REMAJA

JANGAN MENGALAH MENGHADAPI KEHIDUPAN
Oleh : H.A. Manap

Baru-baru ini telah dibentangkan jumlah pengangguran di kalangan lepasan sekolah di peringkat menengah semakin meningkat. Peningkatan ini menyebabkan ramai yang merasakan kegelisahan dan juga ada kalanya buntu daya fikir untuk mencari jalan keluar. Jumlah sedemikian memerlukan pekerjaan untuk menyara kehidupan ataupun memulakan kehidupan dari alam persekolahan ke alam pekerjaan. Inilah isu yang kita hadapi sekarang. Apakah kita sudah tidak ada pekerjaan untuk menampung lepasan sekolah yang sedang mengunjar pekerjaan ini? Barangkali kita perlu melihat kenapa jumlah sedemikian ini semakin bertambah sedangkan tahap kehidupan dan juga kemudahan persekolahan adalah merupakan satu-satunya negara yang paling menikmati kecukupan dalam memberikan kemudahan mengunjar ilmu pengetahuan dan pendidikan di kalangan rakyat dan penduduk yang ada di negara kita ini.

Namun di sebalik semakin banyak kemudahan disediakan kita pula berdepan dengan keadaan yang ada sekarang. Jumlah lepasan sekolah yang tidak atau belum mempunyai pekerjaan adalah merupakan bilangan yang mesti kita tunduki bersama. Maknanya kita perlu berganding dan menyatukan pemikiran apakah cara dan jalan yang paling praktikal untuk membina sebuah masyarakat yang makmur sejahtera dan berpekerjaan. Bukanlah perkara ini semudah yang boleh kita curahkan melalui sedap berfikir ataupun melihat dengan pandangan mata kasar. Kita mesti menelaah keadaan ini dengan penuh keinsafan dan diiringi dengan pandangan mata hati dan akal fikiran yang kita ada. Akal fikiran kita dan cara kita memahami sesuatu di dalam kehidupan kita ini adalah merupakan perkara penting yang tidak boleh diabaikan. Inilah kelebihan kita, yang mungkin tidak ramai yang memahami cara pemakaiannya.

TEROKAI KELAINAN

Di saat jumlah sedemikian ini dinyatakan ia merupakan suatu hal yang bertepatan apabila kita perlu menerokai apakah di sebalik semakin ramainya kalangan muda belia kita mengunjar pekerjaan, adakah sesuatu yang wajar untuk menjadi pilihan yang boleh mewujudkan pekerjaan dan sekali gus membantu negara dan masyarakat ke arah pembinaan tamadun kehidupan yang lebih baik dan sempurna. Semua kita memerlukan pekerjaan, namun tidak mungkin corak dan cara pekerjaan itu diperolehi dan dimiliki akan sama dan terus bergantung kepada pihak tertentu sahaja. Barangkali banyak perkara perlu kita senaraikan sebagai ‘senarai semak’ untuk kita membantu negara dan bangsa tercinta bagi mengelakkan keadaan ketiadaan pekerjaan semakin bertambah. Sama ada kita merupakan seorang yang pemilih atau tidak, kini masanya adalah kita perlu mewujudkan pekerjaan untuk menampung keperluan diri. Banyak persoalan bergantung sepenuhnya kepada generasi pengunjar pekerjaan ini. Namun dalam keadaan yang kita ada sebenarnya kita adalah orang lebih penting memainkan peranan.

Sebagai orang yang mengunjar pekerjaan kita mungkin akan bersaing dengan tahap kelulusan yang kita ada, justeru ilmu pengetahuan itu suatu yang amat berharga dan bernilai untuk dimiliki. Kita mesti mampu mewujudkan keterampilan diri yang cemerlang dengan mewujudkan kelebihan diri yang tidak dimiliki oleh orang lain. Kita boleh jadi peladang berjaya, petani berkembang maju, peniaga dan pengusaha yang mampu membina kecemerlangan diri dan kita perlu menjadi ilmuwan yang berguna di dalam bidang-bidang tertentu. Inilah mungkin sebahagian dari sekian banyak dan panjangnya senarai yang boleh dilakukan kalau kita sebagai pengunjar pekerjaan. Masanya sudah sampai untuk kita berani menerokai bidang yang selama ini hanya diterokai oleh orang luar dari lingkungan kita. Kita tidak perlu merasa malu dan segan untuk melakukannya.

Kita perlu membuat pembaharuan dan kelainan yang menghasilkan kejayaan. Hal ini akan dapat tercapai dengan mengadun akal, kecekapan dan keilmuan yang ada untuk kita jadikan sebagai elemen yang membantu penerokaan cara kita. Contohnya kalau kita mahu menjadi peniaga yang berjaya, apakah bidang yang boleh kita lakukan untuk menjadikannya benar-benar kejayaan yang dibina atas usaha dan kegigihan diri kita.

DI HADAPAN KITA BANYAK LALUAN

Jalan di hadapan kita adalah merupakan jalan yang terbentang luas yang menawarkan berbagai arena untuk diterokai, cuma kitalah segalanya untuk melakukan sesuatu yang terbaik untuk diri kita sendiri. Kita mesti berani dan mempunyai tindakan berfikir yang cergas dan bijak. Mewujudkan perniagaan misalnya kita boleh bergabung tenaga dengan rakan-rakan yang sama dan mencari jalan apakah jenis yang boleh dijadikan sebagai titik permulaan ke arah pembinaannya. Sebenarnya apabila kita melangkah untuk mencari nafkah, ia sudah pasti akan bermula dengan skala yang kecil. Namun kemahiran dan ketekunan kerjalah yang akan menentukan sama ada kita mampu mencorakkan pekerjaan atau sebaliknya. Perangai memilih kerja dan tidak mahu bermula dengan pengasuhan kemahiran, bukan suatu hal yang menguntungkan kita malahan ia akan hanya menyempitkan peluang untuk berkarya dan bekerja. Dalam zaman yang ada sekarang ini kita dituntut untuk lebih berani dalam mengundang kerjaya dan memahirkan diri. Pergantungan kepada bidang akademik yang kita miliki ada kalanya tidak mampu untuk menjawab persoalan-persoalan yang kita hadapi termasuklah dalam mencari bidang pekerjaan. Justeru jika kita melihat segalanya dalam keadaan yang tidak bersesuaian, peluang yang sepatutnya kita kecapi mungkin akan terlepaslah pada orang lain. Memang ramai yang agak sukar untuk menerima hakikat ketidakseimbangan minat, kesukaan dan yang sejajar dengan kelulusan tidak setara dengan tawaran kerja yang diberikan.

Akhirnya fenomena ini menjadikan ramai yang tidak bekerja dan hanya menantikan peluang datang bergolek. Melihat kepada pengalaman yang dilalui oleh generasi di dunia luar dari kita. Ternyata mereka semakin ampuh berdepan dengan ketandusan peluang seperti yang kita alami sekarang ini. Keberanian mereka mewujudkan pekerjaan sendiri bukan sahaja selalu membuahkan hasil yang baik akan tetapi juga menjadi pengajaran kepada rakan-rakan mereka yang lain yang sedang bergerak ke arah kaedah yang sama. Misalnya keberanian mereka terjun ke dunia perniagaan, perusahaan dan bermacam lagi sudah bukan merupakan perkara asing yang menyekat mereka untuk berusaha bekerja dan berdikari. Selalu mereka berjaya menempuh pelbagai gelora dan cabaran, sepanjang mereka bergelut dan menekuni usaha yang dijalankan. Kerana kekuatan matlamat yang ada pada diri mereka, menjadikan kehidupan yang mereka lalui itu adalah sangat kukuh dan mantap. Justeru menggunakan peluang yang ada harus dilakukan dengan sebaiknya.

RISIKO SOSIAL

Ramai yang mengetahui, apabila berlaku pengangguran maka ia akan mengundang berbagai risiko sosial. Masalah dan gejala sosial akan mudah merebak dan ini jika tidak diperhatikan dengan secara serius ia boleh membawa kepada implikasi yang lain. Di negara kita pihak kerajaan melalui berbagai pihak berwajib telah mengambil langkah untuk mengurangkan masalah pengangguran dengan skim perantis yang dijalankan oleh beberapa buah jabatan kerajaan seperti latihan dalam industri layanan dan pelancongan serta industri infokomunikasi. Bantuan kewangan seperti mikro kredit, tabung kewangaan kredit dan skim kemudahan kewangan untuk industri adalah satu langkah kerajaan bagi membantu mengurangkan pengangguran di negara kita ini. Sehubungan dengan kemudahan yang ada ini adalah penting untuk kita menyahut langkah sedemikian ini dengan bijak dan proaktif.

Pengisian kapasiti kemahiran dan pembangunan tenaga manusia seharusnya kita layani dengan penuh tanggungjawab diri. Kerana usaha berterusan kerajaan ini adalah merupakan langkah pada mengurangkan lebih banyak pengangguran di negara kita. Terpulanglah kepada kita sama ada kita bijak menggunakan peluang yang ada atau sebaliknya. Justeru generasi muda belia yang sedang mengunjar pekerjaan harus menyedari bahawa ilmu pengetahuan itu adalah penting untuk dimanfaatkan. Hatta kalaupun kita lepasan dari persekolahan menengah tidak bererti ia suatu noktah ke arah membina kecemerlangan dan kejayaan. Sebagai generasi pelapis, adalah penting untuk kita menggerakkan usaha membina keupayaan diri ini secara lebih proaktif. Memulakan karier dengan berbagai pekerjaan yang halal dan bersih adalah merupakan titik permulaan untuk kita bertapak dan membina kehidupan sebelum melangkah ke arah bidang yang lebih mencabar dan besar tanggungjawabnya. Pergerakan masa yang begitu pantas, tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Peluang yang ada juga jangan dibiarkan berlalu bagaikan hembusan angin. Kita mestilah peka, bahawa perubahan yang kita lalui adalah pengalaman yang amat berharga. Justeru jika kita mampu mempergunakan peluang dan memperkaya kemahiran ia akan dapat dijadikan sebagai modal untuk kita melangkah dengan lebih jauh lagi. Perangai memilih dan malas berusaha perlu dikikis bersama. Memang bukan semudah apa yang boleh kita katakan akan tetapi, keadaan dan perubahan sekeliling menjadi tunjuk arah bahawa kita sudah sampai ke tahap tidak boleh berpeluk tubuh. Kita perlu bekerja keras, berusaha dengan gigih dan membina kecekapan dan kemahiran dengan selengkapnya. Kita perlu berani mengharungi kehidupan ini dengan lebih proaktif. Berani untuk terlibat sama dalam membangun negara dengan menyertai pelbagai sektor sebagai sumber mata pekerjaan yang halal dan bersih. Semoga dengan hal yang sedemikian ini kita akan mampu mewujudkan generasi yang mampu berdikari dengan memiliki daya kemahiran yang tinggi.

Marilah kita bersama bertawakal untuk mengorak langkah membuat perubahan sikap dan ‘mind-set’ kepada yang lebih maju dan berdaya saing, semoga dengannya kita akan menjadi generasi yang kuat dan gigih berusaha sekali gus akan terhapus kalangan dan generasi yang tidak berpekerjaan di negara kita ini. Semua ini boleh kita capai jika generasi muda belia kita sama-sama berperanan dan berusaha ke arah sebuah masyarakat yang gigih berusaha dan bekerja, semata-mata untuk kemajuan bersama.

Kembali ke muka utama