Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Pelita Brunei - Cetusan Minda

CETUSAN MINDA 35

RAJIN, DISIPLIN DAN CEKAP UNTUK SIAPA
Haji Mohd. Salleh Abdul Latif,
Penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 1990 (The S.E.A Write Award 1990)


SEORANG individu yang rajin, berdisiplin dan cekap tidak sahaja menguntungkan dirinya bahkan memakmurkan negara, memartabatkan bangsa dan memantapkan agamanya. Kerajinan adalah kunci kejayaan. Benar, tiada siapa yang menafikan ini. Benar, kerajinan, disiplin dan kecekapan akan dapat juga meningkatkan pengeluaran negara dan dalam keadaan-keadaan tertentu, sifat-sifat tersebut juga berdaya menjana dan membangun ekonomi sesebuah negara.

Namun bagi saya, jangan terlalu 'garusuh' untuk terus mengatakan bahawa kerajinan adalah satu-satunya pendorong atau 'pengubat' segala 'penyakit' dan jawapan bagi segala masalah. Tamadun dunia telah membuktikan bahawa tiada sebuah negara pun yang dapat mengatasi masalah-masalah semata-mata dengan kerajinan rakyatnya apatah lagi jika rakyatnya tidak berdisiplin. Dan tega mengambil hak orang yang lebih berhak untuk mendapatkan sesuatu.

Bisai kita pisi kenyataan di atas dengan mengambil contoh negara matahari terbit yang berupaya menjadi sebuah negara industri di akhir abad ke 19. Jepun adalah salah sebuah dari sebilangan kecil negara di Asia dan Afrika yang bebas dari penjajah. Penganalisis politik dan ekonomi kebanyakan bersetuju dengan pendapat bahawa Jepun berjaya menggunakan kemahiran ekonomi dan aktiviti tradisional industri-industri kecil dan sederhananya dalam pembentukan program-program industrialisasi seterusnya.

Selain rajin dan gigih, oleh kerana asas budayanya, saya ulang asas budayanya yang kukuh maka nilai-nilai kerjasama dan perpaduan dapat membantu dasar modenisasinya sehingga ianya menjadi tenaga penggerak industrialisasi Jepun.

Keupayaannya mengelakkan diri dari tunduk kepada kuasa penjajah telah mempengaruhi sifat nasionalismenya. Maaf cakap, tidak seperti negara-negara lain pada ketika itu, nasionalisme Jepun mempunyai keyakinan yang amat membanggakan. Pemencilannya, penduduknya yang 'homogenius', Shintoism dan ketaatan kepada Maharaja - kesemuanya mengukuhkan semangat nasionalisme Jepun yang sukar ditandingi. Semangat patriotisme inilah yang sebahagiannya bertanggungjawab dalam melibatkan penduduk dan golongan elitnya untuk mencapai kejayaan bagi Jepun, melalui satu program modenisasi yang pesat. Bukan setakat kerajinan!

Dalam hal ini, saya teringat cakap salah seorang profesor dalam kuliah kami semasa menjadi siswa Jurusan Falsafah di Universiti Stirling akhir tahun 80-an dahulu, berkata bahawa apa yang lebih penting dari nasionalisme Jepun adalah peranan kelas pemerintah di bawah Maharaja Meiji. Kelas pemerintah Jepun di akhir abad ke 19 amat menyedari akan perlunya modenasisi, dan Meiji serta pegawai-pegawainya sendiri mengepalai usaha menimba pengetahuan baru mengenai industri, perdagangan, pentadbiran dan pelajaran dari berbagai bahagian Eropah. Mereka menyerap dan menyesuaikan teknologi dari negara-negara luar tapi dalam waktu yang sama tetap menjunjung tinggi dan mengamalkan secara mantap budayanya sendiri. Mereka menyisihkan diri dari menjadi warga peminta-peminta!

Manakala itu pembentukan asas saintifik mendapat perhatian yang penting di kalangan pemimpin mereka. Dengan latihan yang diberi kepada ahli Sains dan Teknologi, berserta dengan penterjemahan buku-buku dan manual asing ke bahasa Jepun, mereka berjaya menggalakkan perkembangan suasana yang dapat menghargai pengetahuan dan pendidikan. Perpustakaan dan makmal tumbuh seperti cendawan sesudah hujan, kesemuanya terhasil akibat rangsangan kepimpinan yang dinamik.

Dari pengamatan analisis-analisis ini amat jelas sekali bahawa kepimpinan, lebih daripada kerajinan, merupakan faktor terpenting bagi kejayaan Jepun. Dalam abad ke 19 mereka sengaja membangunkan sumber tenaga manusianya sendiri dengan menggunakan teknologi dan pengetahuan asing yang sesuai tanpa pelaburan asing, tanpa bantuan asing dan tanpa nasihat asing. Jepun berjaya tanpa meniru sesiapa. Jepun berjaya tanpa meraih bantuan-bantuan.

Di sebalik itu mereka 'lutanan' memelihara 'semangat kejepunan' mereka semasa masuk mempelajari perkara-perkara asing, di samping itu kejayaannya juga adalah kerana perkembangannya di saat-saat yang paling sesuai.

Jelas kepada kita bahawa kesemua faktor-faktor ini iaitu ketiadaan penjajah, nasionalisme, golongan elit yang sedar akan keperluan negara, perkembangan pembangunan yang berdikari dan industrialisasi dalam titik sejarah yang sesuai, merupakan kesan yang lebih kuat terhadap kejayaan Jepun, lebih dari faktor kerajinan. Memang kerajinan memainkan peranannya namun faktor-faktor di atas merintis jalan ke arah modenisasi Jepun.

Kenapa saya ungkit hal ini? Ada bisainya ketika kita menyambut 25 tahun merdeka, untuk menilai diri sendiri kemudian mahu belajar dan mengambil iktibar dari kejayaan negara bangsa yang lain. Benar, keinginan kita untuk mewujudkan masyarakat yang bergantung kepada dirinya sendiri dan rajin memanglah perlu.

Soalnya, membudayakah sudah iltizam muluk ini. Atau hanya sekadar retorik semata-mata. Atau kita terpegun kejayaan orang lain tapi diri sendiri tetap berdengkur senang dengan harapan bantuan akan turun dari atas. Mari, banyaklah beristighfar kerana Allah Maha Penyayang dan Maha Pengampun.

Lalu entah sudahkah fikir panjang, berpusu-pusu orang kita, layak atau tidak layak, mengharap bantuan yang 'belum pasti' kerana sebagai Muslim, kita sesungguhnya ada sukat-sukat dan mekanisme tertentu menurut hukum syarak bagi mengagih-agihkan pendapatan yang terangkum dalam Rukun Islam Keempat. Lagipun negara kita ini berfalsafahkan Melayu Islam Beraja di mana Islam itu begitu dominan. Pihak masyarakat luar rata-rata berpendapat bahawa warga Brunei adalah warga yang amat menjiwai secara mendalam ajaran-ajaran Islam. Jadi, maruah diri letak di mana! Apakah jalama yang tega beruyung-uyungan bagi meraih 'bantuan' boleh dikatakan orang rajin merebut peluang, cekap bertindak serta begitu disiplin bermuslihat?

Apa kata masyarakat luar? Yang jelas bagi orang luar, 'sedaif-daif' atau 'semiskin-miskin' orang Brunei paling tidak di kalangan mereka ada yang punya telefon bimbit dan dapat melihat perkembangan dunia melalui astro berbayar. Malah ada yang 'malar' berkaraoke (pastinya berbayar) di kedai minum. Maaf cakap.

Para ilmuwan Islam berpendapat bahawa letakkanlah tiap-tiap masalah sesuai dengan ukuran, nilai dan kadarnya dan jangan sekali-kali anda berbuat zalim dan melampaui batas. Misalnya kalau matlamat orang-orang berbakti kepada Allah ketika berhenti di bawah sepohon kayu adalah untuk berjual beli maka mereka akan mendapat reda Allah. Tetapi jika seorang daripada mereka hanya disibukkan dengan urusan untanya sahaja, hingga ia tidak sempat ikut berjual beli maka yang akan ia perolehi hanyalah kebinasaan dan kegagalan. Maka buatlah batasan rasional setiap hari.

Menurut Aidh bin Abdullah Al-Qarni dalam bukunya, “Jangan Bersedih” bahawa makna kerelaan hati seseorang dalam menerima tiap-tiap pemberian atau ketentuan Allah ialah anda perlu rela hati dan puas dengan tiap-tiap pemberian Allah, sama ada berupa tubuh badan, harta, anak, tempat tinggal ataupun bakat dan kemampuan. Kebanyakan ulama Salafus soleh dan generasi awal umat Islam adalah orang-orang yang secara kebendaan termasuk fakir miskin. Mereka tidak mempunyai harta yang banyak, rumah yang cantik, kenderaan yang bagus, jauh sekali mempunyai pembantu rumah dan tiada pengawal peribadi.

Ini mengisyaratkan bahawa harga diri anda ditentukan oleh kemampuan, amal soleh, kemanfaatan dan akhlak anda. Maknanya, terimalah setiap pembahagian Allah dengan penuh kerelaan hati. Jauhkan diri dari merebut hak orang lain yang sebetulnya lebih berhak untuk mendapatkannya. Nah, di mana letak berkat rezeki!

“Ata bin Rabtu, orang yang paling alim pada zamannya adalah seorang bekas hamba berkulit hitam, berhidung pesek, lumpuh tangannya dan berambut kerinting. Ahnaf bin Qais, orang Arab yang dikenal paling sabar dan penyantun ini sangat kurus tubuhnya, bongkok punggungnya, melengkung betisnya dan lemah tubuhnya. Al-A’masy, ulama hadis ternama adalah manusia yang sayu sorot matanya dan seorang bekas hamba yang fakir, compang-camping baju yang dipakainya dan tidak menarik penampilan diri dan rumahnya,” jelas Aidh dalam bukunya itu.

Walaupun begitu, menurut Aidh, mereka ternyata mampu membuat hidup mereka lebih bermakna dan membuat mereka serta masyarakat lebih bahagia. Yang demikian itu adalah kerana mereka sentiasa memanfaatkan tiap-tiap pemberian Allah di jalan yang benar. Dan kerana itu pula usia, waktu, rezeki ala kadar dan kemampuan atau kemahiran mereka itu menjadi penuh berkat. Ya, penuh berkat.

Mari kita hayati firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Yunus ayat 62 maksudnya:

"Sebenarnya Allah jualah yang melimpahkan kurnia kepada manusia (meliputi rezeki pemberian-Nya dan hukum-hukum syarak yang diturunkan-Nya), tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur."

Berbeda dengan kelompok manusia yang dianugerahkan Allah rezeki yang sudah selesa yakni berkecukupan, nikmat yang banyak, zuriat yang banyak tetapi semua itu tetap masih mereka merasakan serba kekurangan, serba tidak kecukupan.

Saya katakan berkecukupan kerana kereta ada, telefon bimbit ada, pakaian berjenama malah dengan wang pinjaman dari institusi kewangan dapat membawa keluarga 'makan angin' dan 'santai-santai' di luar negara ketika cuti sekolah. Siapa suruh cuti di luar negara? Siapa desak belikan telefon bimbit untuk anak-anak? Siapa yang suruh membeli kereta model terkini, sekadar tunjuk bergaya? Bersyukurkah kita dengan apa yang ada?

Lalu merungut dengan cakap-cakap: Pendapatanku tidak mencukupi? Wang saku anak tidak cukup? Alat-alat persekolahan mesti dibeli? Maka membuat sifirlah si polan bayar ansuran kereta sudah berapa; bil telefon bimbit untukku, isteri dan anak-anak sudah berapa; petrol untuk kereta dua buah sudah berapa; bil air sudah berapa; dan potongan bulanan wang pinjaman peribadi institusi kewangan sudah berapa dan semua dicongak-congak.

Aduh, bil elektrik sudah tertangguh tujuh bulan tidak berbayar tapi dalam tempoh itu dua kali cuti sekolah berlagak seronok di luar negara! Apakah dengan angka-angka yang disifir sebegitu rupa (konon-kononnya bagai keselesaan hidup) dikatakan pendapatan suami-isteri tidak berkecukupan? Tepatlah kata orang tua-tua iaitu ukur baju di badan sendiri.

Kenapa mempunyai fikiran berserabut begini? Sudah tentulah sebab mereka melancong dari fitrah dan bimbingan hidup yang benar. Percayalah bahawa keselesaan dan kesenangan hidup, maruah diri yang sengaja kita cipta dan ada-adakan sendiri bagi memenuhi keperluan tuntutan sosial (konon-kononnya) bukanlah segala-galanya. Bawa mengucap, astaghfirullah ul- 'azim!

Sehubungan ini saya ingin paparkan beberapa cerita klasik di zaman dahulu tapi pernah terjadi. Pesawah atau petani kita dari puak Kedayan yang hanya mempunyai dua ekar sawah tetap miskin, meski bagaimanapun dia kuat bekerja suami isteri. Nelayan dari puak Melayu Brunei juga mengalami nasib yang sama. Nelayan hingga tua tetap nelayan saban tahun berendam dengan air dan gelombang. Ketiga, buruh kasar masih tetap miskin meski membanting tulang. Penjaja dan padian di zaman dahulu tidak pernah kita dengar jadi hartawan. Mereka ini 'lutanan' dan rajin. Mereka bukan malas. Mereka rajin. Nah kerajinan sahaja tidak menyelesaikan masalah. Sebabnya senang difahami iaitu hak milik yang tidak ekonomik, pemasaran yang terhad, pulangan yang tidak setimpal dan yang ketara ialah eksploitasi diri mereka dan kerajinan mereka yang disalahgunakan oleh pelbagai hala dan pihak. Kerajinan itu tidak akan melepaskan dari cengkaman kemiskinan, walau dia bekerja dua atau tiga kali lebih kuat. Rezeki yang ada cuma untuk menyarai keluarga.

Namun yang jelas dalam waktu yang sama di sisi lain, kerajinan mereka itu membawa berkat kepada anak-anak dan zuriat keturunan. Rezeki yang mereka perolehi itu penuh berkat. Ya berkat.

Anak-anak diberi pendidikan, peluang persekolahan percuma dimanfaatkan semaksimanya lalu jadilah zuriat mereka orang-orang terpelajar, menjawat jawatan-jawatan penting dalam Perkhidmatan Awam dan lain-lain. Dengan bantuan itu indung bapa akhirnya tidak lagi jadi petani, atau nelayan, atau buruh kasar, penjaja atau padian. Mereka keluar dari kepompong kemiskinan kerana bakti dan tanggungjawab anak kepada indung bapa.

Permuafakatan antara anak dan ibu bapa terserlah. Permuafakatan dan rezeki membawa berkat. Budaya bersyukur pada rezeki yang ada sepatutnya dikembangkan, di samping menanamkan rasa tanggungjawab semua ahli keluarga. Cubit paha kiri, paha kanan terasa juga.

Tapi kini, berkatkah rezeki jika diperolehi melalui sumber yang sepatutnya tidak layak diterima menurut hukum syarak! Berkatkah rezeki diperolehi melalui muslihat tidak rasional sekadar mahu mendapatkan bantuan? Lalu rajin, disiplin dan cekap untuk siapa, pastinya bukan untuk orang Jepun sahaja.

Bersyukurkah kita pada rezeki yang ada? Elok periksa diri sendiri, astaghfirullah ul'azim. Ya Allah, kami mohon taufik dan hidayah-Mu.


Kembali ke muka utama



Kembali ke muka utama

Negara Brunei Darussalam
hos Sambutan
Hari Komanwel 2009

JABATAN Belia dan Sukan memaklumkan bahawa Negara Brunei Darussalam akan menjadi hos acara Sambutan Hari Komanwel 2009 pada 8 hingga 11 Mac 2009 dan Bengkel Serantau mengenai Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia mulai 12 hingga 17 Mac 2009 pada tahun ini. Sambutan ini dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Program Belia Komanwel, Pusat Asia bertemakan 'Komanwel 60: Membantu Generasi Muda'. Acara itu membolehkan negara-negara anggota menyertai aktiviti-aktiviti yang menggalakkan persafahaman mengenai isu-isu global, kerjasama antarabangsa dan aktiviti-aktiviti bagi komanwel moden di samping memberikan peluang baik kepada mereka untuk bertukar-tukar idea, menggalakkan persefahaman dan kerjasama di samping meningkatkan hubungan yang harmoni di antara mereka. Sementara itu bengkel serantau mengenai Pencegahan Penyalahgunaan Dadah di kalangan belia adalah untuk menyediakan satu platform kepada para belia untuk berkongsi maklumat tentang amalan-amalan terbaik dan belajar antara satu sama lain. Ia juga untuk meningkatkan pengetahuan dan persefahaman peserta tentang dimensi virus masalah penyalahgunaan dadah, menyediakan pelan-pelan tindakan untuk pencegahan penyalahgunaan dadah, rawatan dan penjagaan serta mengukuhkan kordinasi di kalangan kerajaan dan bukan kerajaan ke arah strategi efektif bagi pencegahan, rawatan dan penjagaan. Setiap negara ahli akan disertai oleh dua wakil berusia 18 hingga 29 tahun dari sektor kerajaan dan bukan kerajaan yang berkaitan dengan pengetahuan dan pengalaman mengenai isu HIV/AIDS dan penyalahgunaan dadah.