|

Sabtu , 21 Februari 2009
25 Safar 1430
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
NEGARA GEMILANG
BANGSA CEMERLANG
TANGGAL 23 Februari 2009, genaplah 25 tahun kita menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam sejak 1984. Tahun ini amat bermakna kerana kita merayakan Jubli Perak Hari Kebangsaan. Suatu jangka masa yang sudah menjadikan bangsa Brunei matang dan berwibawa dalam menghadapi susur galur kehidupan. Ini juga bermakna negara telah menghirup udara pembangunan yang amat pesat. Pendek kata, kedewasaan kita dalam menempuh kehidupan berbangsa dan bernegara telah teruji. Oleh sebab itu, tema sambutan tahun ini menyerlahkan 'kedewasaan' dengan menguatkannya dengan 'bernegara' menjadikan 'kedewasaan bernegara'. Tema yang berpaksikan kepada institusi-institusi kehidupan sebuah negara 'Melayu Islam Beraja' (MIB) dapat menjana senergi semangat kerja keras dan komitmen semua warga- negara dalam tunggak utama negara demi menjamin kesinambungan negara di tengah-tengah gelombang globalisasi yang semakin mencabar. Kedewasaan warganegara berfikir, bertindak, membuat keputusan perlu ditingkatkan demi memastikan cabaran-cabaran kehidupan masa hadapan dapat menyumbang kepada kesejahteraan bangsa dan negara.
Apa pun, dalam masa 25 tahun kita terus hebat membangunan demi menjadikan bumi Darussalam setara dengan negara-negara di dunia yang sudah lama mencapai kemerdekaan. Realitinya, taraf kehidupan rakyat semakin sejahtera. Peningkatan pendidikan negara semakin tinggi dan berkualiti. Kesihatan masyarakat terus terjamin dan tingkat kesihatan negara adalah antara yang terbaik di kalangan negara-negara maju. Pembangunan sosial yang meliputi perumahan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa mendapat prioriti utama Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Setiap jelama di bumi Darussalam menikmati setiap inci pembangunan dan menghirup erti pembangunan dalam landskap yang aman dan tenteram.
Semua yang kita nikmati berkat kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang sentiasa prihatin terhadap kehidupan rakyat dan serius memeduli pembangunan dan kemajuan negara. Kita amat beruntung mempunyai seorang raja yang sentiasa bekerja keras untuk kesejahteraan rakyat, yang sentiasa memandang jauh ke hadapan serta mempunyai visi yang cukup berwibawa dan dinamik ke arah membawa Negara Brunei Darussalam ke mercu kegemilangan. Melalui kepimpinan bagindalah, imej negara terserlah di mata dunia antarabangsa.
Sepanjang tempoh 25 tahun merdeka, kita juga telah berjaya membuktikan sebagai bangsa yang berdaulat yang mampu memikul tanggungjawab bernegara. Kita mempunyai sebuah kerajaan yang kukuh, ekonomi yang stabil dan landskap politik yang mantap. Ketiga-tiga elemen yang menjadikan negara kita Brunei Darussalam ligat membangun dengan jayanya tanpa adanya halangan, ditambah lagi dengan adanya perpaduan yang kukuh antara kerajaan dan rakyat jelata yang memudahkan proses membangun dan memajukan negara. Berasaskan tunjang kekuatan MIB yang menjadi pasak kepada sistem pemerintahan, kita telah mampu menjelmakan segala bentuk pembangunan. Sistem pemerintahan beraja akan kekal mewarnai pemerintahan negara sampai bila-bila, kerana ianya terbukti membawa kebaikan dan manfaat yang cukup hebat kepada bangsa dan negara. Sebagaimana titah baginda sempena Pemasyhuran Hari Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam pada 1 Januari 1984. Antara lain baginda bertitah:
"Negara Brunei Darussalam dengan izin serta limpah kurnia Allah Subhanahu Wata'ala akan untuk selama-lamanya kekal menjadi sebuah negara Melayu Islam Beraja yang merdeka, berdaulat dan demokratik bersendikan kepada ajaran-ajaran agama Islam menurut Ahli Sunnah Waljamaah dan dengan berasaskan keadilan dan amanah dan keikhlasan dan dengan petunjuk serta keredaan Allah Subhanahu Wata'ala jua dan sentiasa berusaha pada memperolehi ketenteramaan dan keselamatan, kebajikan serta kebahagiaan bagi rakyat beta dan demikian juga pemeliharaan perhubungan persahabatan di kalangan antarabangsa atas dasar saling menghormati terhadap kemerdekaan, kedaulatan, persamaan dan keutuhan (kukuh) wilayah bagi semua negara yang bebas dari campur tangan luar negeri."
Bagi meneruskan kesinambungan kemerdekaan, semua bangsa Brunei perlu lebih berani menempuh badai kehidupan yang cukup hebat, cukup mencabar dan penuh ranjau dan duri. Ini menuntut, agar kita bersedia berkorban dan berbakti, di samping sentiasa komited dalam apa jua pembangunan dan kemajuan. Kita harus menunjukkan semangat kebangsaan yang tulen serta semangat patriotik yang tinggi bagi kelangsungan kehidupan bernegara. Bersempena sambutan Jubli Perak teruskanlah langkah masing-masing penuh dewasa dengan lebih gigih membawa bangsa dan negara ke persada yang lebih tinggi dan menerjah dunia antarabangsa.
Semogalah, Hari Kebangsaan yang kita rayakan terus meningkatan azam dan iltizam bagi memperkasakan keupayaan bangsa Brunei yang tulen dan sejati. Bangsa yang benar-benar memperjuangkan misi negara. Bangsa Brunei yang tidak mudah tunduk terhadap sebarang ugutan, bahkan tetap setia meneruskan kesinambungan pembangunan dan kemajuan bagi manfaat anak cucu kita di masa mendatang. Bersama-samalah kita meningkatkan 'kedewasaan bernegara' bagi melahirkan sebuah negara gemilang dan bangsa cemerlang yang diredai Allah Subhanahu Wata'ala.
SELAMAT MENYAMBUT JUBLI PERAK HARI KEBANGSAAN KE-25 TAHUN
Kembali ke muka utama
|