|

Rabu, 24 Februari 2010
10 Rabiulawal 1431
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
TURUN PADANG BERUNDING SELESAIKAN MASALAH
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-26 supaya mengamalkan sikap perundingan secara kolektif dalam menangani dan juga menyelesaikan apa-apa jua masalah yang berbangkit terutama sekali yang menyangkut kepentingan orang ramai. Sehingga terbit ungkapan 'lambat' disebabkan adanya halangan-halangan atau barrier yang membantutkan sesuatu rancangan untuk dilaksanakan yang melibatkan projek-projek kerajaan. Ini setentunya menjejaskan imej dan kredibiliti kerajaan di mata masyarakat sedangkan perkara itu boleh diselesaikan dengan perundingan, bermuzakarah dari hati ke hati dengan tulus ikhlas semata-mata bagi kebaikan bersama.
Baginda membuat misalan ada rancangan untuk membangun sekolah atau masjid-masjid, kadang-kadang yang dijadikan alasan biasa mengapa 'lambat', ialah kerana adanya halangan berkaitan dengan tanah atau tanah yang belum digezitkan dan seumpamanya. Berikutan dengan alasan sedemikian maka menjejaskan pembinaan sekolah berkenaan dan impaknya tentulah kepada mereka yang cuba membangunkan bangunan sekolah. Dan yang lebih mendukacitakan ianya tentu saja melibatkan pihak orang ramai yang ingin menghantar anak-anak bersekolah tetapi disebabkan perkara remeh-temeh yang sepatutnya boleh diselesaikan tetapi menjadi penghalang dan sebagainya.
"Jika inilah alasannya, bukan semua itu dari kerajaan jua? Sepatutnya kalau kerajaan sendiri yang berkehendak tentu saja masalah itu tidak akan sukar lagi. Tetapi kelambatan tetap juga berlaku, mengapa? Adakah kita betul-betul serius ataupun tidak? Jika lambat di peringkat bawah, adakah peringkat atas mahu turun padang berunding? Inilah masalah kita," titah baginda.
Kalau kitani perhatikan secara terperinci adalah logik dari segi hukum akal perkara yang melibatkan kerajaan sama kerajaan mudah diurus dan diselesaikan. Tetapi sebaliknya tidak, pelbagai persoalan yang timbul dan 1,001 macam alasan. Ini ditambah lagi dengan 'red tape' yang sentiasa menyukarkan kelancaran. Walhal dalam serba kecanggihan, ini tidak sepatutnya timbul dan berlaku. Melihat kepada senario di manakah silapnya? Mencari siapa silap dan salah bukanlah satu perkara yang baik dalam mengadilinya, tetapi apa yang penting ialah mempermudahkannya tanpa banyak alasan yang diberikan. Ruginya semua akan menanggung lebih-lebih kerajaan itu sendiri.
Amatlah bertepatan agar semua kita terutama warga Perkhidmatan Awam yang sering mendepani masalah ini supaya akan lebih komited, di samping membuka minda serta mahu membuat pembaharuan, kerana pembaharuan amatlah dituntut asalkan saja tidak melanggar norma-norma biasa yang diamalkan. Kata kunci kepada permasalahan semua itu ialah 'cara' bagaimana kita melaksanakan dan mengurusnya. Di samping digandingi dengan sifat-sifat jujur, dedikasi, amanah, bertanggungjawab serta inovatif. Kita mahu apa yang dirancang itu dilaksanakan dengan menepati jadual bukan sekadar rancangan di atas kertas saja. Di persimpangan ini sebenarnya tidak ada kamus melambat-lambatkan yang akhirnya akan membawa kepada terbengkalai dan kerugian yang bukan sedikit.
Amalan berunding selayaknya dijadikan budaya dalam setiap pekerjaan tanpa mengira siapa mereka sama ada berpangkat, tidak berpangkat, berjawatan tinggi dan berjawatan rendah. Semuanya memikul tanggungjawab yang menjurus kepada kebaikan dan kesempurnaan kerja. Sering kedapatan kelambatan atau masalah itu berlarutan sehingga bertahun-tahun tanpa diusik ataupun dibuat tindakan susulan atau 'follow up' tetapi tersimpan dalam fail dan kertas sahaja, sehingga sudah dipinta barutah kelam-kabut membuat itu dan ini. Sebenarnya ini bukan amalan bijak dan tidak sepatutnya berlaku. Mana-mana projek-projek yang tidak dapat diselesaikan di peringkat bawahan sepatutnya peringkat atasan perlulah campur tangan iaitu sekurang-kurangnya turun padang, satu istilah yang amat popular dan selayaknya menjadi amalan mana-mana jua warga Perkhidmatan Awam yang menjadi candik kepada pentadbiran dan pengurusan kerajaan.
Apa pun sebenarnya, semua masalah dapat diselesaikan secara efektif dengan amalan perundingan di antara agensi-agensi yang berkaitan. Jadikan amalan berunding satu kemestian dalam organisasi kerajaan, kerana ianya merupakan amalan orang-orang tua kitani yang sering bermuzakarah dan berdialog secara sihat dalam merungkai apa jua masalah yang timbul dan menyelesaikan kekusutan demi kekusutan sehingga akhirnya manfaatnya akan diraih oleh semua. Kita percaya jika semua warga Perkhidmatan Awam sentiasa turun padang semua kejayaan akan menjadi lebih mudah untuk dicapai. - Ketua Bahagian PELITA BRUNEI.
Kembali ke muka utama
|