BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 19 Febuari. - Kira-kira 55 peratus warga Perkhidmatan Awam didapati menghadapi masalah kegemukan, manakala 60 peratus menghadapi paras gula dan tekanan darah yang tinggi.
Jumlah ini adalah berdasarkan pemeriksaan yang bersepadu yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan ke atas pegawai-pegawai dan kakitangan di beberapa buah kementerian sejak 2008 telah melibatkan 9,000 orang.
Timbalan Menteri Kesihatan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Paduka Haji Awang Hazair bin Haji Abdullah menegaskan mereka ini merupakan kumpulan yang mempunyai risiko dan jika tidak mendapatkan rawatan yang awal dan mengubah gaya hidup, mereka adalah pada bila-bila masa mendapat strok dan serangan jantung.
Berucap di Majlis Perasmian Tru Fitness Gym yang diadakan di Beribi, Gadong di sini, Yang Dimuliakan memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
"Penjagaan kesihatan adalah every one's business sebagai mana wawasan negara menuju warga sihat tahun 2035. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab semua di negara ini untuk menjaga tahap kesihatan diri mereka dan masyarakat dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan permakanan yang seimbang serta menghindarkan diri dari merokok, di samping mengikuti usaha-usaha ke arah hidup sihat yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan."
Tru Fitness Gym mula beroperasi sejak 5 Mac tahun lalu, dengan mempunyai 350 ahli berdaftar yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan, usahawan, penuntut-penuntut dan pesara. Gim ini juga menawarkan penggunaan yang bersesuaian serta mudah dan kompetitif dari gim-gim lain yang boleh terjangkau oleh setiap lapisan masyarakat.
Pengarah Urusan Tru Fitness Gym, Dayang Hamezah binti Abdullah Bandang menyatakan, gim berkenaan telah menyahut seruan kerajaan 'Bersama Ke Arah Warga Sihat' dan memberikan peluang agar setiap lapisan masyarakat dengan tidak mengira peringkat umur, bangsa atau agama untuk menikmati kehidupan yang sihat tanpa mengeluarkan kos yang tinggi demi untuk mencapai tahap kesihatan yang diinginkan ini adalah visinya.
Dengan mengambil kata 'Prevention is better then cure' beliau berharap kata-kata itu akan dapat dijadikan satu trend ke arah kesihatan dengan mencapai kesihatan untuk semua.
(Oleh : Noraisah Muhammed)
Kembali ke muka utama