Pelita Brunei - utama Your web design templates

 

 

Hubungi kami || Arkib ||

EDISI RABU DAN SABTU

Dari Sidang Pengarang


Hasrat Negara
Haluan
Menyusur Mukim dan Kampung
Cerpen
Cetusan Minda
Minda Pembaca
Remaja
Seruan Suci
Tinjauan
Sastera dan Budaya

MINDA PEMBACA

MINDA PEMBACA yang terpilih minggu ini daripada tajuk yang telah kami kemukakan iaitu 'Belia Perlu Melonjakkan Imej Negara Di Persada Antarabangsa'. Mereka akan menerima hadiah sebanyak BND40. Pendapat yang berjaya itu adalah seperti berikut :

Lonjakkan imej negara
di persada antarabangsa

PADA satu ketika dahulu beberapa semboyan atau cogan kata dikaitkan dengan peranan belia. Antaranya ialah 'Belia hari ini adalah pemimpin masa depan', 'Belia harapan bangsa', 'Belia tiang negara', 'Belia pembela bangsa' dan bermacam-macam lagi ungkapan yang bertujuan untuk menyemarak, membakar dan meningkatkan semangat belia untuk maju membangun negara. Sekarang kita telah mencapai kemerdekaan yang dinikmati sejak tahun 1984.

Para belia yang lahir di zaman prakemerdekaan setidak-tidaknya mengetahui erti kemerdekaan itu dan bagaimana ia diperjuangkan oleh para pemimpin negara ini yang telah mencapai usia pada tahap persaraan dan ramai pula dari mereka yang telah pergi lebih dahulu dari kita.

Jasa para pemimpin itu nescaya tidak akan luput dari kenangan dan tetap diabadikan dalam perjalanan sejarah negara ini. Bagi para belia yang lahir di zaman pasca kemerdekaan perlu menghayati sejarah tentang titik mula kemerdekaan yang dinikmati itu demi memahami dan menjiwai hasrat kita bernegara.

Belia-belia tanah air hendaklah mengetahui bahawa landasan kemerdekaan telah disediakan oleh warga-warga yang terdahulu dan sekarang adalah giliran para belia untuk mengisikan kemerdekaan itu dengan sumbangan-sumbangan yang bererti bagi memantapkan negara ini. Sumbangan-sumbangan itu tidak terbatas asalkan ia tidak bercanggah dengan ketertiban bernegara dan berasaskan konsep kita Melayu Islam Beraja (MIB).

Para belia boleh saja mengharumkan nama negara di persada antarabangsa dengan pelbagai cara. Sebagai misalan dalam sukan di mana terdapat peluang yang baik untuk menyerlah dalam pelbagai acara seperti bola sepak, sepak takraw dan bermacam-macam lagi yang boleh disertai. Perlu diingat jika para belia dari negara-negara mundur boleh menempa nama di sukan antarabangsa mengapa belia Negara Brunei Darussalam tidak boleh berjaya? Begitu juga halnya dengan bidang tertentu seperti kajian hutan hujan tropika yang negara kita banggakan. Kita belum mendengar saintis terkemuka Brunei yang boleh menjadi pakar rujuk dunia. Ini merupakan satu peluang terbuka bagi belia Brunei untuk menerokainya. Di bidang seni belum ada belia kita yang mencipta nama yang boleh dijadikan mentor bagi belia-belia yang lain. Begitu juga halnya dalam dunia penulisan dan kewartawanan yang masih menunggukan kemunculan anak-anak Brunei.

Maknanya para belia tanah air hendaklah berfikir dan bertindak luar dari lingkungan batasan sempadan negara. Janganlah ragu-ragu untuk mengembangkan paradigma sehingga menepati ukuran antarabangsa. Gunakan gelanggang dunia sebagai sasaran bagi produk negara dan hasil karya kita. Kejayaan-kejayaan dari itu nescaya akan membawa imej baik negara di persada global. Dalam lain perkataan adalah menjadi tugas belia untuk menjadi duta Brunei ke dalam segala tindak-tanduk mereka yang bermula dari negeri sendiri. Jadilah bintang-bintang yang bergemerlapan yang mengindahkan malam.

Dayang Amal Sohani binti Johari,
Simpang 63,
No. 18 Jalan Beribi,
Kampung Beribi, Gadong BE1118,
Bandar Seri Begawan.
No. k/p : 298777


'Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara'

PADAhakikatnya peranan dan tanggungjawab sebagai belia adalah sesuatu yang berat dan tidak mudah untuk ditunaikan dan dilaksanakan tetapi kita semua perlu memahami bahawa matlamat kita untuk menjadi rakyat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bukanlah semata-mata untuk memenuhi keperluan atau kepentingan individu semata-mata seperti berumah tangga, ekonomi dan kewangan serta mendapatkan kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan tetapi kita juga mempunyai tanggungjawab untuk dipenuh dan dilaksanakan, di samping menyumbangkannya kepada bangsa dan negara.

Jika kita tinjau dan renungkan antara kalimat-kalimat dalam matlamat Dasar Belia Negara (DBN) iaitu 'Mewujudkan Belia Brunei Cemerlang', kita dapat simpulkan bahawa antaranya kandungannya adalah untuk memperkasa dan menjulang belia Negara Brunei Darussalam sebagai satu kelompok manusia yang boleh diharap untuk dijadikan barisan hadapan benteng negara dan juga menjadi tulang belakang di masa hadapan.

Antara lain matlamat DBN menyebutkan menyentuh mengenai pengukuhan nilai-nilai dan kepercayaan-kepercayaan yang terkandung dalam Perlembagaan negara dan falsafah negara iaitu Melayu Islam Beraja (MIB). Ini penting kerana pengukuhan ini hendaklah dipastikan terlebih dahulu sebelum kita melangkah terus menebarkan rangkaian kebeliaan ke arena antarabangsa. Perkara ini sudah jelas dan diiktiraf apabila agenda kebeliaan menjadi perkara utama dalam sidang-sidang utama. Malahan belia dianggap sebagai aset terpenting negara. Sejak mencapai kemerdekaan penuh pada tahun 1984 lagi, belia kita sudah pun melibatkan diri dan tampil duduk sama duduk dan berdiri sama tinggi di persada kebeliaan antarabangsa baik dari segi politik, ekonomi, sukan dan sebagainya.

Dalam hal memupuk rasa kepunyaan, patriotisme, beriltizam, berazam dan berhaluan jelas, perkara ini terus rancak dilaksanakan di negara ini. Pelbagai kursus, bengkel serta latihan yang menjurus ke arah berkenaan dilaksanakan secara terus-menerus sama ada di peringkat akar umbi, persatuan, kampung, mukim, peringkat negara dan juga di peringkat antarabangsa. Belia Negara Brunei Darussalam dalam hal ini juga tidak ketinggalan menyertai program-program yang menjurus ke arah pembinaan insan belia. Contohnya seperti belia kita yang ikut serta dalam persidangan-persidangan kebeliaan, kepimpinan, perdebatan, berpidato berdialog dan sebagainya. Semua itu adalah bukti kesediaan dan keberanian belia kita untuk tampil di arena antarabangsa.

Dasar Belia Negara Brunei Darussalam juga menyebut tentang memperkembangkan di kalangan belia pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan serta menanam dalam diri mereka sikap dan kualiti bertanggungjawab, berdisiplin dan dinamik serta dapat menyesuaikan diri dan berdikari bagi pembangunan negara, di samping mengukuhkan kepaduan negara. Perkara ini memang jelas, jika melihat keterlibatan belia kita di arena antarabangsa. Belia kita tidak kurang kalah dengan belia antarabangsa yang lain, malah ada yang sudah berani tampil mencipta nama dalam persada sejarah dunia. Umpamanya mempelopori bidang mencabar yang tidak pernah dipelopori oleh belia di rantau sebelah sini seperti merentasi perjalanan salji ke Kutub Utara yang penuh getir dan cabaran; johan dalam menghafal ayat-ayat suci Al-Qur'an peringkat antarabangsa, menyertai larian peringkat dunia dan banyak lagi pencapaian kita yang dapat kita serlahkan. Kita juga telah memberikan peluang kepada belia kita untuk menyertai pelbagai rancangan antarabangsa seperti Rancangan Kapal Belia ASEAN - Jepun, Rancangan-rancangan Perkhemahan Belia Komanwel, kursus-kursus kepimpinan dan juga kursus bina semangat serta banyak lagi program yang lain.

Berhubung dengan menggalakkan penglibatan belia dalam perkembangan ekonomi yang kukuh dan berlanjutan pula, belia negara ini memang tidak kurang hebatnya. Belia kita telah melibatkan diri dalam bidang ekonomi ini, baik dalam peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa. Ini jelas apabila kita melihat penyertaan ahli-ahli korporat dan perniagaan muda yang ikut serta dalam ekspo-ekspo perdagangan di luar negara. Malahan sudah ramai peniaga muda belia negara ini yang sudah membuat rangkaian pasaran keluar negara dan ada juga yang mewujudkan rakan kongsi dengan peniaga dari luar negara. Keberanian belia kita menerokai bidang ini di peringkat antarabangsa patut kita jadikan kebanggaan yang mana sekali gus memartabatkan belia di persada antarabangsa.

Terdapat seramai 152,700 orang (Brunei Darussalam Key Indicator 2000) dalam kumpulan belia iaitu yang berumur antara 15 hingga 40 tahun di negara ini yang mana juga merupakan 45.12 peratus daripada jumlah penduduk Negara Brunei Darussalam. Daripada jumlah berkenaan 81,100 orang (53.1 peratus) adalah terdiri daripada lelaki dan 71,600 orang (46.9 peratus) adalah perempuan.

Tidak disangkal belia adalah elemen rakyat yang penting dalam struktur rakyat di negara ini. Kita juga difahamkan bahawa purata rakyat di negara ini adalah terdiri daripada mereka yang berusia muda yang relatifnya adalah para pelajar. Dengan yang demikian belia semestinya punya peranan dan tanggungjawab yang harus dimainkan dalam sama-sama membangun negara ini. Kita berbangga dengan pencapaian yang telah dicapai oleh belia negara dalam semua aspek dan bidang, namun kita sepatutnya tidak berpuas hati dengan kedudukan kita ketika ini. Belia negara harus maju terus dan berusaha meningkatkan lagi martabatnya sesuai dengan sikap kitani yang menggagahi tetapi lutanan.

Menyingkap daripada penglibatan belia kita melalui DBN, dapatlah kita rumuskan bahawa belia kita tidak kurang hebatnya dengan belia lain di arena antarabangsa. Namun satu perancangan dan program yang lebih sistematik mungkin akan lebih mengesankan lagi peranan dan pengelibatan belia kita ditambah lagi dengan peluang-peluang bagi peningkatan diri, yang mana nanti akan mewujudkan suasana persaingan yang sihat dan kompetitif untuk para belia berjuang. Renungkanlah semboyan 'Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara'.

Awang Muhammad Hassanul Hadi Iqbal bin Haji Dayang
No. 13, Baitul Nurhadi,
Simpang 127, Jalan 82,
Perumahan Negara Kampung Rimba, Gadong 3319.
No. k/p: 01-054454


TAJUK-TAJUK MINDA PEMBACA AKAN DATANG

1. 'Kenali Sejarah Tanah Air'. Tarikh tutup : 28 Januari 2010.

2. 'Budayakan Kehidupan Yang Bercalakkan Kebruneian'.
Tarikh tutup : 6 Februari 2010.

3. 'Negaraku Brunei Darussalam'. Tarikh tutup : 13 Februari 2010.

4 'Mewujudkan Perkhidmatan Yang Berintegriti'.
Tarikh tutup : 20 Februari 2010.

5. 'Bersama Membanteras Jenayah'. Tarikh tutup : 27 Februari 2010.

6. 'Utamakan Kebersihan dan Keselamatan Makanan'.
Tarikh tutup : 6 Mac 2010.

7. 'Jauhi Rasuah Hidup Selamat'. Tarikh tutup : 13 Mac 2010.

8. 'Membina Rakyat Brunei Yang Bertanggungjawab'.
Tarikh tutup : 20 Mac 2010.

Pendapat awda hendaklah ditaip jarak langkau dua baris dan panjang pendapat awda mestilah antara 200 hingga 300 patah perkataan. Nama penuh, nombor kad pengenalan, alamat lengkap dan nombor telefon jika ada hendaklah disertakan dan hendaklah dihantar kepada :

Sidang Penyunting MINDA PEMBACA,
Unit Pelita Brunei,
Lapangan Terbang Lama, Berakas,
Bandar Seri Begawan, BB 3510,
Negara Brunei Darussalam,
jaafar.ibrahim @ information.gov.bn.
e-mel : pelita.brunei@information.gov.bn

Kembali ke muka utama