BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 Februari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menggesa pihak-pihak yang terbabit mengendalikan bencana alam baru-baru ini supaya mencari jawapan tepat dan berfakta dan bukannya setakat teori semata-mata.
Kebimbangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap bencana alam yang baru menimpa turut menjadi penekanan baginda dalam titah sempena menyambut perayaan Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang disiarkan secara langsung melalui Radio dan Televisyen Brunei.
Kejutan bencana yang melanda baru-baru ini titah baginda, telah mengakibatkan banjir dan tanah susur yang turut menjejaskan bekalan elektrik dan gangguan sistem perhubungan .
"Seperti kita sedia maklum, baru-baru ini negara mengalami kejutan bencana agak luar biasa , di mana sebahagian kawasan dilanda banjir, tanah susur, gangguan bekalan elektrik dan sistem perhubungan.
Ini tidak syak lagi, adalah satu cabaran untuk menjadikannya sebagai peringatan dan pembelajaran, bagaimana langkah-langkah perlu diambil serta dipersiapkan, bagi sekurang-kurangnya, mengurangkan kesan-kesan kejadian tersebut," tegas baginda dalam mengimbas kejadian bencana yang baru lalu.
Dalam hubungan ini, baginda menyarankan supaya menghidupkan terus dasar belajar dan mengenali punca berlakunya bencana tersebut dan bukannya memadai setakat membuat kerja-kerja rutin sahaja, tetapi sebaliknya mesti mencari jawapan-jawapan tepat mengapa ia terjadi dan kemudian bagaimana mengatasinya?
"Satu soalan mudah, misalnya: Mengapakah dahulu tidak berlaku dan sekarang berlaku? Dahulu, di kawasan-kawasan tertentu tidak pernah banjir tetapi sekarang banjir besar? Dahulu, tidak berbangkit tanah susur tetapi sekarang banyak tempat yang berlaku tanah susur?" demikian persoalan yang turut baginda kemukakan dalam titah tersebut.
Kebimbangan baginda ekoran kejadian bencana alam adalah wajar memandangkan kejadian banjir dan tanah susur yang berlaku tahun ini boleh dikatakan yang paling teruk melanda Negara Brunei Darussalam sejauh ini dan menyebabkan banyak penghuni rumah di sebilangan besar kawasan terjejas.
Penekanan baginda dalam hal ini juga adalah bersesuaian dengan kematangan negara setelah mencapai 25 tahun kemerdekaan.
(Oleh : Siti Muslihat Haji Salleh & Haji Ahmad Hj. Salim)
Kembali ke muka utama