BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 Februari.- Bersempena dengan sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan 2009, Jabatan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan seperti tahun-tahun
yang sudah menganjurkan acara Pesta Buku Brunei di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Sehubungan itu, Wakil PELITA BRUNEI sempat menemu bual Setiausaha Bersama Pesta Buku Brunei 2009 kali ini , Awang Abdul Malik bin Haji Metarsad yang mana menjelaskan pesta tersebut akan diadakan selama 10 hari bermula hari Jumaat, 27 Februari sehingga hari Ahad 8 Mac 2009
depan.
Insya Allah, Majlis Perasmian Pesta Buku Brunei 2009 itu katanya akan berlangsung pada hari Sabtu, 28 Februari nanti dan akan disempurnakan
oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Ahmad bin Haji Jumat.
Menurutnya, sebanyak 110 buah petak telah pun ditempah oleh para pengedar dan toko buku yang terdiri dari 54 buah syarikat dari dalam dan
luar negeri termasuk beberapa buah jabatan kerajaan.
“Apa yang menarik dalam Pesta Buku Brunei 2009, para pengunjung boleh menggunakan peluang keemasan untuk mendapatkan bahan bacaan dari gerai-gerai yang menjual pelbagai buku, jurnal, majalah, e-Buku, komputer, bahan IT, peralatan Pendidikan, bahan Seni Khat dan lain-lain lagi.
Pihak penganjur telah menyusun beberapa aktiviti sepanjang pesta itu berlangsung bagi membolehkan orang ramai untuk ikut serta. Di antara aktiviti-aktiviti itu ialah Peraduan Mewarna Lukisan, Meneka Jumlah Dalam Botol, Meneka Bau Rempah Ratus, Kuiz Kenali Negara Kitani, Menduga Akal (Teka-Teki), Teka Gambar dan sebagainya” jelasnya seterusnya.
Di samping itu juga, Bengkel Reka Bentuk Buku tambahnya juga akan diadakan selama tiga hari yang bermula dari 28 Februari hingga 2 Mac 2009 di samping Aktiviti Sastera dan Peraduan Mari Bercerita Peringkat Saringan. Sementara itu Peraduan Kuiz Di Radio katanya juga akan diadakan di Rangkaian Pelangi 91.4FM yang bermula dari 24 Februari hingga 5 Mac 2009.
Pesta Buku Brunei 2009 ini akan dibukakan kepada orang ramai pada setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 10 malam kecuali hari Jumaat penjualan akan bermula pada pukul 9 hingga 11.30 pagi dan pukul 2.30 petang hingga 10 malam.
Beliau diakhir temubual mempersilakan kehadiran orang ramai bagi sama-sama memeriahkan lagi pesta tersebut.
(Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi)
Kembali ke muka utama