Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Doa orang Mazhlum adalah mustazab

TUTONG, Sabtu, 25 April. - Dalam masyarakat, ada orang baik-baik dengan kebaikannya dan ada orang jahat dengan kejahatannya, kemudian ada pula orang baik yang kadang-kadang menjadi mangsa kepada orang jahat dan orang jahat yang binasa atau hina kerana kejahatannya.

Agama Islam menghendaki semua orang menjadi baik, agama Islam mau semuanya penganut-penganutnya adalah baik-baik belaka, dilarang sama sekali jadi orang jahat, kerana orang jahat biasanya bukan sahaja merugikan dirinya sendiri tetapi juga menjejaskan orang lain, sebab itu dilarang keras oleh Islam iaitu jangan sekali-kali membuat jahat, orang yang terjejas kerana kejahatan seseorang dipanggil dia Mazhlum, yang bererti orang yang teraniaya.


Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned menjelaskan perkara tersebut ketika menyampaikan kuliah 'Bagaimana Doa Mustazab Menimpa Sasarannya' semasa Kuliah Bersama Mufti di Masjid Kampong Sinaut.

Kuliah tersebut adalah tambahan kepada kuliah bertajuk 'Doa' yang disampaikan di Masjid Kampong Beribi, Gadong pada 4 April lalu.

Yang Berhormat seterusnya menyatakan, apa sahaja jenis atau bentuk kejahatan yang merugikan orang lain namanya adalah kezaliman, kezaliman amat-amat dibenci oleh Allah, Allah tidak reda kezaliman itu berlaku ke atas para hamba-Nya, bahkan seluruh mahluk-Nya, ia sama tidak sekali meredainya, kalau berlaku juga Dia akan balas kepada orang yang melakukan kezaliman.

Bagi orang yang ditimpa kezaliman atau yang dizalimi katanya, akan dibekalkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala dengan satu senjata luar biasa, bukan sebarang senjata, tetapi senjata luar biasa,iaitu doa.

Seseorang yang dizalimi atau dianiaya tambah Yang Berhormat, adalah berhak untuk menggunakan senjata luar biasa bernama 'Da’wah al-Mazhlum' iaitu doa orang yang teraniaya.

Peringatan Yang Berhormat mengenai senjata ini, apabila seseorang yang dizalimi menggunakan senjata ini pasti akan berhasil menepati sasarannya.

“Senjata itu amat berbahaya dan amat tajam serta jangan dipandang ringan kerana orang Mazhlum doanya mustajab dan tiada dinding doanya dengan Allah,” terangnya.

Orang yang teraniaya jelasnya, adalah orang yang disakiti atau dianiaya iaitu dengan bermacam-macam keadaan dan bahasa yang tepat bagi menjelaskan orang Mazhlum ialah orang dizalimi dengan berbagai-bagai cara seperti dikhianati, ditipu, dibohongi, difitnah, diracun, disihir dan sebagainya termasuk menganiaya keluarganya.

Yang Berhormat mengulangi dalam kuliahnya menyatakan, doa adalah senjata orang mukmin dan doa orang Mazhlum adalah mustajab dan amat tajam.

Mengenai perkara kezaliman dan doa orang Mazhlum tersebut, Yang Berhormat menjelaskan bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu Nabi pembawa rahmat telah mengingatkan dan memberi amaran kepada kita mengenai bahaya doa orang 'Mazhlum' dengan sabda Baginda yang bermaksud: “Takutlah kamu akan doa orang yang Mazhlum (yang teraniaya) sekalipun dia itu orang kafir, kerana doa orang Mazhlum itu mustajab, sesungguhnya tiada dinding di antara doanya dengan Allah.”

Yang Berhormat seterusnya menceritakan suatu kisah bagaimana Saad bin Abi Waqash mendapat kelebihan menjadi seorang yang sangat mustajab doanya.

Sa’ad bin Abi Waqash menurutnya adalah seorang sahabat besar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan seorang dari sepuluh orang yang digembirakan dengan syurga dan sahabat ini amat terkenal sebagai 'Mujab ad-Da’wah' yakni orang yang mustajab doanya.

Yang Berhormat menjelaskan, Ibnu Abbas Radiallahuanhuma telah meriwayatkan, katanya: “Saya telah membaca sepotong ayat di sisi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, firman Allah Ta'ala (Surah Al-Baqarah ayat 168) tafsirnya: “Wahai manusia! Makanlah kamu dari apa-apa yang ada di muka bumi yang halal lagi baik.”

Mendengar hal ini Saad bin Abi Waqash berdiri dan berkata: “Wahai Rasulullah, berdoalah tuan kepada Allah supaya menjadikan saya seorang yang mustajab doanya.”

Mendengar permohonan itu Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: “Wahai Saad! Baikilah makananmu nescaya doamu mustajab. Demi jiwa Muhammad di tangannya, seorang hamba itu memasukkan sesuatu makanan yang haram ke dalam perutnya, tiadalah akan diterima amalnya selama empat puluh hari. Sesiapa jua seorang hamba dagingnya tumbuh dari makanan haram dan riba, maka neraka adalah lebih utama baginya.”

Di akhir kuliah itu Yang Berhormat telah menyampaikan dua buah cerita sebagai teladan yang menjelaskan bagaimana kisah dua orang yang telah dizalimi dan doanya yang dimustajabkan oleh Allah serta bagaimana orang yang melakukan kezaliman mendapat kebinasaan dan hina akibat kezaliman yang dilakukannya.


(Berita & foto : Shari Hj. Garip)

Kembali ke muka utama




Kembali ke muka utama

Penulisan skrip drama tv 2009-2010

RADIO Televisyen Brunei ingin mempelawa orang ramai terutamanya para penulis tanahair untuk menulis skrip drama bagi siaran di televisyen.

Penyertaan ini dibuka untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk berkarya dan mencungkil bakat di dalam bidang penulisan skrip drama TV.

Penyertaan adalah dibahagikan kepada dua kategori iaitu drama bersiri kanak-kanak - 30 minit x 13 episod, drama khas kanak-kanak bulan ramadan - 15 minit x 29 episod, drama bersiri remaja - 30 minit x 13 episod dan drama bersiri bulan ramadan - 30 minit x 29 episod.

Borang dan syarat penyertaan boleh didapati di kaunter Penyambut Tetamu, Radio Televisyen Brunei.

Tarikh tutup bagi penghantaran borang-borang penyertaan ialah pada 30 Julai 2009

Untuk mendapatkan maklumat, sila hubungi setiausaha di talian 2236855 (Direct Line)/ 2243111 sambungan 221 atau Unit Drama TV ditalian 2384666 sambungan 4391 semasa waktu pejabat.