|

Dosa yang tidak diampunkan
FIRMAN Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Luqman ayat 13 tafsirnya :
"Dan ketika Luqman berkata kepada anaknya, wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."
Allah Subhanahu Wata'ala Maha Pengampun dosa-dosa hamba-Nya yang memohon keampunan kecuali dosa. Ini ditegaskan di dalam kitab suci Al-Qur'an dalam Surah An Nisaa' ayat 48 tafsirnya:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik (mempersekutukan-Nya dengan sesuatu) dan Dia akan mengampunkan segala dosa yang lain daripada (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang mepersekutukan Allah (dengan suatu yang lain) maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar."
Selain daripada dosa-dosa yang berlaku syirik itu tidak diampuni Allah Subhanahu Wata'ala juga mengharamkan ke atasnya syurga. Sebagaimana firman-Nya dalam Surah Al Maa-idah ayat 72 tafsirnya:
"Sesungguhnya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu maka sesungguhnya Allah mengharamkan syurga baginya dan tempat kembalinya ialah neraka. Dan tidaklah ada bagi orang-orang yang zalim itu seorang penolong pun."
Syirik bermaksud menyekutukan Allah Subhanahu Wata'ala. Kerana Allah itu bersifat Maha Esa (Tunggal) tiada sekutu bagi-Nya. Tiada sesuatu yang menyemai atau menyerupai-Nya, bahkan jauh sekali untuk menandingi kuasa Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh itu umat Islam hendaklah memelihara dirinya dan akidah kepercayaannya, serta menghindarkan diri dari melakukan perkara-perkara yang menyekutukan Allah Subhanahu Wata'ala seperti menyerupai dengan makhluk atau sesuatu yang lain.
Dalam masyarakat kita hari ini, sungguhpun ajaran agama Islam sudah tersebar luas dan telah dianuti sekian lama namun masih terdapat sebilangan kecil umat Islam yang mengamalkan perbuatan-perbuatan karut yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti pemujaan terhadap benda-benda atau makhluk lain yang ternyata tiada mempunyai kuasa sedikit pun dan berdoa meminta pertolongan melalui kubur, keris, cincin, batu, kayu atau pungsu dan percaya kepada benda-benda tersebut mempunyai 'keramat' atau kuasa yang boleh membawa tuah, menambah rezeki dan lain-lain.
Ingatlah bahawa setiap permohonan dan permintaan bagi sesuatu perkara itu, hanyalah kepada Allah Subhanahu Wata'ala sahaja, jika dilakukan kepada benda-benda lain bukan kepada Allah Subhanahu Wata'ala bererti meletakkan Allah Subhanahu Wata'ala dengan makhluk ciptaan-Nya. Maka dengan perbuatan sedemikian berlakulah syirik.
Kita umat Islam hanya dituntut supaya bermohon kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Ini jelas sebagaimana hadis riwayat oleh Al-Imam At-Tirmidzi dari Ibni Abbas Radhiallahu 'anhu Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud :
"Apabila engkau memint, maka mintalah kepada Allah, dan apabila engkau memohon pertolongan maka pohonlah pertolongan itu kepada Allah."
Meminta atau memohon kepada Allah merupakan doa, dan doa itu suatu ibadat. Ibadat hanya dilakukan kepada-Nya, bukan kepada sesuatu yang lain yang terdiri daripada makhluk-makhluk lain, apatah lagi kepada benda-benda yang tidak bernyawa seperti batu, kayu, kubur, pungsu, cincin, keris dan lain-lain yang tidak mendatangkan kesan.
Maka adalah menjadi kewajipan kepada setiap umat Islam supaya sentiasa berhati-hati terhadap perkara-perkara yang boleh membawa kepada syirik, lebih-lebih lagi untuk mendapat keuntungan harta atau kemewahan dunia berbanding dengan akibat yang akan ditanggung berpunca daripada menyekutukan Allah Subhanahu Wata'ala kemudian hari.
Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Yunus ayat 106 tafsirnya:
"Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) berdoa (menyembah atau memuja) kepada selain Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepadamu. Oleh itu sekiranya engkau mengerjakan sedemikian, kalau begitu jadilah engkau daripada orang yang zalim (terhadap diri sendiri dengan perbuaan syirik itu)."
Kembali ke muka utama
|