
PINGAT Emas ... Daerah Temburong meraih pingat emas selepas menundukkan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dengan kemenangan tipis 75 - 74.
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 Jun. - Impian Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) untuk meraih pingat emas acara Bola Keranjang Pesta Sukan Kebangsaan (PSK) Ke-VIII 2008 bertukar menjadi pingat perak, selepas tumpas tipis kepada Daerah Temburong pada perlawanan akhir di Dewan Bola Keranjang Batu Bersurat Gadong, di sini.
BSP yang kebanyakannya dibarisi oleh pemain-pemain warga Republik Filipina bermain cukup meyakinkan terutama rangkaian pemain mereka seperti Esmond, Malabanan, Leslie, Mark dan Orlando yang banyak menyumbang mata, sehingga meninggalkan Daerah Temburong 28 - 16 pada permainan ‘quarter’ pertama.
Melihat kedudukan mata yang begitu jauh, Daerah Temburong kemudian bangkit pada ‘quarter’ kedua dengan berjaya merapatkan kedudukan 37 - 39. Kebanyakan mata yang mereka perolehi itu dilakukan melalui lontaran jarak jauh melalui Rosli.
PEMAIN Daerah Temburong bersama pemain BSP cuba merebut bola tinggi pada pertemuan akhir bola keranjang di Dewan Batu Bersurat.
Saingan permainan ‘quarter’ ketiga nampak lebih menarik dengan kedua-dua pasukan masing-masing berusaha gigih melakukan gerakan sehingga mata sentiasa berkejaran yang kemudian buat kali pertama Daerah Temburong mendahului di depan dengan 57 - 52.
Suasana permainan yang semakin tegang itu banyak melibatkan kesalahan dengan pengadil memberikan banyak lontaran bebas. Keadaan itu menjadikan kedudukan mata kedua-dua pasukan bersaing rapat yang kemudiannya Daerah Temburong menang tipis 75 - 74.
Pada pertarungan merebut pingat gangsa antara Daerah Brunei Muara (DBM) dengan Daerah Belait pula, memperlihatkan perlawanan dramatik dengan pada awal ‘quarter’ pertama hingga ketiga dikuasai oleh Daerah Belait dengan kelebihan 15 mata.
Bagaimanapun pada permainan ‘quarter’ keempat DBM bangkit mengejar dari kedudukan 54 - 69 hingga 65 - 69 sebelum berakhir dengan kemenangan pingat gangsa kepada DBM 72 - 69.
Sementara itu, dalam bahagian wanita pula DBM berjaya merangkul pingat emas selepas menumpaskan Universiti Brunei Darussalam diperlawanan akhir dan pingat gangsa dimiliki oleh Daerah Belait.
SERUJI Haji Setia merangkul dua pingat emas acara perseorangan gross dan berpasukan gross.
MENTIRI, Ahad, 22 Jun. - Daerah Brunei Muara (DBM) berjaya merangkul pingat emas acara golf perseorangan gross dan berpasukan gross di temasya Pesta Sukan Kebangsaan (PSK) Ke-VIII 2008 di Kelab Golf Pantai Mentiri.
Barisan DBM yang diwakili oleh Seruji Haji Setia, Faiz Haji Damit, Ak. Wirahadi Pg. Salleh, Haji Shaminan Haji Damit, Sanjok Moktal, Pg. Adam Pg. Atan, Haji Arfian Haji Kadir dan Haji Hamdan Haji Damit sememangnya mempunyai pengalaman dalam beberapa penyertaan di peringkat serantau, meraih Pingat Emas bagi berpasukan gross dengan mencatatkan mata keseluruhan 1141.
Daerah Tutong yang mempunyai kelebihan 80 mata memenangi pingat perak dengan mencatatkan mata keseluruhan 1221, manakala Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) memperolehi pingat gangsa dengan mencatatkan mata keseluruhan 1230.
Selepas merangkul pingat emas berpasukan gross, DBM melalui pemain kebangsaan, Seruji Haji Setia juga merangkul pingat emas perseorangan gross dengan mencatatkan mata 225 gross.
Rakan sepasukannya Faiz Haji Damit meraih pingat perak juga dengan catatan mata 225 gross, manakala Dennis Koh yang mewakili Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RBA) memperolehi pingat gangsa dengan catatan mata 227 gross.
Sementara itu bagi berpasukan nett pula, ABDB berjaya meraih pingat emas. Barisan mereka yang terdiri dari SSJN Erin, LKPL Shahri, MAJ Akmal Nizam, SLD Zunaidi Tuah, MAJ (U) Yakub Haji Sisa, MAJ (U) Hasazaidi Haji Ahmad MAJ Majalah Sain dan MAJ (U) Haji Shahdon berjaya mencatatkan mata keseluruhan 1064.
Daerah Tutong mengungguli pingat perak dengan mencatatkan mata keseluruhan 1088 manakala RBA meraih pingat gangsa dengan mencatatkan mata keseluruhan 1092.
Dalam bahagian perseorangan nett, peserta pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) A/SGT Haji Matdin memperolehi pingat emas selepas mencatatkan mata -16 nett. Pingat perak disandang oleh peserta ABDB, LKPL Shahari yang mencatatkan mata -14 nett dan Haji Rizal yang mewakili RBA memperolehi pingat gangsa dengan mencatatkan mata -13 nett.
MARIA Graace Koh meraih sebelas pingat emas dan berjaya mencatatkan beberapa rekod kebangsaan yang baru dalam acara renang.
BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 22 Jun. - Keunggulan skuad renang Daerah Brunei Muara (DBM) sukar digugat apabila kesemua mereka dengan mudah mendominasi acara-acara renang di temasya Pesta Sukan Kebangsaan (PSK) Ke-VIII 2008 ini.
Tiga hari acara renang berlangsung di Kompleks Sukan Renang, mereka langsung tidak mendapat tentangan sengit sebaliknya pula, begitu
mudah menuai sejumlah 31 pingat emas kesemuanya.
Hanya sebutir pingat emas saja terlepas dari genggaman iaitu emas dari acara 1500 gaya bebas lelaki yang diraih oleh Calluistus Tan, perenang dari Syarikat Penerbangan Diraja Brunei.
Kecemerlangan para perenang DBM nampak menyerlah apabila perenang lelaki Sui Kent Chung merangkul 12 pingat emas melalui acara kuak lentang 100, 200 perseorangan, 50 gaya bebas, 400 gaya bebas, 200 kupu-kupu, 100 kuak dada, 200 kuak lengang, 100 gaya bebas, 400 perseorangan, 200 gaya bebas, 200 kuak dada dan 100 kupu-kupu.
PARA perenang yang menyertai acara renang menerima pingat masing-masing sejurus selepas pertandingan renang selesai.
Sui Kent Chung ketika mengulas secara ringkas kejayaannya itu berkata pencapaian tersebut adalah dari hasil usaha latihan yang dijalani selama ini selain daripada tunjuk ajar serta bimbingan jurulatih.
Menurutnya jurulatih dan keluarga menjadi pendorong kuat untuk mencapai kejayaan yang cukup membanggakan ini dan beliau berharap akan dapat meneruskan serta mempertingkatkannya lagi pada penyertaan di kejohanan yang akan datang.
Selain Sui Kent Chung, perenang wanita Maria Grace Koh juga merupakan penyumbang pingat emas kedua terbanyak dengan 11 pingat emas. Perenang kebangsaan ini berjaya meraih pingat-pingat melalui acara 100 kuak lentang, 200 perseorangan, 50 gaya bebas, 200 gaya kupu-kupu, 100 kuak dada, 200 kuak lentang, 100 gaya bebas, 400 perseorangan, 200 gaya bebas, 200 kuak dada dan 100 kuak kupu-kupu.
Di celah kecemerlangan dua perenang itu, Felicia Lee Li Ern juga menyumbangkan dua pingat emas melalui gaya bebas 800 dan 400 gaya bebas.
Sejumlah enam pingat emas yang lain lagi mereka capai melalui acara 400 r-medley lelaki dan wanita, 400 r-gaya bebas lelaki dan wanita dan 800 gaya bebas lelaki dan wanita.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Eusoff Agaki menyampaikan pingat bagi acara renang di Pesta Sukan Kebangsaan Ke-VIII 2008.
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Jun. - Pasukan Daerah Brunei dan Muara (DBM) muncul sebagai juara keseluruhan Pesta Sukan Kebangsaan (PSK) Ke-VIII 2008 setelah berjaya mengutip pingat terbanyak di kejohanan sukan peringkat nasional yang terbesar di negara ini, dengan jumlah 145 pingat.
Kejayaan pasukan ini terserlah lagi dengan penganugerahan hadiah kepada dua atlet terbaik di sepanjang kejohanan ini iaitu sebagai olahragawan dan olahragawati terbaik yang diberikan kepada dua atlet renang iaitu Siu Kent Chung dan Maria Grace Koh sejurus sebelum majlis penutup.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Eusoff Agaki menyampaikan piala kepada Ketua Pasukan Daerah Brunei dan Muara yang masih mempertahankan kejuaraan dalam PSK Ke-VIII 2008. - Foto : Abdul Kadir Md. Tahir.
Penganugerahan ini adalah bersandarkan kepada keupayaan mereka dalam mencipta kejayaan, di samping kejayaan mereka dalam mencipta rekod-rekod kejohanan sekali gus rekod kebangsaan.
Di sepanjang kejohanan ini Siu Kent Chung telah memenangi sebanyak 12 acara individu, di samping beberapa kejayaan dalam acara berpasukan serta dalam mencipta rekod baru, manakala Maria Grace Koh yang merupakan atlet tunggal perenang negara yang beraksi di SUKMA Terengganu bulan lepas berjaya meleburkan empat rekod kebangsaan di temasya ini dengan mengutip sebelas pingat emas, di samping tiga emas menerusi acara berpasukan di kejohanan ini.
Pendedahan serta pengalaman yang ditimba di kejohanan bulan lepas itu seolah menyuntik semangat beliau menterjemahkan keupayaannya terutama dalam mencipta rekod-rekod kejohanan dan kebangsaan yang baru seperti dalam acara individu rampaian 400 meter, 200 meter gaya bebas, 100 meter dan 200 meter kuak lentang dan 200 meter kuak kupu-kupu.
Hadir merasmikan Majlis Penutupan PKS kali ini ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Mulia Dato Seri Paduka Eusoff Agaki bin Haji Ismail yang seterusnya menyampaikan hadiah kemenangan kepada kontinjen yang memenangi kejohanan ini.
ACARA 4 x 100 meter lelaki antara yang dipertandingkan di Majlis Penutup Pesta Sukan Kebangsaan Ke-VIII 2008.
Sebelum majlis penutup sebanyak lima acara peringkat akhir telah diadakan di mana kontinjen DBM memperolehi tiga lagi pingat emas menerusi acara 4 x 100 meter lelaki, 4 x 100 meter wanita lelaki dan 4 x 400 meter wanita.
Manakala dalam acara 4 x 400 meter lelaki diungguli oleh pasukan Jabatan Penjara, manakala acara 5000 meter lelaki di- menangi oleh pelari jarak jauh negara Sefli Ahar dari pasukan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei.
Menduduki tempat kedua di kejohanan ini jatuh
kepada pasukan Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dengan mengutip 30 pingat emas, 19 perak dan 29 gangsa dan tempat ketiga pasukan Daerah Belait dengan kutipan 14 pingat emas, 21 perak dan 24 gangsa.
PASUKAN Daerah Tutong muncul juara dalam acara Futsal.
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 27 Jun. - Skuad Futsal Kontinjen Daerah Tutong berjaya merangkul pingat emas setelah membelasah skuad futsal pasukan Daerah Brunei dan Muara (DBM) 8 - 4 pada temasya Pesta Sukan Kebangsaan (PSK) Ke-VIII 2008.
Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah itu memperlihatkan penguasaan Daerah Tutong sehingga mendahului 4 - 2 di separuh masa pertama.
Barisan pemain DBM seolah-olah kehilangan punca apabila diasak secara berterusan dengan hampir kesemua pemain hanya bertahan.
Keadaan tersebut banyak membuka ruang untuk Daerah Tutong mengatur lebih banyak percubaan yang membuahkan hasil tiga lagi jaringan untuk menjadikan kedudukan 7 - 2.
Selepas kedudukan itu, Daerah Tutong menambahkan lagi satu jaringan untuk menjadikan 8 - 2 sebelum DBM merapatkan jurangan melalui dua jaringan menjadikan kedudukan terakhir menjadi 8 - 4.
Dari kekalahan itu terlepaslah impian DBM untuk merebut pingat emas yang bertukar menjadi perak, sementara Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei meraih pingat gangsa selepas menundukkan Majlis Sukan Polis Diraja Brunei.
PASUKAN Daerah Belait telah muncul juara dalam acara lawan padang. Gambar atas kelihatan salah satu perlawanan sukan tersebut di PSK.
SUNGAI KEBUN, Jumaat, 27 Jun. - Pasukan Daerah Belait muncul juara dalam acara lawan pedang dengan meraih tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa di Pesta Sukan Kebangsaan (PSK) Ke-VIII 2008 yang berakhir hari ini.
Pingat-pingat emas yang diperolehi oleh pasukan Daerah Belait adalah melalui acara epee perseorangan perempuan, sabre perempuan perseorangan dan foil perempuan berpasukan. Sementara pingat perak dan gangsa masing-masing melalui acara sabre perempuan berpasukan dan sabre lelaki perseorangan.
Naib juara disandang oleh pasukan Daerah Temburong dengan mengutip dua pingat emas melalui acara sabre perempuan berpasukan dan foil lelaki berpasukan, tiga pingat perak melalui acara foil lelaki perseorangan epee lelaki perseorangan dan sabre perempuan perseorangan, dan dua pingat gangsa melalui acara foil perempuan perseorangan dan foil perempuan berpasukan.
Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (MS ABDB) hanya berjaya menduduki tempat ketiga dengan memperolehi dua pingat emas melalui acara epee lelaki perseorangan dan sabre lelaki perseorangan, satu pingat perak melalui acara epee perempuan perseorangan dan lima pingat gangsa epee perempuan perseorangan, foil lelaki perseorangan (dua pingat), epee lelaki perseorangan dan sabre perempuan berpasukan.
Lima pasukan terdiri daripada Daerah Brunei Muara, Tutong, Belait, Temburong dan MS ABDB bertarung dalam acara lawan pedang dilangsungkan selama lima hari bermula 23 Jun lalu di Kompleks Sukan Sungai Kebun.
Acara yang diselenggarakan oleh Persekutuan Lawan Pedang Negara Brunei Darussalam itu menggunakan sistem dan peraturan Pertubuhan Lawan Pedang Antarabangsa (F.I.E) yang mana pusingan awal bagi acara perseorangan dijalankan secara ‘round robin’.
Setiap pertandingan akan mendapat lima mata atau mengambil masa selama tiga minit, sementara bagi pusingan eliminasi, separuh akhir dan akhir akan dipertandingkan selama sembilan minit atau mendapat 15 mata.
Sementara acara berpasukan pula mengambil kira pencapaian peserta dalam acara perseorangan yang terdahulu. Pertandingan akan ditentukan mengikut sistem eliminasi, keputusan kemenangan bagi pasukan yang terdahulu mendapat jumlah mata sebanyak 45 atau dalam masa selama 27 minit.
Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu foil lelaki; epee lelaki; sabre lelaki; foil perempuan; epee perempuan dan sabre perempuan, yang mana setiap kategori terbuka bagi perseorangan dan berpasukan.
JERUDONG, Sabtu, 28 Jun. - Alexander Chung Kwei Ming yang mewakili Majlis Sukan Polis Diraja Brunei (PDB) meraih empat pingat emas melalui acara merentas desa (XC) basikal gunung, uji masa perseorangan lebuh raya 39 kilometer dan lepas beramai-ramai perseorangan dan berpasukan lebuh raya 165 kilometer.
Pingat perak bagi XC milik Md. Raihan Abd. Aziz dari Tutong dan gangsa diraih oleh Nurjamri Johari dari Majlis Sukan PDB, sementara acara menurun bukit (DH) pingat emas dikutip oleh Md. Raihan Abd. Aziz, perak milik Shahrunizza Tamit dari Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Md. Azizi Kamal mewakili Daerah Brunei Muara membawa pulang pingat gangsa.
Sementara bagi acara uji masa perseorangan lebuh raya 39 kilometer, pingat perak milik Md. Raihan Abd. Aziz dari Tutong dan gangsa milik Reduan Yusop dari Belait.
Bagi acara lepas beramai-ramai lebuh raya perseorangan 165 kilometer pula, pingat perak juga milik Reduan Yusop dan gangsa milik Md. Zaim Baha dari Temburong, manakala bagi kategori berpasukan, pingat emas milik Majlis Sukan PDB, perak milik Majlis Sukan ABDB dan gangsa diraih oleh pasukan Tutong 'A'.
Dalam acara ini dari 48 pelumba yang mengambil bahagian 30 orang saja berjaya menamatkan perlumbaan dan kesemua acara yang dipertandingan dikuasai oleh mantan-mantan pelumba kebangsaan.