
Sabtu, 19 Julai 2008
16 Rejab 1429
KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika bertitah di Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Hari Keputeraan baginda ke-62 tahun telah menekankan amatlah wajar Negara Brunei Darussalam mempunyai pelan strategi dan dasar pertanian negara bagi menjamin sekuriti makanan negara sebagai satu strategi utama.
Perkara ini baginda timbulkan memandangkan kebimbangan masyarakat global terhadap krisis makanan dunia masa kini. Masyarakat dunia, hatta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) amat bimbang dengan hasil pengeluaran pemakanan dunia semakin susut apabila beberapa jenis bijirin asasi termasuk beras telah mendadak susut di negara-negara pengeluar walhal kepesatan penduduk dunia semakin meningkat. Adalah diramalkan penduduk dunia akan meningkat tujuh bilion pada 2012 berbanding 6.5 bilion tahun 2006. Peningkatkan ini setentunya amat membimbangkan kerana ianya tidak selari dengan penghasilan pemakanan dunia.
Fenomena ini lebih memeritkan di mana beberapa buah negara pengeluar telah menghentikan eksport makanan bijirin mereka ke negara lain. Hal seumpama ini setentunya akan menjejaskan kehidupan harian kita yang hampir seratus peratus bergantung kepada pihak luar untuk mendapatkan makanan. Realiti ini perlu kita terima hakikatnya di mana kita tidak lagi mampu untuk terus bergantung kepada ’ihsan alam’ luar negara untuk mendapatkan beras walaupun kita berupaya serta mampu menyediakan peruntukan itu.
Walhal kita perlu menyedari bahawa bergantung harap kepada orang luar mendapatkan pemakanan semata-mata akan menjerumuskan kita ’kepayahan’ di masa mendatang. Kita perlu sedar jika sekiranya pihak luar tidak mahu mengeksport barangan ke negara kita, apa dapat kita buat. Setentunya kita akan berada di posisi yang amat gelisah dan ’gundah-gulana’. Perkara ini perlu kita fikirkan masak-masak dan harus bersedia menyingsing lengan untuk meningkatkan pengeluaran beras negara ke tahap untuk sara diri.
Ini bertepatan dengan titah pemimpin kita yang antaranya menekankan, ‘‘Jika ada negara pengeluar beras yang sudah mampu memenuhi 70 peratus keperluannya sendiri, masih sahaja sibuk menggubal dasar untuk sampai ke tahap 100 peratus mencukupi, mengapa kita yang cuma baru setakat menampung 3.12 peratus tidak menyingsing lengan meningkatkan industri penghasilan beras negara?”Jadi kita melihat penekanan baginda kali ini jelas mengajak rakyat dan penduduk negara bukan sahaja untuk berfikir dan merancang bahkan tetap bersedia membanting tulang dan menyingsing lengan meningkatkan daya pengeluaran beras negara. Kita perlu bersedia berubah dan bukannya terus mengharap ’ihsan negara luar’ semata-mata dalam memenuhi keperluan pemakanan negara. Buktinya jelas, krisis pemakanan global setentunya memberikan kita keinsafan yang mendalam serta langsung memberikan kita kekuatan bagi sama-sama bekerja kuat membanting tulang.
Kita amat bersyukur, sungguhpun harga beras melambung tinggi di pasaran antarabangsa, namun kerajaan masih sahaja dapat memberikan subsidi yang telah diberikan subsidi sekian lama. Sama seperti senario minyak kenderaan, perbelanjaan kerajaan bagi subsidi untuk beras juga telah meningkat. Namun demi mengekalkan kesejahteraan rakyat dan penduduk, harga beras masih sahaja di tahap sedia ada.
Semogalah setiap warga kita menaruh keinsafan sambil menanamkan semangat mahu untuk meningkatkan hasil pemakanan negara. Sikap semata-mata bergantung kepada wang ringgit untuk mengisi perut sudah tidak relevan lagi dengan terjadinya krisis makanan dewasa ini.
Kembali ke muka utama