
"Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang wajib atas orang-orang yang beriman yang tertentu waktunya."
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam berpesan kepada umatnya supaya ibadat sembahyang itu diajarkan kepada anak-anak sejak berumur tujuh tahun dan memukul mereka dengan pukulan yang munasabah jika enggan menunaikan sembahyang ketika berumur 10 tahun sebagaimana hadis riwayat Al-Imam Abu Daud dari Umar bin Shuib dari bapanya dari neneknya, berkata ia :
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
"Suruhlah anak-anak kamu itu mengerjakan sembahyang ketika anak-anak itu berumur tujuh tahun dan pukullah mereka bila meninggalkan sembahyang ketika anak-anak itu berumur sepuluh tahun dan pisahkan tempat tidur mereka."
Di samping itu, digalakkan juga berdoa agar anak-anak dan keturunan kita sentiasa mendirikan sembahyang sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ibrahim ayat 40 yang tafsirnya:
"Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku."
Mengerjakan sembahyang itu mempunyai banyak kelebihan, di antaranya :
*Sembahyang dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wata'ala. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Thaahaa ayat 14, yang tafsirnya:
"Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan Aku, oleh itu sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku."
Berdasarkan maksud ayat tersebut sembahyang adalah jalan bagaimana untuk kita sentiasa mengingati Allah Subhanahu Wa- ta'ala dan merupakan tanda pengabdian dan syukur kepada Allah atas segala nikmat dan rahmat yang dikurniakan-Nya kepada kita.
* Sembahyang dapat menghapus dosa.
Sebagaimana manusia kita tidak terlepas dari melakukan dosa dalam kehidupan kita seharian. Oleh itu sembahyang lima kali sehari semalam dapat menghapuskan dosa-dosa kecil yang dilakukan sebagaimana hadis riwayat Al-Imam Muslim dari Abu Hurairah Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
"Sembahyang lima waktu dan Sembahyang Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu sembahyang-sembahyang itu selama dijauhinya dosa-dosa besar.’’
* Sembahyang dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar.
Sembahyang yang dikerjakan dengan khusyuk dan mengikut segala rukun-rukunnya mencegah orang yang mengerjakannya dari melakukan maksiat dan kemungkaran sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al' Ankabuut ayat 45 yang tafsirnya:
"... Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar ..."
* Sembahyang dapat memberi keberkatan dan kebahagiaan dalam kehidupan.
Kehidupan orang yang memelihara sembahyang jauh berbeza dengan orang yang meninggalkannya. Orang yang memelihara sembahyang, kehidupannya dipenuhi dengan kejayaan, keberkatan dan kebahagiaan sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Mu'minuun ayat 1 - 2 yang tafsirnya:
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya."
Oleh itu, marilah kita sama-sama mentaati perintah Allah Subhanahu Wata'ala dengan menunaikan sembahyang agar kehidupan seharian kita akan sentiasa aman bahagia kerana dapat menghindari diri dari melakukan perkara-perkara maksiat dan mungkar.
Kembali ke muka utama