Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Al-Qur'an dan Hadis membawa kebahagiaan dan ketenangan dalam kehidupan Islam

SUDAH menjadi fitrah kejadian manusia, kita sentiasa tercari-cari kebahagiaan, kedamaian jiwa dan keyakinan diri. Kita selaku manusia yang tinggal di dunia ini selalu idamkan hidup yang aman tanpa gangguan perasaan serta dapat berfikir dengan tenang dan waras. Kita harapkan keharmonian rumah tangga dan kerjaya yang cemerlang. Kita mahukan suasana kehidupan yang aman supaya kita tidak cemas, ragu-ragu dan bimbang untuk menghadapi hari-hari yang datang. Kita ingin sentiasa merasa puas dalam hidup dan mahukan kehidupan yang rancak serta penuh dengan harapan.

Namun dalam meniti titian kehidupan ini, kita tidak akan sunyi dari menghadapi kekecewaan, kebimbangan dan keresahan, akibat ditimpa bermacam-macam musibah dan masalah. Kita merasa kesempitan hidup akibat masalah kewangan. Kita bersedih kerana cita-cita dalam pelajaran dan kerjaya tidak tercapai. Kita kecewa apabila gagal dalam membina rumah tangga yang bahagia. Jiwa merasa tertekan dan semangat untuk memperbaiki diri semakin pudar. Tanggapan-tanggapan negatif mengenai diri dan kehidupan akhirnya menyelubungi jiwa dan raga kita.

Sebenarnya kita tidak seharusnya melihat kehidupan ini sedemikian rupa, walau sehebat mana pun bencana yang melanda hidup kita. Kita sepatutnya melihat hidup ini sebagai suatu pengembaraan yang mengasyikkan, penuh dengan pelbagai peristiwa-peristiwa dan bermakna. Mentari pagi seharusnya bangkit dalam diri kita pada setiap daripada kedamaian dan keyakinan diri.

Agama Islam sendiri menitikberatkan kebahagiaan, ketenangan dan keyakinan pada diri setiap umatnya supaya dapat menjalani kehidupan dunia dengan lancar dan menunaikan tanggungjawab akhirat dengan tenang. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda yang mafhumnya:

“Ketenangan (As-Sakiinah) itu adalah suatu keuntungan, manakala meninggalkannya adalah suatu kerugian (kecelakaan).” Riwayat Imam Al-Hakim).

Sabda Baginda lagi yang mafhumnya:

“Kebaikan itu adalah sesuatu yang dapat menenangkan segala hati (tanpa rasa takut, ragu-ragu atau bersalah).” (Riwayat Imam Al-Hakim).

Allah Subhanahu Wata’ala tidak sekali-kali mengutuskan kita ke dunia ini untuk meratapi kehidupan dengan perasaan kecewa resah dan bimbang. Pastinya Dia Yang Maha Penyayang mahu melihat kita mengecapi rahmat dan nikmat-Nya dalam bentuk ketenangan dengan sebaik mungkin.

Putus asa terhadap rahmat Allah Subhanahu Wata’ala akan timbul dalam jiwa dan fikiran kita apabila hilangnya perasaan baik sangka kita terhadap Allah Subhanahu Wata’ala serta terhadap diri kita sendiri. Kita tidak perlu berputus asa jika kita sedar bahawa setiap rintangan dan halangan itu cuma ujian daripada Allah Subhanahu Wata’ala. Kita juga tidak perlu berputus asa jika kita insaf bahawa rintangan dan halangan yang menimpa kita itu merupakan petanda-petanda sayang Allah terhadap kita.

Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al Anfaal ayat 46 tafsirnya:

“… dan bersabarkah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.”

Al-Qur'an dan hadis mengandungi seribu macam rahsia dan penawar kepada pelbagai bentuk permasalahan kehidupan termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan pembinaan hidup yang positif. Kedua-keduanya merupakan falsafah hidup untuk diikuti dan diamalkan oleh seluruh umat Islam dalam usaha mencorak kehidupan yang tenang, yakin dan bahagia. Allah Subhanahu Wata’ala berfirman dalam Surah Al Israa’ ayat 82, tafsirnya:

“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Qur'an, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat (kebaikan) bagi orang yang beriman kepada-Nya …”

Seterusnya Allah Subhanahu Wata’ala berfirman lagi dalam Surah Yunus ayat 57:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Qur'an yang menjadi nasihat pengajaran daripada Tuhan kamu dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada dalam dadamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang yang beriman.”

Kebahagiaan, ketenangan dan keyakinan hidup itu bukanlah terletak kepada kebendaan atau keduniaan, kebahagiaan dan ketenangan yang sebenar tidak akan dapat dikecapi dengan memiliki kereta serta mempunyai pangkat dan jawatan tinggi. Orang yang miskin boleh bahagia dan memiliki jiwa yang besar walaupun dalam serba kekurangan. Orang yang kehilangan seseorang atau sesuatu yang amat disayanginya boleh meneruskan hidupnya dan menghadapi hari-hari yang mendatang dengan tenang, positif dan penuh dengan harapan. Begitu juga dengan orang yang menderita akibat penyakit, kemalangan atau kecacatan, mereka boleh merasa tenang, bahagia dan puas seperti orang lain.

Kedamaian dan kepuasan hidup itu sebenarnya ada di mana-mana dan dalam diri setiap daripada kita, tanpa mengira sama ada lelaki atau perempuan, tua atau muda, kaya atau miskin, cantik atau hodoh dan seumpamanya lagi. Apa yang perlu bagi kita umat Islam adalah untuk menggali rahsia dan hikmah inti pati Al-Qur'an dan hadis bagi dijadikan serta diamalkan betul-betul, Al-Qur'an dan hadis boleh menjadi pengubat kepada jiwa yang lemah, penawar kepada segala kesengsaraan serta penghibur kepada kesedihan.


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.-