Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

Bersama mempertahankan
maruah negara, bangsa

MARILAH kita bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan melaksanakan segala apa jua perintah-Nya dan menjauhi segala apa jua larangan-Nya di setiap masa dan tempat, suasana dan keadaan, kerana taqwa itu tidak terbatas kepada masa dan tempat mahupun suasana dan keadaan yang tertentu sahaja. Oleh yang demikian, di mana sahaja kita berada, sama ada di masjid, di pejabat, di rumah atau di dalam situasi keadaan apa sahaja kita harungi, sama ada ketika susah, senang, siang atau malam sifat taqwa hendaklah bersemadi di dalam jiwa kita, kerana sifat taqwa itu merupakan titik-tolak yang menjadi penjana dan penggerak segala tindakan yang betul dan diredai oleh Allah Subhanahu Wata'ala.

Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala yang telah melimpahkan rahmat dan nikmat-Nya kepada kita, dengan rahmat itu kita semua berada dalam keadaan sihat walafiat, aman dan sejahtera, manakala dengan nikmat Allah pula kita termasuk kumpulan hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa.

Kita juga patut bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana ditakdirkan hidup dalam negara yang merdeka dalam suasana yang aman damai dan harmoni, menikmati kemakmuran dan keselesaan. Semua ini adalah berkat kita berpegang teguh dengan ajaran agama Islam dan hidup bersatu padu. Ini bertepatan dengan perintah Allah Subhanahu Wata'ala melalui firman-Nya dalam Surah Ali 'Imran ayat 103 tafsirnya :

" Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara."

Alhamdulillah, kini telah 26 tahun negara kita mencapai kemerdekaan dan pada tahun ini kita akan menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan dengan tema 'Negaraku Brunei Darussalam'. Tema ini menekankan rasa kepunyaan rakyat terhadap negara, di samping memperlihatkan suatu pengakuan bahawa Negara Brunei Darussalam adalah Negara kita. Rasa kepunyaan terhadap negara merangkumi seluruh yang berhubungan dengan negara termasuklah pemimpin, kerajaan, perlembagaan, undang-undang, warisan budaya, khazanah dan falsafahnya. Oleh itu, dengan pengakuan bahawa negara ini adalah negara kita, maka adalah menjadi tanggungjawab kita semua sebagai rakyat negara ini untuk mentaati raja, mengamalkan ajaran Islam sebagai cara hidup, memelihara warisan budaya bangsa, memelihara dan mempertahankan kedaulatan, menghormati perlembagaan, mematuhi undang-undang dan memelihara kestabilan politik. Sebagai rakyat, kita juga bertanggungjawab untuk meningkatkan kemajuan ekonomi, meningkatkan taraf sosial penduduk, mengamalkan dan menghayati falsafah negara, menjaga keamanan dan kesejahteraan serta mengekalkan kesepaduan dan keharmonian.

Tema tersebut mengajak semua rakyat negara ini tanpa mengira umur, keturunan, pangkat, bangsa dan agama bagi sama-sama menunaikan tanggungjawab masing-masing agar negara ini akan sentiasa aman, sejahtera dan makmur serta kekal sebagai sebuah negara Melayu Islam Beraja.

Walaupun Negara Brunei Darussalam adalah sebuah negara yang kecil dengan bilangan penduduknya yang sedikit tidak mustahil ia akan menjadi sebuah negara yang berkembang maju mengikut acuan dan calak Brunei yang tulen dengan mendukung falsafah negara 'Melayu Islam Beraja', bagi mencapai negara yang baik dan sentiasa mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.

Adapun di antara cara untuk mempertahankan maruah negara agar kekal berdaulat, beragama dan berbangsa ialah dengan melaksanakan tuntutan agama dalam perkara akidah, syariat dan akhlak dalam semua aspek kehidupan. Selain daripada itu ialah dengan menjaga maruah, nama baik, keturunan dan harga diri melalui ikhwah, kestabilan ekonomi dan politik, mempertahankan dan menjaga akal fikiran dengan mendalami ilmu pengetahuan fardu ain dan fardu kifayah serta menjaga kesihatan untuk mengekalkan generasi yang sihat, kuat, gagah dan perkasa sama ada dari segi rohani mahupun jasmani. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda dalam sebuah hadis maksudnya : "Dari Abi Hurairah Radiallahuanhu ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Seseorang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan dikasihi Allah dari seorang mukmin yang lemah." (Riwayat Al Imam Muslim).

Dalam usaha untuk menunaikan tanggungjawab terhadap negara, setiap rakyat hendaklah membuat sumbangan mengikut daya kemampuan masing-masing dan ini setentunya memerlukan ilmu pengetahuan. Allah Subhanahu Wata'ala telah menjelaskan betapa tingginya kedudukan orang-orang yang berilmu, sebagaimana firman-Nya dalam Surah Yusuf ayat 86 tafsirnya :

"Dengan ilmu pengetahuan, Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui."

Dalam hal ini Islam menuntut umatnya untuk mendalami ilmu pengetahuan dengan apa cara sekalipun selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kita juga hendaklah menguasai ilmu pengetahuan dan mahir dalam berbagai bidang seperti ilmu keagamaan, kedoktoran dan keusahawanan serta berusaha untuk menguasai pelbagai bahasa termasuklah bahasa Inggeris dan bahasa arab. Semua ini adalah untuk persiapan diri kita demi memajukan agama, bangsa dan negara.

Sebagai bangsa dan rakyat yang cintakan negaranya, sama-samalah kita memberikan sokongan bagi membangun dan memajukan negara kita kearah kecemerlangan, kejayaan dan keamanan. Apa yang paling penting segala usaha tersebut hendaklah dilakukan dengan ikhlas dan berlandaskan ajaran Al-Qur'an dan Sunnah Rasulullahu Alaihi Wasallam, semoga segala usaha yang kita lakukan mendapat rahmat dan berkat dari Allah Subhanahu Wata'ala.

Sebagai tanda syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala dan rasa cinta serta tanggungjawab terhadap negara, marilah kita sama-sama hadir ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara dengan tumpuan utama di Masjid Omar 'Ali Saifuddien pada petang hari Isnin, 22 Februari 2010 bagi membaca Surah Yaa Siin dan membaca doa kesyukuran sempena ulang tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-26 Tahun. Sama-samalah kita berdoa semoga rakyat dan penduduk negara kita ini terus maju, bersatu padu, dan dilimpahi dengan rahmat serta berkat dari Allah Subhanahu Wata'ala. Dan semoga negara kita akan menjadi sebuah negara Baldatun Taiyibatun Warabbun Ghafur iaitu negara yang aman makmur mendapat keampunan Allah. Amin Ya Rabbal'alamin.

Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Ali 'Imran ayat 110 tafsirnya :

"Kamu wahai Muhammad adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi faedah umat manusia kerana kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, buruk dan keji serta kamu pula beriman kepada Allah dengan sebenar-benar iman."


Kembali ke muka utama