Fasa Pertama yang bertemakan 'Iltizam Belia Dengan Orang Ramai' bagi peringkat Daerah Tutong jelasnya telah diselajurkan dengan kerja-kerja kemasyarakatan di persekitaran Kampung Penabai.
Para peserta dan Belia-belia Majlis Perundingan Kampung Penabai telah terlibat dalam upacara menaikkan bendera termasuk di Bukit Ambuk, pengagihan bendera kepada penduduk kampung dan membuat kerja-kerja pembersihan pantai Seri Kenangan, Kuala Tutong.
Manakala Fasa Kedua tambahnya, para peserta BCTA dari keempat-empat daerah telah menyertai Upacara Perbarisan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-26 Tahun di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan.
Bagi Fasa Ketiga peringkat Daerah Tutong jelasnya, akan bermula pada hari ini dan ianya akan berpusat di Kampung Penanjong selama tiga hari dua malam, melibatkan 35 orang belia daripada Daerah Brunei Muara, Temburong dan Belait.
Beliau menyatakan, semasa berada di kampung tersebut, para peserta akan membuat berbagai kegiatan yang telah dirancang oleh jawatankuasa pelaksana meliputi aktiviti keagamaan, kebudayaan, kemasyarakatan dan sukan.
Di kesempatan itu beliau menyeru para belia selaku tunas bangsa yang akan mewarisi puncak kepimpinan negara supaya memanfaatkan peluang dan ruang yang diberikan oleh pihak kerajaan melalui pelbagai program dan kegiatan yang disediakan.
Beliau juga mengingatkan kepada para belia, adalah menjadi harapan setiap negara mempunyai belia-belia yang berkualiti dan cemerlang sehingga mampu membawa negara bergerak ke hadapan dengan lebih maju dan berjaya.
Turut hadir ketua-ketua cawangan jabatan kerajaan Daerah Tutong.
(Berita dan Foto : Shari Haji Garib)
Kembali ke muka utama