak signifikan, namun sektor ini adalah penting kerana kesannya kepada kehidupan penduduk negara ini.

MEMAJUKAN

Dalam Rancangan Kemajuan Negara Ke-8, kita lihat sektor pertanian telah diperuntukkan sekitar BND91 juta. Matlamat pembangunan sektor ini adalah untuk memajukan penghasilan tanaman dan ternakan ke tahap optimum; menggalak dan memudahkan pengeluaran hasil pertanian yang bersih, halal, bermutu dan selamat untuk dimakan serta menyediakan teknologi pertanian dan khidmat dukungan yang bersesuaian. Kesemua ini bertujuan untuk mencapai kemajuan industri pertanian yang berdaya tahan.

Pengeluaran kasar pertanian bagi tahun 2007 menunjukkan pertumbuhan yang positif iaitu BND199 juta mengikut nilai pasaran berbanding BND172 juta pada tahun sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak 16.17 peratus atau BND28 juta.

Penyumbang utama industri ternakan ayam pedaging yang berjaya menghasilkan sumbang an bernilai BND81.21 juta, diikuti industri proses agrimakanan berasaskan produk tanaman berjumlah BND30.34 juta. Manakala industri lain seperti sayur- sayuran BND23 juta, telur ayam BND19 juta, penetasan anak ayam BND15 juta, proses agrimakanan berasaskan produk ternakan BND9.88 juta, telur berbenih BND8 juta, buah-buahan BND7 juta, beras BND3 juta, tanaman hiasan dan bunga kertas BND2 juta, pelbagai tanaman BND1 juta, daging (kerbau dan lembu) BND0.9 juta, tenusu BND0.06 juta dan daging kambing BND0.05 juta. Pada masa ini pengeluaran ayam pedaging mencapai ke tahap 95 peratus sara diri begitu juga pengeluaran telur ayam telah mencapai 99 peratus sara diri.

PADA masa ini pengeluaran beras tempatan adalah sebanyak 982.9 tan metrik iaitu bersamaan dengan 3.15 peratus daripada kadar sara diri. Jumlah ini dianggarkan bernilai BND2.86 juta..

Bagi pengeluaran beras, mengikut statistik pertanian 2007, jumlah keperluan beras bagi penduduk negara ini adalah sebanyak 31,242 tan metrik beras dan ia- nya dianggarkan bernilai sebanyak BND37.05 juta. Jumlah penggunaan per kapita pula dianggarkan sebanyak 80.1 kg bagi setiap orang setahun.

Mengikut program peningkatan padi negara ini, sasaran jangka pendek iaitu pada tahun 2010 adalah untuk me- ningkatkan pengeluaran beras tempatan ke tahap 20 peratus iaitu 6,000 tan metrik daripada 2,783 hektar sara diri, manakala sasaran jangka sederhana adalah meningkatkan pengeluaran ke tahap 60 peratus atau 18,000 tan metrik daripada 5,380 hektar pada tahun 2015.

Pada masa ini pengeluaran beras tempatan adalah sebanyak 982.9 tan metrik iaitu bersamaan dengan 3.15 peratus daripada kadar sara diri. Jumlah ini dianggarkan bernilai BND2.86 juta. Pada masa ini, jumlah keselu- ruhan peladang bagi keempat-empat buah daerah adalah 1,233 orang dan jumlah keluasan ladang adalah 1,354 hektar. Ini bermakna purata pengeluaran sehektar sebanyak 0.7tm / ha.

Bagi pengeluaran beras tempatan di negara ini, ianya adalah masih di tahap rendah dan negara bergantung sepenuhnya daripada import. Langkah menjamin bekalan beras di negara ini melibatkan urusan penyimpanan stok beras untuk keperluan negara yang dikendalikan oleh Jabatan Teknologi Maklumat dan Stor Negara, Kementerian Kewangan. Sebahagian besar keperluan beras negara ini adalah diimport daripada luar dengan membekalkan tiga jenis beras iaitu Thai Hom Mali (Beras Wangi), White Rice (Beras Siam) dan Gluti- nous Rice (Beras Pulut) iaitu sebanyak 29,252 tm bersamaan dengan 96.7 peratus kadar sara diri negara. Ini dianggarkan bernilai BND34.19 juta.

Di samping itu, adalah juga perlu bagi industri-industri ini memperluaskan bidang, rangkaian perniagaan dan pa- saran produk ternakan dengan sasaran utama pasaran eksport. Kekuatan negara dalam penghasilan daging- daging yang tidak diragui kehalalannya hendaklah diperkukuhkan dengan menggabungkannya dengan kekuatan mutu produk yang maksimum.

Menurut Jabatan Pertanian, sasaran pasaran ayam pedaging dan telur ayam ialah Republik Singapura. Perkembangan perusahaan ini dimestikan menggunakan sistem rumah tertutup bagi memastikan produktiviti yang tinggi, kadar kematian dan kos pengeluaran yang rendah dan menguntungkan, sistem tertutup juga menjadi salah satu syarat bagi pengeksportan. Ianya lebih terkawal dan mudah untuk me- ngenalkan 'Good Agriculture Husbandary Practices' (GAHP).

Dengan visi 'Ke Arah Agribisnes Yang Mapan dan Berpandukan Pa- saran'. Aktiviti agribisnes yang mendukung industri pertanian ini telah dipromosikan secara meluas yang mengutamakan pertanian secara komersial. Ini meliputi semua aktiviti yang berkaitan dengan pertanian termasuklah pe- ngeluaran, pemprosesan, pemasaran dan juga agrimakanan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga semasa Pembukaan Rasmi Me- syuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Keempat Majlis Mesyuarat Negara (MMN) pada 4 Mac 2008, menekankan supaya bidang pertanian dimajukan untuk memenuhi keperluan penduduk, di samping diperniagakan secara komersial di peringkat negara dan global bagi meningkat dan mempelbagaikan lagi sumber ekonomi negara.

Satu lagi matlamat negara ialah ke arah meningkatkan taraf hidup melalui pelbagai projek dan program pembangunan terutama yang melibatkan sosioekonomi. Ekonomi itu dalam pengertiannya ialah sistem pengendalian sumber kekayaan yang antaranya turut disumbangkan oleh pertanian.

k lagi adalah satu bidang penting untuk mempelbagaikan ekonomi di mana semua negara di dunia adalah bergantung kepada pertanian kerana peranannya menyediakan makanan sama ada dengan cara menghasilkannya sendiri ataupun mengimport.

PASARAN

Pembangunan pertanian dalam pengeluaran industri tanaman primari (nilai pasaran) akan mensasarkan 100 peratus sara diri bagi sayur-sayuran dan buah-buahan tropika yang bernilai kira-kira BND267 juta menjelang tahun 2023. Komiditi tanaman sayur tropika dianggarkan bernilai BND116 juta (BND2000/mt x 58,000mt). Sementara itu buah-buahan tropika bernilai BND144 juta (BND 6000/mt x 24,000 mt), beras dan tanaman lain dianggarkan bernilai BND3 juta dan forikutur bernilai BND4 juta.

Keseluruhan produktiviti industri tanaman dianggarkan meningkat sebanyak 25 peratus daripada 2005-2013 dan 67 peratus daripada 2014-2023.

Bagi Industri Ternakan Primari dijangka akan menghasilkan komoditi ternakan kira-kira BND600 juta menjelang tahun 2023.Pengeluaran Ternakan Ruminan tertumpu kepada kegiatan pengemukan ternakan impot secara fidlot dianggarkan menghasilkan BND600 juta.

Bagi pengeluaran ayam pedaging terhad mencapai sara diri kerana kurang daya saing di pasaran antarabangsa. Hasil pengeluarannya dianggarkan bernilai BND114 juta setahun manakala pengeluaran telur primari dianggarkan bernilai BND480 juta.

Keseluruhan produktiviti industri ternakan dijangka meningkat sebanyak 25 peratus daripada tahun 2000-2013 dan 100 peratus daripada 2014-2013.

Dalam industri pemprosesan, sejajar dengan misi jabatan ini akan mempermudahkan kegiatan mengimpot bahan mentah hasil pertanian untuk ditambah nilai. Negara kita mempunyai kekuatan dari sumber kewangan untuk melabur dalam aset teknologi dan kos tenaga yang rendah di samping kawalan kesihatan vaterinar adalah amat baik dan terkawal untuk mencapai piawaian sanitari antarabangsa supaya produk tempatan boleh menembusi pasaran antarabangsa.

Ianya akan mensasarkan anggaran nilai hasil sebanyak BND1.87 bilion menjelang tahun 2023. Bagi produk proses daging ayam BND749 juta, daging ruminan BND856 juta, proses telur dijangka bernilai BND216 juta, tanaman bijirin (pelbagai tepung) bernilai BND9.2 juta dan proses tanaman buah-buahan dan lain-lain proses tanaman masing-masing bernilai B20 juta.

Keseluruhan produktiviti industri pemprosesan dianggarkan meningkat 5 peratus daripada tahun 2005-2013 dan meningkat 10 peratus daripada tahun 2014-2023.

Menjelang tahun 2023, hasil daripada sektor ternakan meliputi ‘primary’ dan sekunder dianggarkan berpotensi untuk mencapai hasil BND2.4 bilion, manakala hasil sektor tanaman pula dijangka sebanyak BND316 juta.

SEKTOR PERIKANAN

MENURUT Jabatan Perikanan setakat ini penghasilan ikan tempatan telah berjaya memenuhi 88 peratus sara diri kehendak ikan segar.

Ikan merupakan sumber makanan kepada kita. Kegiatan perikanan merupakan pekerjaan utama bagi masyarakat kita yang tinggal di tepi laut dan sungai. Hasil tangkapan akan dijadikan keperluan diri sendiri dan lebihan hasil akan dijual. Kegiatan perikanan dapat dilihat di negara ini.

Perkembangan sektor perikanan di negara ini, menurut statistik 2007 nilai industri perikanan berjumlah BND97.94 juta .Dari jumlah itu, BND83.29 juta adalah sumbangan dari sektor penangkapan ikan, BND6.26 juta dari sektor akuakultur dan BND8.29 juta dari pemprosesan makanan laut.

Menurut Jabatan Perikanan lagi, setakat ini penghasilan ikan tempatan telah berjaya memenuhi 88 peratus sara diri kehendak ikan segar.

Ini bermakna kita masih lagi mengimport ikan-ikan terutama yang sememangnya tidak dapat dihasilkan di negara ini seperti ikan salmon dan ikan-ikan yang berproses seperti produk-produk dalam tin.

Dengan perkembangan ini menunjukkan bahawa terdapat peluang-peluang dan potensi bagi memperkembangkan lagi industri pemprosesan makanan laut dan meningkatkan penghasilan makanan laut yang berproses bagi memenuhi keperluan negara.

Menyentuh mengenai aktiviti pengimportan ikan segar terdapat beberapa isu perlu difahami bersama antaranya isu keselamatan makanan yang diimport dan kemajuan pembangunan industri dalam negara yang berhubung dengan sektor itu sendiri.

Kita melihat perkara ini adalah satu hal penting yang perlu diambil kira dan adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan ikan-ikan dan makanan laut yang diimport adalah bebas dari penyakit, selamat dan bersih untuk dimakan.

Negara kita hendaklah menguatkuasakan prosedur-prosedur dan peraturan bagi pengimportan ikan dan produk makanan laut ke negara ini dalam usaha memastikan keselamatan makanan serta kemajuan industri perikanan.

Dalam memperkembangkan dan memajukan industri perikanan untuk mencapai pertumbuhan yang lebih cepat, kita perlu juga prihatin kepada kesinambungan sumber berkenaan bagi masa hadapan khususnya sumber-sumber di kawasan persisiran pantai yang produktif dan tempat anak-anak ikan membiak dan membesar.

Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Awang Yahya semasa Majlis Pembukaan Rasmi Karnival Perikanan 2009 baru-baru ini menjelaskan pada tahun 2007 sejumlah 1,650 nelayan sepenuh masa dan 3,891 nelayan sambilan bergantung kepada penangkapan ikan di kawasan Zon 1 sebagai sumber pendapatan, maka adalah penting bagi kawasan itu dijaga dan dikawal bagi memastikan sumber perikanan tidak akan pupus dan dapat terus dinikmati oleh generasi akan datang.

Ini adalah penting tegas Yang Berhormat kerana sumber perikanan dapat juga menyumbang kepada sekuriti makanan negara yang mana adalah satu isu yang perlu kita tangani bersama. Ini adalah salah satu sebab utama mengapa Jabatan Perikanan mengenakan ‘moratorium penangkapan ikan di Zon 1 yang telah berkuat kuasa pada 1 Januari 2008.

Menyentuh mengenai sekuriti makanan negara di mana pelaksanaan tindakan-tindakan memerlukan pendekatan yang bersepadu yang meliputi peningkatan keupayaan pengeluaran tempatan, pengurusan sumber bekalan yang terjamin dan mengikut peraturan melalui aktiviti pengimportan kesepakatan antarabangsa melalui perjanjian kerjasama perdagangan komoditi pemakanan dan yang penting sekali ialah pengurusan rizab atau stok sumber bahan makanan dalam negara ke arah mengimbangi bekalan yang didatangkan melalui pengimportan.

Dalam menghadapi krisis yang melanda sekarang ini, negara kita perlu mengambil tindakan tegas dan bersungguh-sungguh meningkatkan penghasilan tanaman dan lain-lain sumber alam termasuk sumber laut bagi memastikan kita akan berjaya menyara diri sendiri dengan hasil kita sendiri dan kita sentiasa bersyukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala terhadap nikmat yang dikurniakan, mudah-mudahan rezeki kita bertambah, negara kita aman tenteram dan makmur dan mendapat keberkatan dari Allah Subhanahu Wata’ala, amin ya rabalalamin.


KESIHATAN TERJAMIN MENJANA PEMBANGUNAN
Rencana Oleh : DK. HAJAH SAIDAH PG. HAJI OMARALLI
saidah.omaralli@information.gov.bn

KERAJAAN Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan terus berusaha menyediakan program penjagaan kesihatan yang komprehensif. Gambar atas kelihatan baginda berkenan menyaksikan pameran kasihatan di Pusat Promosi Kesihatan.

WANG ringgit dan segunung emas yang dimiliki tidak mempunyai nilai sama sekali dalam hidup insan jika kesihatan yang diberikan Allah Subhanahu Wat'ala kepadanya ditarik balik oleh-Nya dan harta yang banyak itu tidak akan dapat menandingi kesihatan rohani, fizikal dan mental yang diberikan Allah, kerana kesihatan merupakan salah satu instrumen penting dalam pengukuran kualiti hidup.

Seperti yang kita sedia maklum pada masa ini pelbagai penyakit timbul dan kesedaran terhadap peri pentingnya menjaga kesihatan perlu dititikberatkan dengan berkesan untuk mengurangkan kos rawatan yang semakin tinggi. Penjagaan kesihatan yang sempurna bukan sahaja mampu mengurangkan kos, malahan mampu mewujudkan masyarakat yang harmoni dan hidup dalam keadaan aman.

Selain itu amalan gaya hidup sihat dengan memastikan alam semestinya dipelihara sebaik mungkin melalui keprihatinan terhadap alam sekitar serta pencemaran, penyakit berbahaya termasuk wabak, najis dadah dan pemakanan serta riadah akan mewujudkan masyarakat yang sihat serta mampu untuk menjana produktiviti dan mempertingkatkan ekonomi negara.

Seperti titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Sambutan 100 Tahun Perkhidmatan Kesihatan dan Pelancaran Konvensyen Kesihatan 2007, baginda antara lain bertitah:

"Di samping menyediakan dan memberikan rawatan-rawatan yang sewajarnya, ia juga tidak boleh berhenti dari membimbing masyarakat, supaya berterusan memelihara kesihatan dengan amalan-amalan gaya hidup sihat, baik dalam pemakanan, pergerakan atau riadah dan juga mewujudkan persekitaran yang bersih," titah baginda.

PROGRAM KESIHATAN

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan akan terus berusaha menyediakan program penjagaan kesihatan yang komprehensif, bertaraf tinggi dan kos efektif dengan memberi penekanan kepada aspek-aspek pencegahan, penggalakan, perawatan dan penyembuhan.

Di samping kerajaan pihak swasta juga digalakkan untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan bagi rakyat dan penduduk di negara ini. Kementerian Kesihatan telah dapat melaksanakan rancangan kemajuan yang membolehkan rakyat dan penduduk di negara ini menikmati tahap kesihatan yang tinggi dan ini adalah hasil dari kemajuan dalam bidang sosioekonomi, pendidikan, agama dan infrastruktur yang semuanya sama-sama menyumbang kepada meningkatnya kualiti kehidupan rakyat dan penduduk di negara ini.

Bagi mencapai hasrat tersebut pihak kerajaan telah membina hospital-hospital di setiap daerah bagi orang ramai mendapatkan rawatan, perubatan, pembedahan dan latihan. Pusat-pusat kesihatan di kesemua kawasan utama di seluruh negara juga telah diadakan bagi rawatan awal dan pencegahan sebelum rawatan lanjut dilakukan di hospital-hospital. Selain itu pusat rawatan jantung khusus bertaraf antarabangsa juga telah ditubuhkan bagi memberikan rawatan khusus kepada rakyat dan penduduk di negara ini.

Selaras dengan konsep 'One Stop Health Care' dan bertepatan sekali dengan matlamat strategik Kementerian Kesihatan yang terkandung dalam Rancangan Penjagaan Kesihatan Negara (2000 - 2010) serta idea bahawa penjagaan asasi kesihatan adalah teras kepada penjagaan kesihatan awam, projek yang melibatkan memindahkan bahagian pesakit luar di hospital-hospital kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan asasi yang komprehensif di pusat-pusat kesihatan yang dirancangkan sememangnya tepat pada masanya.

Sebagai lanjutan program peningkatan perkhidmatan kesihatan asasi di Daerah Brunei dan Muara (DBM) yang dilancarkan pada bulan Jun 2000 dan Mac 2001, perkhidmatan kesihatan asasi kini dipertingkatkan di Daerah Tutong dan Daerah Belait.

Ianya bertepatan dengan titah Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Majlis Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda ke-51 antara lain baginda bertitah bahawa kerajaan baginda tidak ketinggalan pada memberikan perhatian dan penekanan kepada Program Promosi Kesihatan yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai peri mustahaknya mengamalkan cara hidup yang sihat sebagai usaha meningkatkan kualiti kehidupan di negara ini.

“Kerajaan beta adalah sedang melaksanakan dan seterusnya memperkembangkan sistem penjagaan kesihatan asasi dengan menambah pusat-pusat kesihatan,” titah baginda.

Langkah ini dihasratkan akan dapat mengurangkan kesesakan yang terdapat di hospital-hospital serta juga supaya kita dapat memberikan tumpuan kepada perkhidmatan pakar dan kes-kes rujukan.

Di Daerah Tutong sebanyak empat lokasi strategik bagi penempatan perkhidmatan kesihatan asasi diperlukan yang mengambil kira pertumbuhan penduduk yang berpotensi untuk meningkat di daerah berkenaan, manakala tiga lokasi strategik bagi menempatkan perkhidmatan yang sama di Daerah Belait.

Perkhidmatan kesihatan asasi yang ditempatkan di lokasi-lokasi strategik itu akan memberikan perkhidmatan yang komprehensif, berkualiti tinggi serta dapat meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk yang bernaung di bumi Brunei yang tercinta ini.

Perkhidmatan kesihatan asasi itu disampaikan oleh doktor-doktor dan jururawat-jururawat secara sepenuh masa. Perlaksanaan rancangan ini telah dimulakan secara beransur-ansur iaitu pada 2 Oktober 2002 di Daerah Tutong dan 9 Oktober 2002 di Daerah Belait.

Konsep baru itu bagi mengintegrasikan semua perkhidmatan-perkhidmatan di jabatan berkenaan di bawah satu bumbung dan ini sekali gus akan melibatkan penyertaan masyarakat dan pihak swasta dalam membantu perkhidmatan kesihatan kepada rakyat dan penduduk di negara ini.

Perlaksanaan projek tersebut akan lebih berjaya dalam memperbaiki lagi tahap kesihatan rakyat dan penduduk di negara ini apabila ianya diberikan sokongan dan dukungan dengan program promosi kesihatan yang bersesuaian.

Konsep perkhidmatan kesihatan asasi di pusat-pusat kesihatan ini mengandungi perkhidmatan-perkhidmatan utama iaitu perkhidmatan pesakit luar, perkhidmatan kesihatan ibu-ibu mengandung dan kanak-kanak dan perkhidmatan pergigian yang disediakan di bawah satu bumbung, di samping perkhidmatan-perkhidmatan bantuan yang lain.

Peranan utama pusat-pusat kesihatan di Daerah Tutong dan Daerah Belait antaranya:

* Menyediakan penjagaan kesihatan asasi yang komprehensif, mudah didapati oleh semua pihak, memudahkan dan saksama.
* Mengintegrasikan perkhidmatan kesihatan asasi di Daerah Tutong dan Dearah Belait selaras dengan DBM.
* Mempromosikan Perubatan Keluarga di mana memberikan peluang bagi mengembangkan pertalian dan perhubungan rapat yang berterusan dengan penduduk-penduduk dalam sesebuah masyarakat dan melibatkan masyarakat dalam langkah-langkah pencegahan. Dengan wujudnya pertalian ini akan dapat memperbaiki dan meningkatkan penjagaan pesakit. Melalui cara ini juga, doktor-doktor akan dapat memberikan perkhidmatan secara peribadi dan telus.
* Membuat rujukan kes-kes kronik yang mengalami kesukaran ke hospital-hospital.

Untuk meningkatkan perkhidmatan kesihatan asasi, perancangan penyediaan kemudahan-kemudahan kesihatan seperti projek penempatan ini juga telah mengambil kira peruntukan Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-8. Sebuah pusat kesihatan telah diperuntukkan pembinaannya di Kampong Lamunin, Daerah Tutong dan sebuah lagi di Kampong Sungai Liang, Daerah Belait.

Penentuan lokasi strategik kemudahan-kemudahan kesihatan tersebut ditentukan mengikut kesesuaian dari segi 'economic viability' dan keberkesanan kos serta selaras dengan visi dan misi Kementerian Kesihatan.

Dengan terlaksananya program ini diharap misi Kementerian Kesihatan untuk meningkatkan lagi kesihatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk negara ini melalui sistem kesihatan yang berkualiti tinggi dan komprehensif, berkesan, efisien, responsif, termampu, saksama dan mudah didapati oleh seluruh rakyat dan penduduk di negara ini akan dapat dicapai.

Dalam RKN 2007-2012, sejumlah BND149 juta dari jumlah peruntukan kemajuan disediakan bagi membiayai perlaksanaan 20 program yang telah dirancang dan menjelang 2035 dihasratkan negara dikenali di seluruh dunia dengan kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi di kalangan sepuluh negara teratas dunia.

SEKTOR SWASTA

Promosi kesihatan adalah satu proses yang membolehkan individu menjadi lebih prihatin, berpengetahuan dan berkeupayaan dalam mempertingkatkan status kesihatan secara holistik. Beberapa buah kementerian dan jabatan kerajaan termasuk pihak NGO’s sentiasa aktif mengadakan pelbagai promosi kesihatan.

Langkah Royal Dutch Shell membina Pusat Promosi Kesihatan yang disempenakan mengambil sukut baik Hari Keputeraan Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-60 Tahun jelas merupakan sumbangan berharga yang tidak ternilai harganya.

Dengan kos USD5 juta, pusat yang dihasratkan akan dapat memperkukuhkan lagi usaha ke arah mempertingkatkan status kesihatan rakyat dan penduduk negara ini melalui promosi kesihatan dan amalan cara hidup sihat.

Pusat itu dibina dengan empat tujuan utama iaitu meningkatkan pengetahuan dan kesedaran orang ramai mengenai aspek-aspek kesihatan dan faktor risiko yang berkaitan dengan penyakit-penyakit utama, membantu orang ramai kembangkan keupayaan, kebolehan dan kepakaran dalam membuat pilihan lebih sihat, membudayakan cara hidup sihat sebagai cara hidup dari peringkat kanak-kanak dan remaja, menjadi pusat sumber bagi promosi kesihatan dan penyelidikan dan untuk menjadi destinasi kunjungan orang ramai sebagai sebahagian daripada aktiviti keluarga.

Penglibatan syarikat swasta seperti yang ditunjukkan oleh Royal Dutch Shell itu merupakan sesuatu yang amat berharga dan ianya mencerminkan komitmen berterusan syarikat-syarikat swasta terhadap apa jua program yang diungkayahkan oleh kerajaan menyokong kebaikan bangsa dan negara.

Untuk memantapkan kesihatan seluruh rakyat bukan sahaja menjadi tanggungjawab pihak kerajaan tetapi juga memerlukan penglibatan semua pihak dalam memastikan kesinambungan kesihatan itu berjalan lancar bagi memenuhi Matlamat Pembangunan Milenium yang dirancangkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dengan penglibatan yang ditunjukkan oleh Royal Dutch Shell itu akan menjadi contoh dan ikutan pihak swasta yang lain di negara ini untuk tampil ke hadapan dalam membantu pihak kerajaan dalam meningkatkan taraf dan kualiti kesihatan negara.

Peranan pihak swasta amat penting dalam pembangunan negara dan komitmen berterusan mereka amat diperlukan dalam semua aspek kemajuan negara khususnya yang menjurus kepada menjana ekonomi, pendidikan dan sosial dalam bekerjasama dengan agensi kerajaan merangka program, melaksana dan mengungkayahkan apa jua projek yang mengangkat imej negara dan mengekalkan kesejahteraan seluruh lapisan rakyat dan penduduk.

Penglibatan pihak swasta dalam memberikan perkhidmatan kesihatan di negara ini tidak syak lagi akan dapat membantu mengurangkan perbelanjaan yang ditanggung oleh kerajaan. Meskipun dari segi tanggungjawab rawatan adalah masih tanggungjawab Kementerian Kesihatan tetapi untuk mengurangkan bebanan kos rawatan tersebut memerlukan satu kaedah strategi iaitu melalui ‘public-private partnership’. Dengan demikian kos perkhidmatan kesihatan itu dapat diagih-agihkan dan diringankan bebannya di pihak kerajaan.

Di samping itu orang ramai juga perlu menyambut baik setiap langkah yang diambil oleh kerajaan dan pihak swasta dengan memanfaatkan Pusat Promosi Kesihatan yang baru itu yang memainkan peranan utama dalam mengetengahkan isu-isu dan perkara-perkara yang berkaitan dengan promosi kesihatan dan pencegahan penyakit-penyakit kronik utama. Dengan demikian akan memperkukuhkan lagi usaha ke arah mempertingkatkan status kesihatan rakyat yang sekali gus merupakan aset utama dalam memudahkan proses membangun negara.

Peningkatan peruntukan kesihatan dari setahun ke setahun menunjukkan keutamaan yang diberikan oleh Kerajaan Kebawah DYMM terhadap sektor kesihatan, namun peningkatan itu juga menjadi satu cabaran terhadap kesihatan kerana ianya menimbulkan isu mengenai sama ada sistem kesihatan di negara ini akan dapat bertahan.

PERKEMBANGAN HOSPITAL

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tertarik dengan sembah penerangan seorang pegawai perubatan mengenai fungsi jantung kepada kehidupan iaitu ketika baginda berkenan menyaksikan pameran kesihatan dan perubatan sejurus membukan rasmi Pusat Promosi Kesihatan di Jalan Kebangsaan tahun lepas.

Perkembangan terbaru yang terdapat di hospital-hospital sejak 20 tahun kebelakangan antaranya ialah penubuhan Jabatan Kardiologi dan Pusat Rehabilitasi Kardiak, Pusat Diabetes, Pusat Onkologi, Pusat Penjagaan Harian Psikiatri, Unit Kawalan Rapi Kanak-Kanak, Rawatan Rapi Pembedahan serta penambahan beberapa perkhidmatan perubatan seperti Ortopedik, Mammografi, Dermatologi dan Perkhidmatan Perubatan Rehalibilitasi.

Sementara itu dari segi kemajuan anak watan bertugas di hospital-hospital di negara ini dalam bidang kepakaran juga menampakkan peningkatan seperti bidang kedoktoran dan jururawat. Pada tahun 1968, hanya dua orang doktor tempatan telah mula berkhidmat dan sejak itu bilangan doktor tempatan telah bertambah, di mana pada tahun 2007 terdapat seramai 169 orang doktor tempatan.

Selain itu dari segi teknologi juga menampakan perkembangan umpamanya di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) kini mempunyai peralatan-peralatan moden dan canggih dengan terdapatnya peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) Scan - 64 slices.

Melalui penjagaan kesihatan asasi yang berkesan dan komprehensif, banyak langkah-langkah pencegahan dapat dilaksanakan. Dengan itu, insya-Allah kita akan mampu menghadapi cabaran kesihatan awam khususnya dalam aspek pencegahan dan pengawalan penyakit-penyakit yang berhubung kait dengan cara hidup.

Di Negara Brunei Darussalam, kes-kes bagi penyakit-penyakit berjangkit adalah di tahap yang terkawal. Akan tetapi, kita tidak dapat lari dari realiti dan cabaran yang dihadapi di seluruh dunai pada masa ini, di mana kejadian penyakit-penyakit tidak berjangkit dan penyakit-penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung semakin meningkat di tahap yang membimbangkan serta mengancam penduduk dunia.

Dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan perubatan dan kesihatan, Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah mempertingkatkan kemudahan-kemudahan yang ada untuk memberikan keselesaan bukan sahaja kepada pengguna malahan juga kepada pegawai dan kakitangan yang bertugas iaitu dengan memperbaiki keadaan infrastruktur-infrastruktur yang disediakan.

Peningkatan infrastruktur ini perlu diseimbangkan dan diselaraskan dengan langkah-langkah yang bersepadu serta ikatan persefahaman yang kukuh dari semua jabatan-jabatan di bawah Kementerian Kesihatan.

Perkhidmatan dan program kesihatan yang komprehensif, berlandaskan bukti dan kos efektif, yang mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan serta pencegahan penyakit memainkan peranan penting dalam meningkatkan status kesihatan rakyat dan penduduk negara ini.

CABARAN

Setiap usaha untuk meningkatkan kualiti ke arah yang lebih baik tidak mudah mencapainya tanpa adanya usaha dan cabaran yang bakal dihadapi. Begitu juga halnya ke arah meningkatkan kualiti kesihatan di negara ini antara cabaran tersebut meningkatnya kos penjagaan kesihatan yang disebabkan kenaikan harga ubat, peralatan perubatan terbaru dan kaedah rawatan moden serta cabaran berupa kemunculan penyakit-penyakit berjangkit.

Dalam perkhidmatan kesihatan secara global, salah satu cabarannya ialah kos perkhidmatan kesihatan semakin naik dari setahun ke setahuan disebabkan oleh perkembangan dalam teknologi kesihatan sendiri dan juga kemajuan ubat-ubatan dalam merawat berbagai penyakit.

Di negara kita cabaran dari segi kos bukanlah satu penghalang dalam meningkatkan kualiti dan mutu perkhidmatan kesihatan seluruh negara tapi apa yang penting mengambil cabaran-cabaran itu secara positif.

Cabaran yang lain pula ialah menggariskan strategi-strategi baru dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada orang ramai. Dalam hal tersebut, Kementerian Kesihatan telah pun melakarkan strategi-strategi baru dalam pemberian pekhidmatan kesihatan di negara ini. Strategi ini tidak lari dari asas perkhidmatan kesihatan iaitu perkhidmatan yang mudah diperolehi, efisien, efektif dan saksama.

Dalam hal ini ialah mengubah strategi melibatkan yang bukan hanya pihak kerajaan yang bertanggungjawab kepada perkhidmatan kesihatan di negara ini tetapi orang ramai juga bertanggungjawab dari segi merawat dan menjaga pencegahan di peringkat awal juga akan dapat merendahkan kos perbelanjaan rawatan di negara ini.

KEJAYAAN

Negara Bunei Darussalam adalah di kalangan sebilangan kecil negara di dunia yang telah dapat mengawal penyakit Malaria. Pada tahun 2000, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan negara ini bersama-sama negara-negara rantau Asia Pasifik Barat bebas dari penyakit 'Poliomyelitis', manakala penyakit-penyakit berjangkit lain adalah di tahap yang rendah dan terkawal.

Negara Brunei Darussalam juga telah mencapai petunjuk-petunjuk kesihatan yang ditetapkan oleh WHO seperti kadar kematian anak damit dan jangka hayat. Jika kita bandingkan 40 tahun yang lalu kadar kematian anak damit adalah 36.7 peratus setiap 1,000 kelahiran, pada tahun 2005 kadar ini telah menurun kepada 7.4. peratus jangka hayat pula telah meningkat iaitu 74.2 peratus bagi lelaki dan 77.3 peratus bagi wanita pada tahun 2005.

Melalui kemudahan dan penjagaan kesihatan yang mudah diperolehi kepada semua rakyat dan penduduk di negara ini, melalui pemeliharaan alam sekitar yang bebas dari penyakit, teknologi rawatan yang tercanggih dan ubat-ubatan yang terbukti berkesan serta peningkatan kepakaran doktor-doktor dan pakar-pakar tempatan dan luar negeri, status kesihatan negara ini adalah di tahap yang tinggi seperti yang diiktiraf oleh WHO.

Di bidang-bidang lain, usaha Kerajaan Kebawah DYMM untuk meningkatkan taraf dan kualiti kehidupan rakyat dan penduduk di negara ini dilakukan secara berterusan.

Setiap tahun perbelanjaan kerajaan meningkat sebagai bukti bahawa setiap tahun ada pembangunan yang dirancang. Selain daripada pembangunan infrastruktur, peruntukan juga disediakan bagi perkembangan sumber tenaga manusia bagi menghasilkan tenaga manusia yang mempunyai kelulusan yang lebih tinggi, berkaliber, berwawasan dan mempunyai kepakaran di dalam berbagai bidang agar negara mampu meningkatkan produktiviti dan menjadikan negara ‘competitive’ dan setanding dengan negara-negara lain.

PELBAGAI pameran yang menggalakkan kepada aktiviti hidup sihat dipamerkan di Pusat Promosi Kesihatan, Berakas. Gambar atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan putera-putera baginda terarik dengan pameran yang disediakan sempena pembukaan rasmi pusat itu pada bulan November tahun lepas.

Sesungguhnya kesihatan adalah aset yang penting bagi setiap individu dan setiap individu wajib menjaganya. Dalam erti kata lain, setiap individu harus mengambil langkah yang bersesuaian untuk menjaga kesihatan diri.

Negara Brunei Darussalam akan menjadi sebuah negara yang mempunyai individu, keluarga dan masyarakat yang sihat melalui sistem kesihatan yang adil, cekap, teknologi yang sesuai, memenuhi keperluan alam sekitar dan mesra pengguna, memberi penekanan kepada kualiti, inovasi, meningkatkan kesihatan dan menghormati maruah manusia serta menggalakkan tanggungjawab individu dan penyertaan masyarakat ke arah peningkatan kualiti hidup.

Taraf kesihatan di negara ini telah meningkat dengan ketara hasil daripada komitmen dan sokongan padu kerajaan yang menganggap kesihatan sebagai satu tanggungjawab sosial. Komitmen ini berdasarkan kepada pengiktirafan yang diberi terhadap kesihatan sebagai satu faktor penting dalam proses pembangunan yang boleh membawa kepada perubahan sosioekonomi dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup.


PERHUBUNGAN BERKESAN TINGKATKAN EKONOMI
Rencana Oleh : SITI MUSLIHAT HAJI SALLEH
muslihat.salleh@information.gov.bn

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 9 Julai 2008 berangkat menyaksikan perkembangan infrastruktur yang tedapat di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei dan ini jelas menggambarkan keprihatinan baginda dalam memajukan sektor perhubungan.

KEMAJUAN dan kepesatan infrastruktur sektor perhubungan memainkan peranan penting ke arah memajukan dan mempelbagaikan perekonomian sesebuah negara.

Kesempurnaan dan keberkesanan sektor ini boleh disifatkan sebagai pemangkin ke arah kelancaran pertumbuhan ekonomi yang bakal menarik lebih banyak pelabur .untuk mempertingkatkan kepelbagaian ekonomi negara, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terus berusaha memajukan pembangunan infrastruktur di pelbagai bidang yang berkaitan yang dipercayai mempunyai kepentingan terhadap perkembangan ekonomi.

Antara sektor penting yang diberikan keutamaan pada menjana kemajuan negara ialah sektor perhubungan yang merangkumi bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), telekomunikasi, jalan raya, penerbangan awam, laut dan pelabuhan.

PERKEMBANGAN ICT

Di era multimedia ini, teknologi maklumat dianggap sebagai penentu kemajuan dan perkembangan masa depan negara di dunia keseluruhannya.

Setiap negara berlumba-lumba dan bersaing meraih kemahiran di bidang ICT yang terbukti menjadi faktor utama kemajuan ekonomi sesebuah negara.

Peruntukan kira-kira BND 1 bilion dalam Rancangan Kemajuan Negara (RKN) Ke-8 yang telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi pembangunan sektor ICT di negara ini sebahagiannya telah dibelanjakan untuk pembinaan infrastruktur projek dan e-Kerajaan.

Peruntukan yang besar ini menzahirkan kesungguhan Kerajaan Negara Brunei Darussalam ke arah memperkembangkan dan memperluaskan penggunaan ICT keseluruhannya.

Denggan penggunaan ICT dalam e-Kerajaan adalah sangat penting untuk melaksanakan urusan pemerintahan yang baik, di samping dapat meningkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan yang diberikan serta meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan rakyat.

PELBAGAI program dilaksanakan bagi meningkatkan literasi dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melalui penggunaan internet dan peralatan ICT di kalangan semua lapisan masyarakat, malahan telah dipraktikkan dari peringkat akar umbi iaitu di peringkat sekolah rendah.

Pelbagai program dilaksanakan bagi meningkatkan literasi dalam ICT melalui penggunaan internet dan peralatan ICT di kalangan semua lapisan masyarakat. Dengan memiliki masyarakat yang celik ICT akan dapat membekalkan tenaga kerja yang mempunyai daya saing yang tinggi.

Di waktu yang sama, mempunyai asas infrastruktur ICT negara yang kukuh dan teratur juga dapat memberikan keyakinan tinggi kepada pelabur-pelabur asing untuk melihat negara ini sebagai tempat yang ideal untuk mencurahkan pelaburan.

Perkembangan ICT negara sejak lebih sepuluh tahun yang lalu adalah sangat menggalakkan sama ada dari segi literasi ICT yang semakin meningkat ataupun penggunaan ICT dalam kerajaan, swasta, perniagaan atau persendirian.

Perkembangannya semakin nyata dengan terlaksananya sebahagian besar projek e-Kerajaan di mana setiap kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan menzahirkan semangat yang tinggi melaksanakan racangan masing-masing, di samping keghairahan dari syarikat-syarikat tempatan yang berurus niaga dalam bidang komputer dan ICT yang tumbuh dengan jumlahnya lebih 200 buah.

Respons dari pihak-pihak tersebut telah memberikan kesempatan dan laluan kepada tenaga tempatan untuk mendalami ilmu ICT dan memperkembangkannya atau mungkin akan menjadi pemangkin kepada pemindahan teknologi atau ‘technology transfer’.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika di Majlis Pelancaran Persidangan Kebangsaan Mengenai Masyarakat Bermaklumat (NASIS) pada 7 September 2005 pernah menyentuh mengenai pembentukan satu e-strategi yang sama-sama mendukung wawasan ke arah memanfaatkan ICT bagi mencapai visi-e-Brunei.

Baginda juga menekankan pentingnya untuk memberikan tumpuan dan perhatian kepada ‘hardware’ dan ‘software’ yang disalurkan dalam ICT dengan harapan dapat menyediakan keperluan aplikasi-aplikasi bagi e-Kerajaan, e-Masyarkat dan e-Perniagaan.

Pelan Strategik ICT Kebangsaan IT2000 dan Beyond dalam RKN8 menggariskan tiga inisiatif strategik utama yang akan membawa negara ini ke arah penerapan dan penggunaan ICT secara optima. Inisiatif tersebut ialah pertama, e-Kerajaan, inisiatif dan program bagi mewujudkan suasana yang lebih kondusif bagi membolehkan kerajaan menyediakan perkhidmatan yang efisien, tepat pada waktunya dan berkualiti selaras dengan Wawasan Perkhidmatan Awam Abad Ke 21; kedua, e-Dagang yang bertujuan untuk meningkatkan secara signifikan permintaan bagi perkhidmatan e-Dagang daripada orang awam dan penggunaan ICT dalam perniagaan di negara ini dan ketiga, e-Brunei yang merupakan penggerak bagi negara mencapai 'paperless society,' memajukan negara ini ke arah 'paperless governance' dan pertukaran maklumat / data melalui teknologi multimedia.

Tujuan utama inisiatif e-Kerajaan ialah untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan sektor awam dan seterusnya mencapai objektif EG21 – Rangka kerja Strategik Governance dan Perkhidmatan Secara 'On-line'. Rancangan perlaksanaan e-Kerajaan menetapkan pembangunan ICT kepada bidang-bidang berikut :

(i) Agensi Perkhidmatan e-Kerajaan (EGAS) – Program dan projek yang menyediakan keperluan infrastruktur dan penggunaan ICT bagi semua kementerian;

(ii) Perkhidmatan Jalurlebar e-Kerajaan (EGBS) – Program dan projek untuk mewujudkan perkhidmatan guna-sama pusat maklumat seperti 'Disaster Recovery Centre Co-location', 'Secure Network Operation' untuk rangkaian e-Kerajaan, 'Public Key Infrastructure' bagi e-Perkhidmatan yang selamat dan 'e-Government Enterprise Portal'.

Pada bulan Februari 2001, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Eksekutif Program e-Kerajaan (EGPEC) yang berperanan sebagai penasihat dan perunding bagi Majlis Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (BIT) untuk memaju dan melaksanakan semua inisiatif e-Kerajaan. Sebagai tambahan, Kumpulan Kerja Dasar, Strategik dan Penyelarasan e-Kerajaan (EGSPEC) telah juga dibentuk pada bulan Jun 2002 bagi membantu EGPEC dan menyelaras dasar dan strategi dalam melaksanakan projek-projek e-Kerajaan.

Dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif bagi perkembangan industri berhubung kait dengan ICT, tiga perundangan baru telah digubal dalam tempoh kemajuan negara 2007 - 2012 iaitu pertama, Telecommunications Successor Company Order 2001; kedua, Authority for Info-communications Technology Industry of Brunei Darussalam Order (AiTi) 2001 dan ketiga, Telecommunications Order 2001. Perundangan ini adalah sebagai tambahan kepada akta-akta terdahulu.

Kumpulan bertindak kecemasan Komputer Kebangsaan Brunei (BruCERT) telah ditubuhkan pada 1 Januari 2001. Syarikat Info-Communication Technology Protection and Security Services (ITPSS) Sdn. Bhd. yang dipertanggungjawabkan melaksanakan fungsi BruCERT. Antara fungsinya ialah sebagai Pusat Rujukan Negara bagi penyelarasan, kerjasama dan perhubungan dengan Computer Emergency Response Team (CERT) antarabangsa dan meningkatkan kesedaran dan kefahaman orang ramai tentang keselamatan maklumat.

TELEKOMUNIKASI

Terdapat beberapa perubahan dan perkhidmatan baru telah diperkenalkan di sektor telekomunikasi dalam jangka 2007 hingga 2012. Tarif bagi perkhidmatan panggilan dalam dan luar negeri telah dikemas kini untuk megukuhkan kewangan agensi penyelia perkhidmatan dan untuk menyediakan rangkaian dan perkhidmatan maklumat yang baru. Walaupun kepadatan talian tetap (bilangan talian telefon bagi setiap 100 orang) telah menurun, bilangan pelanggan telefon bimbit terus bertambah.

Ini adalah pada umumnya disebabkan oleh pertambahan yang tinggi di dalam bilangan pelanggan prabayar. Satu rangkaian telefon bimbit kedua menawarkan perkhidmatan telefon bimbit generasi ketiga B-Mobile telah diperkenalkan pada tahun 2005.

Jumlah pelanggan telefon bimbit di negara ini meningkat kepada mana 209,913 penggunaan sehingga bulan Mac 2005 berbanding dengan cuma 202,495 pada tahun sebelumnya. Jumlah pelanggan telefon bimbit dari jumlah komputer bagi setiap 1,000 penduduk juga telah meningkat.

Penembusan internet juga menunjukkan trend yang meningkat, lebih-lebih lagi bagi perkhidmatan jalur lebar.

PENERBANGAN AWAM DAN LTAB

Industri pengangkutan udara merupakan salah satu industri yang berpotensi untuk berkembang maju dan memberikan sumbangan pendapatan yang menggalakkan kepada ekonomi negara. Ini memandangkan industri ini berkait rapat dengan industri pelancongan dan banyak melibatkan sektor perniagaan lain sama ada secara langsung mahupun tidak langsung seperti sektor pengangkutan, perhotelan, restoran, gedung membeli-belah dan sebagainya.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari 'International Air Transport Association (IATA)', terdapat peningkatan jumlah penumpang termasuk pelancongan dan penumpang yang transit / singgah bukan saja di peringkat serantau malahan di peringkat antarabangsa.

PELABUHAN Muara dengan lokasinya yang strategik memiliki teknologi dan kepakaran yang setanding dengan kebanyakan negara-negara luar dengan kemudahan yang disediakan adalah antara yang terbaik di rantau ini.

Bagi rantau Asia Pasifik, China dan India merupakan dua negara besar yang mampu meningkatkan industri pengangkutan udara yang kini sedang berkembang pada kadar di antara lapan hingga sepuluh peratus setiap tahun.

Bagi rantau ASEAN pula, industri pengangkutan udara juga dijangka akan meningkat berikutan persetujuan negara-negara ASEAN terhadap pembebasan perkhidmatan pengangkutan udara. Mengikut kajian yang telah dibuat bagi tempoh 20 tahun ke hadapan, perkhidmatan pengangkutan udara bagi rantau ASEAN dijangka meningkat pada kadar 5.5 peratus setahun. Kadar ini melebihi purata peningkatan di peringkat global yang mana hanyalah mencatatkan peningkatan pada kadar 4.8 peratus setahun.

Melihat akan kepentingan tersebut Kerajaan Kebawah DYMM telah meluluskan satu peruntukkan bagi Jabatan Penerbangan Awam mendapatkan perkhidmatan konsultan yang bertanggungjawab me nyediakan Pelan Induk Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB).

Pembangunan LTAB dilaksanakan dalam dua peringkat di mana setiap peringkat akan menampung trafik udara sepuluh tahun berikutnya. Pelan Induk tersebut akan menjadi panduan bagi pembesaran infrastruktur dan kemudahan-kemudahan yang terdapat di LTAB, di samping meningkatkan, menambah dan membesarkan kemudahan-kemudahan yang ada.

Perlaksanaan pelan ini juga diharap dapat mendukung visi, misi dan rancangan strategik Jabatan Perkhidmatan Awam khususnya dan Kementerian Perhubungan amnya.

Melalui pelan tersebut, LTAB dihasratkan akan lebih berupaya menghubungkan negara ini dengan negara-negara lain.

Pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan bagi menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang ideal untuk dikunjungi. Sebagai pintu masuk melalui udara, LTAB merupakan laluan masuk utama para pelancong dan kargo selain dari Pelabuhan Muara.

Untuk menjadikan LTAB salah sebuah lapangan terbang yang selesa di rantau ASEAN , RKN8 telah menggariskan beberapa projek yang telah dilaksanakan untuk meningkatkan efisiensi kemudahan dan perkhidmatan LTAB. Antara projek tersebut ialah menambah bangunan lapangan terbang serta meningkatkan peralatan dan kemudahan-kemudahan di terminal.

Jumlah pesawat yang keluar masuk di LTAB telah menurun dari 138,576 dalam tempoh RKN7 kepada 111,945 dalam tempoh RKN8, sementara catatan penumpang adalah 6,356,506 dalam tempoh lima tahun iaitu dari 2001 hingga 2005.

Bagaimanapun terdapat peningkatan yang ketara dalam bilangan pergerakan penumpang, saiz kargo dan mel udara yang dikendalikan oleh LTAB. Bilangan penumpang telah meningkat sebanyak 13.5 peratus dari 5,599,292 kg dalam RKN7 kepada 6,356,506 kilogram dalam tempoh RKN8. Jumlah kargo dan mel udara meningkat sebanyak 28.8 peratus dari 100,295,987 kepada 129,171,053 kilogram dalam tempoh yang sama.

DASAR PERKHIDMATAN UDARA LIBERAL

Perkembangan pengangkutan udara di negara ini memerlukan LTAB menjalin rakan strategik dengan syarikat-syarikat penerbangan penumpang yang beroperasi ke negara ini terutama sekali Syarikat Penerbangan Diraja Brunei, Cargo Carriers dan pembekal perkhidmatan yang lain.

Bagi memudah cara perkembangan pengangkutan udara ini, Negara Brunei Darussalam mengamalkan dasar perkhidmatan udara yang liberal yang mempunyai dua tujuan utama iaitu.

Pertama, memudahkan syarikat penerbangan tempatan mengembangkan perkhidmatan udara ke negara-negara lain yang mengamalkan dasar pengangkutan udara yang liberal sama ada untuk menambah bilangan penerbangan bagi destinasi yang sedia ada mahupun bagi memulakan penerbangan ke destinasi baru.

Kedua, memudahkan syarikat penerbangan luar negeri yang beroperasi ke negara ini menambah frekuensi penerbangan dan bagi menggalakkan serta menarik minat syarikat penerbangan lain untuk beroperasi ke negara ini.

Dasar perkhidmatan udara yang liberal ini telah dirundingkan melalui perundingan dua hala dan juga melalui perundingan berbilang hala di peringkat serantau seperti BIMP-EAGA, ASEAN mahupun APEC.

Di peringkat ASEAN pula, melalui 'ASEAN Roadmap for Integration of Air Travel Sector', negara ahli telah dan akan terus komited ke arah pertukaran perkhidmatan penumpang tanpa sekatan bagi hak pengangkutan ke-3 dan ke-4 di antara semua bandar raya utama negara ASEAN bermula hujung tahun lalu, manakala hak pengangkutan ke-5 menjelang Disember 2010.

Pembebasan perkhidmatan udara setentunya akan meningkatkan bilangan pengangkutan udara menggunakan LTAB dan ini adalah merupakan satu peluang bagi negara ini dan syarikat-syarikat tempatan dalam industri pengangkutan dan pelancongan untuk meraih keuntungan.

Sama ada secara langsung ataupun melalui keluaran sampingan (spinoff) hasil dari penambahan jumlah penumpang yang akan berkunjung ke negara ini khususnya para pelancong dan ini seterusnya akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi bagi industri pengangkutan dan pelancongan.

PERANAN SEKTOR SWASTA

Untuk menjadi Negara Brunei Darussalam mencapai visinya sebagai Pusat Perkhidmatan menjelang tahun 2024, peranan pihak swasta juga amat penting.

Dengan bantuan pihak swasta, akan dapat membantu pihak kerajaan mengembangmajukan pembangunan- pembangunan fizikal sama ada pembangunan prasarana ataupun penyediaan perkhidmatanperkhidmatan yang berupa komersial.

Semua perkhidmatan berkaitan dengan sektor pengangkutan dan pelancongan seperti perkhidmatan pengangkutan teksi, penginapan, pemandu pelancongan dan sebagainya hendaklah memberikan perkhidmatan yang berkualiti tinggi, mesra dan jujur.

Jika berlaku kepincangan dalam pemberian perkhidmatan sudah pasti akan menjatuhkan imej dan boleh menggugat keberkesanan hasrat pihak kerajaan bagi mengembangmajukan sektor pengangkutan dan pelancongan di negara ini.

Pelan Induk LTAB juga telah merangka bagi pembentukan strategi perniagaan dan ekonomi bagi LTAB bagi menjana aktiviti perniagaan dan komersial di dalam bangunan terminal dan juga di luar kawasan LTAB.

INSENTIF

Ke arah memperkembangmajukan industri pengangkutan udara di negara ini, Kementerian Perhubungan dan Jabatan Penerbangan Awam akan meneliti satu rancangan untuk memberi insentif kepada syarikat-syarikat penerbangan yang menambah frekuensi penerbangan ke negara ini dan juga kepada penerbangan yang menghubungkan negara ini dengan destinasi baru.

Melalui pemberian insentif berserta dengan pembentukkan strategi perniagaan dan ekonomi bagi LTAB seperti telah dijelaskan, diharap bukan saja akan dapat membantu pihak jabatan meningkatkan hasil pendapatannya melalui pelbagai sumber seperti pembayaran pendaratan, penyewaan pejabat dan ruang perniagaan, pembayaran lesen juruterbang dan pendaftaran pesawat udara, ‘passenger service charges’, perkhidmatan kaji cuaca dan bayaran letak kereta malahan adalah juga merupakan hasrat kerajaan untuk memberikan insentif ‘flexible’ kepada para pelanggan yang mana kadar pembayaran pelanggan atau tarif bagi penggunaan perkhidmatan adalah berdasarkan tempoh penyewaan ruang, saiz keluasan penyewaan, jumlah pendapatan perniagaan para pengusaha yang memberikan perkhidmatan perniagaan dan sebagainya.

LAUT DAN PELABUHAN MUARA

Salah satu lagi laluan pintu masuk antarabangsa yang berpotensi bagi mengembangkan pertumbuhan ekonomi ialah Pelabuhan Muara.

Dasar yang diikuti oleh Jabatan Pelabuhan di bawah Kementerian Perhubungan ialah untuk menubuhkan perkhidmatan perkapalan yang baru, terus dan punggah edar melalui Pelabuhan Muara yang membolehkan pelabuhan ini memenuhi keperluan negara termasuk rantau ini.

Pelabuhan Muara dengan lokasinya yang strategik miliki teknologi dan kepakaran yang setanding di rantau ini dengan kemudahan antara yang terbaik di rantau ini.

Penubuhan Zon Eksport (MEZ) yang terletak di luar kawasan pelabuhan, adalah langkah berani jabatan ini yang telah diambil di dalam usaha untuk mempromosikan dan menjadikan Negaa Brunei Darussalam sebagai pusat perdagangan di rantau ini. Dengan menyedari keperluan bagi membolehkan menangani semua aktviti-aktiviti utama yang mempromosikan perdagangan dan aktiviti-aktiviti yang berkaitan.

Terdapat potensi yang luas bagi perkembangan kemudahan ini dengan tertubuhnya rantau BIMPEAGA. Dengan kedudukan geografi yang strategik di antara negara-negara EAGA, Pelabuhan Muara disokong dengan infrastruktur dan kemudahan pelabuhan yang canggih. Hasrat Jabatan Pelabuhan adalah untuk menjadikan Pelabuhan Muara sebagai pusat penggabungan dan punggah edar serantau dengan menyediakan kadar tarif yang menarik dan menggalakkan untuk memajukan pasaran yang berpotensi besar.

MEZ menawarkan kadar tarif yang sangat kompetetif dan menggalakkan bagi perkembangan perdagangan di MEZ. Di samping kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh Jabatan Pelabuhan, penerapan prosedur kastam juga diselaraskan melalui Jabatan Pelabuhan untuk kesenangan pelanggan-pelanggan MEZ.

Projek yang dilaksanakan dalam RKN8 termasuklah Pangkalan Laut Muara. Jabatan Laut mengadakan Perkomputeran Pelabuhan, Inland Container Depot (ICD) termasuk membaiki dan membersihkan kontena dan Sistem Keselamatan Kecemasan Maritim Sejagat. Operasi dan pengurusan Terminal Kontena Muara (MCT) telah diambil alih oleh Syarikat Kontena PSA Muara Sdn. Bhd. Pada bulan Oktober 2000 sebagai satu usaha untuk meningkatkan daya saing Pelabuhan Muara. Jumlah kontena yang dipunggah edar melalaui MCT dalam tempoh RKN8 ialah 65,952 TEUs yang mana meningkat lebih dari tiga kali ganda dari 13,550 TEUs dalam tempoh RKN7.

JALAN RAYA

INFRASTRUKTUR jalan raya yang teratur memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan perhubungan kerana dengan kepantasan perhubungan dari satu tempat ke satu tempat yang lain akan dapat menghargai masa dan melicinkan perjalanan bagi pengguna jalan raya.

Kerajaan dalan RKN 2007 -2012, akan membina beberapa jalan dan jambatan baru serta memperbaiki yang sedia ada. Projek ini memberi kesan positif dari segi pengurangan masa perjalanan, peningkatan tahap keselamatan jalan raya dan pembukaan beberapa kawasan yang dikira ‘tersisih’ untuk aktiviti ekonomi pada masa hadapan.

Satu kajian kemungkinan bagi pembinaan jambatan penghubung di antara Daerah Brunei dan Muara dengan Daerah Temburong akan dijalankan. Satu terminal bas dan stesen bas pusat akan dibina di Muara dan Bandar Seri Begawan. Bagi memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam, kerajaan akan meneliti sistem pengangkutan awam ini.

SUMBANG EKONOMI

Kerajaan dalam tempoh lima tahun iaitu 2007 hingga 2012 telah membuat pelaburan yang banyak dalam sektor jalan raya, penerbangan awam, laut dan pelabuhan serta telekomunikasi.

Di negara-negara maju dan pesat membangun kepesatan sektor perhubungan jelas memberikan impak yang baik kepada negara, kelancaran sektor ini memberikan pulangan keuntungan kepada ekonomi.

Kerajaan juga telah merancang untuk mewujudkan suasana yang kondusif bagi kemajuan ekonomi dengan memastikan terdapatnya sistem pengangkutan dan perhubungan yang cekap. Bagi memastikan kemajuan ekonomi yang seimbang, rangkaian infrastruktur juga meliputi kawasan luar bandar di mana berbagai projek pengangkutan dan perhubungan telah diungkayahkan.

Adalah diharapkan kepesatan sektor perhubungan ini akan menaikkan taraf dan kedudukan negara ini di mata antarabangsa.

Infrastruktur pengangkutan dan perhubungan yang lebih efektif setentunya akan memberikan laluan kepada sektor swasta untuk lebih maju dan berdaya saing dalam melaksanakan aktiviti perekonomian.

Sektor perhubungan yang sebilangan besarnya di bawah Kementerian Perhubungan boleh mempertingkatkan lagi sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Kementerian Perhubungan setentunya menyediakan rancangan atau pelan strategiknya yang tersendiri ke arah menggalakkan dan memelihara persekitaran kondusif untuk para pelabur melabur dan menjalankan perniagaan dalam sektor perhubungan dan pengangkutan di Negara Brunei Darussalam.


EKONOMI TERUS KUKUH DAN STABIL
Rencana Oleh : NORLIAH MD. ZAIN.

MESRA ... Kebawah DYMM beramah mesra dengan kakitangan yang bertugas di Takaful IBB.

DALAM keadaan dunia yang sedang menghadapi pergolakan ekonomi dan krisis kewangan, Negara Brunei Darussalam nampaknya terus menikmati keadaan ekonomi yang kukuh dan stabil. Ini adalah berkat kepimpinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Sebagai seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, baginda sentiasa memastikan rakyat dan penduduk di negara ini bebas dari belenggu kemiskinan. Maka dengan itu, perlulah bagi negara ini mempunyai ekonomi yang kukuh dan stabil di samping tidak mengenepikan nilai-nilai Islam.

PERBANKAN ISLAM

Industri perbankan Islam di negara ini sememangnya banyak menyumbang kepada perkembangan ekonomi di negara ini. Sejarah awalnya, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Mesyuarat Majlis Ugama Islam pada 25 September 1990 antara lain bertitah:

“Umpamanya sebagai contoh, satu perkara yang berhubung dengan sistem kewangan Islam, yang sangat popular hari ini, ialah Bank Islam. Ianya bukanlah lagi suatu impian atau angan-angan, tetapi khabar-khabarnya, sudah terdapat 50 buah Bank Perdagangan Islam di negara-negara Islam pada masa ini. Pada hemat beta, ini juga merupakan salah satu daripada kewajiban fardu kifayah bagi tiap-tiap negara dan negara kita Brunei Darussalam adalah tidak terkecuali.”

Pada menjunjung titah tersebut, satu komiti khas telah pun dibentuk bagi mewujudkan sebuah institusi kewangan Islam yang pertama di negara ini. Setahun selepas baginda bertitah, pada 29 September 1991 beroperasilah institusi kewangan Islam yang pertama iaitu Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB). Dengan kelahiran TAIB inilah, ia menjadi satu titik permulaan kepada penubuhan institusi kewangan Islam yang lain di negara ini.

Pada 13 Januari 1993, Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah memperkenankan semua operasi bank tempatan 'The International Bank of Brunei' ditukar kepada sistem yang berlandaskan hukum Syariah. Berikutan itu nama bank juga diubah kepada Bank Islam Brunei Berhad (IBB).

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam prihatin dengan perkembangan perbankan di negara ini. Gambar menunjukkan baginda beramah mesra bersama seorang kakitangan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

Kemudian pada Julai 2000, Bank Pembangunan Brunei (DBB) ditukar namanya kepada Bank Pembangunan Islam Brunei (IDBB), selaras dengan penukaran sistem dan operasinya kepada sistem perbankan Islam.

Pada 7 Julai 2005, Kementerian Kewangan telah mengumumkan bahawa Kebawah DYMM telah memperkenankan bagi cadangan penyantuman dua buah bank iaitu IBB dan IDBB. Setelah selesainya proses pemindahan aset dan ‘liabilities’ IBB dan IDBB, maka pada 3 Julai 2006, beroperasilah Bank Islam Brunei Darussalam Berhad (BIBD) iaitu cantuman daripada IBB dan IDBB.

INSURANS ISLAM

Bagi memenuhi kehendak orang ramai, syarikat-syarikat insuran Islam atau takaful juga ditubuhkan. Antara syarikat takaful yang ada pada masa ini, Insurans Islam Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) , Syarikat Takaful IBB Berhad dan Syarikat Takaful BIBD. Syarikat-syarikat Takaful ini menyediakan perkhidmatan insuran berlandaskan hukum syarak yang meliputi bagi orang ramai dan harta mereka hinggalah kepada perlindungan yang melibatkan syarikat-syarikat besar atau korporat.

Industri perbankan Islam di negara ini telah dapat membuktikan kejayaannya dan telah pun diberi pengiktirafan antarabangsa. Menurut akhbar ‘The Times of London’ keluaran 8 Oktober 2003, populariti perbankan Islam telah meningkat di negara ini dengan adanya sokongan daripada kerajaan Kebawah DYMM.

TABUNG Amanah Islam Brunei (TAIB) giat adakan jerayawara bagi mempromosi produknya. Gambar menunjukkan Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Dr. Awang Haji Mat Suny selaku Pengerusi Perbadanan TAIB ketika menyaksikan pameran di Jerayawara Insurans Islam TAIB, pada 18 Januari 2009.


Dalam mempromosikan produk takaful masing-masing, syarikat-syarikat takaful lazimnya mengadakan beberapa kegiatan promosi antaranya membarigakan melalui media-media massa dan ada juga yang mengadakan jerayawara. Misalnya pada 18 Januari 2009 yang lalu, Insurans Islam TAIB Sendirian Berhad telah pun mengadakan jerayawara kali ke 3 dengan memperkenalkan produk takaful terbaru iaitu, Takaful Kembara. Jerayawara tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Paduka Dr. Awang Haji Mat Suny Haji Mohd. Hussien yang juga selaku Pengerusi Perbadanan TAIB. Jerayawara bertempat di Big Top, Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC), Daerah Belait.

Faedah skim takaful tersebut ialah bagi menyediakan perlindungan takaful kepada individu yang membuat perjalanan ke luar negara sama ada tujuan pelancongan dan pekerjaan. Skop perlindungan skim takaful ini meliputi perlindungan kemalangan diri, khairat kematian, tanggungan pihak ketiga yang meliputi kecederaan kepada orang awam dan kerosakan atau kerugian harta benda orang awam, perbelanjaan perubatan, kos penempatan kecemasan dan penghantaran balik dan kesulitan semasa perjalanan seperti kehilangan atau kelewatan bagasi, kelewatan penerbangan, kehilangan dokumen perjalanan dan sebagainya. Selain itu, skim takaful itu juga memberi perlindungan perjalanan keseluruh dunia dengan sumbangan takaful mengikut pakej yang tertentu.

Dengan adanya insurans berunsurkan Islam atau takaful, semestinya ia dapat memenuhi kehendak kaum muslimin di negara ini. Dengan produk takaful yang pelbagai juga, menunjukkan ia telah mampu bersaing dengan skim-skim insurans yang disediakan oleh syarikat konvensional.

SUKUK AL-IJARAH

Dalam inisiatif untuk membangunkan pasaran kewangan di negara ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam titah baginda sempena Hari Raya Aidilfitri 1426/2005 Masihi antara lain mengumumkan bahawa kerajaan baginda melalui Kementerian Kewangan akan mengadakan satu pasaran modal yang bersandarkan hukum syarak melalui penerbitan Sukuk Al-Ijarah.

Sukuk Al-Ijarah umumnya menggantikan 'bond conventional'. Sukuk Al-Ijarah adalah bond Islam kerana ianya diterbitkan dengan bersandarkan urus niaga jual beli dan sewaan hartanah, yang mana telah disahkan oleh pakar-pakar syariah dalam dan luar negara sebagai menepati kehendak hukum syarak.

Perbezaan utama antara Sukuk Al-Ijarah dan 'bond conventional', ialah Sukuk Al-Ijarah ini tidak menggunakan konsep pembayaran kadar faedah (interest rates) yang tetap. Jual beli sukuk adalah bersandarkan jual beli dan sewaan hartanah. Oleh itu, struktur sukuk tidak mempunyai unsur riba yang memang jelas dilarang oleh agama Islam.

Seperti 'bond conventional,' lazimnya sukuk diterbitkan atau dijual oleh pihak kerajaan atau pihak korporat iaitu untuk menambah modal bagi membiayai projek baru yang akan dilaksanakannya.

Pada 14 Mac 2006, Kementerian Kewangan secara rasmi melancarkan Sukuk Al-Ijarah Kerajaan Jangka Pendek yang menjadi langkah pertama membangunkan pasaran kewangan di negara ini. Dengan memperkenalkan pasaran kewangan sendiri, negara ini telah mengukuhkan kedudukan Negara Brunei Darussalam dalam pertumbuhan masyarakat kewangan Islam serantau dan global yang semakin meningkat. Sukuk Al-Ijarah Kerajaan Jangka Pendek menyediakan instrumen pelaburan Islam kepada institusi kewangan awam dan merupakan langkah awal kerajaan ke arah memajukan pasaran modal di negara ini.

Dengan pelancaran Sukuk Al-Ijarah Kerajaan Jangka Pendek itu menjadikan Negara Brunei Darussalam negara pertama yang membangunkan pasaran modal dengan terus memperkenalkan instrumen kewangan Islam tanpa perlu mengeluarkannya melalui cara konvensional.

Dari kacamata pihak penerbit atau penjual sukuk ianya dilihat sebagai satu cara untuk mendapatkan modal, misalnya untuk membesarkan perniagaan. Dari kacamata pihak awam yang membeli dan memegang sukuk pula ianya boleh dilihat sebagai simpanan dan pelaburan, kerana penerbit sukuk berjanji akan membeli balik sukuk pada satu masa kemudian dan penerbit juga membahagi-bahagikan hasil sewa hartanah kepada pemegang sukuk setiap tahun selama ianya dipegang oleh pelabur-pelabur berkenaan.

Negara-negara Islam yang telah menerbitkan Sukuk Al-Ijarah ini termasuklah Malaysia, Qatar, Bahrain dan Pakistan. Institusi-institusi utama yang telah menerbitkannya pula termasuklah Bank Pembangunan Islam di Jeddah, Arab Saudi dan Kumpulan Guthrie, Malaysia.

Tujuan utama penerbitan sukuk kerajaan ini dibuat adalah sebagai langkah permulaan bagi perkembangan pasaran modal bagi Negara Brunei Darussalam iaitu selaras dengan perkembangan serantau dan antarabangsa.

Kejayaan Penerbitan Sukuk Al-ijarah jangka pendek adalah penting bagi kita meletakkan kedudukan kita supaya setanding dengan negara-negara maju yang lain di rantau ini khasnya dan dunia amnya. Ini terutamanya dalam sektor monetari dan kewangan. Ianya adalah juga satu pemangkin dalam usaha kita untuk menjadi sebuah pusat kewangan antarabangsa yang mantap dan menarik. Dengan penumpuan ke atas pasaran modal yang mengikut kehendak hukum syarak kita juga mendukung identiti kita sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja (MIB).

BIFC

Untuk memantapkan ekonomi Brunei dalam keadaan yang lebih stabil, negara ini giat membuat pelbagai usaha dalam mempelbagaikan ekonominya. Salah satu inisiatifnya ialah penubuhan BIFC (Brunei International Financial Centre). Matlamat penubuhan BIFC antaranya ialah untuk memberi peluang pekerjaan kepada rakyat Brunei yang berkelayakan dalam bidang kewangan, menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai pusat kewangan utama dan sebagai pemangkin untuk mendorong dan meningkatkan pembangunan sektor perkhidmatan kewangan dengan meningkatkan aktiviti industri berkaitan.

PRODUK keluaran tempatan bukan sahaja diminati oleh penduduk tempatan bahkan luar negara menunjukkan produk kita berpotensi untuk dieksport ke luar negara.

Maka dengan itu, BIFC giat mempromosikan Brunei ke negara luar tentang potensi yang ada di negara ini. Misalnya BIFC telah pun menyertai Ekspo China-ASEAN kali kedua yang berlangsung di Nanning pada 19 hingga 22 Oktober 2005 bagi mempromosikan Brunei sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa.

Di samping mempromosikan Brunei sebagai pusat kewangan utama, BIFC juga mengambil peluang untuk mempromosikan Brunei sebagai destinasi pelancongan dan pusat pelaburan. Sememangnya kita juga perlu meningkatkan pendapatan negara dengan mempelbagaikan ekonomi daripada terus bergantung kepada minyak dan gas.

POTENSI

Untuk menggiatkan lagi promosi untuk negara ini, negara ini melalui pihak Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) turut membuat beberapa taklimat mengenai projek-projek yang bakal dibuat kepada perwakilan asing yang melawat ke negara ini. Taklimat-taklimat yang diadakan adalah untuk menarik minat mereka untuk membuat pelaburan ke negara ini. Apatah lagi negara kita giat melaksanakan projek industri hiliran minyak seperti metanol dan projek Pulau Muara Besar. Setentunya projek-projek ini memerlukan kepada kepakaran tertentu yang mungkin terdapat pada negara-negara lain.

Selain itu, BEDB turut berperanan dalam membantu pengusaha kecil dan sederhana (SME) di negara ini misalnya agensi ini telah pun menubuhkan Pusat Inovasi (i-Centre). Ini adalah semata-mata bagi membantu mereka dalam memajukan perniagaan masing-masing.

Selain itu agensi-agensi tertentu turut menyediakan bantuan seperti latihan, pengetahuan, kemahiran dan memperkenalkan teknologi baru. Menyedari kesukaran SME untuk memasarkan produk mereka di luar negara, maka ada kementerian telah membawa peniaga SME keluar negeri untuk diberikan ‘exposure’ seperti mengikuti ekspo-ekspo yang dianjurkan di luar negeri. Dengan mengikuti ekspo-ekspo di luar negeri itu, ia setentunya memberi peluang kepada mereka bagi mendapat kontek ‘distributor’ yang berminat.

Bagi orang ramai yang berminat berniaga tetapi tidak mampu mendapatkan modal perniagaan, mereka juga boleh membuat permohonan melalui zakat. Walau bagaimanapun, permohonan ini sememangnya perlu ditapis terlebih dahulu sebelum mereka layak menerimanya.

Setakat ini antara industri yang telah menarik perhatian pelabur asing ialah industri marin. Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha Parti bagi Jawatankuasa Parti CPC bagi kawasan Berautonomi Guangxi Zhuang dan Pengerusi bagi Jawatankuasa Tetap bagi Kongres Rakyat Kawasan Berautonomi Guangxi Zhuang, Tuan Yang Teutama Guo Shengkun ketika beliau berada di negara ini pada April tahun lalu.

Ketika berada di negara ini, TYT telah pun mencadangkan lima bidang kerjasama yang salah satu daripada ialah industri perikanan. TYT menyatakan, dalam bidang perikanan ia perlu diperkukuhkan dengan menggalakkan dan membantu perusahaan dalam perikanan ‘pelagic’, ‘aquiculture’, pemprosesan produk akuatik, produksi memberi makanan dan teknik penternakan. Produk marin yang dihasilkan di negara ini menurutnya adalah sangat berkualiti dan sangat berpotensi dalam menghasilkan makanan halal dari produk marin.

Selain itu, industri produk halal turut berpotensi bagi negara ini memandangkan ketegasan negara ini dalam hal ehwal penyembelihan. Disebabkan itu, negara ini berupaya mengadakan ekspo halal antarabangsa. Dengan mengadakan ekspo halal bertaraf antarabangsa, ia sememangnya dapat mempromosi negara ini dalam industri produk halal.

PRODUK keluaran tempatan dihasrat dapat membantu pertumbuhan ekonomi negara.

PENDAPATAN

Dari statistik yang diperolehi dari Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi, bagi suku pertama tahun 2008 (Januari hingga Mac), pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada harga semasa (current prices) ialah BND19,805.4 juta di mana pendapatan per kapita KDNK pada harga semasa ialah BND49.8 juta. Sektor minyak dan gas telah menyumbang sebanyak BND12,885.9 juta berbanding BND6,949.5 juta di sumbangkan oleh sektor bukan minyak dan gas.

Sementara pendapatan KDNK pada harga berterusan (constant prices) bagi suku pertama tahun 2008 ialah BND12,094.5 juta. Sejumlah BND5,476.1 juta disumbangkan melalui minyak dan gas sementara BND6,618.4 juta di sumbangkan oleh sektor bukan minyak dan gas.

Disebabkan pendapatan negara ini nampaknya masih lagi banyak bergantung kepada sumber minyak dan gas, maka usaha-usaha untuk mempelbagaikan ekonomi terus giat dilaksanakan. Menjadikan negara ini sebagai pusat kewangan utama adalah perlu agar pendapatan negara boleh bertambah melalui sektor bukan minyak dan gas.

KESIMPULAN

Dengan menekankan Islam sebagai teras kepada pembangunan ekonomi di negara ini, menjadikan negara ini sentiasa diberkati oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Walaupun dalam keadaan dunia sekarang ini yang sibuk dengan krisis kewangan dan ekonomi, negara ini terus saja menikmati ekonomi yang kukuh dan stabil. Mudah-mudahan keadaan ekonomi yang kukuh dan stabil akan terus dinikmati oleh generasi yang akan datang.


WANITA DALAM PEMBANGUNAN NEGARA
Rencana Oleh : HEZLINAWATI HAJI ABD. KARIM

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tidak membezakan peranan kaum wanita di arena antarabangsa. Gambar atas baginda berkenan mengurniakan Watikan Pelantikan kepada Puan Yang Terutama Dayang Rakiah binti Haji Abd. Lamit sebagai Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Kanada.

WANITA… Masihkah mereka dianggap golongan yang lemah? Masihkah mereka dianggap golongan yang tidak setanding atau tidak setaraf dengan kaum lelaki? Masihkah wanita di zaman ini hanya memainkan peranan dalam sesebuah rumah tangga sahaja tanpa dihiraukan kehadiran mereka dalam memajukan sesebuah negara?

Sememangnya di zaman ini peranan wanita sebagai tulang belakang bagi pembangunan sesebuah negara tidak dinafikan lagi. Sumbangan kaum wanita di negara ini dalam sama-sama berbakti ke arah pembangunan negara adalah setanding dengan kaum lelaki.

Peranan yang mereka mainkan tidak kurang pentingnya dalam memajukan negara ini, oleh itu mereka juga diberi kepercayaan untuk memegang dan memikul tanggungjawab penting dalam jentera pentadbiran Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah ketika bersabda di Majlis Perasmian Persidangan ‘Wanita dan Kerjaya’ pada 8 Mac 2008, menjelaskan arus persaingan dalam era globalisasi ini berjalan dengan begitu cepat dan deras serta membawa dengannya, kesan positif dan negatif bagi kaum wanita, khususnya yang berkaitan dengan bidang kerjaya.

Proses globalisasi sabda Yang Teramat Mulia, telah membuka banyak ruang dan peluang yang boleh direbut oleh kaum wanita terutamanya dalam bidang-bidang yang berunsurkan teknologi infokomunikasi.

“Untuk berjaya, di dalam arus persaingan ini, kaum wanita perlu lebih bersikap positif dan bersedia serta bijak dalam melihat dan memilih peluang-peluang kerjaya yang berasaskan ilmu dan kemahiran,” sabda Yang Teramat Mulia.

TINGKATKAN PENGETAHUAN

Setiap manusia khususnya umat Islam dituntut supaya menimba ilmu pengetahuan sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:

“Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim sama ada lelaki atau perempuan.” (Hadis riwayat Ibn Majah).

Hadis itu jelas menunjukkan betapa setiap manusia termasuklah golongan wanita wajib mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, samada ilmu duniawi apatah lagi ilmu keagamaan. Dengan berbekalkan ilmu di dada, golongan wanita akan dapat mengurus dan mentadbir tanggungjawab mereka dengan lebih bijak dan berwibawa, sama ada tanggungjawab di rumah atau pejabat. Apatah lagi di dunia yang tanpa sempadan ini, golongan wanita perlu meningkatkan pengetahuan mereka agar tidak ketinggalan dari kaum lelaki.

WANITA, RUMAHTANGGA DAN KERJAYA

Kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja di negara ini sehingga tahun 2008 adalah sebanyak 74,400. Bagi wanita yang mempunyai kerjaya ini dan telah pun berumahtangga, mereka masih tidak lari dari kedudukan sebagai isteri dan juga ibu. Dalam berkerjaya ini mereka juga berkewajipan seiring dengan kewajipan lelaki bekerja. Ini tertakluk dengan peraturan dan garis pandu dalam perkhidmatan tertentu, kedudukan jantina bukanlah merupakan halangan utama untuk wanita menjalankan kewajipan mereka. Mereka harus bijak membahagikan masa antara kerja dan rumah tangga agar tidak berlakunya seperti pepatah Melayu : ’Yang dikejar tak dapat, yang digendong pula berciciran’. Mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa peranan wanita sebenarnya amat berat kerana selain bergerak selari dengan kaum lelaki dalam sama-sama membangun negara, mereka juga perlu memikul tanggungjawab menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan juga ibu bagi memastikan anak-anak mendapat didikan dan penjagaan yang sempurna.

PENGLIBATAN kaum wanita dalam pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dalam sama-sama mempertahankan negara, merupakan satu pengiktirafan yang tinggi nilainya kepada kaum wanita.

Seorang wanita yang menjadi ibu serta mempunyai kerjaya bertanggungjawab terhadap penjagaan dan pendidikan anak-anaknya akan menghargai masa yang terbatas semasa berada di rumah. Mereka yang terpaksa meninggalkan anakanak bersama orang lain contohnya pembantu rumah, hendaklah berusaha mengimbangi masa yang terbatas di rumah supaya tanggungjawab seorang ibu dapat dilaksanakan. Kesibukan tugas di luar rumah boleh menjejaskan prestasi ibu di rumah sekiranya mereka kurang bijak memanfaatkan masa kerana peranan di rumah bersama anak-anak adalah aset penting jangka panjang bagi sesebuah keluarga dan seterusnya masa depan negara, agama dan bangsa.

Tanggungjawab wanita dalam mewujudkan keluarga bahagia berteraskan ‘rumahku syurgaku’, bermula sejak kelahiran anak damit sehinggalah ia dewasa. Sebagai seorang ibu pula, wanita memainkan peranan untuk menerapkan nilai-nilai murni seperti berakhlak mulia dalam jiwa anak-anak sementara dalam pembangunan ekonomi, wanita merupakan penyumbang yang amat signifikan.

WANITA DALAM PERSATUAN

Walaupun sibuk dengan kerjaya yang diamanahkan kepada mereka, kaum wanita tidak melepaskan peluang untuk bergiat aktif dalam persatuan-persatuan wanita di negara ini. Kaum wanita sama ada yang mempunyai kerjaya ataupun tidak diseru supaya akan dapat melibatkan diri dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela dalam memberikan sumbangan yang berguna kepada masyarakat dan negara ini dengan penuh ikhlas.

Namun begitu, walaupun sibuk dengan kerjaya dan persatuan-persatuan, kaum wanita janganlah pula melupakan tugas dan tanggungjawab mereka dalam mengurus keluarga. Janganlah hendaknya kesibukan kerjaya dan berpersatuan itu dijadikan alasan untuk mengabaikan peranan mereka yang lebih utama dalam berkeluarga, sebaliknya mereka hendaklah pandai membahagikan masa dan tahu menilai keutamaan yang harus diberikan antara keluarga, kerjaya dan persatuan. Rebutlah peluang yang ada untuk menyemai dan memupuk sifat kesukarelawan ini kepada anak-anak yang bakal menjadi generasi pelapis di masa akan datang.

Bagi merebut kejayaan di dalam arus persaingan ini, kaum wanita perlu lebih bersikap positif dan bersedia serta bijak dalam melihat dan memilih peluang-peluang kerjaya yang berasaskan ilmu dan kemahiran supaya akan dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang serta mempertajamkan kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh satu-satu kerjaya yang dilengkapi ilmu dan kebolehan serta sikap bekerja yang positif dan komited, mereka akan layak diiktiraf dan digelar sebagai wanita profesional atau pekerja yang berprestasi tinggi.

Semua keterlibatan golongan wanita dalam persatuan-persatuan mahupun kerjaya mendapat sumber inspirasi dari Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, yang mana baginda telah menjadi pendorong terhadap kemajuan-kemajuan wanita di negara ini sejak sekian lama. Baginda telah berkenan menjadi Penaung beberapa persatuan wanita di negara ini yang terdapat di bawah payung Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam dalam menyatupadukan dan memupuk sikap persefahaman dan perpaduan di kalangan wanita-wanita di negara ini.

MENGANGGOTAI CEDAW

Negara Brunei Darussalam telah menjadi sebuah negara ahli kepada Konvensyen Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Kaum Wanita (CEDAW) pada 24 Mei 2006. Sebagai ahli, negara ini bertanggungjawab mengambil langkah-langkah untuk menghapuskan diskriminasi di dalam semua bentuk termasuklah daripada aspek undang-undang, organisasi dan juga diskriminasi oleh orang perseorangan atau perusahaan. Konvensyen ini secara khusus merujuk hak persamaan gaji dengan persamaan pekerjaan (equal pay and equal treatment), cuti bergaji dan juga hak keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. Tiap negara ahli mempunyai tanggungjawab bagi memastikan tidak ada amalan-amalan yang berbentuk diskriminasi di mana-mana tempat bekerja.

YANG Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masn, Ambbasador at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan berkenan mengurniakan anugerah kepada Dayang Sariana binti Nordin kerana kejayaan beliau sebagai'First Brunei Female Pilot' .

Oleh itu, golongan wanita di negara ini sememangnya bernasib baik kerana tiada wujudnya jurang atau diskriminasi dalam bidang pekerjaan. Malahan, mereka yang telah menjadi wanita pertama dalam bidang masing-masing tidak dilupakan atau tidak diendahkan begitu saja. Pencapaian cemerlang mereka itu dipandang tinggi dan diberikan pengiktirafan.

Ini jelas terbukti di mana buat julung-julung kalinya seramai lapan wanita pertama dalam bidang masing-masing telah dianugerahkan penghormatan dalam satu majlis pencapaian anugerah penghormatan kepada wanita-wanita yang mencapai kejayaan ( 'A Salute to Women Achievers Awards'). Ini menunjukkan jasa yang telah mereka curahkan dalam memajukan dan mengharumkan nama negara telah diberikan pengiktirafan.

WANITA DALAM PERKHIDMATAN AWAM

Menurut buku Perencanaan Kemajuan Jangka Panjang Negara Brunei Darussalam, kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja (LFPR) di negara ini meningkat dari 56 peratus pada tahun 2001 kepada 59 peratus pada tahun 2005. Bilangan wanita dalam tenaga kerja meningkat sebanyak 9 peratus dari 60,434 orang kepada 66,000 orang dalam tempoh yang sama. Pada tahun 2001, 14 peratus dari jumlah tenaga kerja wanita berpendidikan teknikal dan tinggi, 38 peratus berpendidikan menengah atas / vokasional, 25 peratus berpendidikan menengah bawah dan 23 peratus berpendidikan rendah.

PERANAN kaum wanita dalam Perkhidmatan Awam adalah sama penting dengan kaum lelaki. Pengurniaan pingat kebesaran kepada kaum wanita menunjukkan bahawa peranan mereka diiktiraf oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam sama-sama membangun negara.

Bilangan wanita dalam Perkhidmatan Awam juga meningkat sebanyak sebelas peratus dari 18,246 orang pada tahun 2001 kepada 20,314 orang pada tahun 2005. Taburan wanita dalam Bahagian I (ketua jabatan dan pegawai eksekutif kanan), Bahagian II (pegawai kanan) dan Bahagian III (peringkat penyelia) masing-masing meningkat dari 7 peratus, 44 peratus dan 50 peratus pada tahun 2001 kepada 20 peratus, 48 peratus dan 54 peratus pada tahun 2005. Namun, peratus wanita dalam Bahagian IV dan V (kerani dan pengendali) menurun dari 50 peratus dan 42 peratus masing-masing kepada 49 peratus dan 40 peratus. Pertambahan ini adalah ekoran dari peluang yang sama diberikan kepada wanita untuk mendapatkan pendidikan. Peruntukan cuti bersalin dengan gaji dan penyediaan kemudahan penjagaan kanak-kanak dan sekolah bimbingan kanak-kanak juga telah memudahkan lagi penyertaan wanita dalam Perkhidmatan Awam. Langkah ini juga disokong oleh dasar yang fleksibel dalam pengambilan pembantu asing.

WANITA DALAM SEKTOR PERTANIAN

GOLONGAN wanita merupakan golongan yang paling ramai bergiat dalam sektor pertanian bagi sama-sama meningkatkan ekonomi negara.

Sektor pertanian adalah juga merupakan satu sumber ekonomi yang penting di negara ini di mana salah satu hasil pertanian iaitu beras merupakan salah satu komoditi dan makanan asasi dan utama di negara ini. Dalam sektor ini, golongan wanita juga tidak ketinggalan dalam sama-sama menyahut usaha negara untuk mempelbagaikan ekonomi. Jumlah wanita yang bergiat aktif dalam sektor pertanian misalnya dalam penanaman padi, bukanlah sedikit.

Menyedari akan kepentingan itu, pengeluaran padi secara tidak langsung menyumbang kepada kepentingan keselamatan pemakanan negara. Bagi mencapai tujuan tersebut, di samping sebagai salah satu usaha mempelbagaikan ekonomi negara, kerajaan melalui Rancangan Kemajuan Negara Ke-8 yang dikendalikan Jabatan Pertanian telah melaksanakan projek-projek tertentu bagi meningkatkan penghasilan padi negara.

WANITA DAN PERNIAGAAN

PENGLIBATAN aktif kaum wanita dalam perniagaan memang tidak disangkal dari dulu lagi, lebih-lebih lagi dalam membantu pendapatan keluarga.

Salah satu sektor yang dianggap penting dalam pembangunan negara ialah sektor perniagaan kecil-kecilan. Di negara ini di mana ekonominya banyak bergantung pada hasil minyak dan gas, amat mengalu-alukan penglibatan penduduknya dalam sektor berkenaan ke arah matlamat untuk mempelbagaikan ekonomi. Golongan wanita di negara ini juga tidak ketinggalan untuk melibatkan diri dalam aktiviti perniagaan kecil-kecilan ini.

Untuk lebih berdaya saing, wanita-wanita yang terlibat dalam perniagaan kecil-kecilan mahupun SME perlu menukar corak pemikiran untuk menjadi lebih inovatif dan berjiwa usahawan, kerana sikap demikian amat penting untuk menjana pasaran khusus bagi produk mereka bukan saja untuk pasaran tempatan tetapi juga pasaran serantau dan global. Mereka diseru agar sentiasa merebut peluang yang ada dalam mengembangkan perniagaan mereka dan memperkenalkan produk-produk mereka di pasaran antarabangsa.

WANITA DALAM SUKAN

Keterlibatan wanita dalam mengharumkan negara ini bukan hanya dalam bidang kerjaya, malahan mereka juga terbukti dapat mengharumkan nama negara dengan penyertaan mereka dalam arena sukan. Atlet-atlet wanita negara ini sering kali diamanahkan untuk membawa mandat negara dalam menanai dan melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menaikkan nama negara di dunia antarabangsa. Sememangnya ramai atlet-atlet wanita di negara ini yang menunjukkan prestasi dan pencapaian terbaik dalam bidang sukan, di samping memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam mana-mana acara yang mereka sertai. Dalam mana-mana pertandingan yang melibatkan peserta wanita, mereka diseru supaya menanamkan semangat daya saing yang tinggi dan mempunyai sikap patriotisme dalam jiwa atlet demi mencapai kemenangan.

KAUM wanita juga telah ramai yang mengharumkan nama negara di dunia antarabangsa, termasuk di arena sukan.

Sememangnya penglibatan wanita dalam arena sukan bukanlah sesuatu yang baru di negara ini. Atlet-atlet wanita di Negara Brunei Darussalam juga tidak kurang hebatnya, malahan tidaklah keterlaluan jika dikatakan mereka dapat menyaingi atlet-atlet lelaki dalam mengharumkan nama negara di persada serantau dan antarabangsa. Kalau hendak diimbas dari segi kejayaan, atlet-atlet wanita negara ini mencapai kejayaan di arena serantau dan antarabangsa.

Sememangnya tidak disangkalkan lagi kaum wanita memegang dua peranan iaitu sebagai pembentuk keluarga bahagia, di samping menjadi penyumbang bermakna dalam pembangunan negara. Dwiperanan mereka ini sudah pun terbukti dan amat dikagumi.

Apa yang penting, kaum wanita di negara ini yang dianggap sebagai pemudi tiang negara hendaklah berani tampil menyahut cabaran-cabaran negara dengan berbekalkan ilmu pengetahuan. Golongan wanita juga haruslah menghargai dan memanfaatkan kebolehan yang mereka miliki selaras dengan tugas dan peranan masing-masing tanpa mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga.


RAKYAT BERPENDIDIKAN, BERKUALITI
Rencana Oleh : SAMLE HAJI JAIT
samle.jait@information.gov.bn

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) ketika berkenan mengurniakan ijazah kepada putera baginda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik yang mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera Dalam Pengajian Pendidikan - Aliran Inggeris.

NEGARA Brunei Darussalam terus melangkah menikmati perkembangan dan kemodenan arus perdana dihasil dari berbagai bidang sekali gus dapat dikecapi oleh semua peringkat golongan rakyat jelata dan penduduk di negara ini.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam tidak kendur-kendur merancang dan merencana secara konsisten bagi mengekalkan suasana kenikmatan ini.

Kekuatan faktor sumber tenaga manusia dilihat mempunyai peranan asas yang penting bagi mengekalkan senario ini demi ‘mengampiti’ generasi baru yang mana mereka akan menjadi penyambung ke arah kemajuan dan mengekalkan suasana keamanan serta keharmonian negara nanti.

Ke arah itu, bidang pendidikan merupakan aset penting dalam merangsang dan melahirkan tenaga manusia yang intelek dan berwawasan tinggi, di samping bakal peneraju dan memimpin negara yang berkualiti, dinamik dan berupaya menjana serta menyumbang kepada pembangunan negara.

Kejayaan melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkualiti sudah tentu akan menyaksikan kesinambungan kemajuan dan keharmonian negara yang terus dirasai sampai bila-bila.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah bertitah menekankan bidang pendidikan merupakan satu keutamaan kepada negara.

“Kerajaan beta sekarang telah pun mengemaskinikan perancangan ke arah sistem pendidikan kebangsaan dengan memperkenalkan Sistem Pendidikan Abad 21 atau SPN21. Ia dihasratkan untuk menyahut cabaran-cabaran pembangunan insan dan ekonomi serta juga mendukung aspirasi Wawasan Negara,” titah baginda sempena Hari Keputeraan baginda yang ke-62 Tahun.

SPN21

Tahun 2009 dilihat menjadi mercu tanda yang penting kepada bidang pendidikan negara di mana Sistem Pendidikan Negara Abad Ke 21 (SPN21) telah diperkenalkan untuk membawa perubahan besar dalam pendidikan di negara ini.

Perlaksanaan SPN21 adalah tepat pada masanya ketika Negara Brunei Darussalam mempersiapkan diri ke arah melangkah gerbang tahun 2035 dan selaras sebagai persiapan dan bentang kukuh bagi menghadapi perubahan global pada abad ke 21.

Ia juga dihasratkan untuk demi mencapai haluan ke arah kecemerlangan rakyat berpendidikan tinggi untuk menjana masa depan negara yang gemilang.

Untuk mencapai hasrat itu, Kementerian Pendidikan telah menggariskan lapan strategi pendidikan iaitu melabur dalam pendidikan awal kanak-kanak, menggunakan amalan terbaik antarabangsa dalam pengajaran dan pembelajaran; mengadakan pendidikan yang bertaraf tinggi di peringkat menengah dan pengajian tinggi termasuk sekolah vokasional yang menghasilkan pakar, ahli profesional dan juruteknik yang diperlukan dalam perniagaan dan industri.

Me m pe r k uku h k a n kompetensi dan teknologi maklumat dan komunikasi; membentuk program yang menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan meningkatkan akses pendidikan tinggi; menggalakkan penyelidikan, perkembangan dan inovasi di institusi kerajaan dan institusi perkongsian sektor awamswasta dan antarabangsa, menggunakan kaedah mengajar yang ’cost effective’ melalui penggunaan teknologi dan memperbaiki pengurusan semua institusi pendidikan merupakan strategi pendidikan yang dilihat efektif.

Strategi itu digubal bagi mempersiapkan rakyat di negara ini dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran agar mereka mampu bersaing dengan perubahan yang berlaku di sekeliling dan mampu menyaingi serta meredah apa jua situasi yang ditempuhi.

Perlaksanaan SPN21 dikendalikan secara berperingkat-peringkat di mana peringkat peralihan telah pun dilaksanakan pada 2008 bagi pelajar Tahun 7 dan di peringkat rendah akan dilaksanakan tahun ini ialah bagi pelajar Tahun 1 dan Tahun 4. Perlaksanaan SPN21 sepenuhnya di peringkat rendah ialah pada tahun 2011.

PERUBAHAN SISTEM PENDIDIKAN

SPN21 ini akan merubah landskap pendidikan ke arah lebih cemerlang dan perlu dimanfaatkan setiap penuntut dalam memburu kejayaan.

SISTEM Pendidikan Negara Abad Ke 21 (SPN21) menyediakan banyak peluang lengkap kepada penuntut-penuntut.

SPN21 bertindak memenuhi keperluan-keperluan dan cabaran-cabaran perkembangan pembangunan ekonomi dan sosial abad ke 21, menyediakan kemahiran-kemahiran, di samping merealisasikan visi dan misi Kementerian Pendidikan, di samping memenuhi tema-tema strategik yang digariskan dalam Pelan Strategik Kementerian Pendidikan (2007 - 2011).

Perubahannya adalah berasaskan bagi menyahut Wawasan Brunei 2035 di mana menjelang tahun itu, kementerian Pendidikan dihasratkan menjadikan Negara Brunei Darussalam di kenali di seluruh dunia dengan mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, di samping mempunyai kehidupan rakyat yang berkualiti tinggi dan ekonomi yang dinamik dan berdaya tahan.

Melalui SPN21 juga akan menyaksikan meningkatnya pencapaian pelajar terutama dalam tiga mata pelajaran teras iaitu Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Selain itu, meningkatkan peratus kemasukan pelajar ke peringkat pendidikan tinggi dari 14 peratus hingga mencapai 30 peratus, menanai dan meningkatkan penguasaan pelajar dalam Bahasa Melayu juga menjadi teras perubahan pendidikan negara.

Sistem Pendidikan Nega telah memberi penekanan terhadap pembangunan sahsiah di mana tiada penahanan dari Tahun 1 hingga Tahun 10/11 (kecuali dalam kes pelajar yang mempunyai kedatangan kurang dari 85 peratus).

SPN21 turut menyediakan belbagai saluran pendidikan disediakan hingga ke peringkat pengajian tinggi dengan pelbagai pilihan program pendidikan mengikut kecenderungan, keperluan dan kebolehan pelajar. Peluang mengikuti Program Pendidikan Menengah Empat tahun atau Program Pendidikan Menengah Lima tahun sebelum menduduki peperiksaan ‘Brunei-Cambridge General Certificate of Education’ (BCGCE) Peringkat ’O’ juga terbuka.

Di samping itu, SPN21 turut menjana peluang untuk memperolehi kemahiran asas teknikal dan vokasional dan perdagangan yang berguna dalam pelbagai kerjaya mahupun perusahaan sendiri, peluang untuk mengikuti pendidikan teknikal dan vokasional di peringkat pengajian tinggi. Pelajar berkeperluan khas juga boleh menikmati faedah dari SPN21.

Menerusi SPN21, pelajar-pelajar akan mengikuti Program Pendidikan Menengah Empat tahun atau Program Pendidikan Menengah Lima tahun di peringkat menengah sebelum menduduki peperiksaan BC- GCE Peringkat 'O' atau kelulusan yang sebanding.

Semua pelajar akan mengikuti kurikulum yang sama selama dua tahun (Tahun 7 dan Tahun 8) dan selepas Tahun 8, pelajar-pelajar akan disalurkan ke program Program Pendidikan Menengah General (Tahun 9 hingga 10 atau Tahun 9 hingga 11) dan Program Pendidikan Menengah Applied (Tahun 9 hingga 11).

Usaha murni kementerian Pendidikan ini sudah tentu akan mencapai matlamatnya dengan gemilang menerusi sokongan padu semua penuntut, ibu bapa dan gandingan tenaga pengajar.

Kita bersyukur, kerajaan telah menyediakan prasarana pendidikan yang kondusif kepada semua peringkat dengan membina dari sekolah-sekolah rendah, menengah malah institusi tinggi yang menjadi menara gading kepada semua penuntut di negara ini.

MENTERI Pendidikan ketika menyaksikan bahan buku teks yang digunakan untuk pembelajaran sistem SPN21.

Kita bangga pencapaian UBD kini berjaya melahirkan ribuan graduan yang mapan yang diantaranya telah menjawab jawatan penting dalam kerajaan sementara itu, penubuhan UNISSA sebagai universiti kedua juga memperlihatkan kesungguhan negara untuk melahirkan rakyaat yang berpendidikan menjurus kepada pengajian dalam perspektif keislaman.

Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB) satunya institusi pengajian tinggi yang menawarkan pengajian keguruan agama yang akan menghasilkan guru-guru berkemahiran dalam bidang pendidikan.

Manakala Institut Teknologi Brunei (ITB) yang telah dinaikkan taraf sebagai sebuah universiti juga membuka ruang luas kepada rakyat menimba kemahiran dalam jurusan-jurusan bidang teknologi.

UBD LAHIRKAN GRADUAN INTELEK

Untuk menjejaki kaki ke menara gading memang tidak semudah yang disangkakan, semua penuntut perlu berusaha gigih untuk mencapai harapan tinggi itu. Namum kita patut berbangga, sehingga kini UBD telah melahirkan ribuan graduan yang berjaya dalam berbagai jurusan.

Selaras dengan fungsinya, UBD terus berkembang maju dan melangkah ke hadapan mengimbangi perkembangan dengan berhasil menyumbang khidmat dan bakti kepada perkembangan negara dari sudut sumber tenaga manusia menurut pengkhususan masing-masing.

UBD terus mengorak langkah apabila bermula bulan Ogos depan akan menawarkan Ijazah Sarjana Muda Kesenian, Ijazah Sarjana Muda Sains, Ijazah Sarjana Muda Sains Kesihatan dan Ijazah Sarjana Muda Perniagaan.

Program-program ijazah sarjana muda baru itu bakal menawarkan berbagai laluan bagi menyediakan para bakal graduan dengan kefleksibelan dalam memilih kerjaya yang perlu di dalam perubahan global ekonomi yang pantas di abad ke 21.

Kursus ijazah sarjana muda itu bakal memajukan pengetahuan yang meluas meliputi tentang disiplin-disiplin dengan memastikan pedalaman yang mencukupi ke arah menyiapkan penuntut-penuntut untuk program profesional dan pengajian lanjut.

Setiap program akan membolehkan penuntut-penuntut untuk memilih dari salah satu pelbagai disiplin-disiplin utama, peningkatan oleh reka bentuk khusus bagi menyediakan angka ganda kritikal, analitikal, teoritikal dan praktikal perspektif pada disiplin utama bagi mengekalkan perlebaran dan relevannya.

Program itu nanti juga sudah tentu akan melahirkan penuntut sebagai penghasil pekerjaan selain mereka juga sebagai ‘marketable dan employable’ untuk pekerjaan.

Langkah pengenalan program ijazah generasi baru itu juga merupakan usaha persediaan UBD dalam menyiapkan dirinya dengan selaras dengan SPN21 di mana ia akan seiring dengan perkembangan dengan pendidikan negara.

KEUNIKAN UNISSA

Sebagai universiti kedua di negara ini, UNISSA menyediakan program pengajian tinggi Islam di peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan secara teratur dan berkesan bagi menghasilkan pendidikan komprehensif untuk melahirkan ulama, sumber tenaga manusia dan cendekiawan Islam yang berwibawa, syumul, mempunyai jati diri, profesional, berilmu, beramal, berakhlak dan bertakwa, meningkatkan kemahiran pengajaran dan keberkesanan pembelajaran, tarbiah, penyelidikan dan penerbitan dengan menggunakan teknologi terkini.

Rakyat turut merebuat peluang yang luas menerusi pelbagai program di peringkat Ijazah Pertama, Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah dalam kedua-dua aliran Arab dan Inggeris yang berasaskan kepada keperluan sumber tenaga manusia yang mempunyai identiti kebolehpasaran (marketability) sebagaimana yang dikehendaki oleh negara.

Kita nanti akan berbangga dengan kejayaan graduan kelahiran UNNISA sebagai cendekiawan yang pakar dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan khusus dalam pengajian islam.

Ini juga sudah tentu akan menyaksikan lahirnya ahli ekonomi, ahli kewangan, ahli perbankan, ahli pengurusan, ahli sains, ahli farmasi, ahli pemakanan dan sebagainya dari perspektif Islam.

SUMBANGAN ITB

Graduan Institut Teknologi Brunei (ITB) menjadi satu lagi nadi penting yang memberikan sumbangan besar dan bermakna kepada pembangunan dan kemakmuran negara.

Ia diukur dari sudut penyediaan sumber tenaga manusia yang cekap, berdaya saing dan dinamik di bidang kejuruteraan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pengurusan dan perdagangan.

Bidang-bidang berkenaan mampu menjana keperluan berbagai aspek yang diperlukan dalam pembangunan negara justeru pencapaian cemerlang rakyat dalam bidang ini sangat membanggakan.

DORONGAN

Untuk melahirkan rakyaat yang berpendidikan dan berkualiti, kerajaan tidak kendur-kendur memberi galakan yang tinggi dengan menyediakan berbagai anugerah Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke luar negara mengikut pencapaian dan jurusan penuntut yang cemerlang.

BERSEMANGAT TINGGI ... Penuntut sekolah berperanan penting selaku generasi yang akan memimpin negara masa depan.

Tidak kira kecemerlangan pendidikan itu diperolehi dari institusi pendidikan menara gading di dalam atau di luar negara, ia sudah tentu akan memberikan pulangan yang lumayan kepada negara yang bangga mempunyai rakyat yang profesional dan bertauliah dalam pelbagai bidang untuk mengisi kekosongan sumber tenaga manusia yang diperlukan supaya negara lebih cepat mencapai kemajuan.



Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Negara Brunei Darussalam
hos Sambutan
Hari Komanwel 2009

JABATAN Belia dan Sukan memaklumkan bahawa Negara Brunei Darussalam akan menjadi hos acara Sambutan Hari Komanwel 2009 pada 8 hingga 11 Mac 2009 dan Bengkel Serantau mengenai Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia mulai 12 hingga 17 Mac 2009 pada tahun ini. Sambutan ini dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Program Belia Komanwel, Pusat Asia bertemakan 'Komanwel 60: Membantu Generasi Muda'. Acara itu membolehkan negara-negara anggota menyertai aktiviti-aktiviti yang menggalakkan persafahaman mengenai isu-isu global, kerjasama antarabangsa dan aktiviti-aktiviti bagi komanwel moden di samping memberikan peluang baik kepada mereka untuk bertukar-tukar idea, menggalakkan persefahaman dan kerjasama di samping meningkatkan hubungan yang harmoni di antara mereka. Sementara itu bengkel serantau mengenai Pencegahan Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia adalah untuk menyediakan satu platform kepada para belia untuk berkongsi maklumat tentang amalan-amalan terbaik dan belajar antara satu sama lain. Ia juga untuk meningkatkan pengetahuan dan persefahaman peserta tentang dimensi virus masalah penyalahgunaan dadah, menyediakan pelan-pelan tindakan untuk pencegahan penyalahgunaan dadah, rawatan dan penjagaan serta mengukuhkan kordinasi di kalangan kerajaan dan bukan kerajaan ke arah strategi efektif bagi pencegahan, rawatan dan penjagaan. Setiap negara ahli akan disertai oleh dua wakil berusia 18 hingga 29 tahun dari sektor kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan dengan pengetahuan dan pengalaman mengenai isu HIV/AIDS dan penyalahgunaan dadah.