|

Islam melarang umatnya membazir demi kesejahteraan hidup dan kemakmuran negara
SYED Qutub Rahimahullahu Ta'ala di dalam tafsirnya menjelaskan bahawa Ibnu Mas'ud dan Ibnu Abbas mentafsirkan pembaziran itu ialah berbelanja kepada tempat yang tidak wajar (secara yang tidak diharuskan oleh Allah Subhanahu Wata'ala). Ini bermaksud walaupun sedikit sekali yang kita belanjakan, jika bukan kepada tempatnya yang wajar, maka ia tetap dikira sebagai membazir. Tidaklah semestinya banyak atau sedikit itu semata-mata menjadi ukuran sebagai perkiraan membazir atau tidak membazir dalam sesuatu perbelanjaan, tetapi keutamaan yang diambil kira ialah tempat dan di mana ianya dibelanjakan. Oleh yang demikian maka konsep langkah berjimat cermat dan tidak membazir yang sebenarnya kepada orang Islam itu ialah mengawal perbelanjaan supaya tidak dikeluarkannya kepada perkara-perkara yang tidak diizinkan oleh syarak. Kalau ini tidak dijaga dan dicegahnya. Percayalah pembaziran ini akan terus berlaku dan langkah ke arah jimat cermat yang diharapkan itu tidak akan memberi apa-apa erti lagi.
Islam sangat memandang berat terhadap soal berjimat cermat kerana ia menjadi asas bagi kesejahteraan hidup dan kemakmuran negara. Oleh itu, Islam mengharapkan setiap penganutnya supaya berjimat cermat dalam segala bidang kehidupan dan keadaan. Berjimat cermat dalam berbelanja seharian, berjimat cermat dalam menggunakan api elektrik dan air, berjimat cermat ketika menggunakan kemudahan-kemudahan awam dan sebagainya. Juga kepada sebahagian daripada (golongan fakir, miskin dan Al-Gharimin) di negara kita, baru-baru ini Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, telah pun memberi bantuan kepada mereka ini, supaya akan dapat menggunakannya dengan berjimat cermat dan membelanjakannya kepada perkara-perkara yamg mustahak sahaja dan bukannya membazir sebagaimana yang dianjurkan oleh syarak.
Budaya berbelanja mewah semakin menjadi-jadi sebahagian daripada di kalangan kita hari ini. Ia menjadi satu budaya yang mempengaruhi secara langsung dan tidak langsung gaya hidup masyarakat. Ia bukan sahaja menyerang golongan yang berpendapatan tinggi tetapi juga kepada golongan yang berpendapatan rendah sehingga berbelanja berlebih-lebihan di luar kemampuan mereka, semata-mata untuk meniru gaya hidup mewah yang dianggap suatu kemestian dan lambang kebanggaan. Mereka sanggup berbelanja besar semata-mata untuk mengadakan acara tertentu secara besar-besaran dengan melakukan pembaziran wang, lalu mereka lupa sehingga perbelanjaannya menanggung hutang yang banyak dan berada di luar batasan normal.
Islam melarang umatnya membazir kerana ia merupakan perbuatan keji dari pekerjaan syaitan. Sesungguhnya syaitan itu amat suka kepada orang yang boros dan membazir. Pepatah Melayu ada mengatakan 'Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis'.
Oleh yang demikian ukuran perbelanjaan dalam Islam ialah kesederhanaan kerana kesederhanaan itulah panduan yang membataskan antara keperluan hakiki dan dan pembaziran dan di antara kemurahan hati dan kebakhilan, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Furqaan ayat 67 yang bermaksud : "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang pabila menafkahkan hartanya, dia tidak melampaui batas dan tidak bakhil. (Sebaliknya perbelanjaan mereka adalah benar-benar sederhana antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu."
Sesungguhnya berlebih-lebihan dalam perbelanjaan itu ada banyak perkaranya dan juga banyak caranya. Bukanlah semata-mta terhadap wang dan harta sahaja. Lebih dari itu pembaziran dalam pengunaan masa dan umur kita, menggunakan bahan dan alat tenaga dan sebagainya, juga merupakan pembaziran yang perlu diambil perhatian.
Menggunakan sesuatu melebihi batas keperluan seharian kita adalah membazir. Lebih menggunakan air sahaja sehingga ke tahap yang sia-sia dan tidak menghargai serta tidak menjimatkan penggunaan tenaga elektrik dan sebagainya, semua bentuk ini dijauhi kerana ia amat merugikan begitu juga dalam pemakanan. Memasak makanan yang berlebihan dan tidak habis dimakan sehinggakan terbuang begitu sahaja. Semua ini adalah dari tunjuk ajar syaitan yang memang menghasut kita sehingga membazir, yang mana tidak seharusnya menjadi kelakuan Muslim sejati.
Akhirnya dengan permulaan awal tahun 2010 Masihi yang baru kita lalui ini marilah kita merancang dan berazam untuk berjimat cermat semoga Allah Subhanahu Wata'ala memberkati kehidupan kita. Harta yang kita miliki sebenarnya hak Allah Subhanahu Wata'ala yang dipinjamkan ke atas kita dan kita hanyalah sebagai 'pengurus' yang pastinya akan ditanya dari mana harta yang kita perolehi dan kemanakah kita membelanjakan harta tersebut.
Janganlah kita menganggap harta yang kita miliki itu sebagai milik mutlak kita dan kerana itu kita belanjakan sesuka hati, apatah lagi membelanjakan harta tersebut dalam perkara-perkara maksiat dan kemungkaran.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala yang bermaksud : "Dan berikanlah kepada kaum kerabatmu, orang miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing, janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros dan melampau-lampau. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."
Kembali ke muka utama
|