|
MINDA PEMBACA
MINDA Pembaca yang terpilih minggu ini daripada tajuk yang telah kami kemukakan iaitu 'Penambahan Universiti Tempatan Serlahkan Kemajuan Pendidikan Negara'. Mereka akan menerima hadiah sebanyak $40.00. Pendapat yang berjaya itu adalah seperti berikut :
Penambahan universiti tempatan
serlahkan kemajuan pendidikan negara
ILMU pengetahuan merupakan salah satu perkara penting dalam kehidupan manusia. Tanpa ilmu pengetahuan, kita seperti hidup dalam kegelapan. Tanpanya juga, kita tidak akan tahu apa yang berlaku di sekeliling kita.
Bidang pendidikan pula merupakan prioriti yang sentiasa di ambil perhatian oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Sebagai rakyat di negara ini, kita sepatutnya bersyukur memperolehi seorang pemimpin yang begitu pentingkan bidang pendidikan. Malah, isu pendidikan tidak pernah diabaikan dan ianya sentiasa di beri penekanan yang khusus oleh baginda melalui titah-titah baginda yang pernah kita baca atau dengar melalui media-media massa di negara ini.
Sejak tertubuhnya Universiti Brunei Darussalam (UBD) pada tahun 1985, Universiti Brunei Darussalam telah mengeluarkan banyak insan-insan yang berpengetahuan dan berjaya dalam bidang masing-masing. Bahkan, ketika ini juga kampus kekal Universiti Brunei Darussalam tidak pernah sunyi dengan mahasiswa dan mahasiswi barunya.
Lebih membanggakan lagi, kebanyakkan lepasan graduan-graduan ini telah dapat menjawat jawatan-jawatan tertinggi sama ada di sektor kerajaan mahupun sektor swasta. Seharusnya juga kita patut berbangga, walaupun negara-negara luar mempunyai tempat belajarnya sendiri, negara kita juga patut dibanggakan kerana mampu bersaing dengan mana-mana universiti di seluruh dunia.
Atas keperihatinan baginda dalam bidang pendidikan dan ilmu pengetahuan, baginda juga telah berkenan menubuhkan satu lagi universiti yang diberi nama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA). Universiti ini telah dilancarkan penubuhannya pada Tahun 2007. Seperti UBD, UNISSA juga ditubuhkan adalah bertujuan untuk menjadikan universiti ini di kenali di seluruh dunia berlandaskan ajaran Al-Qur'an dan Ahli Sunah Wal-Jamaah.
UNISSA juga menyediakan beberapa program penyelidikan yang akan dapat melahirkan graduan yang berkaliber dan dapat menyumbang kepada pembangunan negara. Jadi dengan penubuhan dua universiti tempatan ini, ianya telah menampakkan bahawa walaupun negara kita ini kecil tetapi kemajuan dalam pendidikan tetap terserlah.
Di samping itu juga, adalah diharapkan suatu hari nanti biarlah kita melihat lebih banyak lagi universiti-universiti tempatan akan berdiri megah terbangun di negara kita ini bagi membolehkan negara kita melahirkan insan-insan yang berkualiti, berpendidikan dan mampu memperkenalkan negara kita di mata dunia.
Dengan bertambahnya universiti di negara ini bukan sahaja dapat melahirkan para cendikiawan tetapi sekurang-kurangnya ia dapat menjimatkan kos-kos penghantaran para pelajar ke luar negara. Ini kerana, program-program dari universiti luar negara yang ditawarkan ada di antaranya dapat di ikuti di kedua-dua buah universiti yang ditubuhkan serta di mana-mana jua institusi-institusi pendidikan yang ditubuhkan di negara ini.
Oleh itu, kita selaku rakyat yang bernaung di sebuah negara yang aman dan damai ini patut merasa bangga dengan adanya dua buah universiti unggul ini. Bukan itu saja, kejayaan negara dalam bidang pendidikan dalam melahirkan insan yang berguna tidak perlu dipertikaikan lagi.
Apa yang penting, kita perlu dan sentiasa tanamkan dalam minda kita bahawa sekalipun begitu banyak universiti-universiti luar negara berdiri megah dan menawarkan program-program yang canggih, kita harus percaya apa yang kita miliki di negara ini mampu menandingi kejayaan di luar negara yang lain.
Kita percaya, suatu hari nanti generasi akan datang dapat merasai betapa negara kita yang kecil ini akan dikenali dan disegani oleh negara-negara luar di atas berkat kepimpinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Dayang Rahimah binti Haji Tengah,
No. 2, Blok 9, Barek MTSSR
Jalan Muara, Bandar Seri Begawan, BB 2313.
No. k/p : 00-115823.
Melahirkan sumber tenaga yang intelek,
berwawasan
KEKUATAN faktor sumber tenaga manusia dilihat mempunyai peranan asas yang penting bagi mengekalkan kesinambungan kemajuan, suasana keamanan dan keharmonian negara. Ke arah itu, bidang pendidikan merupakan aset penting dalam merangsang dan melahirkan tenaga manusia yang intelek dan berwawasan tinggi, di samping bakal peneraju dan memimpin negara yang berkualiti, dinamik dan berupaya menjana serta menyumbang kepada pembangunan negara. Sebagai sebuah negara yang pesat membangun, negara kita langsung tidak mengabaikan pembangunan insan (capacity building) dan perkembangan sumber tenaga manusia. Wadah pembangunan tersebut ialah bidang pendidikan yang menjadi agenda utama dalam menjana aspirasi negara.
Dengan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, baginda telah mengumumkan penubuhan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNNISSA) iaitu sebuah universiti Islam dan universiti kedua di negara ini.
Titah baginda sempena Tahun Baru Masihi 2007, “Universiti ini kita hasratkan akan menjadi mercu kegemilangan Islam di negara kita dan insya-Allah ia akan turut berperanan melahirkan para ulama dan cendikiawan yang berwibawa yang diperlukan oleh negara”. Jelas baginda bukan sahaja menitikberatkan pendidikan dalam bidang duniawi semata-mata malah baginda begitu menginginkan negara ini mempunyai sebuah universiti yang khusus dalam pengajian Islam. Dengan ini Negara Brunei Darussalam sudah mempunyai universiti dalam pendidikan duniawi dan ukhrawi. Dengan tertubuhnya UNISSA, maka peluang-peluang bagi mendalami dan menguasai ilmu keagamaan khasnya akan dapat diraih dengan sempurna dan dengan sendirinya syiar agama Islam akan terus bersinar di negara ini.
Satu lagi perkembangan yang amat membanggakan dalam meninggikan syiar Islam di negara ini ialah bila mana Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah memperkenankan dan mengumumkan bahawa Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan yang telah berusia lebih 30 tahun di tingkatkan tarafnya menjadi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPUSB), yang dihasratkan bagi mengeluarkan Diploma dan Ijazah. Selain keprihatinan baginda terhadap kemudahan dari segi material dalam bidang pendidikan, baginda juga amat perihatin tentang kemudahan 'non-material' dalam bidang pendidikan seperti sumber tenaga manusia dalam bidang pendidikan iaitu guru.
Objektif penubuhan Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan ialah untuk menghasilkan sumber tenaga guru agama tempatan, agar kita tidak selamanya bergantung kepada tenaga luar semata-mata dan hasrat ini telah berjaya dicapai. Manakala dengan meninggikan taraf maktab berkenaan kepada KUPUSB, titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia, bukan saja memenuhi keperluan Brunei sendiri, malahan juga bersedia untuk membuka pintunya kepada pemohon-pemohon daripada luar negara.
Dengan penambahan universiti tempatan ini sememangya menyerlahkan kemajuan pendidikan negara kita di mata dunia. Walaupun negara kita kecil dengan jumlah penduduk yang tidak begitu ramai, namun agenda dan aspirasi negara jelas ke arah melahirkan sumber tenaga manusia yang intelek, berkualiti dan berwawasan tinggi yang berupaya meneraju dan meletakkan negara kita setaraf dengan negara-negara maju di dunia ini.
Nur Afiqah Hazirah binti Mohamad Zaidi,
No. 4, Simpang 163, Jalan Kota Batu,
Kampong Mentiri, BU1929.
No. k/p : 01-053590.
Persiapkan minda
dengan ilmu-ilmu baru
DUNIA pendidikan Negara Brunei Darussalam semakin bertambah mantap dengan penaikan taraf Institut Teknologi Brunei menjadi Universal. Ini merupakan perkembangan yang sangat dialu-alukan oleh seluruh rakyat dan penduduk yang mendambakan kemajuan pendidikan dalam segenap aspek pembangunan baik dari segi fizikal mahupun rohaniah demi kepentingan nasional dan perkembangan kita sebagai insan yang sempurna.
Pertambahan universiti dan lain-lain institusi pendidikan juga membawa erti bahawa negara meningkatkan kemampuannya dalam memenuhi keperluan mereka yang ingin menambah dan memperkembangkan ilmu untuk memperbaiki peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran, mempersiap diri dengan arus kemajuan dunia, di samping memperkemas diri untuk berhadapan dan menangani cabaran-cabaran yang terbit dari perkembangan sejagat. Yang perlu diingat ialah ilmu itu tidak statik dan kita hendaklah menyesuaikan diri dengan kemajuan melalui persiapan minda dengan ilmu-ilmu yang terbaru. Memencilkan diri dari setiap perkembangan ilmu bererti kita akan tertinggal dan ini akan menyebabkan kemunduran kepada negara keseluruhannya.
Langkah kerajaan untuk menambah unversiti itu adalah satu langkah yang amat bijak dan kena pada waktunya untuk menyediakan ilmu kepada anak bangsa. Bangsa yang berilmu yang dididik menurut keperluan pembangunan kitani melalui unversiti yang berasaskan calak Brunei tetapi merangkumi segala macam ilmu adalah merupakan satu cerucuk negara.
Seperkara yang menarik baru-baru ini ialah timbulnya kesedaran dan minat di kalangan rakyat untuk bersawah ladang. Perkara ini diberangsangkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam. Ada baiknya kita mengambil iktibar positif dari langkah yang diinisiatifkan baginda ini. Mungkin ada baiknya pula diadakan sebuah lagi universiti yang menjurus kepada pertanian dan perikanan. Sekurang-kurangnya kita akan dilihat sebagai rakyat yang memperkemaskan diri untuk menyahut cita-cita serta seruan baginda untuk merealisasikan matlamat ke arah mempelbagaikan ekonomi dalam bidang pertanian dan perikanan. Mengadakan universiti sedemikian sememangnya telah dilaksanakan di banyak negara. Adalah tidak terlambat jika ia diwujudkan di Negara Brunei Darussalam sambil kita menjunjung cita-cita baginda.
Dayang Amal Sohani binti Johari,
Simpang 63, No. 18, Jalan Beribi,
Kampong Beribi, Gadong, BE 1118,
Bandar Seri Begawan.
No. k/p : 00-298777.
TAJUK-TAJUK MINDA PEMBACA AKAN DATANG
1. 'Kesedaran Bernegara' Menuntut Kita Lebih Rancak Membangun Ke arah Mencemerlangkan Negara'. Tarikh tutup : 18 April 2009.
2. 'SPN21 - Semua Pihak Memainkan Peranan'. Tarikh tutup : 25 April 2009.
3. 'Amalkan Cara Hidup Sihat'. Tarikh tutup : 2 Mei 2009.
Pendapat awda hendaklah ditaip jarak langkau dua baris dan panjang pendapat awda mestilah antara 200 hingga 300 patah perkataan. Nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat lengkap dan nombor telefon jika ada hendaklah disertakan dan hendaklah dihantar kepada :
Sidang Penyunting Minda Pembaca,
Unit Pelita Brunei,
Lapangan Terbang Lama, Berakas,
Bandar Seri Begawan, BB 3510,
Negara Brunei Darussalam,
jaafar.ibrahim @ information.gov.bn.
e-mel : pelita@ brunet.bn
Kembali ke muka utama
|