|

Menjual arak adalah perbuatan dilaknat Allah
MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Dalam kita menjalani kehidupan di dunia ini, Islam telah memberikan panduan yang cukup lengkap dan bersesuaian untuk diamalkan sepanjang zaman. Di antaranya ialah panduan mencari rezeki dan bekerja untuk menyara kehidupan, yang mana Islam menuntut umatnya berusaha mencari rezeki dengan cara yang halal dan baik. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al Qashash ayat 77, tafsirnya :
"Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebaikan Hari Akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia."
Salah satu usaha terpuji yang sangat digalakkan oleh Islam ialah berniaga, akan tetapi dalam berniaga kita hendaklah memastikan urusan jual beli yang dilakukan tidak bertentangan dengan ajaran Islam dan barang yang diniagakan itu halal, bukan yang haram seperti jual beli arak (minuman keras). Dalam hal jual beli arak ini setiap orang Islam yang terlibat dalam urusan arak akan mendapat laknat daripada Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana hadis Nabi Sallalahu Alaihi Wasallam, maksudnya :
"Dari Annas bin Malik katanya : Bahawasanya Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaknat sepuluh golongan yang berkaitan dengan arak, iaitu : Yang memerahnya, yang minta diperahkannya, yang meminumnya, yang membawanya dan minta dibawa kepadanya, yang menuangkannya, yang menjualnya, yang makan harganya, yang membelinya dan yang minta dibelikan." (Riwayat Al-Imam At-Tirmidzi).
Berdasarkan hadis tadi, orang-orang Islam menjual arak adalah salah satu golongan yang mendapat laknat daripada Allah Subhanahu Wata'ala sekalipun pembelinya bukan di kalangan orang Islam.
Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana di negara kita ini Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah menguatkuasakan beberapa peraturan dan undang-undang mengenai arak (minuman keras) di negara ini, di antaranya ialah pengharaman penjualan minuman keras dan kesalahan memiliki minuman keras bagi orangorang Islam. Akan tetapi masih juga terdapat orang yang menjualnya secara sembunyi-sembunyi iaitu membawa masuk minuman keras ini dengan cara menyeludup yang dilakukan oleh berbagai bangsa dan agama. Apa yang menyedihkan, berdasarkan statistic kes tangkapan minuman keras di negara ini, mereka yang didapati menyeludup atau menjual atau memiliki minuman keras tersebut adalah melibatkan orang-orang Melayu tempatan yang beragama Islam.
Mengikut statistik dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, kes kesalahan minuman keras adalah meningkat dari setahun ke setahun di mana pada tahun 2009 sejumlah 385 kes telah dicatatkan. Apa yang lebih mendukacitakan dan membimbangkan kita lagi ialah dari jumlah tersebut, seramai 167 orang pesalah adalah beragama Islam dan seramai 175 orang pula adalah dari kalangan remaja dan belia yang berumur di antara 15 hingga 30 tahun.
Memandangkan kes tangkapan kesalahan minuman keras ini melibatkan para remaja dan belia, maka bagi mengatasi masalah ini dari terus berleluasa, para ibu bapa adalah berperanan dan bertanggungjawab untuk memata-matai anak-anak dari terlibat dengan minuman keras. Masyarakat pula perlu memberikan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang seperti Jabatan Kastam dan Eksais Diraja iaitu dengan melaporkan jika mendapati sesuatu perkara yang berkaitan dengan minuman keras.
Langkah kerajaan mengharamkan penjualan minuman keras di negara ini adalah langkah yang bijak dan bertepatan dengan ajaran agama Islam. Perlulah difahami bahawa pengharaman minuman keras (arak) di dalam agama Islam sudah pasti mempunyai hikmah atau rahsia di sebaliknya. Allah Subhanahu Wata'ala berfirman dalam Surah Al Maa-Idah Ayat 90 - 91, tafsirnya :
"Wahai orang-orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semata-mata kotor (keji) dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil."
Jelas di dalam ayat tadi, betapa besarnya bahaya arak itu kepada akidah dan akhlak manusia di mana Allah Subhanahu Wata'ala meletakkan kedudukan arak ini di dalam ayat tadi bersama-sama dengan pemujaan berhala dan meramal nasib. Kedua-dua perkara ini iaitu pemujaan berhala dan meramal nasib adalah tanda-tanda kekufuran dan menyekutukan Allah Subhanahu Wata'ala dengan sesuatu daripada makhluk-Nya.
Selaku rakyat dan penduduk di negara ini, kita amatlah bersyukur kerana penjualan dan pengedaran minuman keras di negara ini diharamkan. Sesungguhnya minuman keras itu terlalu banyak keburukan dan kemudaratannya kepada manusia, di antaranya :
- Merosakkan akal fikiran dan kesihatan.
- Merosakkan akhlak dan akidah seseorang.
- Memalingkan manusia daripada ingatkan Allah Subhanahu Wata'ala dan daripada mengerjakan sembahyang.
- Membawa manusia ke arah kemurkaan Allah Subhanahu Wata'ala.
- Boleh menimbulkan permusuhan dan kebencian sesama manusia.
- Memporak-perandakan rumah tangga, keluarga, masyarakat dan negara.
- Mengakibatkan kemalangan seperti kemalangan jalan raya.
Minuman keras juga telah didapati menjadi penyebab berlakunya zina dan sumbang mahram. Apabila mabuk, tidak mustahil seseorang itu sanggup memperkosa sesiapa saja termasuklah memperkosa anak sendiri dan tidak mustahil pula mereka sanggup melakukan kekejaman, pembunuhan dan sebagainya.
Di dalam kitab Jauharul Mauhuub ada menerangkan tentang seseorang 'Abid (orang yang kuat beribadat) yang bernama Barshisha' yang taat beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala, akan tetapi di akhir hayatnya beliau telah meninggal dunia dengan melakukan dosa-dosa besar termasuklah mensyirikkan Allah Subhanahu Wata'ala.
Diriwayatkan bahawa Barshisha' telah didatangi oleh iblis laknatullah yang telah menyamar diri sebagai manusia yang kuat beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala, lalu berkatalah iblis : Aku seorang ''Abid' kepada Allah Subhanahu Wata'ala, aku dapat beribadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala selama tiga hari berturut-turut tanpa tidur, tanpa makan dan minum. Maka terpesonalah Barshisha' dengan helah yang dilakukan oleh iblis itu. Kemudian bertanyalah Barshisha' : Apakah sebabnya supaya aku boleh menjadi sepertimu berbuat ibadat selama tiga hari tanpa tidur, tanpa makan dan minum? Iblis laknatullah pun menjawab : Lakukanlah maksiat kepada Allah Subhanahu Wata'ala kemudian engkau bertaubat, sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala Maha Pengampun sehinggalah engkau menikmati kemanusiaan dalam melakukan ibadat.
Kemudian iblis laknatullah pun terus mencadangkan : "Engkau lakukanlah maksiat berzina atau membunuh orang." Lalu Barshisha' pun menjawab : "Aku tidak sanggup melakukannya!" Iblis pun berkata : "Engkau minumlah arak supaya lebih mudah melakukannya."
Barshisha' pun memilih untuk minum arak kerana menyangka dosa meminum arak adalah ringan dibandingkan dengan dosa berzina dan membunuh. Setelah berlalu Barshisha' pun ternampak seorang wanita cantik penjual arak dan lantas membeli arak darinya dan terus meminumnya sehingga mabuk dan melakukan zina dengan wanita itu dan kemudian membunuhnya.
Ketahuilah wahai kaum Muslimin, sesungguhnya semua yang memabukkan itu adalah arak (minuman keras) dan semua jenis arak adalah haram. Sesungguhnya arak itu sangat merbahaya dan sesiapa yang menghampirinya pasti akan terjerumus kepada kemaksiatan yang lebih besar dan ngeri. Iblis itu adalah musuh-musuh kita yang nyata, yang sentiasa berusaha memesongkan kaum Muslimin agar tersesat dari jalan yang benar sebagaimana kisah Barshisha' ini. Mudah-mudahan kita akan beroleh manfaat dan pengajaran dari kisah tersebut.
Seperti yang kita maklum, wabak penyakit Influenza A (H1N1) masih melanda negara kita pada masa ini. Berikutan dengan itu Kementerian Kesihatan menyarankan orang ramai supaya mendapatkan suntikan vaksin Influenza A (H1N1) di pusat-pusat suntikan yang disediakan sebagai usaha sama bagi mengelakkan daripada dijangkiti penyakit tersebut.
Orang ramai dinasihatkan untuk terus mengamalkan kebersihan diri bagi mengawal jangkitan ini daripada merebak. Selain daripada itu kita hendaklah membanyakkan membaca Al-Qur'an, doa, wirid, zikir, selawat dan Qunut Nazilah sebagaimana yang dianjurkan oleh agama Islam supaya kita terselamat daripada bala dan segala jenis penyakit, antaranya seperti membaca :
- Beristighfar (sekurang-kurangnya membaca
- Membaca selawat Tafrijiah dan sebagainya.
Dalam menghadapi wabak penyakit ini, ikutilah saranan dan nasihat-nasihat yang telah diberikan. Banyakkanlah berdoa, beristighfar memohon keampunan dan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala.
Akhirnya sama-samalah kita berdoa dan memohon hidayah serta rahmat dari Allah Subhanahu Wata'ala semoga wabak penyakit ini akan segera berakhir dan semoga diri kita, ahli keluarga kita serta seluruh rakyat dan penduduk negara ini mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dan selamat dari segala wabak penyakit dan bala bencana. Amin Ya Rabbal'alamin.
Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah ayat 214, tafsirnya :
"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersertanya, bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)."
Kembali ke muka utama
|