Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

HARGAI DAN HAYATI ERTI KEMERDEKAAN

MARILAHkita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Alhamdulillah, marilah kita mensyukuri nikmat-nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala kepada kita dan negara kita, di antaranya nikmat kemerdekaan, keamanan, keharmonian dan kestabilan politik yang dinikmati selama ini. Maka kita selaku rakyat dan penduduk di negara ini adalah bertanggungjawab untuk menjaga dan mengekalkan keamanan tersebut serta sentiasa taat kepada raja dan pemimpin. Ini kerana taat kepada pemimpin atau ketua itu adalah satu tuntutan, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata’ala di dalam Surah An Nisaa’ ayat 59, tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengambalikannya kepada kitab Allah (Al-Qur’an) dan sunah rasul-Nya jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya."

Seperti mana yang kita maklumi, pada tahun ini kita akan menyambut Jubli Perak Hari Kebangsaan negara kita. Tanpa disedari, negara kita sudah mencapai kemerdekaannya yang ke-25 tahun. Usia 25 tahun bukanlah usia yang masih muda, malah mencapai peringkat usia kedewasaan.

Dalam kedewasaan ini pelbagai perubahan boleh berlaku begitulah juga dengan negara kita. Ini terbukti melalui negara kita yang semakin pesat membangun. Oleh itu, marilah kita menghargainya dengan menghayati erti kemerdekaan kerana kemerdekaan mempunyai makna yang sangat besar dan bernilai dalam kehidupan setiap bangsa dan negara.

Sesungguhnya kehidupan kita selepas merdeka telah jauh berubah jika dibandingkan dengan keadaan sebelumnya. Di antara perubahan besar yang dapat kita rasai ialah peningkatan taraf hidup yang lebih baik dan wujudnya peluang-peluang pendidik an yang lebih luas kepada segenap lapisan rakyat. Ini terbukti dengan wujudnya golongan profesional yang terdiri daripada para cendikiawan, doktor, jururawat, peguam dan lain-lain. Nikmat kemerdekaan juga telah mewujudkan peluang-peluang ekonomi yang kukuh dan memberangsangkan sehingga melahirkan ahli korporat yang berjaya dalam berbagai bidang perniagaan, semua ini telah memberi gambaran kepada kita betapa banyaknya manfaat yang dapat dirasai oleh kita dengan nikmat kemerdekaan yang dilimpahkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala pada kita semua.

Kita sebagai rakyat dan penduduk di negara ini pasti menginginkan kehidupan yang kita nikmati ini akan berterusan dan berkekalan, tanpa ada kekacauan, peperangan atau pertelingkahan yang boleh menggugat keselamatan dan keamanan. Keamanan hidup dan keamanan bernegara itu akan lebih berkesan apabila penghuni di sesebuah negara itu sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata’ala, di antaranya ialah dengan memperbanyakkan zikrullah iaitu dengan mengingati Allah Subhanahu Wata’ala.

Berzikir merupakan jalan yang terbaik untuk terus memiliki keamanan dalam menjalani kehidupan kerana Allah akan sentiasa mengingati hamba- hamba-Nya yang sering mengingati-Nya dalam apa jua situasi. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Baqarah ayat 152, tafsirnya :

"Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan."

Ayat ini menjelaskan bahawa Allah Subhanahu Wata’ala pasti akan memberikan balasan kepada hamba-hamba-Nya yang mengingati-Nya berupa ganjaran pahala, kebaikan, limpahan kurnia, terbukanya pintu rahmat, memperolehi kekuatan dan pertolongan dalam kehidupan seharian. Oleh itu, jika kita sering mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala maka pasti Allah juga akan mendekati kita sama ada di waktu susah atau senang kerana kita memang sentiasa mengharapkan keredaan Allah yang berpanjangan dan berterusan.

Zikir adalah salah satu cabang ibadah untuk kita mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Lafaz zikir tidak hanya terhad pada ucapan tasbih, tahmid dan lain-lain, bahkan membaca Al-Qur’an dan doa yang maksur (yang datang daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam) juga termasuk dalam berzikir.

Sesungguhnya barang siapa yang mengamalkan zikir akan memperolehi ketenangan jiwa yang membolehkan pengamalnya menjalankan kehidupan dengan lebih baik dan sempurna, di samping mengukuhkan dan meningkatkan keimanan kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Zikir adalah senjata bagi orang mukmin untuk memerangi godaan dan hasutan syaitan dan apa jua pengaruh yang cuba menghalangi perjalanan menuju kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Melihat kepada keamanan dan kesejahteraan yang telah dan sedang dinikmati oleh negara ini pastinya kita mengharapkan ianya terus berkekalan dan berpanjangan hingga ke akhir zaman. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala hanya akan mengurniakan rahmat keamanan kepada hamba-hamba-Nya yang banyak berzikir dan mensyukuri nikmat-Nya. Insya-Allah, kesejahteraan dan kemerdekaan negara ini pasti terus terpelihara selagi kita berterusan mengingati Allah Subhanahu Wata’ala.

Akhirnya sama-samalah kita berdoa mudah-mudahan kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir serta beroleh kejayaan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al Ahzab ayat 41 - 43, tafsinya :

"Wahai orang-orang yang beriman, untuk bersyukur kepada Allah ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang. Dialah yang memberi rahmat kepada kamu dan malaikat-Nya pula berdoa bagi kamu untuk mengeluarkan kamu dari gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang benderang (iman dan taat) dan adalah Ia sentiasa melimpah-melimpah rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman di dunia dan di akhirat.


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Negara Brunei Darussalam
hos Sambutan
Hari Komanwel 2009

JABATAN Belia dan Sukan memaklumkan bahawa Negara Brunei Darussalam akan menjadi hos acara Sambutan Hari Komanwel 2009 pada 8 hingga 11 Mac 2009 dan Bengkel Serantau mengenai Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia mulai 12 hingga 17 Mac 2009 pada tahun ini. Sambutan ini dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Program Belia Komanwel, Pusat Asia bertemakan 'Komanwel 60: Membantu Generasi Muda'. Acara itu membolehkan negara-negara anggota menyertai aktiviti-aktiviti yang menggalakkan persafahaman mengenai isu-isu global, kerjasama antarabangsa dan aktiviti-aktiviti bagi komanwel moden di samping memberikan peluang baik kepada mereka untuk bertukar-tukar idea, menggalakkan persefahaman dan kerjasama di samping meningkatkan hubungan yang harmoni di antara mereka. Sementara itu bengkel serantau mengenai Pencegahan Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia adalah untuk menyediakan satu platform kepada para belia untuk berkongsi maklumat tentang amalan-amalan terbaik dan belajar antara satu sama lain. Ia juga untuk meningkatkan pengetahuan dan persefahaman peserta tentang dimensi virus masalah penyalahgunaan dadah, menyediakan pelan-pelan tindakan untuk pencegahan penyalahgunaan dadah, rawatan dan penjagaan serta mengukuhkan kordinasi di kalangan kerajaan dan bukan kerajaan ke arah strategi efektif bagi pencegahan, rawatan dan penjagaan. Setiap negara ahli akan disertai oleh dua wakil berusia 18 hingga 29 tahun dari sektor kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan dengan pengetahuan dan pengalaman mengenai isu HIV/AIDS dan penyalahgunaan dadah.