Sementara itu Pengerusi majlis, Awang Ibrahim bin Haji Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya berkata satu mesyuarat Influenza A (H1N1) telah diadakan di antara Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan KHEU pada dua hari lepas menyentuh mengenai beberapa perkara dan isu dalam sama-sama memantau dan menangani Influenza A (H1N1) di kalangan pelajar yang akan bersekolah nanti.
“Ibu bapa dan penjaga juga dinasihati untuk tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah jika mempunyai tanda-tanda penyakit demam panas dan batuk selsema serta memastikan guru-guru kelas memeriksa semua pelajar dengan termometer sebelum kelas dimulakan,” katanya.
Dalam hubungan itu, Jabatan Sekolah-sekolah, Bahagian Pendidikan Swasta, Pendidikan Teknik dan Vokasional serta Jabatan Pengajian Islam (JPI) akan sentiasa berusaha dan memberikan kerjasama dalam sama-sama memantau dan mengelakkan penyebaran penyakit Influenza A (H1N1).
Selain penyerahan termometer dan penutup mulut, pengetua-pengetua sekolah dan guru-guru besar juga diberikan taklimat untuk meningkatkan lagi kefahaman mereka tentang jangkitan Influenza A (H1N1) terutama langkah berjaga-jaga dan pencegahan.
Taklimat berkenaan disampaikan oleh Pegawai Perubatan, Kementerian Kesihatan, Dr. Linda Lai.
Antara isi kandungan taklimat temasuk mengenai Influenza A (H1N1), situasi sejagat (laporan terkini), situasi dalam negara, penekanan kebersihan diri dan kebersihan di persekitaran sekolah, mencuci tangan dengan ‘hand sanitizer’ dan cara penggunaan termometer.