BERITA LENGKAP

Pelbagai lapisan mesyarakat meriahkan
majlis ramah mesra bersama rakyat.

KEBAWAH DYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei, ketika berkenan berangkat ke Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat bagi Daerah Brunei dan Muara. Foto Oleh : Jurugambar Jabatan Penerangan.

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 20 Julai. - Ribuan rakyat dan penduduk termasuk para pelancong membanjiri Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien bagi sama-sama memeriahkan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Brunei dan Muara.

Seperti lazimnya pada setiap tahun, masyarakat pelbagai peringkat masyarakat dan kaum dengan penuh ceria tidak melepaskan peluang untuk menjunjung ziarah dan beramah mesra bersama raja yang dikasihi berserta kerabat diraja sempena ulang tahun sambutan Hari Keputeraan baginda ke-62.

Suasana sepanjang jalan utama menuju ke Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien penuh meriah dengan para pelajar berbaris mengibarkan bendera kecil, di samping kumpulan hadrah dan pembawa bunga-bunga manggar menjunjung dan mengalu-alukan keberangkatan baginda serta kerabat diraja yang lain.

PEGAWAI Daerah Brunei dan Muara, Dato Paduka Awang Haji Yussop bin Bakar ketika menyampaikan sembah alu-aluan di Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Daerah Brunei dan Muara. Foto Oleh : Jurugambar Jabatan Penerangan.

Keberangkatan tiba baginda dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan; Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Dewa Pahlawan Dato Paduka Haji Awang Dani; Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri serta Pegawai Daerah Brunei dan Muara.

Sejurus keberangkatan tiba Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dikumandangkan, diikuti laungan 'Daulat Kebawah Duli Tuan Patik' oleh penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dari Daerah Brunei dan Muara.

Berangkat sama, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik dan kerabat diraja yang lain.

Acara diteruskan dengan sembah kesyukuran dan taat setia oleh Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Yussop bin Bakar mewakili rakyat dan penduduk Daerah Brunei dan Muara bagi mengalu-alukan keberangkatan baginda dan kerabat diraja.

ACARA kemuncak persembahan padang yang dipersembahkan pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Daerah Brunei dan Muara. Foto Oleh : Jurugambar Jabatan Penerangan.

Kebawah DYMM berserta kerabat diraja kemudian berkenan menyaksikan persembahan padang dengan berkonsepkan 'Bersama Mendukung Kedaulatan Raja, Kekal Qarar Di Atas Takhta'.

Persembahan padang bermula dengan nyanyian koir '15 Julai Ristaan Kita' yang disembahkan oleh 62 orang penuntut sekolah menengah sebagai pernyataan kegembiraan rakyat serta penduduk di Daerah Brunei dan Muara di bawah pimpinan dan naungan raja yang bijaksana yang telah mengangkat negara ke persada antarabangsa.

Segmen kedua yang disembahkan ialah Perlawanan Akhir Tarik Kalat Kebangsaan bagi kategori 'Heavy Weight' antara Daerah Brunei dan Muara yang diwakili oleh pasukan G 16 dengan Daerah Tutong yang diwakili oleh pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDAB)Penanjong Garison, yang dimenangi oleh Daerah Brunei dan Muara setelah menang ditarikan kedua, manakala pada tarikan pertama kedudukan seri.

Seterusnya segmen ketiga yang dipersembahkan ialah pergerakan seni mempertahankan diri yang mempamerkan gerak cergas keperwiran dengan menonjolkan dua seni mempertahankan diri iaitu Pencak Silat dan Wushu.

BAGINDA ketika berkenan menerima junjung ziarah daripada segenap lapisan mayarakat yang hadir ke Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat bagi Daerah Brunei dan Muara. Foto Oleh : Jurugambar Jabatan Penerangan.

Persembahan ini menampakkan langkah-langkah yang mantap penuh dengan kesenian serta gerak laku yang membawa mesej bahawa perpaduan berbilang bangsa menjadi tunggak kesejahteraan negara.

'Grand finale' yang dipersembahkan padang ialah dengan penonjolan tema 'Bersama Mendukung Kedaulatan Raja' yang diiringi dengan nyanyian koir, di mana segmen juga menonjolkan beberapa perlambangan akan kedaulatan raja yang disokong dan didukung oleh semua lapisan masyarakat.

Pada segmen ini menampakkan keceriaan dan kegembiraan rakyat serta penduduk negara yang menikmati kehidupan yang makmur lagi sejahtera di bawah pimpinan raja berdaulat lagi penuh bijaksana.

Kemudian baginda dijunjung bagi menyempurnakan pengurniaan hadiah kepada pasukan yang memenangi perlawanan tarik kalat kebangsaan bagi Kategori 'Light Weight' dan 'Heavy Weight' dengan Daerah Brunei dan Muara yang diwakili oleh G16 juara Kategori 'Heavy Weight', menerima piala pusingan kurnia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, berserta wang tunai BND2,000.00, piala iringan dan medal.

Naib juara ialah Daerah Tutong yang diwakili oleh ABDB Penanjong Garison yang menerima wang tunai BND1,500.00 berserta piala iringan dan medal.

Manakala juara bagi Kategori 'Light Heavy Weight' juga Daerah Brunei dan Muara yang diwakili oleh Pasukan Chain Blok mereka menerima piala pusingan kurnia DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, wang tunai BND2,000.00, piala iringan dan medal dan naib juara ialah Daerah Tutong yang diwakili oleh pasukan Jabatan Penjara yang menerima wang tunai BND1,500.00 berserta piala iringan dan medal.

Selepas itu, baginda berserta kerabat diraja dijunjung berangkat bagi menerima junjung ziarah dari Ahli-ahli Jawatankuasa Tadbir Tertinggi, Jawatankuasa-jawatankuasa Perayaan, para peserta persembahan padang, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan serta rakyat dan penduduk Daerah Brunei dan Muara.

Semasa Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah itu, baginda serta kerabat diraja yang lain berinteraksi dan berbual mesra dengan rakyat dan penduduk serta orang ramai yang menunjukkan sikap pemedulian baginda kepada rakyat serta kasih dan kesetiaan rakyat kepada baginda.

Kebawah DYMM berserta kerabat diraja kemudian dijunjung berangkat ke bilik khas di Bangunan Lapau Diraja untuk beristirahat sebelum berangkat ke Majlis Santap di Dewan Persantapan Lapau yang didahului dengan bacaan doa selamat.
(Oleh : Abdullah Asgar dan Abu Bakar Haji Abdul Rahman)

Kembali ke muka utama