BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Jun. - Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Setia Pahlawan Dato Seri Setia Dr. Haji Awang Ahmad bin Haji Jumat mengadakan lawatan kerja ke Projek Pembiakan Anak-anak Ikan Kerapu di kawasan Kompleks Pendaratan Ikan Muara dan Projek Penghasilan Benih-benih Ikan Selungsung di Semaun Marine Resources Sendirian Berhad, Kuala Tutong.
Rombongan disertai Timbalan Menteri Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Hamdilah bin Haji Abd. Wahab dan Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU), Pengiran Hajah Mariana binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abd. Momin, pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai kanan KPSSU.
Lawatan bertujuan untuk melihat secara dekat perkembangan yang telah dicapai oleh Jabatan Perikanan setakat ini dalam penghasilan anak-anak ikan kerapu harimau dan penghasilan akan-anak ikan selungsung yang dikendalikan bersama pihak swasta.
Ketibaan rombongan disambut oleh Pengarah Perikanan, Dayang Hajah Hasnah binti Ibrahim serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Perikanan.
Projek Semaian Ikan Kerapu baru sahaja dimulakan bagi menghasilkan bekalan anak-anak ikan kerapu harimau yang sihat dan berkualiti untuk dibekalkan kepada pengusaha-pengusaha yang bergiat dalam ternakan ikan kerapu dalam sangkar pada masa ini.
Projek ini telah berjalan sejak Februari 2008 lalu dengan mempunyai fasiliti tangki semaian, fasiliti sistem bekalan air masin dilengkapi dengan peralatan ‘blower’ dan peralatan pam air yang mempunyai kapasiti penghasilan sejumlah 10,000 hingga 15,000 ekor anak ikan kerapu berukuran 75mm setiap pusingan.
Setakat ini, projek semaian ini telah mencapai perkembangan dan kemajuan yang menggalakkan dengan menghasilkan anak-anak ikan kerapu harimau berukuran 70mm - 90mm yang sedia untuk distok dan dibesarkan di sangkar-sangkar di kawasan-kawasan yang bersesuaian.
Projek ini ditempatkan di kawasan Kompleks Pendaratan Ikan Muara sementara menunggu terbinanya tempat penetasan kekal yang telah dirancang untuk dibina di kawasan Meragang nanti.
Lawatan seterusnya ke Semaun Marine Resources Sendirian Berhad, Kuala Tutong yang mengusahakan Projek Pembiakan dan Penghasilan Bekalan Anak-anak Ikan Selungsung disambut oleh Pengurus Semaun Marine Resources Sendirian Berhad, Chuang Shi Shan.
Projek dilaksanakan secara 'partnership' dengan Semaun Marine Resources Sendirian Berhad bertujuan memastikan kesinambungan penghasilan bekalan anak-anak ikan selungsung yang berkualiti dan konsisten sepanjang musim selain mengelakkan jangkitan penyakit dalam industri pemeliharaan ikan dalam sangkar.
Projek ini telah berjalan sejak Februari 2008 lalu bagi menghasilkan bekalan anak-anak ikan selungsung berukuran 25mm.
Antara fasiliti yang terdapat ialah kolam induk, tangki pemeliharaan anak-anak ikan selungsung dan penghasilan makanan asli yang dilengkapi 'life support system' dengan kapasiti penghasilan sebanyak 30,000 hingga 40,000 ekor anak ikan selungsung berukuran 25mm setiap bulan.
Sehingga kini, projek ini telah menunjukkan pencapaian yang positif dan telah berjaya melaksanakan pembiakan dan penghasilan anak-anak ikan selungsung.
Di peringkat awal, projek ini hanya dapat menghasilkan anak-anak ikan selungsung dalam jumlah yang rendah tetapi dijangka akan meningkat pada pertengahan bulan Julai 2008 ini nanti.
Projek-projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan sendiri ataupun secara 'partnership' dengan pihak swasta pada masa ini bertujuan untuk memastikan pembekalan benih-benih dan anak-anak ikan yang berkualiti dan mencukupi untuk memenuhi keperluan pengusaha-pengusaha ternakan ikan dalam sangkar yang sedang berkembang di negara ini tanpa bergantung sepenuhnya kepada pengimportan dari luar negara.
Pengimportan benih-benih dan anak-anak ikan tidak digalakkan kerana benih-benih dan anak-anak ikan tersebut mungkin tidak berkualiti serta berpenyakit yang akan mengakibatkan kerugian kepada pengusaha-pengusaha.
Dalam memastikan penghasilan benih-benih dan anak-anak ikan yang berterusan bagi mendukung perkembangan serta kemajuan yang cemerlang dalam industri pemeliharaan ikan dalam sangkar, Jabatan Perikanan telah merancang untuk menyediakan kemudahan dan fasiliti penetasan ikan yang kekal di negara ini yang akan dilaksanakan dalam sedikit masa lagi.
Pada masa ini sebanyak 42 pengusaha sangkar ternakan ikan beroperasi di negara ini dengan mengusahakan lebih 1,900 buah sangkar di tapak-tapak industri ternakan ikan dalam sangkar di perairan Pelumpong, Pulau Kaingaran, Buang Tawar dan Sungai Bunga.
Pada tahun 2007 jumlah penghasilan dari industri ternakan ikan dalam sangkar berjumlah 38.6 tan metrik bernilai BND0.39 juta.
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 Jun. - Taklimat Lembaga Tawaran Negara (LTN) 2008 adalah forum untuk membincangkan hal ehwal proses dan pengendalian tawaran bagi projek kerajaan yang jumlah serta nilainya adalah tinggi dan meningkat mengikut pertambahan perbelanjaan kerajaan dari setahun ke setahun.
Taklimat bertujuan untuk berkongsi pandangan mengenai isu yang dihadapi dalam perlaksanaan proses tawaran dari segi pengendalian spesifikasi, dokumen tawaran dan penilaiannya.
Perkara itu dijelaskan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan selaku Pengerusi LTN, Awang Haji Bahrin bin Abdullah ketika menyampaikan kata alu-aluan beliau pada Taklimat LTN 2008 di Dewan Teater, Kementerian Kewangan.
Taklimat itu dihadiri Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, pengarah, ketua jabatan serta pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri, Bahagian Tenaga, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kewangan.
Taklimat disampaikan oleh Setiausaha LTN, Awang Matali bin Haji Apong itu adalah satu daripada empat sesi taklimat oleh LTN kepada semua kementerian.
Lembaga Tawaran Kecil (LTK) di setiap kementerian berperanan sebagai pemudah cara dalam memberikan pandangan dan nasihat kepada jabatan di bawah setiap kementerian dalam hal ehwal tawaran.
Perkara itu adalah untuk memastikan setiap jabatan yang menghadapkan sokongan tawaran perlu mengikut peraturan yang teratur supaya penilaian dan pertimbangan yang dilakukan oleh LTK terhadap sokongan tawaran berkenaan dapat dilakukan dengan lancar dan teratur.
Matlamat taklimat itu adalah untuk memastikan semua peraturan dan prosedur berhubung hal ehwal tawaran difahami serta dipatuhi selain sebagai satu usaha proaktif yang dilaksanakan secara berterusan oleh lembaga berkenaan bagi pegawai dan kakitangan kerajaan yang bertanggungjawab dalam pengurusan hal ehwal tawaran.
Taklimat juga bertujuan untuk bertukar pandangan dan berkongsi maklumat di antara LTN dengan LTK serta perkara yang perlu diambil perhatian dalam membuat pertimbangan serta sokongan tawaran oleh kementerian dan jabatan dalam bidang kuasa pihak LTK.
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 20 Jun. - Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Mac 2008 meningkat sebanyak 0.7 peratus kepada 105.0 berbanding Februari 2008.
Kos makanan dan minuman ringan meningkat 0.1 peratus disebabkan harga yang tinggi bagi tepung, roti, mi, biskut, telur, mentega, minyak masak sayuran, minyak masak sawit, minyak masak jagung, marjerin, minuman berasaskan koko dan minuman tidak bergas.
Harga yang tinggi bagi pakaian sedia siap, fabrik bagi lelaki dan wanita dan kasut menyebabkan peningkatan 6.7 peratus dalam kos pakaian dan kasut.
Kos peralatan, perkhidmatan dan pengendalian rumah meningkat 1.6 peratus berikutan harga yang tinggi bagi alat perabot, alas lantai, alat hiasan rumah tangga, kelengkapan rumah tangga dan alat elektrik, alat dan perkakas dapur, pinggan mangkuk dan kutleri, pengedalian rumah tangga dan lain-lain perkhidmatan rumah tangga.
Kos pengangkutan meningkat 0.1 peratus disebabkan harga yang tinggi bagi tambang udara.
Kos pengangkutan meningkat 0.1 peratus berikutan harga yang tinggi bagi peralatan termasuk aksesori.
Harga yang tinggi bagi ubat dan bekalan harta tanah menyebabkan peningkatan 0.1 peratus dalam kos perubatan dan kesihatan.
Peningkatan dan kos pelbagai barangan dan perkhidmatan 1.7 peratus adalah disebabkan harga tinggi bagi barangan penjagaan diri lelaki dan wanita dan barangan keperluan diri wanita.
Kos perumahan air, elektrik dan pemeliharaan, pendidikan, rekreasi dan hiburan adalah tidak berubah.
Kembali ke muka utama