Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Sabtu, 20 Februari 2010
6 Rabiulawal 1431

Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang

SAYANGI NEGARA

SAMBUTAN Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-26 Tahun akan dirayakan pada hari Selasa, 23 Februari 2010 dengan Perhimpunan Agung yang diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara, Bandar Seri Begawan. Sejumlah lebih 20 ribu akan terlibat dalam perhimpunan agung itu yang meliputi kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, institusi-institusi pengajian tinggi, maktab-maktab dan sekolah menengah dan rendah, persatuan-persatuan belia dan kebajikan, pasukan-pasukan beruniform. Dengan sambutan itu bermakna genaplah 26 tahun kita mencapai taraf selaku sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat. Alhamdulillah dalam masa dua dekad itu, negara telah berjaya mencatat pelbagai perkembangan dan kemajuan dalam pelbagai bidang termasuk bidang ekonomi, pendidikan, kesihatan, keagamaan dan sosial yang telah meletakkan bumi Darussalam berdiri megah di puncak dunia global. Peranan negara bangsa di arena antarabangsa cukup mengagumkan malahan mendapat pengiktirafan pemimpin-pemimpin dunia.

Nikmat kemerdekaan yang kita lalui selama 26 tahun itu telah dinikmati kesejahteraannya oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk negara ini. Sebagai rakyat Brunei kita seharusnya merasa bangga dengan apa yang kita capai setidak-tidaknya ialah dengan menyayangi bangsa dan negara sendiri, kerana bumi Darussalam adalah satu-satunya tempat kita berteduh, tempat kita mencari rezeki dan tempat kita mencipta segala macam kejayaan.

Melihat kepada pencapaian-pencapaian negara lebih dua dekad itu adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mengekalkan kesejahteraan dan keamanan yang kita semua bina dan kecapi dengan kemampuan dan keupayaan kita sendiri tanpa bergantung kepada orang lain. Semua pembangunan yang kita rancang dan laksanakan diungkayahkan oleh kita sendiri. Dekri inilah yang dituntut oleh tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu 'NEGARAKU BRUNEI DARUSSALAM' yang menekankan agar semua kita rakyat Brunei tetap setia dan rela berkorban demi menjaga nama baik bumi kita, kerana negara ini adalah kepunyaan kita semua. Inilah satu-satunya negara yang kita miliki yang mustahak dijaga. Tanpa mengira 'gender', keturunan, pangkat, jawatan, bangsa dan agama marilah kita bersama menunaikan tanggungjawab bagi kita sentiasa bertekad bulat ke arah mensejahterakan dan mengekalkan negara sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja yang dengan izin Allah Subhanahu Wata'ala selama-lamanya akan kekal berdaulat, merdeka lagi demokratik.

Dalam kita mencapai kedewasaan bernegara, marilah kita bersama-sama merenung kembali akan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Sambutan Jubli Perak Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada 23 Februari 2009. Titah baginda antara lain menekankan : "Berasaskan kedewasaan yang telah kita capai, adalah penting untuk kita mempunyai azam dan persediaan bagi melakukan pembaharuan dan perubahan-perubahan jitu di dalam pendekatan mahupun tindakan."

Harapan kita pertaruhkan agar semangat kemerdekaan tidak akan luntur, tidak mudah goyah dan diperkotakkatikan bahkan tetap setia menyayangi bangsa dan memperjuangkan negara dengan apa cara sekalipun. Matlamat ini dapat dicapai jika semua menyedari akan perlunya memperkukuhkan negara dalam mempertahankan kemerdekaan dan bangsa, negara serta kesucian agama Islam.

Namun masih banyak kewajipan dan tugas menanti di hadapan kita. Dua dekad cumalah baru satu langkah, masa kita terlalu jauh dan ruang pula terbentang luas untuk diteroka terutama sekali dalam merealisasikan matlamat Wawasan Brunei 2035 yang akan menentukan untung nasib negara kita. Semua bangsa Brunei perlu lebih berani dan bersedia menghadapi apa jua rintangan serta sentiasa komited dalam apa jua pembangunan dan kemajuan sambil terus menunjukkan semangat kebangsaan dan patriotik yang tinggi bagi kelangsungan kehidupan bernegara.

Selaku bangsa yang berdaulat kita jangan takut apa pun orang menganggapnya terhadap kita tetapi yang penting ialah realiti bahawa kita adalah bangsa yang merdeka yang memerlukan agenda-agenda pembangunan bagi kelangsungan yang yang menyeluruh bagi menambahkan lagi kualiti hidup rakyat jelata. Semogalah, hari kebangsaan yang disambut setiap tahun, akan terus memberikan sumber inspirasi jitu dalam kesinambungan membangun bangsa dan negara yang tercintai ini. - Ketua Bahagian PELITA BRUNEI.

SELAMAT MENYAMBUT ULANG TAHUN
HARI KEBANGSAAN KE-26


Kembali ke muka utama