Persembahan itu melibatkan 7,700 peserta perbarisan dan perhimpunan terdiri dari perwakilan pelbagai sektor masyarakat termasuk penuntut-penuntut sekolah.
Angka 26 memberikan pengertian bahawa Negara Brunei Darussalam kini sudah 26 tahun mencapai kemerdekaan penuh.
Gerakan bersepadu seperti yang dipersembahkan itu juga berteraskan sebuah azam yang menginginkan Negaraku Brunei Darussalam sentiasa maju dan berjaya dalam segenap bidang.
Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-26 bertemakan Negaraku Brunei Darussalam menekankan rasa kecintaan rakyat terhadap negara, di samping memperlihatkan suatu pengakuan bahawa Negara Brunei Darussalam adalah negara kita.
Rasa kecintaan terhadap negara merangkumi seluruh yang berhubung dengan negara termasuk pemimpin, kerajaan, perlembagaan, undang-undang, warisan budaya, khazanah dan falsafah negara.
Dengan pengakuan bahawa negara ini adalah negara kita dan setiap milik negara ini kita rasakan milik kita maka adalah menjadi tanggungjawab kita semua sebagai rakyat negara ini untuk mentaati raja, mengamalkan ajaran Islam sebagai cara hidup, memelihara warisan budaya bangsa dan memelihara serta mempertahankan kedaulatan negara ini.
Selain dari itu, rakyat dan penduduk juga perlu menghormati perlembagaan, mematuhi undang-undang, memelihara kestabilan politik, meningkatkan kemajuan ekonomi, meningkatkan taraf sosial penduduk, menjaga maruah, menjaga imej, mengamalkan dan menghayati falsafah negara.
Selain dari itu kita juga perlu sentiasa menjaga keamanan dan kesejahteraan, mengekalkan kesepaduan serta keharmonian negara yang merupakan tanggungjawab sebagai rakyat dan penduduk bumi Brunei Darussalam ini.
Tema sambutan juga mengajak semua rakyat negara ini tanpa mengira umur, keturunan, pangkat, bangsa dan agama bagi sama-sama menunaikan tanggungjawab agar negara ini akan sentiasa aman, sejahtera dan makmur serta kekal sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja.
(Oleh : Hezlinawati Haji Abd. Karim)
Kembali ke muka utama