KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika berkenan berangkat bagi menyaksikan persembahan yang disembahkan oleh para penduduk Daerah Temburong pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat bagi Daerah Temburong. - Foto oleh : Masri Osman.
TEMBURONG, Khamis, 24 Julai.- Rakyat dan penduduk Daerah Temburong hari ini mengukir senyuman tanda bergembira menyambut keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk di daerah ini.Menanti waktu itu tiba, rakyat serta penduduk di sini sejak awal pagi lagi telah bersiap sedia menantikan keberangkatan baginda bagi merebut peluang menjunjung ziarah dan bersua muka serta menyembahkan ucapan selamat ke atas baginda yang menyambut puja usia ke-62 tahun, tahun ini.
Kibaran bendera negara yang berbentuk kecil yang dikibarkan oleh para pelajar mengiringi keberangkatan baginda berserta kerabat diraja yang lain di daerah ini, di sepanjang jalan menuju kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan mewarnai suasana pagi hari ini.
Berangkat menyertai baginda di majlis ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji Abdul Azim, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Abdul Mateen berserta kerabat diraja yang lain.
Sejurus selepas itu baginda berserta ahli kerabat diraja berkenan menyaksikan persembahan padang yang bertemakan 'Menjunjung Kasih' yang melibatkan kira-kira 450 orang pelajar.
Penantian untuk bersua secara dekat bersama raja yang dikasihi akhirnya tertunai apabila baginda berserta ahli kerabat diraja seterusnya berkenan menerima junjung ziarah dari rakyat dan penduduk di daerah ini yang merupakan kesempatan serta peluang yang dicita-citakan yang secara langsung menandakan perasaan taat dan setia kepada baginda.
Dalam Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah ini suasana jelas terasa meriahnya apabila sekalian rakyat tidak melepas peluang untuk berinteraksi bersama baginda, malah baginda tanpa membezakan taraf dan kedudukan rakyat menerima dengan senang hati.
Dalam ruangan ini setiap puak mempamerkan aspek kesenian dan kebudayaan masing-masing secara menyeluruh yang mencerminkan identiti masyarakat itu sendiri.
Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah diakhiri dengan Majlis Santap Tengah Hari yang berlangsung di Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Temburong.
BAGINDA ketika berkenan menerima junjung ziarah daripada para penduduk dan rakyat Daerah Temburong pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat bagi Daerah Temburong.
SEBAHAGIAN daripada persembahan padang yang disembahkan oleh para penuntut dan belia-belia di Daerah Temburong pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat bagi Daerah Temburong.
DULI Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Azim, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Mateen ketika berkenan menerima junjung ziarah daripada orang ramai pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat bagi Daerah Temburong.
(Oleh : Abu Bakar Haji Abdul Rahman, Abdullah Asgar, Haji Ahmad Haji Salim-
)
Kembali ke muka utama