BERITA LENGKAP

Pentarama mendekatkan masyarakat dengan maklumat
isu hal ehwal semasa negara

TEMBURONG, Ahad, 20 Julai.- Hasrat Jabatan Penerangan untuk mendekatkan masyarakat dengan maklumat isu hal ehwal semasa negara dan seterusnya mengambil iktibar mengenainya dalam kita sama-sama menjaga keharmonian, kesejahteraan, keselamatan dan keamanan negara kita Brunei Darussalam.

Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-62, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri malam tadi mengadakan persembahan Pentarama di Daerah Temburong bertempat di Taman Perayaan, Pekan Bangar Temburong.

Antara artis undangan yang turut menjayakan persembahan tersebut ialah Zul F dan Putri Norizah dan dikendalikan bersama Oziee Production, D-Best Printing & Trading Co, Star Asia Event Company dan Royal Brunei Catering selaku penaja kuiz Pentarama.

Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba,hadir selaku tetamu kehormat.

Susunan acara pada malam itu dimulakan dengan kemeriahan nyanyian lagu Tema Pentarama dan lagu Hari Keputeraan oleh semua barisan artis Pentarama sebagai pembuka tirai persembahan diikuti beberapa pengisian segmen yang menarik dari awal sehingga ke akhir persembahan.

Selain itu juga mempersembahkan sebuah drama pentas masyarakat yang terdiri dari pelakon anak-anak tempatan yang berbakat dalam bidang seni lakonan dan mampu menyampaikan mesej-mesej berguna.

Tema drama berunsurkan pendidikan moral, memberi kesedaran agar hidup harmoni, bersatu padu, taat setia, patuh kepada undang-undang serta nilai-nilai positif dan murni dalam kehidupan.

Pentarama atau singkatan nama Pentas Drama Bergerak merupakan 'infotaiment' terpimpin dan salah satu pendekatan komunikasi bagi menyebarkan maklumat mengenai isu semasa kepada masyarakat.

Pentarama adalah singkatan daripada perkataan penerangan melalui tarian, drama, nyanyian dan lawak jenaka. Pentarama mula diperkenalkan sejak 20 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1988.

Sebagai salah satu media interpersonal Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, antara matlamatnya ialah menyampaikan maklumat semasa, mendidik dan menyedarkan masyarakat isu semasa, memberikan hiburan yang terpimpin kepada penonton, memberikan peranan kepada artis-artis tempatan dalam menangani isu remaja dan berfungsi sebagai 'role model' kepada mereka.

Selain itu juga bertujuan bagi membarigakan dan memeriahkan lagi sambutan perayaan ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang diadakan pada setiap tahun.

Di samping berhibur, minda penonton juga turut diuji menerusi segmen kuiz.

Pada majlis itu, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, menyempurnakan penyampaian hadiah kepada tiga peserta yang bertuah.

Pada masa itu, Pengarah Penerangan, Awang Haji Mahrub bin Haji Murni menyempurnakan penyampaian cenderamata kepada Awang Matusin bin Orang Kaya Sura Haji Tuba.

Bagi mencapai matlamat yang dihasratkan, Jabatan Penerangan selaku pihak penganjur masih mengekalkan konsep persembahan lebih bersifat pendidikan, hiburan dan maklumat dengan menekankan beberapa aspek dari segi etika dan garis pandu persembahan seperti pemilihan lagu yang bersesuaian, mesej prolog yang disampaikan dan penampilan para peserta.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Penerangan, Pegawai-pegawai Kanan Penerangan, Ketua-ketua Cawangan Daerah dan artis-artis tempatan.

Pentarama adalah acara untuk kita persembahkan melalui maklumat yang berguna dalam menyampaikan hasrat negara sambil berhibur agar masyarakat berharga.

Persembahan Pentarama diadakan di keempat-empat daerah dan akan menemui penonton di Daerah Brunei dan Muara pada 23 Julai, Daerah Tutong 25 Julai, manakala Daerah Belait pula pada 21 Julai 2008.
(Oleh : -Siti Norratna binti Mohamad Ali)

Kembali ke muka utama