|

Sabtu , 25 April 2009
29 Rabiulakhir 1430
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
PELIHARALAH KEBERSIHAN
SUNGAI KITANI
NEGARABrunei Darussalam menyertai negara dunia menyambut Hari Bumi Sedunia 2009 dengan tema ‘Seruan Tindakan Terhadap Perubahan Iklim’. Hari Bumi disambut pada setiap 22 April sejak 22 April 1970 atas inisiatif seorang senat Amerika Syarikat, Gaylord Nelson bagi meningkatkan kesedaran dan penghargaan kepada alam sekitar. Rangka kerja Hari Bumi dilancarkan bertujuan bagi memberi kesedaran dan pendidikan serta memberi motivasi semua peringkat masyarakat global terutama sekali pihak kerajaan, penuntut dan pihak swasta dalam apa cara sekalipun bagi menangani kesan alam sekitar.
Setiap tahun, Hari Bumi 22 April menandakan ulang tahun kelahiran bagi gerakan alam sekitar moden pada 1970. Pada 1990, peringatan Hari Bumi mula berkembang secara global. Sekitar 200 juta orang dari 114 negara di dunia tergerak bagi mengangkat isu bumi dalam skala global. Hatta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga meraikan Hari Bumi Sedunia sebagai menyahut dan komitmen berterusan badan dunia itu terhadap persekitaran global. Hari ini seluruh masyarakat dunia mengambil inisiatif serta penuh proaktif menangani isu alam sekitar akibat perubahan iklim yang mengancam kehidupan sejagat.
Fenomena perubahan iklim mendapat perhatian yang serius pemimpin-pemimpin dunia. Lantas pada 2007 sempena sesi Perhimpunan Agung PBB Ke-62 diadakan sehari perbahasan umum di peringkat dunia mengenai fenomena itu yang dihadiri oleh 150 buah negara yang melibatkan 170 orang ketua kerajaan. Para pemerhati membuktikan bahawa semua benua dan kebanyakan lautan atau samudera telah terjejas akibat perubahan iklim terutama peningkatan suhu panas. Masyarakat miskin adalah golongan yang terhimpit dan menerima kesan buruk dari kemelut itu. Menurut kajian, 20 - 30 peratus spesies akan berhadapan dengan kepupusan, purata permukaan laut global kini telah meningkat naik sehingga 28 - 58 sentimeter berikutan dengan peluasaan laut dan glasier yang cair pada akhir abad ke 21.
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan semasa perbahasan sehari itu bersabda bahawa Negara Brunei Darussalam seperti juga negara-negara lain melahirkan kebimbangan mengenai perubahan iklim dan masyarakat Brunei bersedia mengambil bahagian dalam usaha bersama menangani perubahan iklim itu.
Sempena Hari Bumi Sedunia itu, negara kita melancarkan kempen membersihkan Sungai Brunei yang menjadi sumber penting bagi kegunaan manusia dan pembangunan negara selain sebagai sumber air bersih dan makanan. Projek pembersihan yang akan berakhir pada 2012 mengandungi enam komponen. Pertama pengutipan dan pembersihan sisa-sisa buangan yang terperangkap di bawah rumah dan kawasan bakut yang merangkumi enam buah mukim iaitu Mukim Saba, Peramu, Burong Pinggai Ayer, Sungai Kedayan, Tamoi, Sungai Kebun. Komponen kedua pengutipan dan pembuangan sisa buangan yang terdampar di kawasan tebing-tebing sungai; ketiga, pembersihan sisa buangan yang terapung di permukaan air Sungai Brunei; keempat, bagi menjadikan kawasan bakut sebagai kegiatan penduduk kampung; kelima, menggalakkan penyertaan dan penglibatan penduduk kampung dalam pelaksanaan projek itu dan keenam mengurangkan ’volume’ atau sisa buangan yang dihantar ke tapak pelupusan melalui ’shredding of bulky wastes’ dan ’recovery’ bahan yang boleh dikitar semula.
Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan, Awang Haji Mohd. Zakaria menegaskan bahawa selaras dengan matlamat projek sedemikian untuk menjadikan Sungai Brunei terus bersih dan bebas dari sisa buangan, projek ini membawa motto ’Peliharalah Kebersihan Sungai Kitani’. Dalam menjayakan misi nasional ini memerlukan komitmen, sokongan dan kerjasama padu semua pihak dalam menjayakannya. Tanpa komitmen berterusan apa-apa pun projek yang dirancang tidak membawa erti. Dalam erti kata lain sama-samalah kita menjaga persekitaran sungai kita dari sebarang pencemaran alam sekitar. Ingatlah negara bersih akan meningkatkan pelancongan dan dalam waktu yang sama menyumbang kepada ekonomi.
Marilah kita bersama menghijaukan bumi supaya generasi akan datang dapat sama-sama menikmatinya. Marilah berpimpin tangan bersama masyarakat antarabangsa dalam menangani perubahan iklim, sungguhpun negara kita tidaklah terjejas teruk akibat fenomena itu. Namun sebagai sebahagian daripada masyarakat antarabangsa yang bertanggungjawab, bersedialah menghadapi fenomena yang dicetuskan oleh kesan alam sekitar yang sejak akhir-akhir ini juga menimpa negara kita walaupun ianya masih di peringkat minima, tetapi waspada itu adalah ubat yang mujarab dalam mendepani apa jua bencana alam di masa mendatang. .
Kembali ke muka utama
|