Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Sabtu , 21 Mac 2009
24 Rabiulawal 1430

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

BELANJAWAN TUMPU LIMA SEKTOR UTAMA

PERUNTUKKAN Belanjawan Negara Bagi Tahun Kewangan 2009/2010 sejumlah BND 4,985,785,600 memfokus dan menjuruskan tumpuan utama kepada lima sektor iaitu pertahanan dan keselamatan awam, kesejahteraan sosial dan pembasmian kemiskinan; keselamatan bekalan makanan kebangsaan, perkembangan dan pengukuhkan sektor swasta dan perkembangan sumber tenaga manusia dan kapasiti. Penumpuan kelima-lima sektor tersebut bagi merealisasikan objektif dan strategi belanjawan iaitu terus menjurus kepada pengukuhkan fiskal bagi mencapai kedudukan fiskal yang berdaya tahan dengan tujuan menjana perkembangan dan pertumbuhan ekonomi yang ‘sustainable’. Apa yang jelas setiap perancangan perbelanjaan memberikan penekanan yang wajar kepada projek-projek dan program-program yang dapat menyumbang peningkatkan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat keseluruhannnya.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam merancang perbelanjaan juga menumpukan belanjawan yang dapat meningkatkan penglibatan sektor swasta bagi turut sama menyumbang kepada usaha meluaskan ekonomi dan hasil, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini. Mekanisme ini perlu difokuskan semata-mata bagi pengukuhkan fiskal memandangkan ramalan dunia terhadap harga minyak yang tidak menentu dan juga disebabkan krisis ekonomi global yang menghambat dunia ketika ini. Unjuran pendapatan kerajaan bagi tempoh 2009/2010 dijangka akan menurun dengan signifikan kepada kira-kira BND4,000,367,000 berbanding unjuran kewangan 2008/2009 sejumlah BND5.602 bilion. Ini juga bermakna kerajaan akan mengalami defisit belanjawan sebanyak kira-kira BND1.65 bilion.

"Alhamdulillah berkat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, negara telah dapat menikmati keamanan dan kesejahteraan yang berterusan. Begitu juga kita amat bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana di tengah-tengah kemelut krisis kewangan ini, sektor kewangan di negara ini masih kukuh dan stabil. Ini telah membolehkan kita menumpukan usaha untuk meneruskan pelaksanaan program dan projek-projek merangsang ekonomi," tegas Menteri kewangan Kedua, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Rahman semasa membentangkan Rang-rang Undang Perbekalan 2009/2010 di Persidangan Majlis Mesyuarat Negara Pertama Dari Musim Permesyuaratan Kelima.

Namun dalam menghadapi krisis ekonomi global, kerajaan akan mengambil pendekatan berbelanja secara berjimat cermat dan berhemah, kerana kita percaya dengan strategi ini perbelanjaan kerajaan akan dapat dikawal selia dengan penuh bijaksana dan memastikan ‘value for money’ melalui penggunaan peruntukan yang efisien dan berkesan. Akan tetapi, kerajaan akan terus mengutamakan kesejahteraan rakyat, di samping meningkatkan kedudukan sosioekonomi negara yang berdaya tahan. Anggaran perbelanjaan kerajaan juga telah pun ditambah sebanyak BND200 juta sebagai usaha kerajaan menjana lebih banyak lagi aktiviti-aktiviti ekonomi yang mana hasilnya nanti membukakan lebih banyak peluang pekerjaan untuk diisi oleh anak-anak tempatan.

Hanya dengan rangkaian kerjasama padu pihak kerajaan, swasta dan orang ramai, misi melaksanakan program dan projek kemajuan yang telah dirancang terutama dalam usaha pembasmian kemiskinan, meningkatkan keselamatan bekalan makanan negara, peningkatkan infrastruktur dan kemudahan awam bagi kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan penduduk, membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

Dalam keadaan ekonomi global, usaha gigih dan bersepadu semua pihak adalah ramuan utama yang diperlukan bagi sama-sama memelihara kesejahteraan dan kemakmuran negara dengan izin Allah jua akan sentiasa menjadi negara Darussalam.

Apa pun, kerajaan tetap komited dalam memberikan kesejahteraan dan kemakmuran kepada seluruh lapisan rakyat negara ini. Dalam erti kata yang lain kerajaan terus berusaha gigih dan menjalankan tanggungjawabnya dalam memaju dan memacu pembangunan terutama meningkatkan sosioekonomi negara bagi menghadapi kemelut kegawatan ekonomi global yang mana masih belum dapat dijangkakan dengan tepat bilakah penghujungnya.


Kembali ke muka utama




Kembali ke muka utama

Negara Brunei Darussalam
hos Sambutan
Hari Komanwel 2009

JABATAN Belia dan Sukan memaklumkan bahawa Negara Brunei Darussalam akan menjadi hos acara Sambutan Hari Komanwel 2009 pada 8 hingga 11 Mac 2009 dan Bengkel Serantau mengenai Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia mulai 12 hingga 17 Mac 2009 pada tahun ini. Sambutan ini dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Program Belia Komanwel, Pusat Asia bertemakan 'Komanwel 60: Membantu Generasi Muda'. Acara itu membolehkan negara-negara anggota menyertai aktiviti-aktiviti yang menggalakkan persafahaman mengenai isu-isu global, kerjasama antarabangsa dan aktiviti-aktiviti bagi komanwel moden di samping memberikan peluang baik kepada mereka untuk bertukar-tukar idea, menggalakkan persefahaman dan kerjasama di samping meningkatkan hubungan yang harmoni di antara mereka. Sementara itu bengkel serantau mengenai Pencegahan Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia adalah untuk menyediakan satu platform kepada para belia untuk berkongsi maklumat tentang amalan-amalan terbaik dan belajar antara satu sama lain. Ia juga untuk meningkatkan pengetahuan dan persefahaman peserta tentang dimensi virus masalah penyalahgunaan dadah, menyediakan pelan-pelan tindakan untuk pencegahan penyalahgunaan dadah, rawatan dan penjagaan serta mengukuhkan kordinasi di kalangan kerajaan dan bukan kerajaan ke arah strategi efektif bagi pencegahan, rawatan dan penjagaan. Setiap negara ahli akan disertai oleh dua wakil berusia 18 hingga 29 tahun dari sektor kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan dengan pengetahuan dan pengalaman mengenai isu HIV/AIDS dan penyalahgunaan dadah.