BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 12 Julai. - Pemilihan untuk penyertaan pasukan Negara Brunei Darussalam ke Kejohanan Bolasepak Belia ASEAN Di Bawah Umur 21 Tahun bagi merebut Trofi Hassanal Bolkiah akan diadakan pada 18, 19 dan 20 Julai.
Pemilihan tersebut akan bermula jam 8.30 malam bertempat di Stadium Negara Hassanal Bolkiah.
Ia akan dibukakan kepada seluruh belia lelaki warganegara Brunei berumur di bawah 21 tahun yang lahir pada tanggal 1988 ke atas.
Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Pengarah Belia dan Sukan, Pengiran Sabri bin Pengiran Haji Muhammad selaku Pengerusi Bersama Komiti Pemilihan Trofi Hassanal Bolkiah di mesyuarat penyediaan pasukan negara bagi menghadapi Kejohanan Bolasepak Belia ASEAN Di Bawah Umur 21 Tahun bagi merebut Trofi Hassanal Bolkiah.
Pemilihan tersebut akan disertai oleh 125 pemain yang telah ditetapkan terdiri dari pemain yang pernah mengikuti pertandingan B-League, SUKMA dan Borneo Games, di samping membukakan bagi penyertaan belia-belia di Negara Brunei Darussalam.
Dari semua peserta yang mengikuti pemilihan itu nanti, hanya 40 pemain sahaja yang akan dipilih bagi mengikuti kejohanan itu nanti.
Semasa mesyuarat tersebut, Pengerusi turut mengingatkan supaya para peserta membawa kad pengenalan masing-masing pada sesi pemilihan itu nanti.
Selain itu, kelab-kelab bola sepak juga disarankan supaya memberikan kelonggaran kepada ahli-ahli mereka untuk menyertai pemilihan tersebut selain mengikut syarat-syarat yang telah ditentukan oleh Jabatan Belia dan Sukan (JBS).
Terdahulu, Pengerusi mesyuarat menjelaskan, JBS sudah lama mengumpul pemain, tetapi untuk melengkapi sebilangan pemain tersebut jabatannya juga menjemput pemain-pemain dari daerah-daerah untuk menyertai pasukan kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Mesyuarat penyediaan bagi kejohanan yang dijangka berlangsung pada April 2009 itu dikelolakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (BAFA).
Antara yang hadir pada mesyuarat tersebut pegawai-pegawai JBS, presiden-presiden, pengurus-pengurus dan para jurulatih kelab bola sepak.
KUALA BELAIT, Sabtu, 5 Julai. - Peserta kontinjen Daerah Belait yang mengikuti Pesta Sukan Kebangsaan (PSK) Ke-8 diraikan dalam satu majlis anugerah penghargaan setelah mengharumkan daerah ini dengan menduduki tempat ketiga di pesta tersebut.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis tersebut, Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Mohammad bin Haji Abdul Rahman yang juga menyampaikan sijil penghargaan kepada para penaja dan atlet. Majlis diadakan di Kompleks Sukan Mumong.
Acara kemuncak di majlis tersebut pengumuman olahragawan dan olahragawati 2008 Daerah Belait yang berjaya mengutip beberapa pingat emas dan mencipta rekod baru di pesta berkenaan. Olahragawan disandang oleh Awang Muhammad Fida’iy Haji Sanif dengan berjaya mengumpul dua pingat emas bagi acara karatedo, kata perseorangan dan kumite berpasukan.
Sementara Ching Hui Ting dinobatkan sebagai olahragawati dengan mencipta rekod baru 1.39 meter (m) dalam acara olahraga lompat tinggi di PSK 2008 setelah memecahkan rekod lama 1.25 m di PSK 2005.
Kontinjen Daerah Belait telah menduduki tempat ketiga di PSK kali ini dengan mengutip 57 pingat iaitu 14 pingat emas, 21 perak dan 22 gangsa. Pingat emas yang diperolehi dalam acara karatedo (5) pingat, lawan pedang (3), olahraga (2), pingpong (3) dan taekwondo (1), sementara pingat perak dalam acara bola jaring (1) pingat, catur (2), karatedo (5), lawan pedang (1), lumba basikal (2), olahraga (4), ping pong (1), renang (2) dan taekwando (3), manakala pingat gangsa dalam acara bola keranjang, bola sepak, bola lesut, karatedo, lawan pedang, lumba basikal, olahraga, pencak silat dan sepak takraw masing-masing mengutip 1 pingat gangsa, sementara acara pingpong dan renang masing-masing berjaya mengumpul 2 pingat dan 9 pingat gangsa dalam acara taekwando.
Seramai 305 atlet dan 62 orang pegawai dari daerah ini menyertai 20 daripada 23 acara di PSK tahun ini yang diadakan selama selama sembilan hari. PSK telah diperkenalkan pada tahun 1986 dan ianya dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan dikelolakan oleh persatuan-persatuan sukan dengan kerjasama jabatan-jabatan daerah dan beberapa buah majlis sukan di negara ini.
Pesta sukan tersebut diadakan setiap dua tahun sekali dan pada tahun ini sebanyak 13 pasukan akan bertanding iaitu dari Daerah Belait, Daerah Brunei dan Muara, Daerah Tutong, Daerah Temburong, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah, Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Majlis Sukan Polis Diraja Brunei, Universiti Brunei Darussalam, Pasukan Penjara, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RBA), Persatuan Bank-Bank Brunei dan sebuah pasukan dari Miri, Sarawak sebagai pasukan jemputan.
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 13 Julai. - Pasukan KRK 'A' muncul menjuarai Kejohanan Futsal Antara Bahagian-bahagian Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) selepas menumpaskan Bahagian Pentadbiran, 8 - 7 melalui sepakan penalti pada perlawanan akhir di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, di sini.
Kedua pasukan bermain cukup cemerlang dengan masing-masing melakukan banyak percubaan namun gagal menjaringkan sebarang gol hingga tamat perlawanan.
Keadaan tersebut kemudian mengheret kedua pasukan diberikan sepakan penalti bagi menentukan juaranya yang berkesudahan KRK 'A' menyingkirkan Pasukan Pentadbiran.
Terdahulu dari itu, perlawanan separuh akhir telah dilangsungkan antara Gabungan Bantuan dan Pekerjaan bertemu Pentadbiran di separuh akhir pertama, manakala perlawanan separuh akhir kedua di antara Pasukan KRK 'A' bertemu dengan Pasukan Daerah-daerah. Hadiah-hadiah disampaikan oleh tetamu kehormat kejohanan, Pemangku Pengarah Pembangunan Masyarakat, Dayang Hajah Misnah binti Haji Bolhassan.
Kejohanan futsal pada tahun ini dikendalikan oleh Bahagian Pencen-Pencen dan merupakan kejohanan tahunan bagi di bahagian-bahagian di JAPEM.
Dalam kejohanan kali kedua ini disertai oleh tujuh pasukan yang terdiri Pasukan Gabungan Bantuan dan Pekerjaan, Pasukan KRK 'A', Pasukan Pentadbiran, Pasukan Daerah-daerah, Pasukan Pencen-pencen, Pasukan KRK 'B' dan Pasukan Pusat Bahagia.
Antara objektif kejohanan adalah untuk menjalinkan hubungan silaturahim antara pegawai dengan kakitangan JAPEM melalui acara sukan, menanai semangat kerjasama berpasukan di antara para ahli dalam pasukan dan juga bahagian masing-masing sebagai pentas kepada pemain-pemain yang berpontesi dan berbakat untuk diserapkan di Kejohanan Futsal Antara Jabatan Di Bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan ianya merupakan satu aktiviti untuk menghilangkan tekanan bekerja dan pada masa yang sama untuk menaikkan taraf kesihatan individu masing-masing.
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 10 Julai. - Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan telah mengadakan Majlis Bertahlil Bagi Ayahanda dan Bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam iaitu Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Majlis Bertahlil Sempena Sambutan Hari Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan Yang Ke-50 Tahun itu berlangsung di Kubah Makam Diraja, di sini.
Mengelapai majlis tersebut, Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Awang Ahamaddin bin Haji Abdul Rahman.
Juga hadir di majlis itu, pegawai-pegawai dan ketua-ketua jabatan serta kakitangan jabatan berkenaan.
Kembali ke muka utama