Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Rabu , 25 Mac 2009
28 Rabiulawal 1430

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

BERSIKAP MANDIRI DAN SARA DIRI

KERAJAAN akan mengalami defisit belanjawan yang begitu besar sebanyak BND 1.65 bilion dalam tahun kewangan 2009/2010. Begitu juga pendapatan kerajaan dijangka akan berkurangan dalam tempoh yang sama iaitu kira-kira ….disebabkan harga minyak di pasaran dunia yang menjunam sehingga ke paras AS$40 setong. Sementara kos perbelanjaan kerajaan terus meningkat dan bertambah. Senario ini sewajarnyalah akan memberikan kita kesedaran yang mendalam dalam erti kata melihat dengan minda terbuka sambil merenung masa depan dan menanganinya penuh bijaksana.

Pihak kerajaan, dalam menghadapi situasi ekonomi dunia yang genting ini terpaksalah berhati-hati dalam merancang dan mengorak langkah, kerana kita tidak akan sekali-kali menjadikan masa hadapan negara kita ini sebagai satu percaturan. Yang jelas, banyak hal yang terpaksa melalui proses dan penyesuaian semula. Hendaklah kita semua mengambil iktibar dari peristiwa-peristiwa yang pernah dialami oleh negara-negara lain akibat dari kemelut ekonomi dunia itu sendiri. Ramalan pakar-pakar ekonomi sejagat menjangkakan 2009 merupakan tahun yang merbahaya bagi ekonomi dunia yang akan berlarutan sehingga 2010.

Ini memberikan signal yang jelas betapa kita jangan terlalu leka dan dibuai kesenangan dan kemewahan, tetapi mustahak merenung nasib dan masa hadapan ekonomi negara kita yang hanya terus bergantung seratus peratus kepada hasil ’emas hitam’ iaitu minyak dan gas. Kemelut ekonomi dunia sewajarnyalah juga mendidik kita semua untuk berhati-hati dalam berbelanja dan berhemat dalam mengeluarkan perbelanjaan. Kita tidak mahu menjadi seperti pepatah Melayu ’Kaya-kaya bajau’ tetapi wajar bagi kita mengamalkan ’biar cangkik jangan putus’. Kata-kata hikmat seumpama ini amatlah sesuai dijadikan renungan dan bahkan dijadikan budaya dalam melayari bahtera kehidupan harian. Dalam konteks ini, terpaksalah kitani berbelanja ’ukur baju di badan sendiri’ dan tidak terlalu mengikut hati dan hawa nafsu, tetapi sentiasa jimat dan berhemat. Kita tidak ada pilihan melainkan akur kepada ketentuan dunia masa kini yang di ambang bahaya kemelut ekonomi yang terburuk sejak 80 tahun yang lalu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa merasmikan Persidangan Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelima Majlis Mesyuarat Negara baru-baru ini memberikan fokus utama terhadap kemelut ini dengan menekankan bahawa kejatuhan harga minyak secara mendadak perlu dihadapi dengan lebih bijak berbelanja, termasuk mengelak segala bentuk pembaziran lebih-lebih lagi di pihak kerajaan amat perlu membanyakkan aktiviti-aktiviti ekonomi, sambil tidak lupa merancang langkah-langkah konkrit untuk menghadapi saingan apabila ekonomi dunia pulih nanti.

Tempoh dua tahun 2009-2010 perlu kitani layari dengan tabah dan berhati-hati setidak-tidaknya kita tidak tergelincir seperti apa yang dialami oleh kebanyakan negara dunia masa kini yang terpaksa memberhentikan pekerja, menutup kilang-kilang dan sebagainya. Setentunya kita tidaklah mahu fenomena ini terjadi kepada kita semua. Jalannya yang utama amatlah wajar bagi setiap lapisan rakyat dan penduduk memahami kedudukan ini dengan mengubah mentaliti dan sikap yang selalu berharapkan subsidi kerajaan kepada sikap mandiri dan sara diri. Mentaliti yang selalu bergantung harap seratus peratus kepada kerajaan dalam serba-serbinya adalah nampaknya kurang relevan dengan perkembangan masa kini, ditambah lagi dalam keadaan landskap kewangan dunia di masa hadapan yang masih kabur dan belum tentu kedudukannya.

Masanya juga sudah sesuai bagi segenap lapisan rakyat meningkatkan keupayaan sara diri dan berdikari dalam konteks yang lebih skopnya. Pertama rela berkorban bagi memperkembangkan pertanian negara, membanyakkan aktiviti-aktiviti ekonomi bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan pendapatan diri sendiri dan negara.

Tetapi alhamdulillah, negara terus terselamat dari badai gelombang krisis kewangan global. Berkat kepimpinan raja kita, Negara Brunei Darussalam terus mampu mengurus dirinya sendiri dengan sebaik mungkin. Landskap sosioekonomi negara masih mantap, kukuh dan stabil berkat adanya pengurusan kewangan yang efektif yang didampingi dengan dengan dasar dan sikap berbelanja negara secara berhemah dan tidak menjerumuskan negara kepada pergantungan ’leverage’. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna rakyat harus berpeluk tubuh, bahkan perlu lebih ligat menjana ekonomi bersama kerajaan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara.


Kembali ke muka utama




Kembali ke muka utama

SAMBUTAN HARI BUAH PINGGANG SEDUNIA
27 MAC INI

Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan akan mengadakan Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia pada hari Ahad, 27 Mac 2009 ini.

Sambutan bertemakan 'Cara Hidup Sihat, Buah Pinggang Sihat' (Health Lifestyles, Healthy Kidneys) itu akan diadakan di Atrium, Pusat Promosi Kesihatan, Commonwealth Drive, Berakas bermula jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang.

Antara aktiviti yang akan diadakan termasuk pameran, pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat tentang penyakit buah pinggang serta langkah-langkah penjagaannya.

Hari Buah Pinggang Sedunia disambut setiap tahun pada hari Khamis (minggu kedua bulan Mac) dan pada tahun in ia disambut pada 12 Mac 2009 di seluruh dunia.

Ia merupakan kempen kesedaran kesihatan yang memfokuskan tentang kepentingan buah pinggang serta mengurangkan impak dan kekerapan berlakunya penyakit buah pinggang termasuk masalah- masalah yang berkaitan dengannya di seluruh dunia.