Menuju Keredaan Allah

Kelebihan bulan Rejab

BULAN Rejab adalah bulan yang mulia dan merupakan bulan ketujuh dalam kiraan taqwim hijrah. Bulan ini adalah salah satu bulan yang termasuk di dalam bulan-bulan Islam yang suci. Rejab bererti kebesaran, keagungan dan kemuliaan. Dinamakan Rejab adalah bersempena dengan penghormatan terhadapnya di zaman jahiliah dengan tidak melakukan sebarang peperangan di bulan tersebut. Di dalam bulan ini berlakunya peristiwa yang agung iaitu Peristiwa Israk dan Mikraj baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan oleh kerana itu banyaklah kelebihan yang terkandung di dalam bulan ini.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menggariskan beberapa amalan yang utama di dalam bulan ini sesuai dengan kelebihan yang akan kita perolehi itu, di antara amalan yang baik diamalkan di bulan Rejab ialah seperti berpuasa, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Thabarani daripada Sa'id bin Abu Rashid, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:

"Barang siapa berpuasa sehari daripada bulan Rejab maka ia seperti berpuasa setahun dan barang siapa berpuasa daripadanya (bulan Rejab) tujuh hari, ditutup daripadanya pintu-pintu jahannam (neraka) dan barangsiapa berpuasa daripadanya lapan hari, dibukakan baginya lapan pintu syurga dan barang siapa berpuasa daripadanya sepuluh hari, tidak meminta dia kepada Allah melainkan diberikan-Nya dan barang siapa berpuasa daripadanya lima belas hari, menyeru orang yang menyeru dari langit : "Sesungguhnya diampunkan bagimu dosa-dosa yang lalu maka mulakanlah amal" dan barang siapa menambah (hari puasa) Allah menambahnya (kelebihan)."

Amalan berpuasa di dalam bulan Rejab adalah salah satu cara bagi menambah pahala amal ibadat kita dan untuk menjauhkan dari segala dosa dan maksiat. Sesungguhnya barang siapa yang mendahagakan dirinya dengan berpuasa di dalam bulan Allah (bulan Rejab) ini, maka ia memperolehi ganjaran dari Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya bulan Rejab itu adalah bulan Allah, maka barang siapa yang berpuasa satu hari dalam bulan Rejab dengan ikhlas, pasti ia akan memperolehi keredaan yang besar dari Allah Subhanahu Wata'ala.

Dalam hadis yang lain telah dikeluarkan oleh al-Khallal daripada Abu Sa'id (secara marfu') yang maksudnya:

"Bulan Rejab adalah di antara bulan-bulan haram, hari-hari di dalamnya ada tertulis di pintu-pintu langit yang keenam, maka apabila seseorang berpuasa sehari daripada (bulan Rejab) dan menyempurnakan puasanya dengan penuh ketaqwaan kepada Allah, bercakaplah pintu dan hari tersebut seraya berkata: "Tuhan ampunkan baginya (dosanya)" dan jika dia tidak menyempurnakan puasanya dengan ketaqwaan kepada Allah, maka pintu dan hari itu tidak akan memohonkan ampun baginya dan dikatakan padanya: "Kau telah ditipu oleh dirimu."

Di dalam bulan Rejab ini kita juga disunatkan untuk bertaubat dari segala dosa iaitu dengan memperbanyakkan beristighfar memohon keampunan kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al-Muzzammil ayat 20 yang tafsirnya:

"Dan mintalah ampun kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Betapa mulianya seseorang yang beristighfar kepada Allah Subhanahu Wata'ala ianya tidak dapat dinafikan lagi akan kelebihannya, antaranya:

1. Memperolehi keutamaan daripada Allah dan anugerah-Nya.

2. Meruntuhkan tipu daya iblis dan menghancurkan kesesatan-kesesatan yang disuruhkannya.

3. Menenteramkan hati yang gundah kerana dosa.

4. Menghilangkan kesusahan, meluaskan rezeki dan memenuhi hajat.

5. Memperolehi bahagiannya daripada Allah.

6. Mensucikan diri dari kesalahan.

7. Membersihkan hati dari lalai dan menyucikan hati dari kelupaan.

8. Mendekatkan diri kepada Allah.

9. Memperolehi keselamatan dan kesejahteraan.

10.Taubatnya diterima dan memperolehi 'Husnul Khatimah'.

Selain dari itu, di dalam bulan Rejab ini kita juga digalakkan untuk berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ahmad daripada Anas bin Malik, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:

"Apabila tibanya bulan Rejab, baginda mendoakan: "Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan."

Demikianlah antara amalan-amalan yang sunat kita lakukan di bulan Rejab ini, iaitu bulan terbukanya pintu langit dan terbukanya pintu syurga. Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan dan menyemarakkan bulan Rejab ini dengan amalan-amalan dan ibadat seperti sembahyang, puasa, zikir, bersedekah dan amal kebajikan yang lain. Semoga segala amalan tersebut akan menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah Subhanahu Wata'ala.

Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian dan keikhlasan hati. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita, insya-Allah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.

Kembali ke muka utama