Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

SIAPA YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT?

ZAKAT adalah satu kewajiban ke atas seorang Muslim yang cukup dengan syarat-syaratnya kerana ia terdiri daripada rukun Islam yang ketiga. Ianya juga sebagai tunggak ekonomi sosial umat Islam kerana pengagihannya mengikut peraturan Allah yang ditetapkan dalam Al-Qur’an dan sunnah. Menurut Imam Al-Nawawi definisi zakat itu adalah pengambilan dari harta yang tertentu, menurut sifat-sifat yang tertentu untuk diberikan kepada golongan yang tertentu. Kesimpulannya zakat itu adalah kadar yang telah ditetapkan dan dikenakan ke atas harta-harta yang dikeluarkan zakatnya pada setiap tahun apabila harta-harta yang dimiliki itu sudah sampai nisabnya dan diberikan pada mereka yang berhak.

Menurut sejarah di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Zakat mula diwajibkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala seiring dengan kelahiran agama Islam di Mekah iaitu sebelum Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam berhijrah ke Madinah. Pada ketika itu kadar dan jenis harta yang diwajibkan zakat dan syarat-syarat orang berzakat belum lagi dijelaskan secara terperinci, akan tetapi penerimaan zakat hanyalah bagi orang fakir dan miskin. Keadaan ini berjalan sehinggalah tahun kedua Hijrah, barulah diwajibkan zakat fitrah. Penerimaan zakat pula masih lagi kepada dua orang sahaja iaitu fakir dan miskin sehinggalah tahun kesembilan Hijrah, barulah Allah memerintah lapan asnaf yang wajib menerima zakat.

Dalam hadits yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud : "Sampaikanlah bahawa Allah Subhanahu Wata’ala telah mewajibkan zakat pada harta benda mereka yang dipungut dari orang-orang yang kaya untuk diberikan kepada orang-orang miskin di antara mereka."

Golongan orang yang menerima zakat:

Adapun orang yang berhak menerima zakat itu terbahagi kepada lapan asnaf iaitu:

1) Fakir: Orang yang memerlukan bantuan di mana mereka tidak memperolehi hasil pendapatan yang cukup untuk menampung keperluan asas mereka sesuai mengikut kebiasaan masyarakat tertentu. Mereka adalah orang yang tidak memiliki harta dan sumber pendapatan yang halal mengikut pendapat jumhur ulama Fiqah atau orang yang memiliki harta kurang dari kadar nisab syar'ie zakat mengikut pendapat mazhab Imam Hanafi. Kedudukan mereka lebih teruk daripada kedudukan orang-orang miskin dan ada pendapat yang mengatakan sebaliknya.

2) Miskin:Mereka adalah orang yang mempunyai sumber pendapatan yang sesuai untuk menampung sebahagian dari keperluannya tetapi masih lagi tidak mencukupi mengikut pendapat jumhur (majoriti) ulama. Menurut mazhab Imam Hanafi dan Imam Maliki, keadaan mereka adalah lebih teruk dari orang fakir sedangkan mengikut mazhab Imam Syaf'ie dan Imam Hambali adalah sebaliknya (iaitu keadaan mereka lebih baik dari orang fakir).

3) Amil zakat:Pihak yang bertugas melakukan kerja-kerja yang berkaitan dengan pengumpulan, penyimpanan, penjagaan, pencatatan dan pengagihan harta zakat. Mereka diberi dari harta zakat menurut kadar pekerjaan dan kecukupan mereka walaupun mereka ini orang yang berkemampuan kerana mereka adalah “Ujara” (orang yang bekerja dengan upah), sehingga upah mereka sesuai dengan kerja mereka. Kebanyakan mereka ini orang-orang yang bertugas di jabatan masjid, masjid-masjid dan balai ibadat.

4) Al-Muallaf Qulubuhum:Orang yang memeluk agama Islam. Golongan ini adalah merupakan salah satu dari lapan golongan yang berhak menerima zakat dan ia merupakan salah satu syariat (peraturan hukum) yang masih tetap berlaku sehingga sekarang dan masih belum dinasakhkan mengikut pendapat jumhur ulama Fiqah (majoriti) sehingga orang-orang muallaf yang kaya juga tidak dihalang dari menerima harta zakat. Dan juga bagi orang-orang yang mempunyai keinginan untuk memeluk Islam. Secara melembutkan hati orang yang diharapkan supaya memeluk Islam atau supaya orang yang mempunyai pengaruh memeluk Islam demi kepentingan Islam dan umat Islam.

5) Ar-Riqob:Seorang budak yang ingin merdeka dengan membeli dirinya sendiri dari sayyidnya dengan cara bekerja dan mengumpulkan wang yang genap maka wang tersebut diberikan kepada sayyidnya dan membolehkan ia menjadi orang merdeka. Memandangkan kepada golongan ini sekarang ini sudah tidak ada lagi, bahagian zakat mereka dipindahkan kepada golongan-golongan lain yang berhak menerima harta zakat mengikut pendapat jumhur (majoriti) ulama fekah. Manakala sebahagian ulama yang lain pula berpendapat bahawa bahagian ini masih boleh dilaksanakan iaitu kepada tentera-tentera Islam yang menjadi tawanan.

6) Al-Gharimin:Orang yang mempunyai beban hutang hingga ia tidak mampu untuk memenuhinya. Dengan syarat hutang tersebut digunakan dalam perkara yang masyru’ (halal), tetapi jika hutangnya dalam rangka maksiat maka mereka tidak berhak memperolehi zakat kecuali jika mereka bertaubat. Adapun syarat orang yang berhutang yang berhak menerima zakat iaitu:

* Hutang tidak dibuat kerana maksiat.

* Mempunyai hutang sekeliling pinggang.

* Orang yang berhutang sudah tidak mampu lagi menjelaskan hutangnya

* Hutang sudah tiba tempoh pembayarannya atau telah wajib dijelaskan ketika zakat diberikan kepada orang yang berhutang.

7. Fii-sabililah:Orang-orang yang berperang dan berjihad dalam rangka membela Islam, sedangkan mereka tidak mempunyai gaji tertentu dari negara Islam. Maka mereka diberi secukupnya juga bagi orang yang wajib dinafkahi hingga mereka kembali ke keluarganya, meskipun lama dalam berjihad, walaupun ia seorang yang kaya.

8. Ibnu Sabil: Orang asing yang tidak memiliki pembiayaan untuk kembali ke tanah airnya. Golongan ini boleh diberikan zakat dengan syarat-syarat sebagaimana berikut:

* Masih dalam perjalanan musafir di luar kawasan (negeri) tempat tinggalnya. Jika dia masih lagi berada di dalam kawasan (negeri) tempat tinggalnya tetapi dia memerlukan bantuan, dia dianggap sebagai golongan (fakir) atau (miskin).

* Perjalanan musafir tersebut bukan untuk urusan yang bertentangan dengan syarak supaya zakat yang diberikan tidak dijadikan sebagai bantuan untuk melakukan maksiat.

* Pada masa tersebut dia tidak memiliki pembiayaan untuk kembali ke negerinya walaupun dia seorang yang kaya di negerinya. Jika dia mempunyai wang tunggakan (hutang yang belum tiba tempoh pembayaran) atau wang (hutang) bersama orang yang tidak diketahui di mana dia berada atau wang (hutang) bersama seseorang yang berada dalam kesempitan kewangan atau wang (hutang) bersama orang yang tidak mengaku berhutang, semuanya itu tidak menghalanginya dari berhak menerima zakat.

Zakat membebaskan manusia dari sesuatu yang menghinakan martabat mulia manusia dan merupakan kegiatan tolong- menolong yang sangat baik, dalam menghadapi masalah kehidupan dan perkembangan zaman. Matlamat zakat ialah untuk membebaskan si penerima zakat itu dari keperluan dan permasalahan yang dihadapinya supaya ia dapat menjaga kemuliaan manusia itu sendiri yang memang sudah dimuliakan Allah dan juga untuk membantunya dalam menghadapi pergolakan hidup ini serta peredaran zaman. Orang yang membayar zakat itu akan menerima ganjaran yang setimpalnya dari Allah Subhanahu Wata’ala seperti firman-Nya dalam Surah Al-Muzammil ayat 20 tafsirnya:

"Dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat dan berilah pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (Ikhlas). Dan (Ingatlah), apa juga kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasan-Nya pada sisi Allah, sebagai balasan yang sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya. Dan mintalah ampun kepada Allah sesungguhnya Allah Maha Mengampun Lagi Maha Mengasihi."


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

SAMBUTAN HARI BUAH PINGGANG SEDUNIA
29 MAC INI

Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan akan mengadakan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia pada hari Ahad, 29 Mac 2009 ini.

Sambutan bertemakan 'Cara Hidup Sihat, Buah Pinggang Sihat' (Health Lifestyles, Healthy Kidneys) itu akan diadakan di Atrium, Pusat Promosi Kesihatan, Commonwealth Drive, Berakas bermula jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang.

Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk pameran, pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat tentang penyakit buah pinggang serta langkah-langkah penjagaannya.

Hari Buah Pinggang Sedunia disambut setiap tahun pada hari Khamis (minggu kedua bulan Mac) dan pada tahun in ia disambut pada 12 Mac 2009 di seluruh dunia.

Ia merupakan kempen kesedaran kesihatan yang memfokuskan tentang kepentingan buah pinggang serta mengurangkan impak dan kekerapan berlakunya penyakit buah pinggang termasuk masalah- masalah yang berkaitan dengannya di seluruh dunia.