|
BANGUNAN-BANGUNAN KOMERSIAL DAN
RUMAH PANGSA DIKENAKAN CUKAI PINTU
rencana oleh : Dk. Hajah Fatimah Pg. Haji Md. Noor
fatimah.noor@information.gov.bn
CUKAI bangunan atau lebih dikenali dengan cukai pintu ialah kutipan hasil yang dikenakan kepada orang ramai yang memiliki bangunan di dalam kawasan yang diisytiharkan di bawah kawalan Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB) akan berkuat kuasa pada 1 April 2009. Berikut ialah temu bual wakil PELITA BRUNEI (PB), Dk. Hajah Fatimah binti Pg. Haji Md. Noor dengan Pemangku Pengerusi Lembaga Bandaran BSB, Awang Haji Mansor bin Haji Md. Yassin berhubung dengan peruntukan akta tersebut.
PB : Menyentuh mengenai kenyataan yang dikeluarkan Lembaga Bandaran BSB Perlaksanaan Bab 12 Akta Lembaga-Lembaga Bandaran Penggal 57, minta penjelasan mengenai akta tersebut?
Pmk. Pengerusi Lembaga Bandaran BSB : Bab 12 Undang-Undang Lembaga Bandaran Penggal 57 memberi peruntukan kepada Lembaga Bandaran untuk memungut cukai. Cukai yang dimaksudkan ialah cukai bangunan atau lebih dikenali dengan cukai pintu. Di mana dalam akta tersebut menyatakan satu cukai tahunan bolehlah dikenakan ke atas semua tanah-tanah dan ke atas semua rumah-rumah dan bangunan-bangunan di dalam sebarang kawasan Lembaga Bandaran sebanyak tidak lebih dari 15 peratus dari harga tahunannya.
PB : Dalam akta yang bermula 1 April ini, cukai bangunan akan dikenakan bagi bangunan komersial dan rumah pangsa yang disewakan dalam kawasan komersial sahaja. Nyatakan kawasan-kawasan terlibat?
Pmk. Pengerusi Lembaga Bandaran BSB : Ya, akta tersebut akan bermula pada 1 April 2009, Lembaga Bandaran BSB akan melaksanakan peruntukan yang ada dalam akta tersebut bagi kawasan baru perbandaran BSB. Kawasan yang terbabit ialah Kampong Menglait 1 dan 2, Kampong Mata-Mata, Perindustrian Beribi, Pengkalan Gadong 1 dan 2, Kampong Kiarong, Kampong Beribi, Kampong Telanai, Kampong Bunut, Tasik Meradun, Kampong Subok, Kampong Belimbing dan Kampong Bera- ngan, Kiulap, Kianggeh, sepanjang Jalan Muara mulai pusing keliling Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sehingga pusing keliling Manggis dan sepanjang Jalan Kota Batu hingga Kampong Pelambayan.
PB : Berapa peratuskah kadar faedah cukai yang dikenakan oleh Lembaga Bandaran BSB pada masa ini? Macam manakah faedah cukai yang dikenakan itu?
Pmk. Pengerusi Lembaga Bandaran BSB : Kadar faedah yang dikenakan pada masa ini oleh Jabatan Bandaran BSB ialah paling tinggi 12 peratus. Kadar 12 peratus ini dikenakan berasaskan kepada kawalan dan kemudahan-kemudahan yang dinikmati oleh bangunan berkenaan seperti kawalan polis satu peratus; kawalan bomba satu peratus; perkhidmatan air dua peratus; lampu jalan dua peratus; jalan masuk dua peratus; perkhidmatan sampah satu peratus; pembersihan bandar satu peratus dan penjagaan najis dua peratus.
Kadar yang dikenakan ini tertakluk kepada kemudahan yang dinikmati oleh bangunan berkenaan mengikut kawasan, sekiranya tidak ada kemudahan perkhidmatan sampah dan pembersihan bandar, bermakna bangunan berkenaan cuma dikenakan sepuluh peratus sahaja.
PB : Dalam kenyataan itu juga menyebut pengiraan cukai bangunan telah dibuat dan notis telah dikeluarkan ke atas pemilik bangunan dan apakah jenis kategori bangunan?
Pmk. Pengerusi Lembaga Bandaran BSB : Ya betul, pengiraan telah selesai dilaksanakan dan notis telah dikeluarkan. Sehubungan dengan ini, tempoh menghadapkan bantahan jika ada adalah diperpanjangkan kepada 21 Mac ini adalah juga disarankan kepada semua pemilik bangunan untuk menghadapkan semua bantahan secepat mungkin secara bertulis kepada Pengerusi Lembaga Bandaran BSB untuk pertimbangan selanjutnya.
Mengenai dengan tatacara pengiraan yang diguna pakai pada masa ini bagi mendapatkan kadar faedah cukai bangunan adalah berpandukan kepada ketetapan yang disediakan oleh Badan Jawatankuasa Cukai Rumah. Terlebih dahulu, nilai kasar tahunan perlu diperolehi barulah dapat mengira kadar faedah cukai bangunan yang patut dikenakan. Bagi mendapatkan nilai kasar tahunan, ada dua kaedah yang digunakan yang mana tertakluk kepada penggunaan unit/bangunan tersebut.
Kaedah pertama ialah bagi bangunan-bangunan yang disewakan, ianya akan berpandukan kepada kadar sewa dalam setahun.
Kaedah kedua ialah bagi bangunan-bangunan yang digunakan sendiri oleh pemilik bangunan. Ini berpandukan kepada keluasan lantai yang didarab dengan harga nilaian semeter persegi dan didarab lagi dengan 12 bagi mendapatkan nilai kasar setahun. Setelah mendapatkan nilai kasar tahunan barulah didarab dengan kadar peratus kawalan dan kemudahan yang dinikmati di kawasan tersebut bagi mendapatkan kadar faedah cukai bangunan dalam masa setahun.
Bagi tujuan penaksiran, kawasan Lembaga Bandaran BSB dibahagikan kepada dua zon : zon pertama ialah dalam pusat bandar iaitu ‘central of the city’ contohnya bangunan-bangunan yang terdapat di sepanjang Jalan Sultan, Jalan Pemancha, Jalan McArthur dan Jalan Kianggeh. Zon kedua ialah di luar pusat bandar iaitu ‘outside the central of the city but still in the city’ contohnya kawasan baru Lembaga Bandaran BSB. Tujuannya ialah untuk menetapkan harga nilaian semeter persegi sebulan yang digunakan bagi mendapatkan nilai kasar tahunan bangunan yang digunakan sendiri akan tetapi tertakluk kepada kegunaan bangunan tersebut. (Rajah 1, 2 dan 3).
PB : Bagaimana dengan bangunan komersial dan rumah pangsa yang kosong dan yang habis tempoh sewa adakah dikenakan cukai bangunan?
Pmk. Pengerusi Lembaga Bandaran, BSB : Jika sekiranya bangunan atau sebahagian unit di bangunan yang dikenakan cukai itu kosong lebih dari 30 hari berturut-turut, pemilik bangunan berhak untuk tidak dikenakan cukai bagi hari-hari di mana bangunan berkenaan tidak digunakan dengan syarat pemilik bangunan hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada Pengerusi Lembaga Bandaran BSB mengenainya. Jumlah hari yang tidak dikenakan cukai itu dikira dari hari penerimaan surat pemberitahuan kekosongan berkenaan. Sehubungan dengan itu, sebarang perubahan pada kegunaan bangunan hendaklah dimaklumkan secara bertulis dengan seberapa segera ditujukan kepada Pengerusi Lembaga Bandaran BSB.
PB : Bagaimana kedudukannya jika bangunan yang dikenakan cukai itu dipindah milik atau pemiliknya meninggal dunia?
Pmk. Pengerusi Lembaga Bandaran BSB : Jika ada berlakunya sebarang pindah milik terhadap bangunan yang dikenakan cukai, ianya adalah menjadi tanggungjawab pembeli atau penjual untuk memaklumkan kepada lembaga dalam tempoh tiga bulan mengenainya secara bertulis. Kegagalan dalam memaklumkan hal ini akan mengakibatkan bekas pemilik masih bertanggungjawab ke atas bayaran cukai bangunan berkenaan sehingga pengesahan pindah milik tersebut diterima oleh Pengerusi Lembaga Bandaran atau catatan telah dibuat dalam buku daftar cukai.
Sama juga kesnya jika bangunan baru didirikan, dibangunkan semula, diubahsuai atau didiami semula setelah dikosongkan hendaklah dimaklumkan kepada lembaga secara bertulis dalam tempoh 15 hari. Jika bangunan dirobohkan atau sebahagiannya dirobohkan, pemilik bangunan juga dikehendaki memaklumkan secara bertulis kepada lembaga. Kegagalan akan menyebabkan pemilik masih dikehendaki untuk membayar cukai di sebalik perobohan telah berlaku.
Selain itu, jika pemilik bangunan meninggal dunia. Pentadbir atau pengganti kepada harta tersebut hendaklah memaklumkan secara bertulis kepada Pengerusi Lembaga Bandaran dalam tempoh satu tahun selepas tarikh pemilik asal meninggal dunia. Lebih cepat lebih baiklah.
PB : Bila pula bermula cukai ke atas rumah-rumah persendirian, bagaimana pula cukai yang akan dikenakan?
Pmk. Pengerusi Lembaga Bandaran BSB : Cukai ke atas rumah-rumah persendirian belum lagi kenakan pada masa ini, jika ianya dikenakan oleh pihak jabatan akan memaklumkan kepada orang ramai mengenainya. Untuk pengetahuan bersama tatacara pengiraan adalah sama jika disewakan menggunakan kadar sewa dan manakala jika digunakan sendiri menggunakan keluasan lantai.
Kembali ke muka utama
|