BERITA LENGKAP

Berangkat ke Majlis Santapan
Malam Diraja Jubli Emas Sultan Kedah

KEBAWAH Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dialu-alukan oleh Kebawah DYMM Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah, Sultan Kedah Darul Aman sejurus berangkat tiba di Istana Anak Bukit. - Foto oleh : Ramli Haji Tengah

KEDAH DARUL AMAN, Selasa, 22 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam Diraja Sempena Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Kebawah DYMM Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah, Sultan Kedah Darul Aman, di Dewan Persantapan Istana Anak Bukit, di sini.

Keberangkatan tiba Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan DYTM Pengiran Isteri di Anjung Istana Anak Bukit dialu-alukan Sultan Kedah dan Sultanah Haminah.

Selepas itu Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan DYTM Pengiran Isteri kemudian dijunjung berangkat ke ruang menunggu.

Di ruang menunggu, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan DYTM Pengiran Isteri bersama Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nor Zahirah berkenan menerima cenderamata dari Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah dan Sultanah Kedah serta menandatangani Buku Lawatan Istana Anak Bukit.

Kemudian Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan DYTM Pengiran Isteri bersama Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berserta DYMM Raja-raja Melayu, Yang Di-Pertua-Yang Di-Pertua Negeri dan Perdana Menteri serta Timbalan Perdana Menteri Malaysia berkenan berangkat ke sesi bergambar ramai di Balai Penghadapan.

Selesai sesi bergambar ramai, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan DYTM Pengiran Isteri berserta tetamu-tetamu khas yang lain berangkat ke Majlis Santapan Malam Diraja di Balai Persantapan Istana Anak Bukit.

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Isteri Azrinaz Mazhar dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nor Zahirah diiringi oleh Sultanah Kedah Haminah Hamidon semasa berangkat ke Dewan Persantapan.

Berangkat sama Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa'adatul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna serta kerabat diraja yang lain.

Majlis Santapan Malam Diraja yang juga dihadiri orang-orang kenamaan dari dalam dan luar negeri, para perwakilan asing dan para jemputan khas itu diserikan dengan persembahan kebudayaan.

Kebawah DYMM Sultan Kedah yang diputerakan pada 28 November 1927 menaiki takhta pada 15 Julai 1958 sebagai Sultan Kedah Darul Aman ke- 28 dan secara rasmi ditabalkan pada 20 Februari 1959 merupakan sultan paling lama memerintah di negeri-negeri berpemerintahan beraja di Semenanjung Malaysia ketika ini.

Baginda berkahwin dengan Sultanah Bahiyah, kerabat diraja Negeri Sembilan pada tahun 1956 (mangkat pada tahun 2003) dikurniakan tiga puteri dan kemudian berkahwin dengan Sultanah Haminah binti Hamidon pada tahun 1975.

Pada 21 September 1970 sehingga 20 September 1975 baginda juga ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Agung Malaysia Kelima.

Di kalangan rakyat Negeri Kedah, baginda dikenali sebagai seorang raja yang berjiwa rakyat dan cukup disayangi oleh segenap lapisan masyarakat.

Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Alor Merah dan Titi Gajah, kemudian ke Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Star sebelum melanjutkan pelajaran ke Wadham College, Oxford dengan mendapat Diploma Sains Sosial dan Pentadbiran Awam.

KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Sultan, Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Raja Isteri dan DYTM Pengiran Isteri berkenan berangkat ke Majlis Santapan Malam Diraja sempena Sambutan Jubli Emas Pemerintahan Kebawah DYMM Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah, Sultan Kedah Darul Aman.

Sambutan Jubli Emas Kebawah DYMM Tuanku Sultan Kedah bermula 15 Julai lepas dan akan berakhir dengan Pelancaran Buku 40 Tahun Lembaga Kemajuan Perempuan Islam pada 18 Ogos depan.

Negeri Kedah Darul Aman berkeluasan seluas 9,426 kilometer persegi dengan keramaian penduduk berjumlah 1,818,188 orang pada tahun 2007 merupakan pengeluar beras utama di Malaysia.

Selain beras ekonomi Kedah juga bergantung kepada produk getah, kelapa sawit, tembakau, pelancongan terutama di Pulau Langkawi dan kini menuju ke bidang automotif.

Selain Alor Star sebagai ibu negeri, Sungai Petani, Kulim dan Kuah di Pulau Langkawi juga merupakan bandar besar di negeri berkenaan.

Negeri tersebut dibahagikan kepada 12 daerah; Baling, Bandar Baharu, Kota Setar, Pokok Sena, Kuala Muda, Kubang Pasu, Kulim, Pulau Langkawi, Padang Terap, Pendang, Sik dan Yan.

Menurut Hikayat Merong Mahawangsa atau catatan Negeri Kedah, Kesultanan Kedah bermula pada tahun 1136 apabila Raja Phra Ong Mahawangsa memeluk Islam bergelar Sultan Mudzafar Shah.
(Oleh : Sahari Akim)

Kembali ke muka utama