SERUAN SUCI


DIDIK ANAK-ANAK, MENJAUHI DIRI DARI GEJALA SOSIAL

MARILAH kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpah kurnia rahmat-Nya ke atas kita, memanjangkan umur sehingga kita terus hidup dan menikmati keindahan alam ciptaan-Nya ini. Maka sebagai tanda kesyukuran kepada-Nya, sama-samalah kita meningkatkan ketaqwaan dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya, melaksanakan tanggungjawab termasuklah dalam membanteras kemungkaran seperti gejala sosial, keruntuhan akhlak dan jenayah.

Alhamdulillah, negara kita sekarang dalam suasana menyambut Hari Ulang Tahun Keputeraan raja kita yang kita taati dan kasihi. Dalam beberapa minggu ini, suasana di negara kita sangat meriah dengan berbagai-bagai acara keraian, ditambah lagi dengan hiasan-hiasan pintu-pintu gerbang dan lampu-lampu cucul yang sungguh indah. Apa yang diharapkan, kita sambutlah dan raikanlah perayaan ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan dengan selayaknya. Dalam perayaan ini, sudah tentu terdapat juga acara-acara berbentuk hiburan yang merupakan tanda kegembiraan. Kita percaya hiburan yang diadakan adalah hiburan yang bersesuaian dalam batas kesopanan masyarakat kita yang berpegang kepada nilai-nilai akhlak yang bersandarkan agama.

Perlu diingat, musim perayaan ini, janganlah kita lalai dan alpa terhadap kewajipan agama, khasnya ibadat sembahyang, jangan sampai menjejaskan kewajipan dan tanggungjawab pekerjaan dan tugas. Bagi penuntut pula jangan sampai cuai terhadap pelajaran. Bagi ibu bapa pula jangan sampai mendulur atau melepaskan anak-anak remaja mereka bebas berjalan dan bergaul tanpa pengawasan. Sepatutnya ibu bapa adalah bertanggungjawab terhadap keselamatan dan kemaslahatan anak-anak mereka, sebagaimana kita diingatkan oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan firman-Nya dalam Surah At Tahriim ayat 6, tafsirnya:

"Wahai orang-orang yang beriman peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu berhala, neraka itu dijaga dan dikawal oleh Malaikat-malaikat yang keras kasar layanannya, mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."

Dalam keadaan dunia tanpa sempadan, selaku ibu bapa kita tidak boleh lalai atau mengambil ringan sahaja terhadap corak pergaulan anak-anak. Apabila diperhatikan keadaan sebilangan remaja dan belia sekarang ini, pergaulan antara lelaki dan perempuan sudah semakin bebas dan sukar dibendung seperti melakukan perkara-perkara atau aktiviti-aktiviti yang kurang sopan dan tidak bermoral seolah-olah ia merupakan suatu trend yang dibanggakan demi kepuasan dan keseronokan, mereka sudah tidak ada perasaan malu dan tanpa segan silu berpeluk-pelukan dan bercumbu-cumbuan di khalayak ramai.

Apabila kita pergi ke pusat-pusat membeli-belah ataupun taman-taman rekreasi, kita akan dapat melihat ada di antara remaja atau belia yang berpakaian tidak sopan seperti berpakaian ketat, pendek, jarang dan sebagainya. Begitu juga fesyen rambut yang berwarna-warni dan bergaul bebas tanpa mengira jantina.

Gejala yang tidak bermoral ini tidak hanya berlaku di tempat awam, akan tetapi berlaku juga di sekolah-sekolah seperti tabiat merokok, merosakkan harta benda sekolah, memeras ugut, menyalahgunakan dadah, berpegang tangan antara lelaki dan perempuan, bercumbu-cumbuan bahkan ada yang sampai melakukan persetubuhan haram.

Keruntuhan akhlak di kalangan remaja Islam kita hari ini memang ketara sekali dan agak membimbangkan, kebanyakan masalah moral dan keruntuhan akhlak para remaja berlaku kadang-kadang disebabkan latar belakang keluarga yang kucar-kacir dan juga keluarga atau ibu bapa yang tidak memberikan didikan agama yang sempurna.

Selain faktor keluarga, keadaan sekeliling juga memberi kesan kepada keruntuhan akhlak remaja dan belia, pengaruh luar yang berleluasa hari ini cukup membimbangkan terhadap budaya dan nilai-nilai murni Islam yang dipupuk sejak berzaman. Pengaruh media amat berkesan dalam menukar minda dan etika umat Islam. Ditambah lagi dengan pengaruh negatif yang diserapkan melalui filem-filem serta majalah-majalah yang begitu mudah diperolehi.

Begitu juga dengan pengaruh internet, di mana laman-laman web yang tidak bermoral terlalu mudah diakses tanpa tapisan serta pemantauan. Pengaruh ini terlalu sukar untuk dibendung dan disekat dari meresap dalam kehidupan masyarakat kita. Internet adalah satu alat dalam membantu mempercepatkan perhubungan dan mendapatkan maklumat, tetapi jika ianya disalahgunakan maka akan mendatangkan keburukan.Untuk mengatasi keruntuhan akhlak dan masalah sosial remaja dan belia Islam ini beberapa langkah dan tindakan perlu diambil. Didikan agama hendaklah diberikan dengan sempurna sedari awal lagi. Kalau hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kalau hendak membina insan biarlah sejak ia masih kecil, kerana anak kecil itu dilahirkan suci umpama kain yang putih. Sebagaimana Hadis Rasullulah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya:

"Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu ia berkata : Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua ibu bapa nyalah yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau Majusi." (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Anak-anak adalah amanah Allah Subhanahu Wata’ala yang perlu diberikan perhatian dan dijaga dengan sebaik-baiknya agar mereka menjadi insan sempurna, berguna kepada keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Apa yang mendukacitakan, terdapat segelintir ibu bapa yang seolah-olah dikaburi mata, membiarkan anak-anak remaja mereka bergaul tanpa batasan, tinggal sebumbung, bermesra di depan mata dan di rumah sendiri serta tidak lagi menghormati ibu bapa sebagai ketua keluarga. Ibu bapa seolah-olah tiada kuasa lagi untuk melarang anak-anak mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Ibu bapa mestilah mempunyai kebijaksanaan dan tegas untuk mendidik anak-anak agar mereka sentiasa mendengar kata dan tidak mudah terpengaruh dengan alam persekitaran dan juga pengaruh-pengaruh yang tidak baik ataupun akhlak-akhlak yang jauh dari ajaran Islam.

Bagi mengatasi masalah keruntuhan akhlak para remaja dan belia, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing. Janganlah hanya menyerahkan kepada pihak-pihak tertentu sahaja. Sama-samalah kita mengamalkan konsep amar makruf nahi mungkar dan istiqamah dalam menghayati ajaran agama Islam. Kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar sentiasa di bawah lindungan serta rahmat-Nya. Amin Ya Rabbal- 'alamin.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Ali 'Imran ayat 104 tafsirnya:

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru berdakwah kepada kebajikan mengembangkan Islam dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah buruk dan keji. Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."

Kembali ke muka utama