Samad bukanlah seorang pegawai kanan, cuma seorang pegawai biasa sahaja tetapi oleh sebab pengalaman dan komitmennya terhadap kerja serta tabiatnya yang tidak berkira atau tidak membantah dengan segala arahan, maka sebab itulah Samad sering diarahkan dengan beberapa tugasan.
Sebenarnya perkara ini telah berlarutan sejak lima tahun yang lalu hinggalah ke hari ini. Walaupun Samad tidak pernah membantah segala arahan dan telah beberapa kali menyelamatkan dan menaikkan nama syarikat, namun namanya masih juga tidak pernah tersenarai dalam kepala pengurusnya untuk dinaikkan pangkat.
Sebagai manusia biasa terkadang ada juga Samad rasa tertekan dengan beberapa arahan yang diberikan kepadanya. Apa tidaknya terkadang Samad terasa dirinya sebagai batu loncatan, misalnya jika tidak ada orang atau pegawai lagi barulah Samad diarahkan membuat tugasan tersebut. Begitu juga jika sesuatu perkara atau kerja-kerja yang belum selesai maka Samadlah orang yang tepat untuk diarahkan, layaknya seperti tukang basuh.
Namun Samad terus tabah menghadapinya kerana prinsip Samad setiap arahan itu adalah amanah baginya dan Samad pernah bertekad suatu hari nanti jika diizinkan Allah Samad dinaikkan pangkat, Samad akan mengubah sistem pentadbiran di syarikatnya itu.
Tujuannya bukanlah untuk membalas dendam tetapi untuk memberi kesedaran dan memberi peluang kepada generasi baru yang akan berkhidmat di syarikat itu nanti menikmati suasana kerja yang lebih teratur dan selesa.
Pernah suatu ketika dahulu Samad menyuarakan hasrat murninya itu dalam satu mesyuarat di syarikatnya, namun tidak diambil endah malahan mendapat tentangan.
Bermula dari situlah Samad mula diarahkan ke sana ke mari termasuk berpindah ke cawangan lain dan bermula dari situlah juga Samad sering disingkirkan, namun Samad tetap tabah menghadapinya dan buat tak tau saja.
"Tuan minggu depan ni ada mesyuarat bulanan macam mana kita jemput semua pegawaikah?" Jamil bertanya kepada pengurusnya.
Jamil adalah merupakan orang kanan pengurusnya walaupun dia baru dari Samad namun Jamil lebih dipercayai kerana kewibawaan dan kebijaksanaannya dalam mengatur strategi termasuk mengadu domba.
"Ya jemput semua pegawai kecuali Samad nanti banyak pula yang diprotesnya itulah inilah, bukan kau tak tau dia tu."
"Memang betul tuan, Samad tu kalau dia nak cakap dia tak peduli siapa perasan dia tu lah yang betul." Jamil dengan penuh semangat membenarkan pendapat pengurusnya.
Begitulah yang diandaikan kepada Samad setiap kali mesyuarat hendak diadakan. Sangka buruk terus meliputi dirinya sedangkan apa yang disuarakan Samad bukanlah untuk kepentingan dirinya tetapi untuk kebaikan semua pegawai dan kakitangan syarikat. Pernah sekali Samad menyuarakan pendapatnya di satu mesyuarat bulanan mengenai pertukaran kakitangan dan pegawai.
"Tuan apa kata kalau setiap pegawai dan kakitangan yang berkaitan dalam syarikat kita ini diarahkan bertukar secara bergilir-gilir, ini bukan apa supaya mereka akan terbiasa atau akan terdedah dengan beberapa pengalaman baru termasuklah ilmu pekerjaan yang baru."
"Ini juga akan memberikan kesenangan kepada pihak syarikat mahupun pengurusan mengarahkan pegawai dan kakitangan untuk bekerja di cawangan-cawangan kita jika ada yang bercuti ataupun sebagainya tidaklah terhad kepada seseorang saja."
Pendapat Samad ini tidak pernah diendahkan oleh pengurusnya dan pegawai-pegawai lain. Mereka selalu beralasan mereka tidak dapat membuat kerja lain. Yang menghairankan jika Samad yang menolak arahan dari pengurus, Samad akan diambil tindakan tetapi jika pegawai lain tidak akan diambil tindakan.
Inilah yang selalu membuat Samad merasa dirinya dianiaya bukan saja oleh pengurusnya malahan teman-temannya juga turut menganiaya. Apa saja pendapat yang disuarakan oleh Samad semuanya bertentangan dengan pengurus dan teman-temannya.
Perasaan seperti ini juga sebenarnya turut dirasai oleh teman rapat Samad, Yazid. Yazidlah tempat Samad meluahkan perasaan rasa tidak puas hatinya dan sekali gus tempatnya mengadu. Yazid sentiasa bersedia mendengar keluhan bila-bila masa saja jika Samad memerlukannya. Yazid juga sering menasihati Samad supaya terus bersabar dan membuat kerja seperti biasa kerana Yazid yakin suatu hari nanti Samad pasti akan berjaya.
"Yazid, entah sampai bilakah aku harus seperti ini tak sudah-sudahnya aku dianiaya, disingkirkan. Segala pendapatku semuanya salah."
"Samad bawa beristighfar ingat Allah, Dia tak akan menurunkan ujian buat hamba-Nya tanpa sebab dan tak akan mengujinya di luar kemampuan hamba-Nya. Yakinlah ini pasti ada hikmahnya buat kau. Bawalah bersabar."
"Aku tau semua itu Yazid tapi aku semakin terasa mereka sepertinya senghaja mahu menyingkirkan aku, hingga kini aku belum tahu apa salahku pada mereka hingga mereka tergamak membuat aku seperti ini," keluh Samad.
"Bersabarlah dulu Samad."
"Nak sabar macam mana lagi Yazid, kau tengok aku senang-senang saja di- arahkan ke sana ke mari tapi nak memangku jawatan pagawai atasan sekalipun aku tak pernah diberi peluang, apa semua ni," tingkat kesabaran Samad mula meledak.
"Kau ingat lagi tak Hajah Piah di antara orang yang terawal bekerja di syarikat ini sampai pencen dia tak dinaikkan pangkat dan sehingga dia pencen barulah orang berhenti menganiayanya." Samad meluahkan rasa hatinya.
Yazid terdiam seketika dalam hatinya berkata memang benar apa yang diucapkan Samad itu dan dia juga merasa gerun suatu hari nanti jika dia juga akan mengalami peristiwa yang sama.
"Aku masih ingat lagi pernah suatu ketika Hajah Piah mengadu kepadaku ketika pihak pengurus mengarahkan beberapa orang pegawai syarikat termasuk Hajah Piah sendiri untuk membuat satu kertas kerja bagi meningkatkan nama dan ekonomi syarikat."
Hajah Piah bertungkus lumus menyediakan kertas kerja tersebut dengan mengambil kira beberapa perkara penting yang diakui sendiri oleh ahli lembaga mesyuarat syarikat akan kebenaran dan sesuainya cadangan yang dibuat oleh Hajah Piah. Hajah Piah adalah orang yang pertama menyiapkan kertas kerja tersebut, namun apakan daya pihak pengurus telah menahan kertas kerja tersebut dengan alasan akan digunakan pada tahun hadapannya dan akan dimesyuaratkan sekali lagi nanti.
Bila tiba tahun hadapannya kertas kerja tersebut belum juga dibincangkan malah bila Hajah Piah bertanya mengenai hal tersebut Hajah Piah disuruh bersabar dan diarahkan jangan bertanya lagi mengenai hal itu kerana ianya sudah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan syarikat.
Hinggalah beberapa tahun kemudian terdengar satu cerita mengenai kertas kerja yang dibuat oleh seorang rakan sekerja Hajah Piah yang lebih junior darinya telah mendapat pujian dari pengurusnya kerana telah berjaya membuat beberapa cadangan yang boleh menaikkan nama dan ekonomi syarikat.
Hajah Piah menjadi keliru dengan tindakan yang diambil oleh pengurusnya itu. Ia seolah-olah tidak pernah menerima hakikat bahawa Hajah Piah juga telah membuat kertas kerja yang sama dan mengapa kertas kerjanya tidak pernah dijalankan.
Tambah menyedihkan lagi di bilik mesyuarat pengurusnya telah memuji berhabis-habisan cadangan yang dibuat oleh rakan sekerja Hajah Piah itu dan menyatakan berulang kali bahawa inilah yang dimahunya dan pihak syarikat.
Hajah Piah cuba menyiasat perkara itu hinggalah akhirnya mendapat jawapan. Patutlah kertas kerjanya itu ditahan rupanya ada udang di balik batu. Pihak pengurus telah menentukan orang yang dikehendakinya menyiapkan kertas kerja tersebut dengan tujuan bagi sesuatu kepentingan yang telah diaturkan termasuklah untuk menaikkan pangkat orang yang diaturkan itu.
Mengikut sumber yang didapati Hajah Piah, pihak pengurusnya sebenarnya telah membuat semua itu untuk menutupi satu konspirasi agar kenaikan pangkat orang yang dicalonkan itu tidak ketara dan menyangka Hajah Piah tidak akan dapat membuat kertas kerja tersebut dengan cepatnya namun sebaliknya.
Hajah Piah merasakan ini adalah satu tamparan yang hebat berlaku kepadanya walaupun selama ini dia sering saja dianiaya, namun baginya inilah yang paling hebat sekali. Setelah berkhidmat hampir 15 tahun dalam syarikat itu ada saja yang tak kena baginya di mata Pengurusnya, namun Hajah Piah tidak pernah membantah arahan yang diarahkan walaupun dia tahu dia sering dipergunakan untuk kepentingan orang lain. Hajah Piah ikhlas akan semua itu.
Hinggalah satu hari Hajah Piah mengambil keputusan untuk berhenti kerja (pencen), kebetulan syarat di syarikat pada masa itu membenarkan pegawai dan kakitangan untuk berpencen setelah berkhidmat selama 15 tahun. Walaupun sebenarnya Hajah Piah merasa berat untuk berbuat demikian, namun baginya inilah jalan terbaik yang harus diambilnya.
Baginya daripada terus mengalami penganiayaan serta menabur bakti yang tak pernah dihargai lebih baik berundur saja dan Hajah Piah juga merasa dengan ketiadaannya nanti senanglah rasa hati teman-temannya yang selama ini merasakan kehadirannya adalah ancaman bagi mereka termasuk pengurusnya. Walaupun hasrat Hajah Piah untuk berhenti kerja ini dibantah oleh majikannya Haji Talib (tuan punya syarikat ) dan mendesak apa sebenarnya yang berlaku, namun Hajah Piah tidak berganjak dari keputusannya dan tetap tidak mahu menceritakan apa yang dialaminya.
Haji Talib sebenarnya seorang majikan yang baik dan tegas dalam menjalankan setiap pekerjaannya. Dulu memang dialah yang mengurus syarikat, namun sejak usianya meningkat (60 tahun) beliau memberi kepercayaan kepada orang kanannya untuk mengurus syarikatnya. Tambahan pula Haji Talib sering berada di luar negeri bagi urusan perniagaannya yang ada di sana dan sekali gus menemani anaknya yang belajar di luar negeri.
Bagi Hajah Piah biarlah segala peristiwa yang dialaminya itu tidak diketahui oleh Haji Talib kerana tidak mahu hal itu berpanjangan walaupun dia tahu Haji Talib akan mempercayainya.
Pernah suatu ketika dulu Haji Talib bercadang untuk menaikkan pangkat Hajah Piah setelah melihat prestasi kerja Hajah Piah yang begitu memuaskan hatinya dengan syarat prestasinya itu berkekalan sehingga lima tahun. Namun sejak pengurus baru mengambil alih syarikat semua itu hanya tinggal kenangan. Entah apa sebabnya Hajah Piah tidak mengetahui.
Akhirnya ketiadaan Hajah Piah begitu dirasakan kerana tidak ada lagi orang yang sepertinya yang sanggup menerima arahan bila masa sahaja dan lebih mementingkan kualiti kerja serta mempunyai kebolehan yang luar biasa dalam bidang pekerjaan.
"Apa kau mahu nasib yang sama berulang kepada kita?" Tanya Samad setelah bercerita panjang.
"Ya Allah sampai begitu sekali tergamaknya mereka, bukankah itu satu kerugian pada syarikat kita. Orang yang benar-benar boleh membuat kerja diabaikan begitu saja," jawab Yazid dengan penuh kekeluhan.
"Hah … itu pendapat kau tapi belum tau pendapat mereka-mereka itu mungkin sebaliknya."
"Jadi sekarang ni apa yang perlu kita buat?" tanya Yazid penuh semangat.
"Kita perlu bersatu dan bekerjasama mulai sekarang. Kita teruskan berdoa serta berusaha tanpa kendur-kendur bagi mencapai hasrat baik kita itu. Jangan biarkan yang salah itu terus berleluasa."