Untuk kita merealisasikan aspirasi ini kita amat memerlukan generasi yang tangkas, mampu berdikari dan mampu bangkit dalam erti kata berdiri dengan bersendikan ilmu pengetahuan yang tinggi. Kita memerlukan generasi yang berilmu pengetahuan tinggi kerana dengannya akan melahirkan gagasan rakyat yang berjiwa besar dan memiliki daya saing yang sangat kental. Kemampuan ini akan hanya dapat kita lahirkan jika kita memahami betapa hebatnya orang-orang yang berilmu itu membina dan memajukan bangsa dan negaranya. Kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa ini bukan tugas kita untuk melaksanakannya. Sebenarnya setiap kita sebagai individu dalam sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat penuh ini, adalah mempunyai tanggungjawab besar dan ini amat dituntut untuk dilaksanakan. Salah satu darinya, kita perlu berganding dan senada dengan aspirasi yang dinginkan oleh raja dan pemimpin negara yang kita kasihi. Kita perlu satu irama untuk menghayun limbaian tangan dan liuk kehidupan agar arus yang kita lalui dapat kita tempuhi.
Generasi merdeka dan baru yang sedia ada perlu memahami kehendak sedemikian ini. Kita akan menyaksikan bahawa agenda pembangunan dan kemajuan negara akan terus berjalan tanpa batasnya. Kitalah yang lebih patut memainkan peranan di dalamnya tanpa banyak bersandarkan kepada bantuan dari yang lain. Jika kita mampu menunaikan kewajipan dan tanggungjawab sedemikian ini, maknanya kita akan lebih berkeupayaan untuk mewujudkan sesebuah masyarakat yang hebat, mampu berdiri di atas kaki sendiri dan kita tidak tersungkur dengan tiupan perubahan yang semakin deras dan kencang hembusannya.
Kita perlu belajar dan mengambil ikhtibar dari pelbagai keadaan yang dilalui oleh orang lain yang terpaksa bergelut untuk lepas dari kemelut kesulitan hidup. Mereka terpaksa merempuh kehidupan bersama tekanan suasana yang amat mencabar. Masyarakat terbina dalam keadaaan dan suasana yang menagih kekuatan untuk keluar dari kepompong kerumitan hidup. Namun bagi kita agak berbeza, kita amat beruntung, kerana kita tidak berada di dalam suasana sesak nafas, sempit pemikiran dan tekanan yang menghalang kemajuan. Melalui kebijaksanaan kepimpinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, kita mampu menikmati berbagai kemudahan dan keselesaan hidup. Semua ini bertambah kuat lagi dengan adanya pemedulian raja yang kita kasihi yang sering memantau dan melihat secara dekat akan perkembangan kehidupan yang kita lalui. Justeru keadaan inilah yang membolehkan kita untuk dapat wujud sebagai sebuah masyarakat dan negara yang merdeka lagi penuh berdaulat.
Kesinambungan yang ingin kita nikmati, rasakan dan lihat sendiri ialah bagaimana kita berperanan untuk mengekalkan segala yang kita ada. Inilah yang amat dituntut kepada kita setelah 25 tahun kita menghirup suasana dan udara kemerdekaan di negara ini. Tuntutan ini tidak lain dan tidak bukan hanyalah mengajak kita semua, terutama sekali generasi baru yang hidup dalam suasana kemerdekaan menunaikan tanggungajwab secara kolektif. Kita perlu mengukuhkan perpaduan untuk membina kekuatan bangsa dan negara.
Kita perlu mampu berdikari dengan mewujudkan iklim perubahan dan kecemerlangan serta kita perlu berani dan tangkas mengangkat dan mempertahankan kedaulatan negara dengan berpaksikan ketinggian ilmu pengetahuan serta ketakwaan yang mendalam. Ramuan dan inti pati sedemikian inilah yang akan kita jadikan modal untuk memperkuat dan menyokong pengisian kemerdekaan negara kita ini. Sebuah bangsa yang kuat dan maju akan hanya dapat dibina apabila pengisiannya sejajar dengan keupayaan dalam memperkembangkan kekuatan diri. Nilai keupayaan tersebut hanya akan dapat dirasakan apabila adanya kesedaran semua untuk berusaha membuat perubahan dan melakukan pembaharuan dalam erti kata bergerak sambil merubah ke arah yang lebih baik dan sempurna. Kesempurnaan dan kekuatan bangsa inilah yang ingin terus dibina dan dipupuk, di saat kita terus mengusahakan agenda perkembangan dan kemajuan negara.
Pengisian masyarakat yang mampu berdikari adalah ramuan yang akan memperkuat matlamat serta memajukan negara yang bertamadun tinggi. Sebagai sumber di dalam masyarakat itu, kita perlu melaksanakan peranan dan tanggungjawab kita dengan lebih pro- aktif, di dalam kematangan sesebuah negara dan bangsa yang merdeka. Penjanaan ke arah membina masyarakat yang tahu menghargai nilai berbangsa dan bernegara tidak boleh diambil ringan dengan semudahnya. Ia perlu diadun dengan menanamkan semangat kesedaran yang tinggi, rasa tanggungjawab yang mendalam dan yang paling penting ialah berperanan menjadi benteng yang menghiasi dan memperkukuh isi kenegaraan itu sendiri.
Jika ini kita perhatikan dengan sebaiknya, kemampuan kita untuk berdikari akan lebih terserlah. Jangan kita jadikan alasan yang tidak sihat bahawa keadaan ini berlaku kerana perkembangan dan suasana masa kini yang sangat mencabar. Namun mari kita bersama-sama menjadikan cabaran dan perkembangan semasa yang ada ini sebagai asas, untuk kita menempuh laluan kehidupan kita ini dengan lebih baik dan bermakna. Kita perlu kepada keadaan, cabaran dan ujian kerana ia akan mendewasakan kita dengan cepat. Kita juga perlu kepada suasana dan iklim yang lebih kompetitif, kerana ia mampu membina kekuatan diri.
Namun kita tidak akan mampu berdepan dengan keadaan ini jika kita hanya berpeluk tubuh, tunggu dan lihat. Kita perlu kepada ketangkasan bertindak dan melihat suasana dengan lebih proaktif. Kita perlu menanamkan semangat patriotisme dan kekuatan berbangsa. Kita yakin ini adalah merupakan salah satu faktor yang menyumbang ke arah pembinaan masyarakat yang teguh dan berkemampuan. Justeru makna 25 tahun merdeka itu akan lebih terserlah dan terkesan di setiap hati dan sanubari diri kita. Generasi muda remaja akan merasa terpanggil untuk menyumbang dan memainkan peranannya dengan lebih berkesan dan menyeluruh. Sikap dan rasa bertanggungjawab akan lebih ketara lantaran semangat jati diri berbangsa dan bernegara sebagai sebuah negara merdeka itu, akan lebih terisi dengan sebaiknya.
Biarlah kita dilihat sebagai sebuah bangsa yang mampu berdikari sambil mempertahankan keindahan budaya, cara hidup dan yang paling penting mempamerkan kekuatan pegangan beragama. Hal ini jika mampu kita pamerkan ia boleh sahaja mengundang masyarakat lain untuk merasa 'awar galat' dan menghormati kita dengan sebaiknya. Biarlah kita juga sebagai penggerak dan pencetus perubahan zaman yang lebih berkualiti dan bertamadun tinggi. Kerana itu usaha merealisasikan masyarakat yang merdeka itu perlu kita bina dengan berbekalkan ilmu dan keimanan yang teguh. Inilah yang akan membina kekuatan bangsa sekali gus akan menghapuskan kerenah-kerenah sosial yang tidak sihat. Justeru isi kemerdekaan negara kita akan lebih indah dan menarik, lantaran yang kita bina adalah keindahan berbangsa dan bernegara yang sering melengkapi antara satu dengan yang lain.