|

Rabu , 25 Februari 2009
29 Safar 1430
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
BERSEDIA LAKUKAN
PEMBAHARUAN, PERUBAHAN
SEMPENA Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah pentingnya bagi semua lapisan rakyat dan penduduk negara ini mempunyai azam yang kuat dalam merancakkan pembangunan dan kemajuan bagi menempatkan negara setara dengan negara-negara maju dan seterusnya meletakkan bangsa Brunei sebaris dengan masyarakat antarabangsa 25 tahun akan datang. Bagi memenuhi hasrat murni itu selayaknyalah kita membuat persediaan-persediaan yang lebih strategik dan terarah dengan melakukan sebarang pembaharuan dan perubahan-perubahan yang akan mengangkat martabat Negara Brunei Darussalam.
Perubahan dalam erti kata lebih memajukan bangsa dan negara mustahak diutamakan bukannya perubahan yang membawa mudarat kepada bumi Darussalam yang tercinta. Kita perlu ingat agar setiap langkah pembaharuan dan perubahan itu diasaskan kepada Wawasan Brunei dengan mengambil kira bukan sahaja kedudukan di dalam negara malahan juga trend sejagat. Memang tidak dapat dinafikan, dalam masa lebih dua dekad itu, negara telah berjaya mencatat berbagai perkembangan dan kemajuan di berbagai bidang. Namun kita juga berhadapan dengan cabaran serta turut menyaksikan berbagai krisis yang berunsur geopolitik, ekonomi dan keselamatan antarabangsa. Pengalaman-pengalaman lalu itu mengajar negara dan rakyat lebih bersikap dewasa dan bertambah matang.
Kemerdekaan yang dicapai sehingga membawa kepada Jubli Emas seharusnya lebih mendewasakan kita semua dalam apa jua tindak-tanduk yang kita lakukan, dan bukannya sebaliknya hanya berpada dengan apa yang dicapai. Semua warga Brunei harus sedar terutama generasi muda, supaya lebih komited dalam mengejar kemajuan. Dunia kini dipenuhi dengan 1,001 macam hambatan. Hambatan terbaru ialah krisis kewangan global yang kini menjejaskan teruk ekonomi dunia.
Bersandarkan senario masa kini, janganlah kita asyik dibuai mimpi-mimpi indah, tetapi bersegeralah melakukan sesuatu yang terbaik bagi kesinambungan pembangunan negara di masa mendatang. Jangan sekali-kali lalai dan alpa dalam mengejar
apa jua kemajuan. Lambat bertindak atau membuat pembaharuan akan menyebabkan kita jauh tertinggal. Sesuatu keadaan yang perlu kita hindari. Bangsa Brunei perlu lebih cepat bergerak ke hadapan mengejar apa jua kemajuan dan menciptakan sebarang pembaharuan yang hasilnya dapat dituai dan dinikmati bersama. Ekonomi negara mustahak ditingkatkan dan bukan hanya berharap kepada hasil minyak dan gas. Pertanian negara harus dikembangmajukan dan diperluaskan.
Industri-industri perlu diperbanyakkan dan dipesatkan. Daya pengeluaran dan hasil-hasil negara hendaklah dipertingkatkan. Eksport negara dimantapkan. Pendek kata segala aktiviti perekonomian yang menjurus kepada pendapatan negara harus
digerakkan dengan lebih ligat agar negara akan mudah menjana pembangunan.
Perkara ini mustahak diberikan fokus utama selaras dengan kehendak pemimpin kita Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang mahukan negara bergerak lebih pantas dalam memacu ekonomi seperti titah baginda:
"Kita sekarang ingin melihat, di antaranya, pertumbuhan industri bukan minyak meningkat, kemiskinan ditangani, pengeluaran padi dan beras bertambah dengan pertambahan yang melonjak, di samping peranan Perkhidmatan Awam yang terus menyerlah dan berkesan".
Sudah sampai masanya bagi kita menghasilkan perubahan jitu di dalam pendekatan mahupun tindakan. Ini bermakna dalam apa jua tindakan, jangan memada setakat membuat kerja-kerja rutin sahaja, tetapi melakukan sesuatu yang ’luar biasa’. Melambatkan atau melengah-lengahkan perubahan sangatlah merugikan, walhal orang lain sudah ’berenang jauh ke tepian. Wajar bagi kita ’berlari’ dari sekarang dan bukan lagi dengan hanya ’merangkak’, kerana, masa 25 tahun telah banyak mengajar kita erti kehidupan' dan memberikan banyak pengalaman berguna untuk kita jadikan pedoman dalam menuju kesinambungan membangun negara yang tercinta.
Cabaran utama yang kita hadapi ialah bagi merealisasikan Wawasan Brunei 2035. Dalam masa 25 tahun akan datang pelbagai cabaran sudah pasti menanti kita di hadapan. Cabaran-cabaran yang menuntut semua warga Brunei lebih peka akan untung nasib bangsa dan negara. Dalam menggapainya, memerlukan anjakan paradigma dan sinergi dalam membuat sebarang perubahan dan pembaharuan terutama dalam melahirkan para ilmuwan yang mempunyai kemahiran dalam pelbagai disiplin ilmu.
Kita sebenarnya masih banyak tugas untuk dilaksanakan. 25 tahun cumalah satu langkah ke hadapan, di mana cabaran yang kita depani 25 tahun akan datang lebih kompleks dan mencabar ditambah dengan ruangnya yang terlampu luas untuk diteroka. Bersama-samalah kita berpimpin tangan mengisi pembangunan dengan komitmen membangunkan bumi tercinta dan memelihara buah kemerdekaan yang kita tatang selama ini. Marilah kita membangun negara, membina diri dan mengisi kemerdekaan dengan ketaatan kepada Allah serta dengan patriotisme dan ilmu. Semoga dengan itu, Negara Brunei Darussalam bertambah makmur dan sejahtera serta kekal menjadi sebuah negara Melayu Islam Beraja yang unggul dan termasyhur di mata dunia.
Kembali ke muka utama
|