
Rabu, 23 Julai 2008
20 Rejab 1429
AKHBAR Rasmi Kerajaan PELITA BRUNEI yang telah diterbitkan sejak 52 tahun lalu kini turut sama-sama memasuki alam siber. Kemasukannya dalam gerbang siber seiring dengan perkembangan teknologi infokomunikasi (ICT) adalah bukti jelas betapa akhbar berkenaan sudah mampu bersaing dengan media cetak global di persada ledakan maklumat. Dengan terbitannya setiap hari melalui Pelita Online Harian, para pelayar internet berpeluang untuk mendapatkan maklumat dengan cepat, terkini dan pada bila-bila masa pun. Sejak bermula 7 Julai 2008, bukan sahaja rakyat negara berpeluang melayarinya bahkan seluruh warga dunia dapat mengakses Pelita Online bermula jam 8.00 pagi waktu Brunei setiap hari. Ini sesuatu yang amat membanggakan bukan sahaja kepada Jabatan Penerangan, tetapi yang penting ianya dapat mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam di pentas maklumat dunia antarabangsa.
Pencapaian yang merupakan sejarah penting bagi negara kita selayaknya kita agungkan kerana ianya adalah kejayaan yang amat gemilang apa lagi PELITA BRUNEI sebagai lidah kerajaan dalam menyalurkan apa-apa jua maklumat.
Begitu juga dengan kecanggihan ICT, PELITA BRUNEI yang dulunya sejak tahun 1965 diterbitkan seminggu sekali pada hari Rabu kini sudah terbit dua sekali seminggu iaitu hari Rabu dan Sabtu. Kemunculan kecanggihan ICT telah dapat membantu bagi akhbar berkenaan untuk bergerak ke depan dengan penerbitannya berganda. Suatu impian yang telah lama diidam-idamkan, akhirnya hasrat tersebut tercapai di era kebanjiran maklumat dan kemunculan media baru di pasaran antarabangsa.
Sesungguhnya pelancaran kedua-dua produk itu mencerminkan betapa Jabatan Penerangan sanggup menyahut cabaran dan mampu untuk menjayakannya dengan lebih bermakna dan bererti bagi menggapai hasrat murni Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memesatkan e-Kerajaan di negara ini.
Sebenarnya Pelita Online Harian dan Penerbitan PELITA BRUNEI Dua Kali Seminggu itu adalah terhasil dari projek e-Pelita yang menelan belanja BND989,910.00. Kedua-dua produk berkenaan adalah penting dalam mendukung pelan strategik Jabatan Perdana Menteri khususnya strategi untuk meningkatkan imej kerajaan yang berkesan dan pemedulian. Kalau diukur dari belanjanya amatlah besar dan kerajaan tidak memperolehi keuntungan apa-apa seperti akhbar-akhbar lain. Tetapi perlu diingat kerajaan mendapat 'keuntungan' dari segi penyaluran maklumat mengenai dasar-dasar kerajaan, hal ehwal negara serta isu-isu semasa yang mempunyai kepentingan bersama, di samping mengimbangi pengaliran maklumat bersifat 'negatif' dari media massa yang lain.
Menteri Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Awang Yahya semasa melancarkan Pelita Online Harian dan Penerbitan PELITA BRUNEI Dua Kali Seminggu pada 19 Julai 2008 antara lain menekankan:
‘‘Selaras dengan perkembangan teknologi infokomunikasi yang sangat pesat sekarang, Akhbar Rasmi Kerajaan PELITA BRUNEI turut sama-sama memasuki alam siber dalam era globalisasi ini. Melalui Pelita Online Harian, para pelayar internet berpeluang untuk mendapatkan maklumat yang lebih cepat, terkini dan pada bila-bila masa pun. Di samping berita semasa maklumat mengenai iklan-iklan tender dan jawatan-jawatan kosong akan dapat dilayari secara 'real time'. Perkhidmatan ini saya percaya sangat berguna kepada orang ramai, terutama pihak yang berkenaan."
Pelita Online boleh dilayari melalui www.pelitabrunei.gov.bn selepas jam 8.00 pagi setiap hari. Terbitannya bertindak sebagai online rasmi kerajaan dalam menyalurkan maklumat berita-berita yang sahih, betul, 'credible' dan boleh dipercayai, di samping untuk memberi kemudahan masyarakat luar terutama warganegara Brunei di luar negara untuk mengikuti perkembangan semasa serta rencah-rencah peristiwa yang berlangsung di negara kita. Sementara PELITA BRUNEI dua kali seminggu telah memulakan operasinya pada 9 Julai 2008 dengan jumlah cetakan 16 ribu bagi cetakan biasa dan lebih 3 ribu cetakan khas dengan mengandungi 24 muka surat bagi setiap edisi.
Dengan pelancaran itu, insya-Allah, PELITA BRUNEI akan terus menjadi wadah hubungan dua hala di antara kerajaan dengan rakyat sesuai dengan fungsi sebagai lidah media rasmi kerajaan. Akhbar berkenaan akan terus berpacu memberikan dan menyebarkan maklumat kepada masyarakat dan orang ramai di negara ini sesuai dengan motonya seperti yang tertera dalam 'masthead' PELITA BRUNEI iaitu ‘MEMBUDAYAKAN MASYARAKAT BERMAKLUMAT.'
Kembali ke muka utama