|

Sabtu , 18 April 2009
22 Rabiulakhir 1430
Dengan nama Allah
yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang
BRUNEI - KUWAIT TINGKAT
KERJASAMA DUA HALA
KEBERANGKATANnegara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Kuwait 13 - 15 April 2009 merupakan satu lagi misi dan harapan baginda untuk memperteguh hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara. Keberangkatan itu bukti jelas tentang persaudaraan yang erat dan mesra yang terjalin antara Bandar Seri Begawan (BSB) dan Bandaraya Kuwait. Seperti juga keberangkatan baginda ke negara-negara lain, misi utama baginda ialah untuk merapatkan lagi hubungan politik, ekonomi dan kerjasama sosial.
Siri keberangkatan negara kali kedua ke negara Teluk itu juga menjadi ‘milestone’ yang amat penting yang akan menjadi jambatan penghubung untuk membuka lebih banyak peluang-peluang kerjasama yang lebih luas, di samping meneroka kerjasama baru yang berpotensi untuk diteroka bagi manfaat rakyat kedua-dua buah negara Islam itu.
Inti pati keberangkatan baginda ke Kuwait selain menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang bagi kepentingan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dan dalam waktu yang sama, baginda juga berpeluang untuk melihat secara dekat akan perkembangan dan kemajuan pembangunan ekonomi dan pelaburan yang dicapai oleh Kuwait yang kini berstatus sebagai negara ketiga terkaya di dunia dengan pendapatan per kapita melebihi USD60,000. Ini setentunya akan memberikan inspirasi kepada baginda dalam usaha berterusan baginda memajukan Negara Brunei Darussalam setanding dengan pembangunan negara-negara maju di dunia, terutama sekali dalam menjana pertumbuhan ekonomi dari terus bergantung kepada minyak dan gas.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ketika mengadakan Perjumpaan Rasmi dengan Duli Yang Maha Mulia Syeikh Sabah Al-Ahmad Al-Jaber Al-Sabah, Amir Kuwait telah mengotakan janji untuk lebih komited dan lebih kerap mempertingkatkan lagi hubungan dua hala. Kedua-dua pemimpin Islam itu juga menekankan tentang hubungan erat di antara BSB - Kuwait yang membolehkan kedua-dua negara itu begerak seirama dalam mencapai misi masing-masing. Kedua-dua negara adalah merupakan negara pengeluar minyak dan gas.
Kemuncak lawatan baginda ke Kuwait terserlah bila mana BSB - Kuwait berjaya menjalin dua perjanjian iaitu Perjanjian Penggalakan dan Perlindungan Timbal Balik Pelaburan (BIT) dan Perjanjian Pengelakan Cukai Berganda dan Pencegahan Pelarian Fiskal berkenaan dengan cukai-cukai ke atas pendapatan (DTA) dan penandatanganan Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai dengan kerjasama di bidang minyak dan gas. Penandatanganan perjanjian-perjanjian itu dan penandatanganan MOU memperlihatkan bukti jelas betapa negara kita sememangnya serius dalam membangunkan dan memacu ekonomi dengan merentas ke negara-negara Teluk.
Perdagangan antara kedua-dua negara sejak lima tahun yang lalu memihak kepada negara kita. Jumlah eksport Negara Brunei Darussalam ke Kuwait mencecah sehingga BND85,904 juta pada 2007. Dari 2003 - 2006, jumlah eksport ke negara berkenaan bernilai BND136,420 juta. Kita berharap dengan adanya perjanjian-perjanjian yang baru ditandatangani itu jumlah eksport negara akan bertambah meningkat di tahun mendatang. Inilah sebenarnya misi pemimpin kita, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam siri keberangkatan ke luar negara yang baginda lakukan sejak bertahun-tahun semenjak negara mencapai kemerdekaan pada 1984.
Sesungguhnya keberangkatan ke negara Teluk itu menandakan satu lagi mercu tanda dalam sejarah hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Kuwait, kerana ini merupakan lawatan negara kedua semenjak kedua-dua negara mengadakan hubungan diplomatik pada 1 Mei 1990.
Tidak syak lagi keberangkatan negara baginda ke Kuwait telah membuahkan hasil dalam usaha meningkatkan kerjasama dua hala. Pertemuan peribadi antara baginda dengan Amir Kuwait akan lebih merapatkan persahabatan yang lebih akrab dan dalam waktu yang sama menjadi jambatan penting dalam memperteguh hubungan yang sedia ada dan terjalin mesra antara dua negara Islam itu, selain merapatkan lagi hubungan persaudaraan. Keberangkatan baginda itu menunjukkan keprihatinan baginda betapa baginda memandang jauh ke hadapan bagi kepentingan ekonomi negara di masa depan dengan menjalin seberapa banyak kerjasama dengan negara-negara luar.
Kembali ke muka utama
|